Friday, 30 October 2009

Sisipan Memori - Tadika masjid gelongsornya satu

Genap usia 6 tahun, giliran ummi untuk memasuki alam pra persekolahan. Tadika yang ada ketika itu adalah tadika yang disediakan di Masjid Abdul Rahman, pekan Sungai Petani. Gembiranya hati bukan kepalang. Kebanyakan kawan-kawan sekampung ummi dah ramai masuk ke tadika itu sejak tahun lepas lagi. Rengekan ummi nak masuk ke tadika itu tahun lepas memang tak di layan.

Tadika tersebut mempunyai dua kelas. Satu kelas di tingkat bawah dan satu di tingkat atas. Ummi tak ingat kelas ummi yang mana satu. Yang paling ummi ingat adalah tempat permainan di tadika tersebut. Satu gelongsor di bawah pokok 'pine'. Itu sajalah yang kami ada di tadika tersebut. Setiap kali waktu rehat, kami akan bergilir-gilir mengambil giliran untuk main gelongsor tersebut. Ummi tak pernah naik gelongsor ditempat lain. Inilah satu-satunya peluang untuk ummi naik gelongsor sepuas-puasnya. Kalau ramai sangat ahli gelongsor, ummi akan pergi mengutip buah 'pine' yang bergelimpangan dan bawa balik kerumah. Seronoknya bukan main-main.

Ummi paling suka makan nasi lemak yang di jual oleh seorang nenek di situ. Kalau boleh hari-hari ummi nak makan nasi lemak mak cik tu.

"Cek, cek bawak bekallah na, tok masak ayam goreng mau dak?" Pujuk tok
"cek tak mau, cek nak makan nasik lemak tok cik tu", Rayu ummi. Dan seperti biasa tok memang mengikut saja kemahuan ummi.

Seperti orang selalu kata, ibubapa selalunya bertegas dengan anak-anak sebab tugas mereka untuk mendidik anak-anak menjadi orang berguna. Bila sampai kepada cucu, mereka akan memanjakan bersungguh-sungguh, kerana bukan tugas mereka lagi untuk bertegas, tugas ibubapa cucu mereka pula, giliran mereka memanjakan dan bermanja dengan cucu-cucu mereka.

Kisah kesukaan terhadap nasi lemak tidak habis di sini, nasi lemak akan menyusul lagi semasa ummi di darjah satu.

Pelajaran yang paling ummi suka ialah matematik, suatu benda yang agak baharu buat ummi. Rupanya, banyak lagi benda lain selain dari membaca yang ada di dunia ini. Kita kena pandai mengira, pandai mengaji, pandai menyanyi juga. Itulah kesimpulan yang dapat ummi buat ketika itu.

"Cek, memang kena belajaq kira, kalau tak pandai kira macamana cek nak pi beli kat kedai cina belakang? kalau cek tak pandai kira nanti senang orang tipu." terag tok dengan ringkas.

" Cek kena pandai ngaji, orang pandai ngaji masuk syurga, dalam syurga cek boleh dapat semua benda yang cek nak," tok melancarkan motivasi.

"Dalam syurga ada aiskrim conetto dak tok?" tanya ummi tentang aiskrim kegemaran, yang jarang-jarang dapat ummi rasa.
"Ada, sungai dari aiskrim pun ada kalau cek mintak." Seronok bukan kepalang bila ummi dengar jawapan tok.

"cek kena pandai nyanyi, sebab tok nak dengaq cek nyanyi sedap-sedap kat tok, kat tok sorang na," Pinta tok.

Begitulah tentang ilmu, ilmu Allah terlalu luas, walau pandai membaca diusia 6 tahun, banyak lagi benda yang ummi tak pandai. Sampai bila-bila pun akan ada ilmu baru yang harus kita pelajari. Berusahalah mencari ilmu di dunia ini, moga menjadi bekal kita di alam akhirat. InsyaAllah.

Tuesday, 27 October 2009

Blossoms Memory - Minggu sebelum cuti

Salam semua,

Minggu lepas minggu yang indah buat ummi dan abah, Hafiy Addin pergi ke sekolah dengan riang dan ria. Sudah semestinya sebab setiap hari, ummi dan abah kena hantar Hafiy sampai ke nursery. Aduhai anak bertuah, 'demand' sungguh nak dua2 ummi abah hantar rupanya. Satu lagi yang menceriakan Hafiy mungkin sebab ada Aliya, anak saudara Ikram dan Sue, yang memulakan kelas pagi bersama yang lain. Jadi, Hafiy ada kawan. Sebelum ni ada juga kawan Najihah dan Amirul, cuma mungkin di sebabkan Najihah dan Amirul lebih lama berkawan, jadi Hafiy tak tahu macamana nak join kot. Agak ummi saja. Baru saja mula gembira, sekolah dah start cuti sekolah selama seminggu, Ya Allah mudahkanlah nanti bila sekolah buka semula.

Hasya dan Humaira Alhamdulillah, seperti anak-anak yang lain di sini, amat menyukai sekolah mereka. Guru-guru dan kawan-kawan. Siapa yang tak suka sekolah yang tak ada tekanan langsung, setiap sessi kelas hanyalah berkitar tentang main. Setiap mata pelajaran di ajar dengan diiringi dengan permainan yang membuatkan mereka cepat menangkap butir-butir yang hendar di ajarkan.

'Black History Month'. Sempena dengan tema ini, setiap kelas mempersembahkan tentang tokoh kulit hitam yang dipilih oleh kelas mereka dengan pelbagai aktiviti persembahan yang menarik. Satu hari di minggu lepas, Hasya pulang dari sekolah dan bercerita tentang Nelson Mandela. Terkejut ummi.

" Ummi, do you know Nelson Mandela? He is a black man that was in prison." Hasya kata
Ummi tanya kenapa.
"Because, he wants black and white people to live together. It was hard, but now he is out of prison and black and white live together". Cerita Hasya.

Selepas itu Hasya mula menyanyi lagu 'Somewhere over the rainbow'


(kredit sumber)

" Nelson Mandela's dream came true, because black and white now live together." Explain Hasya lagi.

Yang nyanyi kat youtube to bukan Hasya, tapi lagu yang sama hehehe. Memang sistem pengajian disini melatih pelajar untuk peka dengan 'analytical thinking' mereka. Terlalu panjang kalau hendak di 'elaborate' kan.

Humaira pula, semenjak berhari-hari asyik menyanyikan satu lagu yang kedengaran asing ditelinga. Humaira kurang bercerita tentang sekolah. Humaira suka bercerita tentang aktiviti lasak yang dilakukan di sekolah, seperti waktu rehat.

Ummi dan abah pergi ke sekolah anak-anak jumaat lepas untuk melihat persembahan anak-anak sempena 'Black History Month', memang berbagai aktiviti, dan kelas Hasya bercerita tentang Nelson Mandela dan kemudian menyanyikan lagu 'Somewhere over the rainbow'.

Bila tiba gilira kelas kakak Humaira, ada 3 orang ahli kelas yang berdiri kehadapan sedikit. Humaira dan dua lagi rakannya. Kemudian, seorang demi seorang bercerita tentang tokoh mereka, ummi sebenarnya tak ingat tokoh mana yang mereka ceritakan. Di akhir sekali, mereka memulakan nyanyian afrika mereka. Rupanya, Humaira dan dua rakannya adalah 'lead singer' untuk nyayian tu. Boleh tahan juga suara anak ummi nie. Kalau baca Al-Quran mesti sedapkan kakak? Semoga kakak bersemangat untuk membaca Al-Quran berlagu.

Kisah anak-anak bertuah.........

Saturday, 24 October 2009

Sisipan Memori- Biji cempedak rebus dan buku cerita….

Hari minggu di rumah tok sangat meriah, selalunya tok mak dan tok wan serta mak teh akan pulang ke Bakar Kapor, di tambah pula dengan tok cik Wan Salim dan Tok Cik Natrah sekeluarga, sepupu ummi mak ngah intan dan pak long own akan datang rumah tok. Berkelah (nota: berkelah untuk orang utara adalah makan nasi beramai-ramai bersama keluarga tak kira di mana, dan tidak hanya tertakluk di pantai… sebab selalunya bila kita sebut berkelah yang terbayang adalah berkelah di pantai) beramai-ramai. Masa inilah juga masa yang sesuai untuk beramah mesra bersama keluarga.


Kebetulan ketika itu musim buah-buahan. Tok mak tinggal di Bukit Selambau, tanah kampung yang tok beli bersama dengan dusun buah-buahan nya. Tok mak pulang bersama-sama hasil buah-buahan kampung. Ada rambutan, langsat, durian dan juga cempedak. Buah cempedak selalunya digoreng, memang sedap, rindunya ummi pada cempedak goreng. Isi cempedak dimakan, bijinya kami kumpulkan dalam satu bekas. Bila bekas dah penuh, biji-biji tu kemudiannya direbus bersama sedikit garam. Jadilah satu kudapan yang enak.


Mak ngah Intan yang 4 tahun lebih tua dari ummi, adalah seorang idola ummi ketika tu. Mak ngah intan cantik, pandai baca buku cerita tebal-tebal. Memang hebat sangat mak ngah intan di mata ummi. Orang pandai baca buku , mesti ramai orang suka, fikir ummi. Selalunya, sebelum biji cempedak rebus dimakan, kulit berwarna coklat harus dikupas dahulu. Ketika ini, satu tangan mak ngah akan mengupas biji cempedak, dan satu tangan lagi memegang buku ceritanya yang tebal. Ummi akan duduk sebelah mak ngah dan akan mendengar mak ngah membaca buku ceritanya.


Gembiranya hati ini bukan kepalang. Macam-macam buku cerita dan bermacam-macam cerita, terasa seperti berada didalam cerita itu sendiri. Ketika buku cerita berkenaan Heidi dibaca, terasa seperti berada bersama Heidi dan datuknya dipergunungan Alps, memelihara biri-biri. Ketika cerita berkenaan Robinson Crusoe didengarkan, seperti berada dipulau yang penuh dengan hasil kraftangan Robinson pula. Sungguh pandai mak ngah, ummi nak pandai baca buku macam mak ngah juga.


Minggu ini dapatlah lagi ummi dengar mak ngah baca buku cerita lagi.

“Intan, hampa (ganti nama diri untuk: awak) nak baca buku apa hari ni?” Tanya ummi pada mak ngah

“Minggu nie kami(ganti nama diri: saya) nak baca buku pasai (berkenaan) Hang Tuah,” jawab mak ngah.

“Bestnya, kami nak duduk sebelah hampa tau….” Pinta ummi.

“ Boleh, tapi kami nak baca dalam hati, penat baca kuat-kuat, kami dah pandai baca dalam hati…,” terang mak ngah.

“Baca dalam hati tu macammana?” Tanya ummi lagi

“Baca dalam hati tu, baca tak keluar suara,” jawab mak ngah lagi.

“Kami tak boleh dengaq lah cerita tu,” Tanya ummi lagi.

Mak ngah mengangguk.


Sedihnya rasa hati bukan kepalang, umur ummi ketika itu lebih kurang 5 tahun. Kanak-kanak ketika itu memulakan sessi pra-sekolah ketika berumur 6 tahun. Jarang anak yang berumur 5 tahun yang sudah pandai membaca macam kakak Humaira, Hasya dan kanak-kanak lain sekarang ini.


Menangislah ummi didalam bilik. Tidak dapat mengembara bersama dengan Hang Tuah. Tok masuk bilik untuk solat.


“Pasai apa cek nangis nie?” Tanya tok

“Intan nak baca buku dalam hati, tak mau keluaq sogha (suara), kalau keluaq sogha, penat, dia kata. Cek nak dengaq ceghita tu..” adu ummi pada tok.

“oooo, cik mau dak (tak) kalau cek pandai baca buku macam kak intan? ..” soal tok.

“Kalau cek pandai baca buku, cek tak payah tunggu oghang lain baca buku kat cek, semua buku cek boleh baca..” terang tok pula.

“Cek mau, cek mau…” kata ummi bersungguh.


Bermula saat itu, tok Rokiah pesara guru, bersungguh-sungguh mengajar ummi, cucunya untuk membaca buku. Teknik yang digunakan tak pula ummi ingat. Seingat-ingat ummi, ketika masih berusia hujung 5 tahun ummi sudah boleh membaca surat khabar. Alhamdulillah. Terima kasih tok. Murabbi ummi yang pertama. Bermula saat itu juga ummi mula gemar membaca buku, sehinggalah buku-buku tentang nabi-nabi dan sebagainya. Terima kasih Intan sebab baca buku dalam hati, dengan itu tergeraklah hati tok untuk ajar kami baca buku. Dimana ada kemahuan di situ ada jalan, anak-anak. Gerakkan mahu pada sesuatu yang membawa kebaikan dan yang dapat menjadi ibadah bagi kita. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.


Ya Allah, ampunkanlah dosa tok, tenpatkanlah tok bersama-sama orang-orang yang beriman. Aameeen…..

Friday, 23 October 2009

Sisipan Memori - Kedai Cina Punya Hal

Minggu itu, tok mak pulang ke Bakar Kapor bersama dengan tok wan dan mak teh. Seronoknya bukan kepalang. Rindu ummi pada tok mak, tok wan dan mak teh terasa terubat. Pagi-pagi lagi tok long, tuan punya beca roda tiga sudah menunggu didepan beranda rumah.

"Masuk dululah 'At, Mai makan nasi goreng dulu..." Tok menjemput tok long Saad untuk masuk bersarapan dulu. Nasi goreng panas, yang digoreng bersama lebihan sambal belacan dan ikan kembung goreng semalam adalah kebiasaan sarapan pagi kami. Di jamu pula dengan teh 'o' panas. Cukup untuk membuatkan perut ummi kembali berkeroncong.

"Tak palah kak, saya dah makan tadi...." pelawaan tok di tolak dengan hormat oleh adik ipar tok itu.

Sejurus kemudian tok dan tok long bertolak ke pekan. Minggu pencen lagi nampaknya. Girangnya hati tidak terkata, terbayang angin menghembus muka tika duduk didepan bucu beca, dan keenakkan air gas.

Kira-kira pukul 10.30 pagi, tok dah selamat kembali semula kerumah. Ummi dengan cepat bergegas, turun rumah dan berdiri disisi beca.

"Cek, hari ni tak payah ikut lah na..... tok nak pi mengurut lepaih(selepas) ni... cek duk rumah dengan mak na....", pujuk tok lembut.

Dengan penuh tangisan, cadangan tok tu ummi tolak sepenuhnya, ratap tangis dan gelupur di tanah adalah perkara yang paling betul ummi kira di waktu umur 4 tahun. Tok mak didalam rumah, berlari keluar dan cuba menenangkan ummi. Mak teh didalam rumah terpinga-pinga.
Selepas semua cubaan memujuk gagal, tok mak terpaksa menggunakan cubitan manja di peha. Apa lagi, sudah semestinya, tangisan ummi menjadi lebih menjadi-jadi.

" Yang hang pi cubit budak tu buat apa....." Marah tok pada tok mak. Dengan itu jugak satu cubitan tok singgah di lengan tok mak.

" Dah, dah... biaq lah dia ikut mak pi kedai cina hari nie, lepaih tu mak hantaq (hantar) dia balik mai...", tok buat keputusan.

Memang begitulah tok Rokiah, tok sangat garang dengan anak-anaknya. Semua orang takut dengan tok. Anak-anak murid tok disekolah juga mengatakan yang tok seorang guru yang tegas dan garang. Tapi, bila sampai kepada kisah cucu, tok pernah berkata,

" Depan mak jangan sapa nak buat-buat ( pukul/cubit) cucu-cucu mak.."

Apa lagi cucu-cucu pun naik tocanglah bila depan tok, mak bapa pula mengetap gigi menahan geram melihat gelagat anak-anak mereka saat didepan tok. Jaga kalian bila tok tak nampak. Begitu agaknya suara hati mereka.

Semoga Allah merahmati tok di alam sana. Aameen

Nenek dan cucu (Kredit Sumber)

Sisipan Memori - Beca Roda Tiga

Memori jangka panjang (long term memory) seseorang manusia itu berbeza-beza, ada yang bermula awal ada yang bermula lambat, semuanya bergantung kepada betapa berkesannya perkara itu pada hidup seseorang. Bagi ummi, tak banyak memori umur dibawah 4 tahun yang ummi ingat.

Tok Rokiah, ibu kepada tok mak, iaitu nenek ummi adalah seorang pesara guru. Setiap hujung bulan tok akan pergi ke Bank Rakyat, disimpang jalan berdekatan Jalan Dewa, Sungai Petani untuk mengeluarkan pencen bulanannya. Tok, akan menyewa sebuah beca roda tiga untuk seharian pada hari tersebut.



Gambar beca roda tiga (kredit sumber)
Kebiasaannya, selepas mengeluarkan wang pencen tok akan balik rumah di Bakar Kapor. Tok akan ajak sama ada ummi atau mak teh untuk temankan tok membeli keperluan rumah untuk sebulan. Ketika kecil ummi tinggal dengan tok Rokiah. Buat teman kata tok. Inilah saat-saat yang paling terkesan dihati, hinggakan peristiwa inilah yang paling ummi ingat ketika kecil.

" Tok, kita nak pi kedai cina lagi ka...?"
" Ya, kita nak pi kedai cina, jom cek (ganti nama manja bagi orang utara) tukaq baju na..."
" Yey, yey, nak pi kedai, nak naik beca, nak beli ayaq (air) gas.."

Itulah antara penyebab keseronokan ummi untuk kekedai Cina di Kampung Raja, Pekan Lama Sungai Petani, yang jaraknya lebih kurang 5 km dari Bakar Kapor. Menaiki Beca dan juga minuman berkarbonat (selalunya Fanta Grape/ Strawberry). Minggu yang paling hebat setiap bulan.


Contoh botol Fanta pada zaman itu


Tempat duduk yang paling seronok sekali adalah dihujung bucu beca bahagian depan. Dapat melunjur kaki kebawah. Tok, dengan kain batik panjang, baju kebaya dan tudung selempangnya akan duduk dikerusi beca sambil tersenyum melihat cucu yang sangat gembira.

Tok paling suka berbelanja di kedai cina yang turun temurun dilanggan oleh kaum keluarganya dari pada ayah serta ibunya. Sedang masih banyak lagi kedai yang berjualan murah disekitar pekan Sungai Petani yang jaraknya hanyalah 1 km dari rumah tok. Mungkin tok sendiri, ada kenangan indah di Kampung Raja.

Masih terbayang-bayang saat indah itu. Dunia kanak-kanak yang tiada kerisauan padanya. Hidup dengan corak seharian yang dilakar oleh orang dewasa yang lebih merasa masinnya
garam, manisnya gula kehidupan.

'Anak-anak umpama kain putih, kitalah yang mencorakkan mereka. Lahirnya anak itu fitrahnya suci, maka ibubapalah yang membentuk mereka samada membesar sebagai muslim sejati. InsyaAllah'

Semoga ummi dan abah dapat mencorak kehidupan yang indah buat anak-anak pula. Aameeen.

Tuesday, 20 October 2009

Ya Allah...... penyakit apakah ini.........


Allahuma innii a’uudzu bika minalhammi wal hazan wa a’uudzubika minal ’ajzi walkasali, wa a’uudzubika minal jubni wa bukhli, wa a’uudzu bika min gholabatiddaini wa qohrirrijaal.

“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.”

(note: rujukan - http://alivewire.wordpress.com/2007/06/17/doa-menghilangkan-sifat-malas-dan-hutang/)


M....... sungguh malas,
Dah berminggu tak ada rasa cinta pada lab work, aduhai Allah kurniakan rasa rindu untuk terus bertamu di makmal laser ku itu....

Zauj ku, begitu bersungguh dengan simulasi projeknya, bilalah nak rajin macam buah hatiku, bilalah nak konsisten dan beristiqamah dalam menyintai kerjaku ini.

Langkah-langkah yang patut diambil:
1. Doa
2. Doa
3. Doa
4. Motivasi diri
5. Ingat ini amanah Allah dan negara
6. Ingat pengorbanan semua terutama, ibu ayah (berkorban rindu), suamiku(berkongsi rasa), anak-anak (berkorban masa).
7. Ibadah-ibadah

semoga hati cepat sembuh dari penyakit M ini......... aameeen...

yang benar,
suara hati

Friday, 16 October 2009

Permata


Hati itu….

Terima kasih Allah……

Kau kurniakan nakhoda keluarga berhati mulia….

Walau kerapkali hatinya terguris…..

Disiram sendiri lukanya agar bahtera tidak akan goyah….

Ampunkan diri hamba ya Allah atas alpa yang bersarang dihati…

Semoga tidak terus berulangkali hatinya diguris….

Kadang dalam sedar….

Selalu jua diluar sedar…

Terima kasih Allah..

Atas kelembutan hati yang kau kurniakan..

Patahlah kekerasan hati ……..

Masih dalam sedarku bahawa dirinya itu selayaknya dimuliakan…

Kerna disitulah letak syurgaku………

Anak bijak yang bertuah

Aduhai hati kecil itu,
tangis sendu setiap pagi...
ada apa dengan hati itu...
dukanya setiap hari.....
luka berdarah kalbu ummi
mendengar khabar hatimu berduka...
remuk resah hati abah...
melihat dirimu penuh tangisan..

ingin ummi selami hatimu sayang...
kenapa begitu payah.....
merungkai bait-bait gembira...
pada sebuah pertemuan baru....
tenanglah hatimu wahai anakku....
Hafiy Addin......

Wednesday, 14 October 2009

The children story......

Humaira Ardini Hizamel.....
She joined an inter-school cross-country race recently and she managed to finish a 1500m race for under 9 years old at 47th place, out of maybe 60 students without stopping or walking during the race, while many others do so. She insisted that she wanted to followa tortoise example in the tortoise and hare story that she learned in her class weeks before. She said, the tortoise was running slow and steady, and the boastful hare was speeding and decided to sleep for a while. The slow and steady tortoise win the race. Slow and steady she has been from the beginning till the end. I am so proud of you my princess. I always know that you know this.

Hasya Amalin Hizamel.....
She comes home one day from school, she called me
"ummi, do you remember the fruit that we saw in the bewildered wood theme park last time?" and ummi said " ehhmmm... I can't remember".. and as usual ummi still continue to read the newspaper on the net.... pity my Hasya, I should pay more attention when talking them. (note: to myself)
She still kept reminding me
" The spiky green fruits, the one that got nut inside it..? ",
then I remember " ooo.. yes".
" Do you know what they are called...? "
It is so like Hasya, to test you on something that she will definitely know.
" I don't know Hasya, do you know?"....
" they are called concers... ummi".. she said,
" wahhhhhhh you are so clever, sayang, how do you know them?" I asked her.
" I saw them in a book today with my teacher, and she told me that they are called concers."
Clever Hasya, I always learn new things from her and she definitely teach me how to be more patience.

Hafiy Addin Hizamel....
3 years 5 months and 7 days today. Well I guess it's the age, too early, not ready, not enough preparation on our side maybe. Well, my good son, being a drama king, create a scene again yesterday.
  • Arrived at school with abah and the sisters, requested to escort Hasya to her classs. Granted.
  • Requested, to visit kakak Humaira class, granted.
  • And when arrived at his nursery class doorstep, he froze himself and said no to nursery today. Abah's action to preserved more drama to take place that day is to run some reverse psychology thingy. Abah agreed to take him to the car, which normally resulted in him saying something like this "... oooo, it's ok abah, I want to go to school... lah... ", in which it didn't happen yesterday, and this mean abah will then have to drive the car home with him.
  • And of course, shocked is the state that ummi has been.
  • Ummi and abah do some small talk and reasoning, he agreed to be sent to school again. This time, abah said, why not ummi took Hafiy to his class for a change. And with Allah help he settled in his class nicely.
  • Sungguh anak bertuah.......................................
cerita anak-anak

Monday, 12 October 2009

Blog yang sunyi.....


Blog sangat sunyi.... pemilik blog? Hidup yang penuh, memenuhi dan dipenuhi. Sungguh sibuk dengan aktiviti pelajaran dan aktiviti keluarga serta kemasyarakatan. Terus berdoa semoga niat untuk beristiqamah meng'update' blog untuk tatapan anak2 ini tidak terus terkubur. Aameeen

Pada tanggal ini, Humaira Ardini dah berada di year 3 Quarry Mount Primary School. Hasya Amalin pula di Year 1 sekolah sayang sama. Hafiy Addin dah masuk nursery for half day di sekolah yang sama. Alhamdulillah anak-anak gadis ummi memang tak ada masalah dengan sekolah. Bahkan anak2 ummi sangat teruja untuk mula kembali persekolahan. Minggu pertama disekolah adalah perkara yang agak sukar buat Hafiy. Tapi lama kelamaan berkat kesabaran Alhamdulillah dah Ok.

Cerita yang seronok ialah, betapa penuh akal dan bijaksananya Hafiy Addin mencari jalan supaya dia tak perlu ke sekolah. Selalunya abah yang hantar sampai dalam nursery, selepas bersalam, cium dan peluk abah, sepatutnya hafiy kena masuk dan terus main di nursery, abah pula bolehlah terus ke sekolah abah. Ummi pula akan tunggu di luar. Hari pertama ummi dah tak tunggu Hafiy di sekolah, Hafiy bagitahu abah yang ummi belum menjalankan rutin. 'Ummi belum salam, big hug, ngan shiummm Hafiy.......' . Jadi abah pun keluar dan mintak ummi masuk nursery sebab Hafiy nak salam, big hug ngan kiss. Ummi pun masuk. Bila nampak ummi, Hafiy pun memulakan drama, 'Hafiy tak nak school..... hafiy tak nak school........' satu nursery penuh dengan tangisan Hafiy.......... Hafiy, Hafiy.. selepas pujuk rayu dan campur tangan cikgu, Hafiy pun tinggal juga di nursery bersama seluruh hati ummi yang sungguh sayu tengok Hafiy nangis.
Hari-hari seterusnya, ummi akan pastikan Hafiy dah dapat 'salam, big hug dan shiummm' sebelum abah bawa Hafiy masuk nursery........

InsyaAllah akan update, cerita baru lagi cepat yang mungkin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails