Wednesday, 31 March 2010

Blossoms Memory - Sanah Helwa ya Bunayyati Humaira








































"Cuba tengok test kit nie, puan mungkin mengandung",
terang doktor wanita yang menjalankan ujian, sambil menunjukkan test kit kehamilan yang mempunyai dua garis berwarna pink, satu terang dan satu lagi tidak terlalu terang.

Temujanji ke hospital yang sepatutnya untuk mengambil ubat infection berubah menjadi berita yang paling gembira buat ummi dan abah yang baru dua bulan mendirikan rumahtangga. Antibiotik yang sepatutnya diberikan tidak boleh diambil oleh wanita mengandung, menyebabkan doktor yang melihat inai masih merah dijari ummi mengambil keputusan untuk membuat ujian kehamilan. Keputusannya adalah berita yang ummi dan abah tidak duga mulanya.

Nikmat Allah yang tidak didustakan, tercatit didalam kalam Allah yang maha agung,

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. (Al Qur’an, 23:12-14)

Kehamilan yang baru berusia 4 minggu ketika itu, amat berisiko disebabkan ummi disyaki mempunyai urine tract infection (UTI). Hanya Allah yang tahu gembira yang dihantarkan buat ummi dan abah, kehadiran cahayamata menyeri rumahtangga kami di usia muda ini. Ujian UTI dilakukan keesokan harinya, dan Alhamdulillah, keputusannya negatif.

Kehamilan pertama yang penuh keterujaan, memberikan ummi pengalaman berharga. 'Morning sickness', tetapi disebelah petang dan malam. Baik anak ummi ni, waktu bekerja ummi tidak diganggu, waktu petang beri peluang abah saksikan bahawa tidak mudah trimester pertama.

Alhamdulillah, ummi beruntung tinggal bersama tah dan tok tok, selepas kahwin, abah ajak ummu tinggal bersama ibu dan abahnya, adik beradik abah yang semuanya lelaki, tiada adik beradik perempuan. Mungkin abah ingin membuatkan tah gembira mempunyai anak perempuan yang tinggal bersama.

Beruntung sangat tinggal dengan ibu mertua, makan terjaga apatah lagi waktu mengandung, segala keinginan dilayan. Waktu makan malam di trimester pertama adalah waktu yang sangat ummi ingati. Baru sahaja makanan menjengah tekak, tekanan hebat dari dalam perut memaksa ummi memuntahkan semula, maka berlari-larilah ummi ke bilik air. Abah yang berdepan pengalaman pertama, tetap meneruskan makannya.

"Ait mel, takkan dok makan ja, cuba pegi tengok ati di toilet tu," tegur tok-tok, nasihat seorang ayah pada seorang anak lelaki yang mentah menangani trimester pertama isteri mengandung.

Sambil tersenyum, abah pergi mendapatkan ummi di bilik air, sambil mengelus lembut belakang ummi, lebih kepada memberi semangat.

Trimester pertama ummi lalui dengan semangat menggunung. Menjelang ramadhan, ummi melepasi trimester pertama dan ummi berjaya berpuasa penuh tanpa ada lagi loya ditekak. Alhamdulillah. Solat terawikh juga bersama-sama keluarga baru di masjid. Sungguh gembira.

Masuk bulan keempat ini, satu perasaan indah ummi perolehi, bila ummi merasa tendangan dan gerakan pertama Humaira di dalam perut. Abah juga begitu teruja. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ummi ketika itu. Abah menunggu dengan sabar, untuk Humaira lebih besar, sebab gerakan kecil 'flutter' ini abah belum dapat rasai.

Di bilik sentiasa ada buah kurma, bekalan untuk ummi kunyah bila 'heart burn' menyerang tidak kira masa. Sangat membantu.

Humaira membesar dengan sihat, bila umur Humaira 7 bulan di dalam kandungan, saat ini pergerakan Humaira sudah jelas kelihatan di perut ummi. Kadang2 ternampak gerakan siku dan kadang ternampak gerakan lutut. Dan yang paling gembira pastinya abah, sebab abah dapat merasakan pergerakan anak sulungnya sekarang. Abah juga kerap berbual dengan Humaira sewaktu Humaira dalam kandungan ummi.

Kami lalui proses kehamilan ini dengan penuh rasa syukur kepada Allah. Nikmat yang Allah berikan tiada tolok bandingnya. Trimester terakhir, adalah trimester yang penuh dengan gusar di hati, takut, gembira barcampur baur didalam hati.

Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur". (Al Qur’an, 7:189)

Nampaknya Humaira seperti mahu lama berdiam di dalam rahim ummi. Pemeriksaan minggu ke-40, tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ummi mahu melahirkan. Doktor menyarankan untuk ummi di'induce' jika kandungan sudah terlewat. Ummi dan abah memilih 1/4/02 malam harinya dengan harapan Humaira akan lahir 2/4/02.

31/3/02, ummi, abah dan tah ke IKEA untuk membeli peralatan bayi buat Humaira, abah ingin membeli almari baju buat anaknya. Seharian kami berjalan-jalan di IKEA.

Pulang saja ke rumah, sewaktu ingin solat Maghib, tanda melahirkan sudah kelihatan. Ummi yang tiada pengalaman hanya berdiam. Selepas siap mengemaskan meja, seusai makan malam, ummi minta diri untuk berehat dibilik, ketika ini contraction berlaku selang masa 30 minit. Tidak terlalu sakit, tetapi tidak selesa, bila contraction berlaku. Abah menemani ummi di bilik. Tah masih sibuk menjahit bantal dan sarung bantal untuk Humaira di bilik tah. Ummi yang menahan perasaan tidak selesa, mengundang tanya dari abah. Bila diterangkan keadaan ummi, abah pun mula panik, dan pergi bertanya pendapat tah. Dan malam itu juga dalam pukul 12.00 malam kami bertolak ke DSH. Anak pertama, mereka jangka lama lagi.

Sebelum tah pulang kerumah, tah berbual santai dengan ummi, sambil menunggu abah menyelesaikan urusan di kaunter.

"Ati, sakit sangat ka?" tanya tah.
"Sakit, tapi boleh tahan, mama," jawab ummi.
"Ati, waktu dah pecah ketuban nanti, sakit sangat-sangat tau," Pesan tah, mungkin mengingatkan ummi supaya bersedia berhadapan cabaran menanti. Pesan seorang ibu.

Selepas beberapa minit dimasukkan ke wad, ummi dibawa ke labour room. Abah yang tiada pengalaman menemani ummi di labour room dengan baju lengan pendeknya, kelihatan kesejukan. Ummi diberikan petidin untuk merehatkan ummi. Sesekali contraction datang, sesekali itu juga abah menahan sakit tangan di genggam. Ada air mata yang mengalir, mungkin 'helpless' melihat isteri menaggung sakit sendiri atau sakit sangat tangan digenggam. :):)

Azan subuh berkumandang dari masjid berhampiran, abah berlalu menunaikan solat. Bila abah datang lagi, ummi sudah diberikan ethonox untuk disedut, terasa seperti diawang-awangan, seperti dialam mimpi, sakit masih terasa, lebih kerap, Doktor Maziah datang tepat masanya untuk menyambut Humaira. Ummi pun berjuang bersama-sama dengan pasukan sorak di labour room itu termasuk abah. Tepat pukul 7.43 pagi 1/4/02, Humaira lahir menjengah dengan dengan tangisan yang ditunggu-tunggu oleh ummi dan abah. Air mata yang mengalir syukur kami tidak cukup menggambarkan betapa ummi dan abah penuh kegembiraan hari itu anakku. Saat itu juga, hilang semua rasa sakit. Seperti tidak pernah ada kesakitan.

Di telinga mu anak, abah laungkan azan, moga kalimah tauhid itu yang pertama kau dengar.

Kegembiraan menyambut cucu sulung dan perempuan pula juga terpancar di wajah tok tok dan tah siang itu tatkala mereka datang.

"Ati start sakit kuat pukul berapa?" tanya tah.
"Dalam pukul 4 pagi rasanya," jawab ummi
" ooo no wonder waktu tu mama memang rasa gelisah, mama tak boleh tidur, mama solat hajat, pastu sambung jahit", Ya Allah... naluri ibu. Siapa lagi yang hendak menyangkalkan kedudukan ibu mertua itu layaknya setaraf ibu kandung kita juga.

Tok mak di Sungai Petani, turut berjaga malam, menyembah memohon kepada yang Esa, agar segala kemudahan diberikan buat anaknya yang bertarung nyawa melahirkan.

Yang paling ummi ingati, perbualan ummi dengan tah,
"mama, sakit sungguh kan waktu nak bersalin, " cerita ummi pada tah.
"Sakit, hanya anak perempuan yang dapat membayangkan perasaan seorang ibu melahirkan," Kata tah sambil tersenyum. Luahan kata dari seorang ibu yang memiliki 4 anak lelaki. Alhamdulillah, anak-anak lelaki yang baik budi pekerti mereka, dan beriman hendaknya.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Al Qur’an, 31:14)

Beginilah juga, wahai anak, nendamu berdua merasakan. Ummi dan abah lebih menghayati betapa ibu itu disebut-sebut supaya ditaati.

Dan esok sayang, genaplah usia mu 8 tahun. Selamat hari lahir sayang, anakku, dirimu sentiasa di dalam doa ummi. Banyak sekali pengharapan ummi buatmu anak, terlalu berat kalau dihitung.

Membesarlah menjadi muslimah sejati. Wahai anakku......


6 comments:

Latifah said...

Selamat Hari Lahir yg ke 8 buat Humairah Ardini Hizamel =) =) =0

aha said...

Humaira dear.. you will always be "good girl number 1" di hati kami... dan tak sangka masa berlalu begitu cepat.. rasanya seperti baru semalam kamu itu..ditimang2 dalam dakapan. Be good muslimah...InsyaAllah..

[MH] said...

nanti nk duduk ngn humaira,nk peluk2 tak nak lepas. entah2 humaira kenal thia ke tak. hehe

ummi, humaira sangat cantik. really.

semoga hidupmu diberkati dan dirahmati, humaira sayang :)

Min said...

Semoga menjadi anak yang solehah!

From: Cik Min, Leicester

Hizamel said...

Sayang, penulisan yang sangat baik... abang terasakan seperti semalam sahaja Humaira dilahirkan...segala-galanya masih segar dalam ingatan.

Selamat Hari Lahir Humaira Ardini. Semoga menjadi anak yang solehan dan kalifah dimuka bumi ini. InsyaAllah.

melatiblossoms said...

latifah:
Thanks......

mak cik:
She is good girl no 1 Alhamdulillah... kan she grow up too fast.. hehehe.. doakan yang terbaik buat humaira ya mak cik sayang..

thia:
jemputlah datang... jemput sangat.. jemput datang dan peluklah Humaira :), InsyaAllah Humaira kenal. Thanks for your doa.

Cik Min:
Thank you... doakan ya...

sayang:
biasa saja.. hehehe, kan macam baru jer berdebar2 menanti saat kelahirannya.. sekarang dah 8 tahun. Kita doakan ang terbaik di sisi Allah....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails