Showing posts with label Story. Show all posts
Showing posts with label Story. Show all posts

Thursday, 1 February 2018

Kanvas Auroraku



Mata kenangan melirik lukisan sanubari,
Percikan warna abstrak,
Kanvas kehidupan ku teliti,
Terlukis indah aurora menari di langit utara,
Secantik budimu tuan,

Ku kejar maafmu,
Pada secarik tinta hitam terpalit kanvas,
Memudar indahnya tarian aurora,
Tinta hitam kata,
ayunan nafsu bicara,
Berbekam di putihnya hati,
Lukisan hidupmu tuan,
Pada duduk darjat yang tinggi,

Ku kejar maafmu,
Dengan seberkas air jernih,
Buat memadam berkas hitam,
Pada kanvas yang indah,
Darjat yang tinggi,
Kembali,
Tidak berbekas,
Aurora menari lagi,
Hingga kelangit Ilahi,
Bertemu disyurgawi,

Padamu,
Aku kembali bidadari.

Yang Benar
Melatiblossom

Wednesday, 16 May 2012

Cerpen: Mawar di hatiku



"Assalamualaikum mak, saya pergi dulu ya", aku memberi salam, sambil tangan ibuku kukucup penuh kasih sayang. Ibuku mengucup bahagia kening ini sambil mengangguk memberi izin.

Anak sekecilku sudah biasa berpergian seorang diri melangkah ke sekolah. Di zaman-zaman itu, perkampungan ini sangat selamat, jiran-jiran sepanjang jalan mengawas anak-anak tetangga yang berjalan sendiri dan berbasikal sendiri ke sekolah. Jiran-jiran yang sejalan dengan anak-anak , memerhatikan langkah anak-anak ini sampai ke pintu sekolah. Seperti persefahaman yang tak pernah ditandantangi bersama.  MOU yang tidak mengikat mereka. Tapi, berjalan persefahaman itu seperti biasa, kerana ikhlas dalam berjiran.

"Selamat pagiiii cikguuuuuuuu," bergema kelas kami dengan suara nyaring anak-anak yang menyambut guru masuk ke kelas.

"Assalamualaikum anak-anakku," dia sahajalah guru yang mewakilkan kami sebagai anaknya. Dan dia jugalah yang tidak pernah tidak singgah difikiranku sehari-hari. Aku pasti ingin jadi guru. Seperti cikgu Shamsinar.

"Selamat pagi, anak-anak boleh duduk sekarang," manis wajahnya, Subhanallah. lembut suaranya menyerap ke kalbu. Pastilah dia guru terhebat di alam ini. Bisik suara kecil di dalam hatiku.

"Alhamdulillah, sekarang kita sudah sampai dalam minggu ke-dua, di bulan Mei, Cikgu nak tanya, apa peristiwa penting yang akan berlaku dalam masa terdekat," Cikgu Shamsinar bertanyakan kami sambil sebuah senyuman manis beliau sedekahkan buat kami semua.

" Hari Guru, cikgu," Jerit, Soon Nam, salah satu murid berbangsa siam yang fasih berbahasa melayu dalam kelas kami itu.

"Cikgu, bapa saya ada ukirkan sesuatu yang istimewa buat cikgu," Sambung Soon Nam lagi tanpa sempat cikgu Shamsinar memberi maklum balas pada jawapan sebelumnya.

"Soon Nam, memang betul juga Hari Guru, tapi yang lebih penting adalah peperiksaan pertengahan tahun anak-anak semua,"
Jelas Cikgu Shamsinar berhemah.

"Dan Soon Nam, mahu tak Soon Nam tolong cikgu?" Tanya Cikgu Shamsinar, sambil matanya tepat memandang susuk Soon Nam di belakang kelas. Itu antara istimewanya ibu guruku ini, bila bercakap matanya tajam memandang mata lawan cakapnya. Walau sesibuk mana dia.

"Boleh Cikgu. InsyaAllah," pecah tawa satu kelas, biasa benar si Soon Nam ini menggunakan  perkataan InsyaAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar dalam perbualan sehari-harinya, kesan langsung banyak bergaul dengan kami anak-anak Melayu Islam.

"Soon Nam pesan sama bapa, jangan susah-susah sediakan apa-apa ya buat cikgu, dan Soon Nam juga jangan meminta-minta bapa sediakan sesuatu buat saya, boleh? Mudahkan permintaan saya?" Terang Cikgu Shamsinar.

"InsyaAllah, Cikgu," Jawab Soon Nam ikhlas, bukanlah dia mahu mempermainkan perkataan-perkataan penting dalam Islam itu. 

Waktu rehat hari itu, penuhlah perbualan kawan-kawanku berkisar tentang hadiah-hadiah yang mereka sediakan buat guru-guru untuk menyambut Hari Guru yang tinggal dua hari sahaja lagi. Ada ibu yang sudah menggubah bunga untuk guru, ada yang sudah membelikan hadiah, ada yang mengukir hadiah, kebanyakannya adalah hadiah yang dibuat sendiri. Penduduk kampung seperti kami ini, pastilah hanya itu yang termampu.

Keningku berkerut tak ku sedar, penat memikir apa yang harus aku lakukan untuk hari guru ini. Inilah kali kedua aku menyambut hari guru. 
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Setahun yang lalu semasa darjah satu, aku datang dengan berlenggang sahaja ke kelas. Semua orang berebut-rebut bersalam dengan cikgu sambil menghulurkan hadiah. Aku tetap di kerusi, tak mungkinlah aku bersalam dengan tangan kosong. Sudah seminggu juga anak-anak ini berbual tentang hadiah-hadiah mereka, aku dengan kerut keningku.

Semalam, rajukku di atas pokok langsat dan rambutan membuah bekas, di gigit semut api penuh betis kecil ku. 

Rajuk pada ucapan ringkas seorang ibu. Rajuk yang datang pada anak yang masih pendek akalnya. Otak yang belum sempurna membesar memprotes semahu-mahunya cadangan ibu.
" Sayang, mak gorengkan kacang pedas, kemudian kita bungkus dan beri pada cikgu-cikgua esok ya," Ibu bersuara, selepas ibu keluar dari dapur, barangkali ibu melihat-lihat bahan-bahan apa yang ada di dapur untuk beliau masak untukku beri pada guru-guruku. 

Aku pasti itu sahajalah bahan-bahan yang ada di dapur yang masih berbaki. Abah hanya akan pulang bersama bahan-bahan mentah lagi seminggu, abahku kuat berkerja di tapak pembinaan beratus-ratus kilometer dari rumah, pulang sebulan sekali dengan bekalan untuk sebulan buat kami.

" Mak, semua orang bawa hadiah bagus-bagus, saya malu kalau saya bawa hadiah kacang goreng pedas, kan kacang goreng pedas juga yang saya jual sehari-harian di sekolah, pasti saya akan diketawakan kawan-kawan," Jelasku panjang lebar.

" Sayang, kalau nak beli hadiah memang kita tak mampu, sayang tahu abah belum pulang, lagi seminggu," Ibu meluahkan kenyataan yang memang sudah sedia kami ketahui.

Aku berlari keluar sambil memanjat pokok rambutan kesayangan ku, tempat aku menenangkan hati diwaktu kecilku itu. Puas merenung, aku panjat pula pokok langsat yang sedang berputik muda. Berlari pulang bila kaki-kakiku terasa perit, di gigit semut api. Ibu sambut di muka pintu, rangkul tubuhku dan disapunya kakiku dengan minyak yang baunya tidak enak, tapi sakitnya hilang. Ibu kucup keningku, kami makan dan solat bersama. Rajukku hilang dengan hidangan nasi panas, ikan pekasam dan pucuk paku rawan yang di cicah dengan air asam. Malam itu aku terjaga dari lelapku bila terbau kacang goreng pedas yang sedang di goreng ibu di dapur, tapi aku nekad untuk tidak membawa hadiah itu.

Hari itu degilku telah mendaparkan aku seorang diri di kerusiku sedang rakan-rakan yang lain mendapat perhatian guru-guru satu persatu.

"Assalamualaikum," Suara lunak yang pertama kali ku dengar.

"Errrr, Waalaikumussalam cikgu," jawab aku pada wajah yang biasa ku lihat, tapi tidak pernah mengajarku.

"Kenapa Huraiyah duduk seorang kat sini, mari ikut cikgu ambik makanan," Cikgu Shamsinar, seperti sinar mentari memancar.

"Cikgu saya malu, saya tak ada hadiah untuk bagi pada cikgu-cikgu," begitulah selalunya anak kecil yang tuturnya selalu tidak bertapis dari hatinya.

"Huraiyah, semua cikgu-cikgu tak perlukan hadiah dari anak-anaknya, semua cikgu-cikgu nak anak-anaknya pandai, berakhlak mulia, Huraiyah janganlah malu, cikgu tengok Huraiyah anak yang baik kan, itu hadiah buat cikgu," Guru kelas darjah dua ini menyambung bualnya. Kembang hatiku sebentar.

Sekarang tiba giliran guru-guru membuat ucapan, ku dengar satu persatu, semuanya berterima kasih pada kami yang menjadi anak-anak murid yang baik, berharap kami akan belajar dengan rajin dan berjaya mengharumkan nama sekolah di peringkat daerah, diperingkat negeri dan diperingkat kebangsaan. Mengharumkan nama anak bangsa. Tiba giliran cikgu Shamsinar, guru kelas darjah dua Merah, kelas paling pandai di dalam darjah dua.

"Assalamualaikum semua, saya hargai anak-anak yang bersusah payah mengusahakan hadiah-hadiah untuk kami guru-guru kalian. Tetapi bagi saya, kebiasaan ini pasti membebankan ibubapa kalian bukan," Cikgu  Shamsinar sentiasa prihatin yang sekolah ini pelajarnya adalah rata-rata anak kampung, ibubapa kais pagi makan pagi, hanya ada segelintir sahaja yang mampu.

"Dan hari ini hati saya terasa sempit, bahu saya terasa berat, bila saya lihat ada airmata yang bergenang pada mata seorang anak saya di sini yang ralat kerana dia tidak membawa hadiah," Sambil matanya tepat memandang mataku. Allahuakbar. 

 "Hari ini, cikgu ingin sampaikan pesan buat anak-anak, semoga pesan ini melekat di hati kalian sampai bila-bila, dan nanti di kemudian hari sampaikan pesan ini buat anak-anak kalian, Bukan hadiah di setiap hari guru yang kami kejar, gaji kami sudah dibayar selayaknya  kad laporan yang diisi, kertas peperiksaan yang ditanda, pelajaran dan ilmu yang dicurahkan, InsyaAllah. Tetapi yang kami perlukan sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang dari anak-anak adalah, DOA. Doa disetiap sujud kalian, doa disetiap solat kalian, masukkanlah doa ini bersama. 'Ya Allah, ampunilah guru-guru kami, dan berkatilah mereka dunia dan akhirat ya Allah'. Itulah hadiah paling besar yang paling kami hargai, InsyaAllah," Rembesan airmataku tak tertahan lagi, laju hingga membasahi tudung. 

Tahun itu, ku akhiri tahun pertama pengajianku dengan menghadiahkan ibuku dengan nilai markah tertinggi di dalam Bahasa Malaysia, Matematik dan menjadi pelajar terbaik di kelas ku. Tiga kali naik mengambil hadiah dengan kasutku yang koyak (itu kata ibu, pasti aku tidak peduli lagi kasutku, yang ku ingat bahagia dapat memberi bahagia pada ibu dan abahku).

"Huraiyah, cikgu bangga dengan kamu. Terima kasih kerana belajar bersungguh-sungguh dan InsyaAllah cikgu jumpa kamu di kelas cikgu tahun hadapan. Tahniah mak cik," Guru muda itu datang menebar bahagia dan rasa yakin diri yang tinggi padaku sejak saat itu. Guru muda yang namanya selalu bermain di mulut ibuku jua. Shamsinar.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dan ku tahu apa yang harus ku berikan pada guruku, di tahun itu dan tahun-tahun seterusnya.

Ku hadiahkan sehelai kertas bersama lantunan doa-doa yang indah didalamnya. Ku karang ikhlas dari hatiku buat guru-guruku, dan semoga sampai ke hati mereka. Seperti surat cinta yang penuh doa. 

Darjah dua hingga darjah enam, kutaburkan bedak ibu yang wangi di atas surat-surat cinta untuk guruku. Bila di sekolah menengah, kepingan doa-doa itu, tidak perlu lagi di tabur bedak, sudah tidak menjadi trend waktu itu. *tersenyum.

Dan, Cikgu Shamsinar itulah salah satu pemangkinku dan salah seorang guru yang telah membuka mataku pada mulianya hati seorang guru.

Ya Allah, Engkau Ampunilah mereka guru-guruku, Engkau limpahilah rahmatMu, Engkau berkatilah rezeki mereka, Engkau masukkanlah mereka kedalam syurgaMu yang paling indah, Kurniakanlah mereka husnul khatimah, mudahkanlah sakaratulmaut mereka, luaskanlah kubur-kubur mereka dan hidangkan pandangan mereka dengan taman-taman syurgaMu, Ya Allah, aku bersaksi mereka guru-guruku yang mengajarku ilmuMu dengan ikhlas. Ampunilah mereka dan ku Mohon kabulkanlah doa-doaku buat mereka. Aameeen ya Allah.


copyright:

~ ~

Friday, 16 December 2011

Blossoms Memory - Kalian juga guru



Assalamualaikum buat anak-anak ummi yang mukmin dan mukminah. Kalian sentiasa dalam doa ummi dan abah setiap saat dan waktu. Hadiah paling indah yang dapat ummi dan abah berikan buat kalian adalah doa yang tak pernah putus InsyaAllah.

Terlalu lama rasanya ummi tidak menulis tentang kalian. Sunggu banyak memori kalian yang ummi ingin simpankan dalam tulisan maya ini, semoga ada yang boleh menjadi iktibar suatu hari nanti buat kalian.

Alhamdulillah, saat ummi menulis, kita dihantarkan seorang bidadari oleh Allah menemani kembara kita dibumi yang sedang menempuh sejuk. Ibunda ummi dan tok mak kalian berada bersama kita dan sungguh terasa hidup sangat diberkati Allah. Kita terasa-rasa seperti diselimuti kasih sayang setiap masa. Ada pipi 'lembut' (kata Hasya) untuk dicium, siku 'lembut' untuk digentel oleh Hasya. Allah.... nikmatnya.

Sejak beberapa bulan yang lalu kakak Humaira selalu berdoa untuk mendapat peran menjadi Dorothy dalam school play 'Wizard of Oz'. Dan selalu jugak ummi pesan,

"Kakak boleh berdu'a, tapi kalau Allah belum izinkan kakak dapat apa yang kakak mintak, kakak jangan sedih. Kalau kakak tak dapat jadi Dorothy sekarang, nanti Allah ganti yang lebih baik dalam syurga, atau Allah akan replace with something better later on, but you have to continue make du'a, OK?" Terang ummi.

"ooo, if we didn't get what we pray for, Allah will save for us in syurga?" tanya kakak

"Ya sayang, InsyaAllah."

Allah suka orang yang berdu'a, terlihat disitu betapa kebergantungan kita kepada Allah, Allah tidak suka orang yang tidak berdu'a, malah Allah berfirman didalam Al Quran [40:60]


40:60

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina"

Alhamdulillah dengan izin Allah, kakak Humaira dapat berlakon sebagai Dorothy untuk school play, Ada dua Dorothy, satu untuk parents show dan satu untuk school show. Kakak dapat berlakon untuk school show. Latihan berlakon dapat InsyaAllah dapat membuat kakak menjadi seorang yang ada 'self-confidence dan juga melatih 'public speaking' skill. Alhamdulillah kakak dapat menjalankan amanah dengan baik sebagai Dorothy.

Hasya Amalin, semakin meningkat usia semakin jelas sifat bertimbang rasanya, lembut hatinya. Ummi masih ingat jelas, peristiwa beberapa bulan lalu, bila Hasya jatuh dari 'monkey bar' dan siku Hasya retak. Saat itu Hasya menangis-nangis kerana terlalu sakit. Abah yang sangat panik pun pitam. Hasya yang melihat abah pitam terus berusaha melupakan sakit ditangan.

"Abah, bangun abah, Hasya tak sakit lagi, abah bangun...." kata Hasya dalam esak tangis, bila melihat abah yang baru tersedar dari pitam.

"Abah I am ok now, it doesn't hurt so much, I am OK Abah, are you ok abah?", terus-terusan Hasya yang kesakitan memujuk abah.

Kemudian bila abah sudah kembali segar, Hasya berbisik kecil dalam tangis ditelinga ummi. Takut didengar oleh abah.

"Ummi, it's really hurt ummi, it's really hurt, Hasya tak boleh tahan..." sambil terus menangis.

Kita terus ke A&E, Di Leeds General Infirmary dan malam itu Hasya pulang dengan plaster casting dari lengan sampai ke pergelangan tangan.

Semoga Allah terus menanamkan perasaan timbang rasa yang mendalam pada anak yang senang tersentuh hati itu.

Hasyalah orang paling gembira bila tok mak datang sini, orang lain juga sangat gembira tapi Hasya paling gembira. Hasya paling suka menggentel siku tok mak. siku tok mak lembut kata Hasya. Jadi untuk mudah main siku tok mak, Hasya menjadi teman tidur tok mak. Anak ummi dan abah yang solehah.

Anak yang sangat penuh dengan akal dan bertuah itulah Hafiy Addin. Anak lelaki yang paling kecil dalam keluarga saat ini. Dalam usia 5 tahun setengah ni, macam-macam perkara yang ingin dicuba, habis semua kereta mainan dibuka dengan screw driver abah.

"Ummi, I like doing this you know," Ummi dan abah hanya tersenyum saja. Bukalah anak semoga fikiran semakin berkembang dengan eksplorasi mu.

Abah mengambil keputusan membeli mainan yang memerlukan Hafiy memasang mainan tersebut mengguna kan nuts dan screws. Alhamdulillah Hafiy sangat suka.

"Ummi, ini macam bob the builder isn't it?" kata Hafiy.

Ada peristiwa lucu yang tak boleh ummi lupa, dan selalu menjadi gurauan ummi dan tok mak sekarang.

Ummi beberapa kali melarang Hafiy yang suka buat rolling atas katil, sungguh bahaya, ummi sangat risau takut Hafiy terjatuh katil waktu 'rolling'.

Baru sahaja ummi mengalih perhatian, tetiba ummi dengar dentuman kecil didalam bilik Hafiy. Bila ummi tengok Hafiy, Hafiy sudah terjatuh dari katil.

"aaa..... kan ummi dah kata, tak maulah rolling atas katil macam ni......" Belum sempat ummi habiskan ayat, dalam air mata yang mengalir dan tangan yang masih memegang kepala, Hafiy mengeluarkan kata-kata ini:

"Ummi, don't say it.. don't say like that, it makes me more hurt......" dengan air mata mengalir. Mungkin bila hati merasa sakit, kepala juga berdenyut keras selari dengan hati yang sakit.

Semua marah dan leteran ummi terus ummi telan sendiri, ummi rangkul Hafiy peluk dan usap kepala yang sakit. Ummi tak tahu nak menangis atau tertawa, yang terzahir hanyalah senyum dan tangis yang terlekat dikerongkong.

Ummi belajar dari Hafiy, kalau ada marah dan nasihat yang hendak dilontarkan, rawat dulu sakit dan luka, kemudian masa anak dalam pelukan lontarkan nasihat InsyaAllah saat itu hati anak tengah lembut senang untuk nasihat meresap. Dan tona suara kita juga berbeza saat kita memberi nasihat dikala marah dan saat kita memberi nasihat sewaktu tengah memujuk. Anak dapat mengesan tona suara kita dari diri kita sendiri. Getaran suara marah tertahan dari menusuk hati anak. Tona suara memujuk seperti highway masuk ke dalam hati anak InsyaAllah.

IT MAKES ME MORE HURT...... itulah juga kata-kata ummi pada tok mak, kalau tok mak nak marah-marah ummi sebab malas baca buku... *tersenyum lebar*, dan tok mak akan ketawa kecil mendengar ummi menyebut perkataan itu.

Oh anak-anakku, sesungguhnya ummi dan abah banyak belajar melalui kalian.

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا

أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepadaMU dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepadaMU.” (Al-Baqarah : 128)


رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ

سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. (Ali-Imran : 38)


رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ

أَنْ نَعْبُدَ الأصْنَامَِ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.” (Ibrahim:35)


رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Bermaksud: “Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” (Ibrahim : 40)


رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ

يَقُومُ الْحِسَابُ

Bermaksud: “Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapakku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Ibrahim : 41)


رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ

أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Bermaksud: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqan:74)


رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي

أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ

صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي

إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Bermaksud: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibubapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai: berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri." (Al-Ahqaf:15)




Thursday, 21 July 2011

Blossoms Memory - Ayah dan ibu - bakti anak


"Kakak, kakak boleh tolong ummi buat toast tak, letak butter ngan coklat ok," Pinta ummi pada kakak, saat ummi menahan sakitnya tonsil yang membengkak, menghantar demam sekali.

Alhamdulillah, Humaira dan Hasya sudah boleh uruskan diri sendiri seawal pagi, dari mandi hinggalah berpakaian dan merapi diri. Syukur ya Allah. Mudah tugas ummi pagi-pagi.

Hafiy masih perlu dimandikan, di gosokkan gigi, sabun Hafiy boleh sabun sendiri guna sponge.

Alhamdulillah, tugas mandikan Hafiy dan gosokkan gigi Hafiy, Hasya yang bantu ummi. Dah boleh harap anak gadis ummi ni.

Sehari sebelumnya abah dah bercuti, demam kuat sampai tak larat ummi nak bangun. Hari ini susah untuk ambil cuti lagi. Alhamdulillah Allah kurniakan permata hati yang sungguh menyejukkan kalbu, membantu ummi tanpa ada rungutan sedikit pun. tiada soalan 'why?' keluar dari mulut, waktu ummi mohon bantuan. Syukur ya Allah.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Dan mereka itu ibubapaku. Ya Allah, adakah aku cukup berbakti buat mereka? Jelas alur wajah mereka menampakkan usia yang telah mereka harungi.

Garis-garis padu, menghantar mesej tentang jarak masa dan cerita yang mereka tempuh. Dahulu, janggut itu selalu menyapu pipi kami, gurau sang abah yang mahu membuat anak-anak ketawa. Setiap kali pulang dari kerja di tapak pembinaan, terus sahaja kami dia dapati, dan dengan janggut yang hitam tajam, disuakan ke pipi kami, mengekek-ngekek ketawa kegelian. Dan sekarang janggut itu bertukar putih, semoga menjadi cahaya di alam sana.

Senyum bonda masih serupa, saat menatap ayahanda, walau segunung masalah menimpa bonda tak pernah zahirkan pada wajahnya. Cuma sekali itu, dan amat meruntun hati, itupun setelah sedekad bonda pendamkan.

Pandangan bonda pada ayahanda tak pernah berubah, tetap manis dan mendamaikan. Sentiasa mencari ruang untuk meraih pahala, ayahanda tempat Allah menghantar pahala buat bonda. Walau berbagai cerita dalam baitul muslim mereka, tak pernah sekali kami saksikan mereka bertegang urat, tak pernah sekali. Pada kami permata mereka, hanya yang indah tentang rumahtangga ini yang mereka sajikan. Ruang masa yang kemudian bercerita.

Ceritalah, ceritalah semahu-mahunya. Sajilah cerita warna pelangi, atau kelam membelah alam, atau putih bak awan gemilang, atau kelabu memberat hujan, sajilah, mereka tetap ratu dan raja di hati kami. Dalam darah ini, kombinasi darah mereka. Mereka tetap punya hak atas kami anak-anak mereka, walau beribu warna yang tersaji.

Dan diri, sedarlah disetiap ruang waktu akan di tanya, sudahkah pada mereka diri berbakti.

Ya Allah, semoga ayat ini sentiasa menjadi rujukan buat kami anak-anak mereka, dan buat mereka anak-anak kami,

AlQuran (17:23)

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

AlQuran (17:24)

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Al Quran (17:28)

Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.

AlQuran (17:37)

Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.

Allahuakbar!

Friday, 8 April 2011

I am 5 now, I need to solat - 7/4/11, Sanah Helwah ya Bunay, Hafiy Addin Hizamel


Assalamualaikum anakku sayang,

Teringat 5 tahun yang lalu, pertarungan nyawa, Allah ganjarkan dengan lahirnya putera yang kami tunggu-tunggu.

"Aziati, kenapa tak cakap dah nak push... nie baby dah nak keluar sangat nie, sempat ker tak saya pakai glove ni... tahan sekejap yer.. " Terngiang-ngiang suara Dr. Maziah. Dan sekarang Hafiy berada di atas dada ummi. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Sekejap tadi, bila Hafiy tidak bersuara menangis, terasa seperti gelap sekejap dunia, Dr. Maziah uruskan Hafiy sambil abah ada disisi, melihat apa yang terjadi. Tertelan air ketuban agaknya. selepas beberapa minit, anakanda mula menangis nyaring, dan ummi mula mengukir senyum, abah juga.

Abah keluarkan air zam-zam dan kurma yang abah bawa. Jururawat serahkan Hafiy untuk abah azankan. di pagi Jumaat yang penuh keberkatan, anakanda abah azankan dengan suara yang paling indah, penuh harapan, kalimah suci yang pertama anakanda dengar akan menjadi kalimah suci yang anakanda junjung sepanjang hidup anakanda. Kemudian, abah alirkan air zam-zam kedalam mulut anakanda dah abah tahnikkan dengan sedikit kurma yang abah kunyah, ummi yang masih lemah memerhati dari jauh, sambil doktor Maziah menjalankan tugas yang berbaki.

Allahuakbar, abah serahkan anakanda untuk dibersihkan oleh jururawat. Dan kami jatuh cinta untuk kesekian kalinya pada anakanda kami ini. Perasaan yang Allah kurniakan buat para ibubapa yang menumpahkan pandang pada cahayamata mereka.
-----------------------------------------------------------------------------------------------

'Ummi, Hafiy baby lagi, Hafiy is still 4, I am not yet 5 years old...' itulah alasan Hafiy bila ummi suruh Hafiy solat sekali atau baca IQRA'. Cabaran dengan anak lelaki berlainan sungguh dari anak perempuan.

Pagi semalam bila Hafiy bangun tidur, Hafiy kata, 'Owhh, it's today, today is my birthday, I am 5, now I need to solat and baca IQRA'. Alhamdulillah, ingat juga anak ummi.

Nak ketawa pun ada juga. Hafiy, Hafiy.

Semalam, cuaca sangat indah, Allah kurniakan cahaya matahari gemilang yang jarang-jarang ada di bumi UK ini.



Pagi indah, ummi sibuk mengambil gambar 'cherry blossoms' putih depan rumah yang sedang mekar, memandangkan hari ni sangat sunny, jadi indahnya Allah sahaja yang tahu. Terlihat, Hafiy berlari-lari menuruni tangga dengan pantas.

'Ummi, here's cherry blossoms for ummi,' Hafiy menghulurkan beberapa kuntum cherry blossoms yang dikutipnya di bawah.



Owh so sweet, my darling baby. It's your birthday and ummi is the one who got the flowers.

Abah dan ummi, bawa Hafiy dan kakak-kakak pergi ke Farm (Meanwood Valley Urban Farm), lebih dekat dengan alam, tadabbur alam yang indah yang Allah kurniakan buat manusia. Surprise yang sangat menggembiranya anak-anak, buat ummi dan abah lebih gembira. Pilih-pilih hadiah sendiri di Pound Land dan kita akhiri dengan makan tengahari di Mumtaz. Alhamdulillah.

'Today is the best day ever..' ayat yang membuatkan hati ummi dan abah sejuk. Alhamdulillah...

Terima kasihlah pada Allah duhai anak-anakku, dilontarkan rasa kasih sayang dan ketenangan yang hanya Dia memiliki semua itu. Hak Allah yang hanya dengan rahmatNya sahaja kita akan dapat merasainya.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Duhai anakku, doa ummi terlalu banyak, terlalu banyak buat kalian. begitu juga abah.
Ummi doakan semoga Hafiy membesar menjadi mujahid soleh lagi musleh. Membesarlah anakku menjadi mujahid yang berjuang di jalan Allah, menjadi salah satu titik dalam kebangkitan Islam. Allah tak perlukan kita untuk menaikkan agama ini anakku, kerana Allah itu Maha Besar, kitalah anakku yang perlukan Allah dan perlukan rahmat Allah untuk menjadi saham urusniaga kita dengan Allah di alam yang satu lagi.

Duhai anakku, tiadalah harta yang paling berharga buat ummi dan abah dinegara yang kekal abadi nanti, melainkan anak-anak yang soleh yang mendoakan, ummi berdoa semoga Allah kurniakan rahmatnya dan menjadikan Hafiy dan kakak-kakak anak-anak yang soleh, solehah buat ummi dan abah dan bekal pahala kami terus bertali arus melalui kalian anak-anakku...

Ya, Allah, jauhkanlah kami dari menjadi ibubapa yang durhaka, durhaka bila dunia ini lebih kalian dambakan dari negara akhirat. Ya Allah, kurniakanlah kami ilham dan ilmu semoga dapat kami didik anak-anak dan bekalkan mereka dengan ilmu akhirat, untuk kehidupan yang kekal. Allah, izinkanlah kami untuk terus mendalami ilmuMu ini, ya Allah agar dapat kami bekalkan anak-anak kami dengan ilmu yang menurut syariatMu.

Ya Allah, jadikanlah kami dan anak-anak kami orang-orang yang berjaya dalam 'jualbeli' denganMu ya Allah. Aameeen

Selamat Hari Lahir anakku.... Abah, Ummi dan kakak-kakak sayang Hafiy sangat-sangat. Lagu untuk Hafiy dari Ummi... :)


Tuesday, 15 March 2011

Blossoms Memory - Abah dan doa Hasya


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Semoga catatan ini sampai pada anak-anak tatkala iman meninggi didada, diakal dan dihati InsyaAllah.

-------------------------------------------------------------------------------------------

Anak-anakku, saat ini ummi bergelut untuk menggerakkan kerja-kerja kajian ummi. Buntu juga rasa dan fikir tatkala berdepan dengan kenyataan, peralatan tidak berfungsi seperti yang dijangkakan, sedangkan kajian itu telah berlangsung lebih empat bulan. Allah, ujian ini dengan redhakah ummi lalui? InsyaAllah. Kesibukan ini mengundang jerut rasa pada kalian anak-anak.
Perubahan perasaan pada anak kecil yang tidak tahu bagaimana meluahkan perasaan rindu pada kami. Rindu pada tok mak yang pulang ke Malaysia. Rindu yang dizahirkan dengan tangisan dan kemurungan kalian. Berlarutan beberapa minggu di musim sejuk kita kali ini.

Allah, ujian ini terasa berat. Ummi dan abah memohon pada Allah, supaya mengilhamkan jalan keluar yang terbaik.

Pendekatan, didikan yang banyak menekankan kepada cerita-cerita tentang neraka Allah, atas perlakuan dan perbuatan yang tidak selaras dengan suruhan Allah dan tidak diseimbangi dengan penceritaan tentang kehebatan syurga Allah pada mereka yang patuh pada syariat Allah, mengundang resah dihati anak-anak rupanya. Terlalu takut andai mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Allah, amanah membesarkan anak-anak ini hebat rupanya.

Perlu tegas, tetapi tidak boleh terlalu keras, rapuh jalan ini, takut mereka patah ditengah jalan. Perlu berlembut, tetapi tidak lemah sehingga panjat mereka melebihi kepala kita.

'POSITIVE REINFORCEMENT'

Alhamdulillah, abah kalian sangat hebat orangnya, Alhamdulillah. Ditangani masalah ini dengan lembut dan tegas seorang abah. Seimbang. Setiap seorang anak itu berlainan 'approach'nya. Beliau tetap sabar.

Cadangan abah, supaya setiap kerisauan kalian, kalian ceritakan. Kalau tak boleh cerita, tulislah di atas kertas. Abah akan baca, dan abah akan bercerita (menyelesaikan kerisauan dengan bercerita). Kemudian kalian sama-sama mengoyak kertas tersebut.

"Benda yang Hasya risau dah habis kita dah koyakkan?" Kata abah.
"Hasya risau lagi tak..?"Tanya abah.

Hasya menggelengkan kepala. Alhamdulillah. Abah peluk anak-anak dengan erat sambil mencium dahi kalian. Allah sejuknya hati seorang isteri yang dikurniakan suami yang soleh dan penyayang. Alhamdulillah. Maka nikmat Allah yang mana lagikah yang hendak ummi dustakan?

"Sayang, kita kena selalu bercerita secara positif, kalau sebelum ni kita kata, kalau tinggal solat Allah masukkan dalam neraka, sekarang, positif approach adalah, kita kata, kalau kakak solat Allah sayang, Allah bagi pahala, Allah masukkan dalam syurga, dalam syurga itu indah, apa sahaja yang kita nak Allah bagi," usul abah pada ummi.

Dan mulai saat itu, abah dan ummi mula menekankan konsep positive reinforcement. Alhamdulillah. Abah tekankan tentang kepentingan berdoa. Dan anak-anak gigih berdoa selalu.

Hafiy yang sekarang sangat susah untuk makan, dipujuk dengan lembut oleh abah, berjaya juga abah menyuap nasi kepada Hafiy.

Hafiy selalu minta dibelikan mainan 'Bayblade' mainan yang berkonsepkan gasing diMalaysia. Hasil pujukan abah dan juga 'negotiation skill' abah, Hafiy bersetuju untuk menghabiskan belajar membaca menggunakan set 'Read Easy' sebelum dibelikan mainan 'Bayblade'. Alhamdulillah. Sebelum ini ummi tidak berjaya untuk memujuk Hafiy membaca set 'Read Easy' itu. Dengan sabar abah bekerjasama dengan Hafiy untuk set 'Read Easy' itu, Alhamdulillah, Hafiy hampir menghabiskan buku 2 dalam set tersebut. Mendidik anak lelaki membaca, bukan semudah mendidik anak perempuan membaca. Allah.

Terima kasih Allah, Engkau kurniakan kalian seorang abah yang penyabar dan berlemah lembut dan sangat kalian cintai, dalam pada itu ada tegas pada dirinya yang melahirkan rasa hormat kalian.

Terima Kasih Allah, Engkau hadirkan nakhoda yang penyayang dan banyak bertolak-ansur, sentiasa peka pada tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dalam baitul jannati kami ini. Alhamdulillah.

--------------------------------------------------------------------------------------------

"Ummi, kalau kita nak suami yang soleh bila kita besar nanti, kita kena mintak doa dari kecik lagi ye ummi?" Tanya Hasya suatu hari.

Dan sememangnyalah ummi terkedu. Ummi pun tidak pernah terfikir untuk berdoa begitu sewaktu umur sebesar Hasya.

"Ya Hasya, Hasya boleh minta doa dari sekarang, minta doa Allah bagi Hasya suami yang soleh nanti. " Jawab Ummi.

Hasya mengangguk dan memandang jauh. Berfikir agaknya.

Ya Allah jadikanlah zuriat-zuriat kami orang yang beriman dan sentiasa mendirikan solat, dan kurniakanlah kepada mereka jodoh yang beriman dan bertakwa dan sentiasa mendirikan solat ya Allah.

Terima kasih Allah, Kau kurniakanku seorang jodoh yang beriman dan soleh, penyayang dan bertimbang rasa. Alhamdulillah....



Thursday, 6 January 2011

Blossoms Memory - 3 Simpulan dan Subuh

(credit to Lensa Hanim Awang)

Assalamualaikum w.b.t anak-anak ummi dan abah yang sentiasa dalam ingatan dan hati. Saham negara akhirat, amanah yang harus dipertanggungjawabkan walau nyawa berpisah dari badan. Andai yang terdidik oleh kami bukan selari dengan perjanjian dengan Allah di alam rahim, panjanglah soal buat kami dinegara kekal abadi, andai tarbiah dari kami menurut syariat Allah, semoga mendapat bekalan pahala berterusan. InsyaAllah

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Waktu seseorang sedang tidur, syaitan membuat tiga buah simpul di kepalanya. Untuk setiap simpul ia mengatakan" 'Tidurlah engkau sepanjang malam.' Ketika dia terbangun, lalu dia menyebut nama Allah, maka lepaslah satu simpul. Jika dia berwuduk, lepas pulalah satu simpul. Dan jika dia solat, terbukalah seluruh simpul. Maka waktu bangun pagi ia akan merasa penuh semangat dengan badan yang segar bugar. Jika tidak, dia akan bangun pagi dengan perasaan serba tak enak dan malas - Sahih Bukhari (J2: HN0599)
--------------------------------------------------------------------------------------------------

Subuh di UK ni berlainan masa, mengikut musim, paling ekstrem, dimusim panas, subuhnya pukul 1.24 pagi dan dan shuruqnya pukul 4.30 pagi, dan di musim sejuk pula, subuhnya bermula sekitar 6.59 pagi dan shuruqnya sekitar 8.24 pagi. Mengejutkan anak untuk subuh adalah satu mujahadah, bukan setakat anak-anak, untuk ummi dan abah juga satu mujahadah.

Ummi teringat satu hadis berkenaan subuh, dan ummi ceritakan pada kalian di satu malam semasa kita berehat-rehat.

"Nak dengar cerita tak pasal 3 simpulan dan waktu subuh. Ini nabi cerita, waktu kita tidur syaitan akan buat simpulan dikepala kita, so that, kita akan terus tidur sepanjang malam. " Cerita ummi.

"Dia simpul macamana ummi?" Tanya Hasya.

" Dia ikat lah, mungkin urat-urat kita, sebab syaitan nie bergerak dalam urat saraf kita, salur darah kita, so dia ikat 3 simpulan. Kita tak adalah nampak, dan kita tak lah rasa macam sakit kena ikat dengan tali, tapi dia akan buat kita rasa malas dan mengantuk sangat." terang ummi pada soalan anak. Dalam hati ummi, kena cepat bercerita ni, kalau tidak akan timbul soalan lain yang tidak berkaitan dengan tujuan cerita, dan ummi akan 'end up' kena tangguh cerita ini dan kena pergi cari bahan bacaan lain untuk menjawab soalan anak-anak yang banyak bertanya.

"So, nabi kata lagi, kalau kita bangun dan sebut nama Allah, satu simpulan akan terbuka, kita sebut nama Allah kan dalam doa bangun tidur?" Tanya ummi, dan anak-anak mengiyakan.

"Lepas tu kita pergi ambil wudhu', satu simpulan lagi terbuka, then kita solat, satu simpulan lagi terbuka, habislah terbuka semua simpulan, kalahlah syaitan. Kita menang dalam melawan syaitan." Cerita ummi.

"Nabi kata, bila kita bagun sebut nama Allah, ambil wudhu' dan solat, badan kita akan segar dan bersemangat, fresh aja, sebab kita dah buka semua simpulan yang syaitan buat, tapi kalau kita tak bangun subuh, means that, kita bangun tak ambil wudhu' dan solat, walaupun bangun baca doa bangun tidur," still ada simpulan tak buka kan, so kita akan jadi malas dan rasa tak fresh, on top of that syaitan dah menang satu, kita tak nak bagi syaitan menang kan?" panjang penerangan ummi. Dan anak-anak mengangguk.

"Ummi, nanti ummi kejut Hafiy tau, kejut Hafiy sampai bangun tau,"pesan Hafiy, dan anak-anak yang lain juga,

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Selepas dari cerita kita ini, Alhamdulillah, sessi mengejutkan anak-anak untuk subuh, menjadi semakin mudah. Kalau kelihatan anak-anak sukar untuk bangun, ummi pasti mengingatkan tentang 3 simpulan. Dan Alhamdulillah, Hafiy yang masih kecil itu pun pantas membuka mata.
Tapi teknik yang digunakan adalah memotivasikan, bukan menakut-nakutkan. InsyaAllah.

"Hafiy, bangun yer nak. Hafiy nak menangkan, Hafiy nak win kan, so Hafiy kena bangun, baca doa bangun tidur, so nanti satu simpulan dah buka," Kejut ummi, Alhamdulillah setakat hari ini, berkesan teknik ini. Bila anak-anak bangun. Ummi atau abah akan bersorak kecil.

"Yeahh, Hafiy/Hasya/Humaira menang, satu simpulan dah buka,"

Selepas itu anak-anak menjadi bersemangat untuk pergi mengambil wudhu' dan solat subuh. Alhamdulillah.

Tinggal sekarang ummi dan abah harus terus bermujahadah mengejutkan anak untuk subuh, supaya perasaan kasihan untuk membangunkan anak disebabkan waktu terlalu awal, tidak ada dalam hati. Lebih kasihan kalau anak-anak tidak terlatih bangun solat. Allah tunjukkanlah jalan yang benar dan ilhamkanlah kami cara-cara yang benar menurut kehendakMU dalam mendidik anak-anak kami menjadi mujahid dan mujahidah sejati.

Thursday, 30 December 2010

Hanya untukMu - Nawaitu Lillahita'ala


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh buat anak-anak amanah dari Allah buat ummi dan abah. Terlalu banyak yang ummi ingin coretkan dan kisahkan untuk kenangan kita bersama, semoga ada yang menjadi bekalan buat ummi dan abah di alam sana yang kekal abadi. Doa ummi dan pesan ummi selari dengan ayat Allah ini, (2:132)

2:132

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Jihad kami menuntut ilmu di bumi UK ini penuh dengan mujahadah. Datang dengan sumber kewangan yang terhad. Keluarga kecil kita yang masih muda, seperti keluarga muda yang lain yang masih nipis simpanan kami. Banyak airmata yang tumpah. Mujahadah dalam menuntut ilmu.

"Abang, kita akan tunaikan Haji kita dari sini, kan?" berkali-kali soalan ini akan ummi ajukan pada abah. Bila rindu bertandang.

2008, Hajjah Siti Nurhaida, kawan baik ummi yang sudah lama kami bersahabat, menyampaikan khabar sudah mendapat surat jemputan sebagai tetamu Allah. Gembira, sedih, cemburu, gembira lagi berbaur. Ingin pergi sama.

"InsyaAllah sayang, kita sudah tanam niat dan azam, Allah akan datangkan buat kita pertolongan," Pujuk abah, silih berganti, sesuai dengan soalan yang sering di ajukan.

Ummi pegang teguh janji Allah, (2:214)

2:214


Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
--------------------------------------------------------------------------------------------------
Nawaitu sangat penting dalam sesuatu usaha yang akan kita jalankan, anak-anak.

Berniatlah, berniatlah kerana Allah ta'ala, pasti Allah akan menyuluh jalan kita dan memberikan bantuan dari segala sumber yang tidak kita sangkakan, Total Faith dan Total Surrender, InsyaAllah.

Tahun baru masihi ini ummi mulakan dengan banyak niat.... :)

Bersyukur kepada Allah, tahun 2010 yang berlalu penuh dengan makna untuk muhasabah diri. Terima kasih buat semua.................

Tuesday, 28 December 2010

Blossoms Memori - Anjakan paradigma di Majlis Suai Kenal




Assalamualaikum anak-anak yang ummi dan abah sayangi, penuh jiwa raga, walau sedalam mana pun kasih sayang ummi, takkan sedalam kasih sayang Allah S.W.T buat anak-anak, (10:58)

10:58

Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)".

Berpeganglah pada tali Allah, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Insya-Allah, anak-anak tidak akan tersesat. Ingatan untuk ummi dan abah juga, selagi Allah masih meminjamkan usia.
--------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, syukur kepada Allah, kita diberikan kesempatan untuk mengikuti program perhimpunan musim sejuk (PMS) oleh MSM UK and EIRE yang bagi ummi dan abah sangat mengesankan buat kami. Ummi percaya program tunas taqwa yang dianjurkan untuk anak2 juga ada meninggalkan kesan positif.

Pertama kali ummi dan abah menyertai program seumpama ini di UK ini. Permulaan kembara kita, biar ada permulaan. Iman yang ada pasang surutnya, perlu sentiasa ada pemangkin yang menolak gelodak iman supaya sentiasa di atas. Entah kenapa, inilah pertama kali kami seperti baru berjumpa program seumpamanya, hatikah yang terhijab, atau peranan publisiti kah yang tidak sampai kepada mad'u? Wallahu'alam.

Ummi sangat terkesan dengan artikel Ustaz Hasrizal di sini [klik link]. Semoga ikatan ukhwah yang terbina dan akan terus berkembang seperti akar pokok yang sihat, terus bergerak jauh mencari ukhwah Islami yang lain, supaya kita dapat membina diri menjadi muslim yang sebenar. Semoga Allah menjadikan kita seorang mukhlisin yang bergerak dan berjuang hanya untuk Allah bukan sahaja di dalam kumpulan sendiri tetapi menggapai lebih ramai hamba Allah yang mencari-cari seperti kita sebelumnya. Anak-anak, kupasan Ustaz Hasrizal sungguh kena dengan tema untuk menjadi mukhlisin dalam perjuangan dan tarbiyah diri ini.

Alhamdulillah, wahai anak-anak, Allah ilhamkan dan hadirkan wadah untuk kita berjuang meningkatkan iman dan menjadi muslim yang sebenarnya. Semoga kita tidak menjadikan wadah ini sebagai pagar-pagar yang akhirnya tarbiyah itu hanyalah didalam lingkungan pagar tersebut sahaja. Sedangkan wadah itu adalah lebuhraya penghubung mengikat ukhwah satu iman. Lebuhraya antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Satu usrah dengan usrah yang lain, satu 'circle' dengan 'circle' yang lain, satu bulatan dengan bulatan yang lain. Apa saja nama wadah yang kita pilih, hanyalah pemudahcara untuk kita menyatukan ummah. Kerana bersatu kita teguh, seorang kita runtuh. Menjadi khalifah Allah. Menjadi mukhlisin InsyaAllah. Ingatan ini untuk ummi dan abah sendiri selayaknya, baru hendak berjinak, biar niat itu betul. Perjuangan ini hanyalah semata-mata kerana Allah, InsyaAllah. Semoga Allah menuntun hati-hati kita.





Jutaan terima kasih atas budi akhawat dan ikhwan yang bertungkus lumus menganjurkan PMS 2010 yang terakhir tajaan MSM UK dan EIRE kerana selepas ini, 'rebranding' sebagai IKRAM UK dan EIRE lebih tepat dalam merapatkan barisan membangunkan ummah ini InsyaAllah.

Catatan ringkas, rumusan yang remeh dari insan kerdil yang baru hendak berjinak di lapangan ini. Ya Allah jadikanlah kami-kami ini hambaMu yang Ikhlas, yang hendak digapai bukan pujian dari manusia, tapi pujianMu Allah, yang hendak digapai bukan pandangan manusia, tetapi pandanganMu Allah, tujuan kami ini Allah adalah RedhaMu. Semuanya hanya untukMu Allah.... tuntunlah hati-hati kami.

Friday, 17 December 2010

Hanya untukMU: Nur di wajah tetamu Allah.....


Assalamualaikum w.b.t, anak-anak ummi dan abah yang selalu di cintai dan di rindui. Semoga iman yang ada pasang surutnya ini terus pasang selalu. Iman itu tidak pernah dapat diwarisi, iman itu harus di cari, di kejar, di jejaki. Semoga benih-benih iman yang ditanam di jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi, tumbuh subur mengharumkan medan kebangkitan Islam sekali lagi. InsyaAllah.

Kembara ummi dan abah mencari redha Allah, menunaikan rukun Islam yang ke-5 tidak hanya bermula kebelakangan ini. Bagi ummi, mungkin cerita yang ini titik permulaannya, dan kesinambungannya membuak-buak di cerita ini.
----------------------------------------------------------------------------------------------------

Mesyuarat atau seminar yang dianjurkan oleh APMTTEMC Malaysian Chapter, menemukan kami. Dr. M dari Universiti di selatan tanahair. Raut wajahnya tenang, tutur bicaranya matang. Penampilan wanita muslimah bekerjaya yang berjaya. Wajahnya seperti bercahaya, sukar untuk ummi ungkapkan. Mesranya, seperti sudah kenal bertahun lamanya.

"Meh datang peluk akak, kata orang, orang baru balik Haji nie masih ada berkatnya untuk beberapa ketika." Riuh mulut beliau bersuara, mengajak kawan-kawan yang datang bersalaman, memeluk beliau.

Itu rupanya, nur di wajah tetamu Allah. Indah, sungguh indah, tak terkata. Nur yang menyebar rindu lagi.

Kami semua berebut bersalaman dengan beliau, dan tubuh kami beliau rangkul dan peluk erat, terasa ukhwah menyerap ke kalbu. Ya Allah, pandanglah kami ini, dan jemputlah kami menjadi tetamu ya Allah. Selepas tubuh lepas dari pelukan beliau, ummi memaling kebelakang, ummi seka airmata, kerana untuk kesekian kali rindu bertandang lagi. Rindu untuk sujud di rumah Allah.

Kami kutip pengalaman Haji beliau.

"Persediaan mental dan fizikal kena cukup. Banyakkan qiamullail dan istiqamahlah. Yang penting berkualiti."
"Jangan lupa, baca kisah-kisah tentang kenapa menunaikan haji ini merupakan rukun Islam ke lima."
"Tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Ismail dan Siti Hajar,"
"Jangan hanya menghafal rutin, tetapi tak tahu apa kisah sebenarnya, Dan sunah-sunah Nabi harus diberatkan".

Wajahnya seperti tersenyum, ada airmata bergenang dalam setiap butir cerita tentang Haramain.

Inilah intipati cerita beliau.

"Sayang. kita kena tanam tekad untuk pergi Haji secepat mungkin, kita kena kumpul duit dari sekarang," Tekad ummi ceritakan kepada abah, semasa pulang dari mesyuarat itu. Abah sudah pasti bersetuju, itu juga impian abah, mungkin rindu abah lagi lama bersarang dari ummi.
--------------------------------------------------------------------------------------------------

Berita tentang ummi dan abah akan menyambung pelajaran ke UK, ummi sampaikan kepada Dr.M.
Ucapan Beliau: Selamat Berangkat dan pulang dengan ijazah dan pengalaman. Plan la tunaikan haji, Maybe masa Year 2.

Bergegar lagi rindu... beliau masih kental dengan rindu pada tanah suci itu, dan harum rindu itu beliau sebar-sebarkan pada kami yang lain. Dan tekad itu juga, berulang-ulang ummi dan abah sebutkan dan bincangkan sepanjang kami di sini sehinggalah Allah menjemput dan mengizinkan kami menjadi tetamuNya. Indah.

Dan tatkala ummi, menghantar email, memohon maaf andai ada tersilap dan salah, serta menghalalkan makan dan minum, sebelum kami berangkat menunaikan Haji, beliau tetap melontar motivasi dan semangat:

Alhamdulillah! Selamat berangkat wahai Tetamu ALlah SWT! Moga diberi kekuatan, kesabaran, kelapangan, utk laksana ibadah fardhu ini. Jaga pantang larang. Hayati sirah dan aktiviti haji. Banyakkan aktiviti bersama suami, di samping jaga pantang larang. Akhir sekali, mohon banyak2 keampunan dan doakan utk kesejahteraan dan kemenangan umat Islam seluruh dunia, terutama Gaza, masjidil Aqsa dan Palestin. Moga akhir hayat nanti, ALlah swt terima hajj ini sebagai mabrur.

--------------------------------------------------------------------------------------------------
Ummi percaya, setiap orang yang menjadi tetamu Allah, ada cerita masing-masing sebagai titik mula menjana rindu pada Haramain, pada Baitullah yang menyentuh kalbu, pada Masjidil Nabawi yang tenang. Dan ini adalah sedikit dari cerita ummi.

Ummi dan abah akan suburkan rindu anak-anak untuk berjaulah mencari redha Allah, dan redha Allah itu boleh diraih di mana-mana, bila-bila masa juga dan berbagai cara berbekalkan iman di dada. Cuma, di sana, terasa lebih manis. Mari kita terus berusaha lagi.

Masih berombak-ombak rindu dalam dada.....




Wednesday, 15 December 2010

Blossoms Memory - 'Fagin' Humaira

Assalamualaikum anak-anak yang ummi cintai dan sayangi, semoga dengan kedinginan musim salji ini, mendinginkan hati anak-anak yang saban hari menanti ummi dan abah dari universiti. Penghujung ahun ketiga buat abah dan permulaan tahun ketiga buat ummi, semuanya menuntut ketekunan dan pengorbanan yang hebat dalam jihad fi sabilillah kita ini. Pengorbanan anak-anak juga besar, semoga Allah memberikan balasan syurga dan pahala orang yang berjihad juga buat anak-anak.

Hari ni, Hasya tidak ke sekolah, batuk yang hampir sebulan lamanya semakin bertambah kuat. Semalam cikgu telefon abah minta ambil Hasya di sekolah, Hasya batuk sampai termuntah. Sejuk sangat terpaka bemain di luar. Hari nie Hasya dapat cuti, seronok Hasya sebab tak perlu nyanyi lagu christmas di christmas show hari ni. Hasya nak jadi penonton saja.

Hafiy pula semalam, tengok filem karate kid sampai 4 kali. Aduhai, memang kena layan sajalah ummi dan abah. Yang tersentuh hati, bila sampai di babak, Jacky Chan menangis didalam kereta terkenangkan anak dan isterinya yang meninggal, Hafiy pun menangis sama, sambil pegang tangan ummi, Hafiy kata,
"Ummi, Hafiy sedih, dia punya anak dah 'die', mak anak dia pun 'die'....", sambil mengelap air mata sendiri...
Ummi pun pujuk Hafiy. Lepas tu Hafiy sambung lagi,
"Kenapa semalam ummi tak pujuk Hafiy masa Hafiy nangis?"
Alamak, cerita semalam pun masuk buku cerita hari nie, kisah semalam Hafiy merajuk lepas gaduh-gaduh dengan kakak-kakak, memang kalau gaduh dan menangis ummi tak pujuk. Ummi pujuk bila kena pada tempatnya. Hafiy, Hafiy semoga kisah-kisah ini mengundang senyum di bibirmu bila akal semakin penuh.

Dan hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh kakak Humaira. Kakak dipilih untuk melakonkan watak 'Fagin', didalam sketsa muzikal 'Oliver Twist' sempena christmas show hari ini. Dalam perjumpaan dengan guru sebelum ini, Cikgu Kelas Humaira Miss Petty ada menyebut yang Humaira sangat suka menyanyi waktu latihan nyanyian. Dan Humaira sangat aktif di kelas. Kakak selalu sedia untuk 'involve' dengan aktiviti kelas. Ummi, abah dan adik-adik gembira membantu kakak menghafal skrip dan mendengar kakak menyanyi dirumah. Sayangnya, gambar dan video sewaktu persembahan anak-anak disekolah mereka tidak boleh direkod atas sebab-sebab keselamatan. Hmmm polisi di sekolah mereka. Pagi tadi ummi ada minta kebenaran dari cikgu kelas kakak, Mereka perlu berbincang dahulu, kalau dibenarkan ummi akan rekodkan, kalau tidak kakak kena berlakon dengan abah dan ummi rekodkanlah dirumah saja.

Salah satu nyanyian yang akan dinyanyikan oleh kakak dan kawan-kawan adalah seperti dalam youtube nie, Dan watak orang tua itu adalah 'Fagin' yang akan dilakonkan oleh kakak. 'Break a leg' ya kakak.... Ummi, Abah, Hasya and Hafiy love you.....

Friday, 26 November 2010

Hanya untukMU: Dimana patut ummi mulakan?

Assalamualaikum anak-anak soleh solehah kecintaan ummi dan abah, bakal penghuni syurga firdausi, InsyaAllah.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Kira-kira 2 bulan sebelum ummi dan abah menghabiskan program master kami di Bradford pada
2003, abah bertanyakan ummi, tentang tempat percutian buat ummi, abah dan kakak Humaira yang berusia kira-kira setahun 3 bulan ketika itu. Dengan duit yang berbaki, ummi dan abah perlu membuat satu pilihan percutian saja. Pilihan pertama: Mengerjakan umrah semasa transit untuk pulang ke Malaysia. Pilihan kedua: Bercuti ke eropah bersama kelana konvoi. Abah beri ummi 'the honour' untuk membuat pilihan, disebabkan kedua-dua tempat dalam pilihan itu telah abah pergi. Mengerjakan umrah sudah dua kali, pertama bersama tok-tok dan tah semasa abah di tingkatan 3, dan yang kedua semasa abah selesai undergraduate study di York, abah pergi mengerjakan umrah bersam rakan-rakan sepengajian beliau. Percutian ke eropah, bersama rakan-rakan abah menaiki keretapi semasa cuti semester beliau.

Sebelum ummi buat keputusan, abah terlebih dahulu memberi saranan,

"Suasana Europe, sama saja macam di UK ni yang, scenary, weather, the people, tak banyak beza", ucap abah.
"Mekah dan Madinah lain, tak sama, " abah tekan butang 'pause' tanpa menghuraikan lebih lanjut, tergantung. Permainan minda yang bijak. Rupanya ada rindu yang bertamu didada abah pada tanah suci yang dua itu.

Semestinya ummi akan memilih bukan yang biasa-biasa saja, bukan yang sama saja, sudah semestinya ummi memilih yang ada kelainan.

Bermulalah proses kami mengunjungi satu travel ajen, ke satu travel ajen. Alhamdulillah, Allah izinkan ummi dan abah serta kakak Humaira untuk menunaikan umrah melalui Crown travel agency, Bradford. Alhamdulillah, perjalanan pulang ke Malaysia menggunakan Saudi Air, dan transit di Jeddah. Transit di Saudi selama 7 hari. Tiket penerbangan dibeli sendiri dan akan di 'claim' dari penaja selepas pulang ke tanahair. Semua urusan berjalan lancar sekali. Alhamdulillah.

Pandangan Pertama:

Pandangan pertama pada tanah gersang saudi, sudah mencengkam hati... tanah yang sama di huni insan yang amat dirindui, Rasulullah S.A.W. Melihat banjaran bukit dan gunung-gunung berbatu dikiri kanan jalan dari Jeddah menuju Madinah merenggut hati, betapa gigihnya nabi Allah semasa hijrah baginda dari Mekah ke Madinah. Allah...... Allah... Allah...

Terlelap juga kami 3 beranak dek kepanasan bumi sebelah sini. Kereta sewa yang dinaiki tiada penghawa dingin, cuma tingkap dibuka luas untuk membenarkan angin haramain masuk kedalam kereta mendinginkan badan yang berpeluh.

Kami hanya betul-betul terjaga bila sudah sampai didepan hotel. Bila menoleh ke belakang, Subhanallah, hotel kami hanya beberapa langkah dari masjidil nabawi. Subhanallah. Madinah tenang, damai. Kami mewah membasahkan tekak dengan air zam-zam. Mak dan mama pesan, sentiasa berdoa untuk Allah berikan kesihatan, badan yang cergas melakukan ibadah. Kemudia minum air zam-zam banyak-banyak, mandikan Humaira dengan air zam-zam. Kerisauan mereka pada sang cucu yang kulitnya hanya mengenal sejuk. Alhamdulillah, bekalan air zam-zam tak pernah putus, susu humaira pun ummi buat guna air zam-zam waktu itu.

Selepas ziarah di Madinah, Ummi dan abah serta kakak Humaira bertolak ke Mekah, perjalanan yang mengambil masa 6 ke 8 jam. Berihram di Bir Ali. Pandangan pertama pada masjidil haram, jatuh hati, jatuh cinta, berbagai rasa, tummy cramp.... berdebar.

Malam tu juga abah ajak laksanakan umrah. Masuk Masjidil Haram melalui bab As-Salam. Pesan orang tua, masuk rumah orang jangan terintai-intai, tak manis. Begitu juga masuk rumah Allah, walau hati menjerit2 ingin melihat sendiri Baitullah yang dibangunkan Nabi Allah Ibrahim, adab sopan harus kena jaga, jangan terintai, jalan menunduk mengangkat mata bila sudah dekat, Allah... Allah... Allah... Allah.... mengalir airmata tatkala pandangan pertama jatuh pada Baitul 'Atiq... jantung berdebar luar biasa... Allah... Allah.. Allah... sukarnya untuk diungkap dengan kata-kata. Humaira dipelukan abah hanya memandang ummi tidak berkata. Dan kami melaksanakan umrah dengan hati yang penuh.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Sejak itu hati terpaut...
Sejak itu hati terikat...
Sejak itu hati tak pernah berpaling...
Tanah ini akan kita jejaki lagi...

Bila dengar orang pergi umrah, air mata jatuh.... entah kenapa... rindu barangkali.... iya rindu sebenarnya...
Bila terpandang gambar-gambar di sana... air mata begitu murah, terasa ingin terbang dan kemudian duduk berdiam di Raudhah,... dekat dengan jasad Habibullah... Rasul tercinta.
Bila terpandang sahaja rumah Allah... air mata mencurah, terasa jasad seperti ringan, merindu untuk merasai medan tenaga sewaktu bertawaf... luarbiasa... luarbiasa... luarbiasa... bukan biasa-biasa saja.

Sejak itu anak, ummi dan abah sentiasa merancang untuk pergi kesana lagi.... Mekah Al Mukarramah dan Madinatul Munawwarah............ pergi itu sebagai pengabdian diri seorang hamba ingin dekat dengan penciptanya, secara total dan ekslusif....

Monday, 6 September 2010

Memori Hati - Mengejar 'lailatul qadar' di luar ramadhan

Jangan biarkan masa terlepas begini, ruang sentiasa ada untuk diri yang ingin berubah - credit to Lensa Hanim Awang.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Anak-anak soleh dan solehah yang ummi dan abah cintai. Alhamdulillah ramadhan ini kita sambut dengan meriahnya, bertambah berseri dan terasa berkahnya ramadhan tahun ini kita jalani bersama-sama tok mak. Alhamdulillah malam-malam dan siang-siang ramadhan juga kita meriahkan. Kalian tekun bersolat dan membaca Iqra'. Bersyukur ada tok mak bersama. Ummi dan abah terlalu sibuk dengan jihad kami. Ummi dan abah perlu lebih pandai bahagikan masa, selepas ini.

Ummi bercerita dengan kalian betapa sedihnya ramadhan bakal meninggalkan kita, betapa Allah melimpahkan pahala pada kebajikan yang kecil di dalam ramadhan tidak sama dengan bulan-bulan yang lain. Sedihkan. Alhamdulillah, sepertinya kalian faham.

"Ummi, I just wish ramadhan would be for another 7 or 8 days," begitu spesifik Hasya meluahkan rasa hatinya yang inginkan ramadhan lebih panjang.

"I love ramadhan," Kakak pernah meluahkan rasa juga.

Ramai orang menjadi semakin baik di bulan ini, ada yang sebelum ini kurang bersolat, lebih menjaga solatnya, ada yang sebelum ini jarang bangun malam berqiyam, berebut-rebut bangun, banyak maksiat yang ditinggalkan lebih kepada menghormati bulan yang mulia ini. Yang merokok, boleh berhentikan tabiat merokok itu di siang hari. Alhamdulillah, alhamdulillah.

Alangkah indahnya jika semua momentum perubahan dalam ramadhan itu kita kekalkan dan bawa bersmaa hingga kita berjumpa ramadhan lagi, InsyaAllah. Kerna yang patut kita hormati bukan bulan itu sahaja, yang patut kita hormati, takuti dan cintai adalah Pencipta bulan ramadhan itu. Allah azzawajalla.

Ayuhlah anak, peringatan untuk ummi dan abah sendiri, amalan ramadhan ini jangan hanya di sini sahaja. Semoga dapat kita teruskan hingga nafas dihujung nyawa.

Beza malam 1 ramadhan dan malam sepuluh terakhir ramadhan di Leeds Grandmosque. Sepuluh malam terakhir, masjid penuh sesak, beberapa khemah didirikan diluar kawasan masjid untuk menampung jemaah yang berterawikh dan bakal berqiyamullail di masjid. Dua qunutnya panjang dan dihiasi esak tangis, menahan hati yang meruntun kerana ramadhan bakal pergi. Allah, betapa saat ini ummi merasakan kecil dan sangat sedih kerana tidak memahami bahasa syurga ini. Khabar dari sahabat-sahabat yang berada di UK, begitu juga dimasjid-masjid sekitar kawasan mereka. Allah, indahnya.

Anak-anak, ketika sepuluh malam terakhir ini berlumba-lumba orang mengejar satu malam yang dinamakan lailatul qadar. Seperti yang Allah beritakan didalam Suratul Qadr. Ayat 1 - 5. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Subhanallah. Dalam pencarian itu, malam-malam indah di isi dengan solat-solat sunat, tahajjud, tasbih dan taubat. Malam-malam itu meriah dengan terdengar indah alunan-alunan ayat-ayat Al-Quran yang dilagukan oleh manusia. Zikir-zikir munajat yang silih berganti memuji Allah, indah. Indahnya malam yang Allah rahsiakan. Hikmah dirahsiakan.

Mula ummi terfikir yang orang dewasa macam kami ini juga perlukan satu 'upah' untuk melakukan ibadat-ibadat ini. Sedangkan kalau hati begitu ikhlas, ihsan dan kalau ada sedar dalam diri, yang hamba yang hina ini perlu sentiasa bersyukur dan beribadat kepada Allah, tidak kira apa 'upah'nya. Pasti malam-malam lain diluar ramadhan akan kita kerjakan seperti mengejar lailatul qadar. Sesungguhnya peringatan ini untuk diri ummi sendiri selayaknya. Bangunlah wahai diri, isilah malam-malam seperti kamu mengejar lailatul qadar dibulan ramadhan. Kotakanlah apa yang kamu katakan wahai diri. Sesungguhnya Peringatan ini buat diri ummi yang selalu lalai dan 'take things for granted', Allah... banyak sungguh khilaf ....

Ummi amat terkesan dengan peringatan Allah dalam ayat-ayat ini Surah As Saf 61:2-3


61:2
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!

61:3
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Takut Allah benci.......... Ingin Allah sayang....

Thursday, 2 September 2010

Blossoms Memory - kisah anak... kisah kami


both piccas are credit to Lensa Hanim Awang - like her on fb if you like her work

"ummi, tengok kakak ni......." jerit Hasya.
"She always disturbed me...", sesekali terdengar suara Hasya, merungut di usik kakak.

"Ummi!!!!.. I don't want to be Hasya's friends", adu Hafiy pula di masa yang lain....

"Ummi!!!!!!!.... Hafiy kicked me......" adu kakak minta belas kasihan di usik Hafiy di masa lain juga.

Isu yang sama-sama ummi dan kawan-kawan yang mempunyai anak sebaya kami tengah tangani sekarang.

Menangani anak-anak yang sedang membesar memang memerlukan mental yang kuat dan hati yang sangat sabar serta ketekunan yang tinggi dalam meneliti setiap kes yang dilaporkan anak-anak, hehehehe. Setiap satu persatu perlu diberi perhatian. Kena banyak reasoning. Ummi banyak gunakan penekanan psikologi. Kebanyakannya ummi banyak bercerita tentang syurga, tentang neraka, tentang orang-orang yang Allah sayang, serta orang-orang yang Allah murka. anak-anak seusia kalian, diantara 4 hingga 8 tahun sudah boleh memahami intipati semua cerita itu, walaupun bukan secara mendalam.

Anak-anak juga selalu tanya, ummi, mak teh dengan mak cik selalu bergaduh tak? Dan ummi akan jawab, jarang sangat. Memang kami jarang bergaduh sebab kami dibesarkan di berlainan tempat, tapi kami bersama selepas melewati usia anak-anak yang banyak gaduh dan ragamnya. Alhamdulillah. kami jadi lebih rapat.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Mak Teh seorang anak yang lembut dan taat. Tak pernah ummi dengar dia mendengus walau sepatah pada tok mak dan tok wan. Alhamdulillah. Ada juga masa kecil-kecil kami bergaduh, tapi mak teh banyak mengalah. Paling kuat mak teh memberontak hanya dengan menangis, mak teh adik yang sangat baik. Alhamdulillah. Sebagai seorang cikgu, mak teh cikgu yang tegas. Semoga mak teh akan terus menjadi isteri dan anak yang taat. Kalian akan lebih kenal mak teh bila kita pulang ke Malaysia nanti Insya Allah.

Mak cik juga begitu, Mak cik lebih kepada tempat tok mak dan tok wan bercerita, a shoulder to cry on. Jadi mak cik lebih matang dari usianya. Mak cik juga banyak habiskan masa dengan kita, sebab mak cik tinggal bersama-sama kita sepanjang dia bekerja. Anak yang sangat manja, pada usia belasan tahun masih jalan berpegang tangan dengan abah, dalam usia puluhan (20-an la .. ok) tahun masih duduk berpeluk dengan emak. Perahsia mungkin, sebab dia susah bercerita, tapi Alhamdulillah, tulisannya banyak membuka cerita. Mak Cik sangat penyayang dengan kalian. Matanya penuh dengan kasih sayang bila memandang kalian. Anak-anak saudara yang membesar bawah kerdipan matanya. Insya-Allah, cerita kita akan bersambung bila kita kembali lagi ke Malaysia bersama mereka.

Ikatan keluarga yang sangat kuat bawah pimpinan kedua ibubapa kami, yang terfikir di benak, hanya ingin menjadi anak-anak yang membanggakan ibubapa, walau apa cara luahan hati pada gerak fizikal kami.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Anak, zaman kita berlainan, pendekatan menambat hati untuk cinta Ilahi, cinta Rasulnya, cinta agama, cinta keluarga juga berlainan. Matlamatnya tetap satu, Supaya menjadi insan yang bertakwa, anak-anak yang taat dan pandai menjaga harga diri. InsyaAllah. Semoga bila kalian menginjak remaja, kalian akan mengerti erti sayang menyayangi antara saudara dan pandai menghargai satu sama lain. InsyaAllah....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails