Thursday, 3 May 2012

Masa

Emas yang tak berwarna
Oksigen yang tak tersedut
pelangi yang tak berwarna

Hilang  bila tak dipegang
Pergi bila tak dicari
Cukup bila dihargai

Demi Masa

Thursday, 22 March 2012

Blossoms Memory - Harga Cinta



Saat terlihat pinggan tersusun di sinki dapur, dilihatnya juga ummi masih bertungkus lumus dengan memasak makanan, abah pantas menyinsing lengan bajunya, terus abah cepat membasuh pinggan-pinggan yang bersusun.

"Sayang, tak payah basuhlah, nanti lepas habis masak Ati basuh kay, " pinta ummi pada abah.
"Sayang, rasulullah pun tolong isteri dia, abang pun nak tolong isteri abang, ok,"senyum abah.

Tetiba terimbau beberapa ketika lalu bila ummi sebutkan pada abah,

"Dah lama sayang tak dedicate lagu kan kat Ati," Sambil tersenyum memancing.

"Abang dah lama tak dengar lagu-lagu ni sayang, abang kan bizi kat rumah ni, tengokkan anak-anak dan jaga sayang,"terang abah sambil tersenyum.

Kelemahan wanita, atau sebenarnya kelemahan ummi sendiri, pada sesuatu yang tak pernah rasa cukup. Bila terfikirkan tersenyum sendiri, selalu minta pada yang tiada dan selalu pula tidak menyebut penghargaan pada yang ada.

Sedang rumah ini selalu di hiasi bunga-bungaan, kerana abah tahu ummi sangat sukakan bunga. Masih bertanyakan tentang yang lain? Kurang bersyukur rasanya ummi ini.

Saat ini ummi tak perlu lagi dedikasi lagu untuk tahu cintanya suami buat isterinya, kerana semua perlakuannya melambangkan cinta. Dan itu yang paling diperlukan seorang isteri, cinta yang dizahirkan. Perlakuan paling romantis seorang suami, saat menyinsing lengan baju dan sama-sama melakukan kerja rumah. Saat itu seorang suami bukanlah merendahkan martabatnya, malah saat itu martabatnya terlihat lebih tinggi dan lebih macho. Saat suami, mengambil vacuum dan sama-sama mengemas rumah. Dialah yang terlihat sebagai lelaki terhebat abad ini.

Saat ini juga ummi tak perlu lagi rayu-rayuan saban hari, bila suami rela melepaskan peluang pekerjaan dan pengalaman kerja yang hebat-hebat lantaran ingin menyokong isteri yang sedang berhempas pulas dengan pengajian. Semuanya diturunkan peringkat, bila keluarga diutamakan. Ummi dapat baca bahasa cinta abah. InsyaAllah.

Bila kalian bersama dengan abah, saat yang indah seperti syurga yang melimpah yang ummi perhatikan.

Setiap soalan dijawab dengan tenang, setiap dahi pasti mendapat kucupan dan setiap tubuh kalian pasti dirangkul dan dipeluk kemas bila kalian perlukan dakapan. Setiap habis solat berjemaah, berebut-rebut ingin bersalam dan memeluk abah.

Ummi tak perlukan lagi lagu buat bukti cinta abah pada keluarga kita, pada ummi abah adalah imam yang terbaik pada makmumnya. Ummi sentiasa doakan kalian akan beroleh suami sebaik abah InsyaAllah. Dan Hafiy, semoga abah mendoakan Hafiy mendapat isteri seperti ummi, InsyaAllah, walau ummi tahu terlalu banyak ruang lagi yang perlu diperbaiki.

Saat bersama-sama berdua di dapur adalah saat yang paling berkualiti buat kami berdua. Banyak yang kami bincang kan dan banyak keputusan yang kami capai di dapur itu. Syukur ya Allah pada seorang ketua keluarga yang Engkau kurniakan buat kami. Alhamdulillah.

Sungguh tulisan ini sebuah penghargaan dari ummi buat abah kalian, bila kalian pandai menilai suatu hari nanti, ketahuilah dia sesungguhnya imam keluarga yang istimewa. Dan tulisan sebegini masih belum dapat menceritakan realiti istimewa dan berhemahnya imam keluarga kita ini. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keberkatan dalam hidup beliau selalu. Kita cinta beliau kerana Allah.

Terima kasih dan terima sayang, Zauj Kareem ku...... Alhamdulillah.. Syukur ya Allah

Thursday, 1 March 2012

Memori Hati - Daerah Tenang




Saat ini ingin terbang menghuni ketenangan sebelah sana
saat hati tak pernah diketuk resah
saat senyuman bersulam pahala
tak pernah tertanggal dari wajah.

Saat ini ingin berlari
selusuri memori
kemudian
pinta masa berhenti
di kotak hati
indah
bila tenang mengundang senyuman
kau, mereka, dan aku
tak pernah dipahat gelisah
daerah indah.

Kalau dunia sebegitu indah dan tenang
selayaknya di situ
tak terbayangkan syurga Ilahi
mujahadah untuk meraih tenang setenang itu
malah lebih lagi
di jannah Allah

rindu bertamu ke daerah itu lagi

perindu tenang,

~ ~










Saturday, 25 February 2012

Memori Hati: Selamat Hari Lahir Adikku Sayang - 250212


Tanggal ini penuh makna,
Ibunda antara derita dan bahagia,
derita ibunda serasa di hujung nyawa,
ku pasti, sebab aku pernah merasa,
dan kau jua
bahagia kerana berjuang buat buah cinta,
buah cinta bakal menjenguk dunia,

Adikku kau lahir bawa gembira,
permata hati ayah dan bonda,
seperti salju, kata bonda,
kulit putih bercahaya,
kata ayahanda,
wajahmu mirip ibunda ayahanda,

Adikku,
begitu mudah membesarkan dirimu,
itu kata bonda,
mendengar kata.

Bila ku putar pita memori,
ku kenang kembali,
kau amat ku sayangi,
sampai mati,
kau adik yang penuh cekal,
bukan sedikit onak dan duri,
menghalang jalan mencapai mimpi,
kau tetap tabah, kau harung semua,
biar yang datang membelah emosi,
kau tetap kuat tegar semangat.

Adikku,
jarak dan masa,
hijab antara kita,
namun yakinlah adikku,
kau tak pernah tidak singgah di fikiranku,
apatah lagi di hati ini,
selalu.

Rindu dan sayang pernah menghantarku,
meredah apa sahaja untuk sampai kepadamu,
rindu dan sayang juga buat kau tetap menghuni doa,
semoga kita semua bersama di syurga.

Adikku,
kini dirimu milik suami,
jadilah yang taat,
jadilah yang menenangkan,
kerana syurga kamu berpindah,
dari ibunda kepada si dia,
dan si dia yang soleh,
pasti mengerti,
bonda ayahanda kita,
sama taraf bonda dan ayahandanya,
semoga dia tetap menginginkan dikau menjadi anak yang berbakti,
InsyaAllah.

Adikku,
di ulangtahunmu,
kakakmu ini panjatkan pengharapan pada Ilahi,
semoga semua mimpimu menjadi realiti,
semoga kau dilindungi,
dalam jaga dan dalam tidurmu,
setiap saat masa silih berganti,
kumohon pada Ilahi,
berilah yang terbaik buatmu,
duniawi dan ukhrawi,

Sungguh ku sayangi dirimu kerana Allah,
semoga dengan rahmat Allah,
kitakan berkumpul di dunia dan di syurga Allah.
aameeen.

Semoga berbahagia bersama yang tersayang di hari lahirmu adikku sayang.

Ikhlas dari hati

~ ~

Wednesday, 15 February 2012

Blossoms Memory - Duhai anak ~15-02-12~


Kad dari Hafiy, I love you too my honey bee, XOXOXO, kad yang diberi dengan ciuman dan pelukan, hati ummi mana yang tak pernah cair. <3

Oh Hasya, empangan airmata ummi tak tertahan lagi, terlalu berat tanggungan kamu wahai anak-anak, masa itu terlalu menjerut kita duhai permata hati. Ummi mohon Allah lapangkan masa buat kita dan Allah tenangkan hati-hati kita. Thanks sayang, and InsyaAllah ummi will never give up my dear sweetie pie.

'Ummi do your best and never give up. Please finish your work so we can have all the time together.'

Luar Kad Hasya

Kad hasil tangan Humaira - terima kasih sayang, InsyaAllah ummi will study hard and ummi need all your doa, love you lots my best friend, my apple of my eye.

Duhai Ar-Rahman,
Duhai Ar-Rahim,
Saat diri sendiri tenggelam dalam nombor-nombor yang tak pernah habis, rupanya anak-anak tenggelam dalam rindu yang sarat.

Saat dan ketika ini, bila ummi bermain dengan graf-graf dan simulasi Matlab yang entah di mana hujungnya, anak-anak yang bercuti sekolah, menarikan jejari kecil kalian di atas kertas putih.

Bila ummi berenang-renang dalam memahami metod statistik yang seperti susun silangkata, kalian juga berenang-renang dalam khayalan dan warna air.

Bahu rasa perit dek berlama menaip dan menghadap komputer, tapi ummi yakin perit lagi kalian menanggung rasa rindu untuk menghabiskan masa bersama ummimu ini anakku.

Sabarlah sayang, perjuangan kita InsyaAllah bersulam pahala.

Alhamdulillah, ummi punya suami paling hebat di universe ini.

Kalian di bawa bermain tennis (permintaan Hasya), di bawa bermain bowling (permintaan Humaira) dan kalian di bawa membeli belah di Morrison (permintaan Hafiy) dan kalian juga di bawa bermain Golf di 'driving range', oleh abah. Alhamdulillah masa kalian terisi InsyaAllah.

Terima kasih, sayang berkorban masa dan tenaga untuk menjayakan cita-cita kita bersama, pastilah tulang rusuk abang ini kan selalu rapuh kalau tiada abang di sisi.

p/s: Ayam masak kicap malam ni sungguh enak sekali. <3

Monday, 13 February 2012

Memori Hati - Sapulah air matamu anakku


Anakku,
saat kau berlari riang masuk ke kelasmu,
saat itu saudaramu mengintip jalan selamat ke kelasnya,
ummi pastikan jalanmu selamat,
kamu ummi hantar dengan senyuman,
perjalanan mereka berintai senapang,
senapang laknatullah mereka-mereka itu,
ummi mereka penuh kerut di dahi,
perjalanan mereka sehari-hari adalah jihad besar,
dalam menuntut ilmu,
pernah satu hari anakku,
sepatu laknat singgah di dada anak Palestina,
tidak mimpi itu terjadi padamu,
sedang itu mainan realiti di sana,
menitis airmata ummimu anakku,
entah airmata darah yang mengalir dari mata ummi mereka,
peritnya dada ummi menahan rasa,
hati umminya tidak terbayangkan,

Allah
Ku mohon atas KekuasaanMu,
Ku merayu atas KekuatanMu
hancurkanlah laknatullah itu,
seperti tentera bergajah Abrahah,
tenggelamkanlah laknatullah itu,
lemas tak bernafas seperti orang suruhan Firaun,
Hempaskanlah batuan dipundak mereka,
bak kaum thamud yang di murka.

Anakku sapulah air matamu,
dek kerana sedih dengan pinta ummimu ini,
pintaku kau betah melangkah kaki ke sekolah,
saat ini,
saudaramu di Palestina menyapu air mata sendiri,
umminya telah syahid,
abinya juga syahid,
tiada siapa ingin menyapu airmatanya,
airmata merintih,
merintih kerana tidak dapat ke sekolah,
sapulah air matamu,
kemudian bangunlah,
bangkit dan membesarlah mujahid ummi,
kerana bumi Palestina menanti.

~Memori Hati~

Friday, 3 February 2012

Memori Hati - Monolog Aku dan Tuhanku

(Credit to Lensa Hanim Awang for the pic)

Allah,
kakiku tersadung mehnah dunia,
Kau kutip,
selimut diriku dengan Ar-RahmanMu,

Allah,
hatiku kering,
dengan cinta dunia sementara,
dingin, basah mata hati
basah juga mata hakiki,
saat mukjizat Muhammad
lembut menyelinap sanubari,

Allah,
Luasnya lautan ilmuMU,
tak sejengkal pun dapat ku renang,
baru tahu, halus kecil diri,

Saat penat menongkah gelora putus asa,
menyelinap halus sampan harapan,
diri terselamat dengan mukjizat Muhammad.

Detik ini tak ingin ku toleh
pada sampan putus asa yang telah karam,
kerana didepan lowong sana ada cahaya,
ku punya Tuhan yang sentiasa menyambut,
tika diri tersadung jatuh.

Indahnya menjadi mukmin yang punya Allah

~Memori hati~

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails