Sunday, 6 December 2020

Cuci sawang di rumah yang sebenarnya indah

 Assalamualaikum anak2 Ummi,

Rasa hati ingin mencuci sawang di rumah yang sarat dengan kenangan indah ini. Semoga dapat terus menyimpan memori yang lebih indah lagi. 

Alhamdulillah we have become 6 since 2015. 


Monday, 1 July 2019

Ujian

Assalamualaikum buah cinta ummi dan abah.

Anakku,
Hidup ini ujian,
walau usiamu masih sekuning jagung,
Kau harus belajar,
saat pedih hati merintih,
ummi dan abah kan pilih,
tubuhmu kejap dalam rangkulan,
dan biar sunyi memesan,
Cinta ummi dan abah kan terus mengalir,
menekap luka yang berdarah pada hati kecilmu,

Anakku,
seringkali kami lapangkan padamu,
ujian itu harus kau tempuh,
tak perlu lari,
kerana bayang tetap mengejarmu selagi engkau berlari.
Hadaplah cahaya supaya bayang itu jauh tertinggal ke belakang.
Memang panas,
Namun tiada satupun usaha yang tidak diiringi kesukaran.

Ujian tanda Allah sayang,
saat ini terlihat jauh dari mengerti,
suatu hari kau akan tersenyum,
meniliti lagi ayat ini.
dan kau akan berkata,
betul kata ummi.

Buat Cinta Hati Kami

melatiblossoms

Thursday, 22 February 2018

Dramaummi: Hebatnya akhlak anak-anak KISAS


Assalamualaikum anak-anak cinta hati ummi,

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pilihlah nama yang indah dan wangi ataupun nama yang kurang harum. Sepantasnya, ummi akan sentiasa memilih yang pertama. Dan yang pertama ini sangat berkait rapat dengan akhlak. Tinggallah budi dan akhlak yang indah buat memahat nama di lipatan sejarah hidup ini. Jadikan akhlak indah ini perkara yang biasa dalam hidup ini sehinggakan menjalankannya menjadi darah daging, tak terasa sedang menunjuk nunjuk akhlak yang baik itu, tak menjadi megah diri sebab terlalu biasa. Pastilah sampai terus ke hati penerima akhlak yang baik ini.
---------------------------------------------------------------------------
Beberapa hari sebelum mendaftar dibumi waqafan itu, kakak kelihatan seperti muram dan hanyut dalam lautan fikiran yang mungkin gelisah ataupun kegusaran yang mendalam. Sesekali pertanyaan ummi tentang perasaan kakak untuk sekali lagi menghuni asrama tidak kakak sahut dengan sepatah pun perkataan. Seringkali juga kakak tarik tangan ummi dan bawa kemas ke dada kakak sambil sesekali mencium tanpa sebutir kata keluar dari mulut kakak. Seringkali juga tubuh ummi yang jelas lebih rendah dari kakak ini kakak rangkul kemas dan ciuman hinggap di pipi. Sungguh sering sekali. Hanya doa yang ummi lantunkan saban waktu mengiringi kerisauan hati ummi melepaskan kakak juga.

Tiba 7/2/2018. Bersemangat sekali tok mak bersiap awal nak hantar kakak ke KISAS bersama-sama. Kakak masih kelihatan biasa. Sepanjang perjalanan yang hanya lebih kurang 40 minit dari rumah itu kakak banyak mendiamkan diri. Masih keliru dan bercelaru rasa ummi. Tak apalah kakak. Layanilah rasa hatimu anakku.

Sampai sahaja kita di depan pagar KISAS kelihatan sebarisan pelajar di kiri dan kanan jalan terus masuk ke parkir kereta. MasyaAllah terasa seperti tetamu kehormat datang bersambut. Anak-anak gadis dengan baju batik hijau dan tudung labuh, bening wajah mereka. Anak-anak Rijal tegap berbaju korporat. Ditunjuknya tempat untuk parkir kereta. Selesai meletakkan kereta, datang dua anak gadis berwajah mulus, bersih dengan tudung labuh dan lebar memperkenalkan diri sebagai CS (College Sister). Dua orang yang datang. Untuk menjadikan cerita lebih dramatik, Allah izin CS Humaira adalah anak saudara kepada Kawan baik Ummi, Cik La. Namanya Aisyah. Kakak Aisyah ini pernah juga tinggal di UK. Kita bertiga pernah ziarah keluarganya di Hull semasa ummi dan abah belajar di Bradford. Rupanya saling tak tumpah rupa umminya. Maka dengan pantas ummi dapat cam.


Aisyahlah yang membawa kami dari satu tempat ke satu tempat, dari permulaan proses mendaftar, ke dewan besar, selesai di situ, dibawanya kami ke urusan Koop. Tidak pernah pun kami ditinggalkan tak tahu haluan. Pertama kali dalam urusan yang baru, kami di santuni begini. Pastilah berbesar hati.



Selesai urusan pendaftaran, sampailah masa kami mengangkat barang-barang kakak untuk ke asrama. Sekali lagi CS ini iaitu Aisyah untuk kami bertungkus lumus membantu. Kelihatan di sana sini, pelajar2 seniors yang di panggil CS dan juga yang lain-lainnya dengan sukarela membantu mengangkat barang-barang adik-adik junior. Asrama Humaira di tingkat tiga, masyaAllah boleh tahan nak naik atas tu. Sampai sahaja di hadapan tangga bangunan asrama, beberapa orang lagi pelajar KISAS yang lain telah menawarkan bantuan. Hebat-hebat. Bila yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing, semua perkara menjadi mudah. Inilah yang kita lalui hari ini.

Rumah Omar dan semua yang berkaitannya berwarna merah. Sekali lagi, kita dikejutkan dengan 'sweet gestures' kakak-kakak yang hebat di KISAS ini. Katil2 adik2 telah dipasangkan dengan cadar dan sarung bantal.



Buka sahaja almari baju, sekotak air telah ditinggalkan oleh kakak-kakak Omar dengan nota ringkas yang manis semanis budimu anak-anakku.
Tak habis di sini sahaja. Ummi akan sambung cerita lagi InsyaAllah.
___________________________________________________________________________

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang hendak kamu dustakan?


copyright:

~Melatiblossoms~

Thursday, 15 February 2018

Dramaummi: Humaira melangkah ke bumi Waqafan, pipit akan menjadi helang InsyaAllah


Anak pertama adalah guru segala hal yang baru buat kami ibubapa muda ketika itu. Banyak percubaan yang cuba diterapkan dari teori-teori yang kami baca, bahkan tradisional ‘upbringing’ metod yang diturunkan oleh ibubapa juga kami cuba. Percubaan semuanya.
Alhamdulillah, dengan izin Allah dan bantuan sistem sokongan yang kuat sepanjang membesarkan dan mendidik Humaira. Masa meningkat ke awal remaja, Allah izin kami dapat mendidik Humaira di UK. Di sana potensi kakak begitu banyak menyerlah, dengan menjadi Student Reprensentative seawal usia 8 tahun, membolehkan kakak bermesyuarat dengan Local Council of Leeds (mungkin macam mini parlimen di Malaysia kot ya). Membawa watak sebagai Dorothy in wizard of Oz play di sekolah setelah beberapa watak kecil dalam pelbagai plays sebelum itu, sangat banyak mempengaruhi keyakinan diri kakak.
Pulang ke Malaysia dengan pelbagai pengalaman yang kakak timba di UK. Sebahagian besar hidup kakak ketika itu adalah di negara orang, ummi nampak banyak menyumbang kepada pola kakak berfikir dan melihat sudut pandang sesuatu perkara. Ummi bahagia. Hidup diperantauan tanpa keluarga terdekat, menjadikan kakak tersangat ‘attached’ dengan kami.
2 tahun disekolah rendah di Malaysia, darjah 5 dan 6, dengan muallim dan muallimah yang hebat, sistem biah solehah yang diterapkan disekolah musleh di Sek. Ren Islam Hira, Kakak semakin matang dalam berfikir dan membuat keputusan. Akhlak kakak di rumah semakin ummi dan abah syukuri. Anak yang taat dan banyak membantu ummi dan abah dalam segala hal. UPSR yang di hadamkan hanya selama 2 tahun, adalah sesuatu yang mengejutkan ummi abah.
Melangkah ke sekolah menengah, dengan yakin ummi dan abah hampir pasti kakak sangat sesuai dengan sekolah berasrama yang kita sama-sama pilih. Rupanya percaturan kali ini tidak tepat. Rupanya disebalik segala kekuatan dan kematangan yang kakak tunjukkan, kakak masih anak kecil yang belum puas berada dibawah naungan dan hangatnya pelukan ummi setiap malam. Tingkatan 1 yang penuh airmata.
Tingkatan 2 kita sama-sama membuat keputusan untuk kakak kembali ke rumah dan bersekolah di KD10. Rupanya hikmah yang lebih luas yang Allah aturkan. Dengan hadirnya Hamzah dalam keluarga kita, kakak lah yang paling banyak membantu ummi dan abah. Kakaklah yang banyak menjaga dan melayan Hamzah. Tangan kanan ummi dan abah. Dari segi pelajaran ummi tidak risau kerana kakak sangat berdisiplin dalam belajar.
Alhamdulillah, anak taat dan solehah ini Allah izin terus membanggakan ummi abah dengan cemerlangnya akhlak dan pelajaran. Panjang perbualan kita setiap malam, panjang motivasi tanpa berat sebelah abah juga setiap masa dalam merangka plan kakak untuk tingkatan 4. Kita sama-sama mengisi borang MRSM, dan kakak sendiri mengisi borang SBP dengan memilih KISAS. Kata kakak cuba saja, sebab kakak tak yakin KISAS boleh dapat. Dan MRSM kakak tak berapa favour sebab tak ada Bahasa Arab.
Panggilan untuk ujian kemasukan, mengundang airmata dalam erti pelbagai kata kakak. Ummi dan abah nasihatkan, hanya hadir jika kakak betul-betul mahu, kalau tidak, biarlah tempat itu di isi oleh sahabat2 yang sangat mahu. Selepas Panjang doa dan istikharah mungkin, kakak memilih untuk hadir. Pesan ummi abah, kami tiada quota pengetua atau apa-apa kaitan dengan SBP sebelum ini, jangan megharap terlalu tinggi. Allah izin dan pilihan Allah buat kakak, KISAS menerima kakak sebagai pelajarnya. Kali ini pastilah banyak kakak mengadu dan memohon dari Allah dalam membuat keputusan. Ummi dan abah hanya mampu menambah doa dan harapan. Sambil menyediakan jaring jika ‘fallback’ perasaan kakak berlaku.
7/2/18 tarikh keramat kakak bermula kembali sebagai pelajar asrama, kali ini di KISAS, sekolah idaman terlalu ramai pelajar di Malaysia. Semoga Allah izin kakak menadah ilmu dari muallim dan muallimah yang hebat di sini. Di linkungi biah solehah. Di dampingi oleh seniors yang juga berakhlak cemerlang (satu entry lain ni) InsyaAllah.
Ummi lepaskan ikatan perasaan yang tersimpul ketat antara kita, namun ummi sentiasa tahu, akar kakak tetap kukuh mencengkam asas keluarga kita. Kata orang sekali anak keluar rumah untuk belajar, anak itu akan terus keluar dan keluar. Merantaulah dan jadilah seperti air yang mengalir, bau juga tak terperangkap.

Owh Well, #dramaummi as always. 
This is my anekdot for your memory my dear. Berbagai #pesanummi untuk my #melatiblossoms

Thursday, 1 February 2018

Kanvas Auroraku



Mata kenangan melirik lukisan sanubari,
Percikan warna abstrak,
Kanvas kehidupan ku teliti,
Terlukis indah aurora menari di langit utara,
Secantik budimu tuan,

Ku kejar maafmu,
Pada secarik tinta hitam terpalit kanvas,
Memudar indahnya tarian aurora,
Tinta hitam kata,
ayunan nafsu bicara,
Berbekam di putihnya hati,
Lukisan hidupmu tuan,
Pada duduk darjat yang tinggi,

Ku kejar maafmu,
Dengan seberkas air jernih,
Buat memadam berkas hitam,
Pada kanvas yang indah,
Darjat yang tinggi,
Kembali,
Tidak berbekas,
Aurora menari lagi,
Hingga kelangit Ilahi,
Bertemu disyurgawi,

Padamu,
Aku kembali bidadari.

Yang Benar
Melatiblossom

Thursday, 14 December 2017

Sanah Helwah buah hati ummi dan abah tersayang - 220604 - 220615


Assalamualaikum w.b.t anak gadis ummi dan abah tercinta, Hasya Amalin Hizamel,

Sanah Helwah yang ke -11 buat sayang ummi, abah, kakak dan adik-adik ini. Hari lahir sayang tahun ini jatuh pada bulan Ramadhan tercinta. Dengan ummi yang sarat, tahun ini hanya sambutan doa kecil-kecilan yang kita raikan sempena hari lahir Hasya tahun ini.

Anak ummi ini, kakak yang solehah, selalu melantunkan hafazhan ayat-ayat Al-Quran buat adik di dalam rahim ummi. Alhamdulillah dengan hafazhan juzuk 30 dan surah-surah pilihan yang Allah izinkan Hasya menghafalnya, menjadi modal bicara dengan baby didalam perut.

Geli hati ummi dan abah melihat betapa Hasya teruja saat merasakan gerakan adik didalam perut, pesan Hasya, setiap adik bergerak mesti bagitahu Hasya. Dengan usia meningkat remaja sekarang, kakak dan Hasya banyak membantu ummi dan abah menyelesaikan kerja dirumah, urusan kain baju yang perlu dibasuh, disidai dikemaskan Hasya dan kakak adalah pro. Dengan kakak di asrama sekarang, Hasyalah yang menguruskan seterika baju sekolah dan urusan adik Hafiy setiap pagi. Semoga Allah membalas taatmu anakku dengan pahala dan kebaikan berterusan hingga syurgaNya.  Sekarang kalian berdua gigih belajar memasak dengan ummi. Pro dalam masak nasi dan nasi goreng. Anak yang taat buat ummi abah, bersyukurnya kami pada Allah yang Maha Esa, semoga Allah terus menuntun hati Hasya menjadi muslimah solehah wa musleh InsyaAllah.

Sepulangnya dari United Kingdom, Hasya terus meneruskan kecemerlangan dalam pelajaran dan kokurikulum. Alhamdulillah. Sudah lama ummi tak update cerita Hasya, Kakak dan Adik di blog kita ini buat kenangan kalian di kemudian hari.

Hasya ku sayang,
Syukur ummi dan abah panjatkan, Hasya memperolehi naib juara dalam tilawah Al-Quran dan naib juara untuk Choral Speaking tahun lepas dipertandingan antara sekolah Agama Swasta, Tahun ini Alhamdulillah, juara untuk single badminton dipertandingan antara sekolah agama swasta. Penghafaz harapan dan terbaik untuk kem hafazan bersanad hujung tahun lepas. Teruskan kecemerlanganmu anakku dan panjatkanlah sepenuh kesyukuran pada yang punya kesemua kecemerlangan itu, Rabbul Izzati. Semoga terus menjadi inspirasi buat adik-adik nanti InsyaAllah,

Hasya kecintaan ummi dan abah,
Kecemerlangan dalam pelajaran juga membanggakan ummi dan abah Alhamdulillah, tidak sukar dalam membantu Hasya bersedia, anak gadis ummi penuh dengan semangat dan pandai berdikari dalam persediaan peperiksaan. Sumber ispirasi adik untuk menjejaki kakak Hasya mengambil hadiah setiap tahun Alhamdulillah. Hasya, jadilah anak yang bersyukur, masih ummi ingat, masa di tahun 3, bila Hasya mendapat 100 untuk matapelajaran Tajwid, Hasya terus sujud syukur atas nikmat itu. terkejut ummi, sebab ummi tak pernah dedahkan Hasya dengan sujud syukur. Rupanya, ini hasil didikan muallim dan muallimah di sekolah Hasya. Alhamdulillah. Sungguh, semua kejayaan itu milik Allah jualah. dan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. akan dikurniakan, dan begitu sebaliknya. Jadilah hamba Allah yang solehah dan taat. Ummi doakan cita-cita Hasya menjadi doktor yang hafizah tercapai InsyaAllah.

Hasya Amalin Hizamel,

My little lady,
grow graciously,
with Iman in your heart,
life can never be so hard,
with taqwa in your akhlak,
life will always be colourful,
with ikhlas in your deed,
the highest Jannah you can reach.

My little lady,
grow graciously,
with Iman as your cloths,
life can always be so smooth.

My little lady,
the elders are here to be respected,
the youngsters are here to be loved,
true friends are here to be treasured,
Mom and Dad are here to be referred,

P/S: Kiriman lewat. hanya selepas lebih dua tahun, Ummi tulis ini pada 2015. Ntah kenapa baru Allah izinkan pos sekarang




Thursday, 26 May 2016

Memori Hati - 15 tahun untaian manik syurgawi milik kita



الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

Segala puji hanyalah selayaknya buatMU ya Allah. Tiada daya dan upaya kami melainkan dengan tuntunanMU ya Rabbi.

Syukur ya Allah, tepat hari ini, 15 tahun menjadi suri di hati abang,
15 tahun menikmati untaian manik syurgawi,
15 tahun merungkai maknawi syurga duniawi,
15 tahun mahar berganti tangan,
15 tahun menghalalkan yang haram
dan terus menenun pahala InsyaAllah



Kita ambil kanvas putih 15 tahun lalu
Kita calit warna-warna
Abang gariskan pelangi 
dan Ati tiupkan debu gemerlapan
Ati lorek tak sempurna
Abang tampal dengan kemilau neon
Saling melengkapi.
Dengan izin Ilahi



Kita ambil bongkah kayu,
15 tahun dulu
kita ukir semahu,
Terasnya tetap berpegang tali Ilahi,
Kita tebuk sana sini
Dengan harap bukan ilusi,
Bahagianya seperti mimpi,
Rupanya ini realiti. 

Terima kasih sayang,
15 tahun yang membahagiakan,
terus mendoakan 15 tahun lagi, 15 tahun lagi, 15 tahun lagi, dan terus ke syurga.
Semoga Allah redha dengan nukleas kecil kita ini,
Semoga Allah membangkitkan pejuang-pejuangNya dari tulang2 sulbi kita,
Semoga Allah Rahmati dengan syurga.

Aameeen

http://melatiblossoms.blogspot.my/2012/05/11-tahun-mengukir-bahagia-syurgawi.html
http://melatiblossoms.blogspot.my/2011/05/memori-hati-10-tahun-alam-nyata-yang.html
http://melatiblossoms.blogspot.my/2010/05/memori-hati-selamat-ulangtahun-baitul.html
 
 

Wednesday, 1 April 2015

Usia remajamu sayangku ~ 1/4/2015



Assalamualaikum cinta hati ummi dan abah,

Hari ini tepat 7.20 pagi, talian telefon berdering, anakanda mengirim rindu dikejauhan pada hari lahirmu.

Anakanda,
Menginjak remaja hari ini,
13 tahun usiamu yang membanggakan ummi dan abah,
Taatnya anakanda penuh dengan redha ummi abah,
Semakin pintar menilai dunia, InsyaAllah.
13 tahun usiamu penuh dengan warna indah,
Warna-warna itulah anakanda hamparkan buat ummi dan abah,
Tabah dan sabar melalui usiamu,
Remaja di dua benua, tidak mudah,
Namun anakanda lapangkan sayap hatimu dengan penuh jaya.
Seperti ikan dilaut, pengalaman di benua ratu, tidak memasinkan anakanda dengan budaya mereka.
Terima kasih anakanda telah belajar bersungguh-sungguh memahami agama Allah dan ilmu Allah didunia ini. Semoga diberikan kefahaman yang baik buat anakanda.

Anakanda,
Selamat ulangtahun yang ke-13,
Mudah mengandungkanmu,
tidak payah melahirkanmu,
indah pula membesarkanmu,

Anakanda,
Ummi dan abah doakan
Umur yang panjang, penuh keberkatan,
Iman yang meningkat, penuh dengan soleh wa musleh,
Tubuh badan yang sihat, penuh dengan amal ibadah kepadaNya,
Akal yang sihat, penuh dengan ilham yang baik dari Allah,
Jiwa yang kental, penuh kelembutan seorang gadis,
Hati yang sentiasa penuh dengan zikrulllah,
Mata yang memandangkan kebaikan pada semua.
Manusia yang berguna buat ummah InsyaAllah.

Ummi dan abah doakan semua doa-doa anakanda dimakbulkan Allah.
Selamat Hari Lahir Anakanada Humaira Ardini Binti Hizamel yang ke-13 tahun.
Salam penuh kasih sayang tak terluahkan dari ummi dan abah serta adik-adik.


Monday, 3 February 2014

Monolog kosong



Perlukah pada sebuah kembara?
untuk pena menari kembali,
Perlukan pada sebuah bicara?
untuk ketukan papan kekunci,
Perlukan pada sebuah lantai baca?
untuk puitis kembali menari.

Tarian abjad menghuni benak,
Tarian abjad menghuni otak,
Rantaian kata menghimpit, sesak,
Rantaian kata menghimpit, senak.

Kasihan
masa yang emas itu cemburu,
masa yang berlian itu pergi meluru,
masa yang intan itu tak mahu tunggu,

Tunduk
sepi yang tinggal,
ruang yang kosong,
pena yang kaku,
kertas yang melayang.

Titik
mula kan datang,
warna kan indah,
pelangi kan cerah,
hati kan berbunga.

Friday, 22 November 2013

Setahun berlalu

Engkaulah lelaki,
peluh didahi meniti,
tangan elus menari,
menanam jeriji besi,
penuh kasih hati berjanji,
mencari yang halal buat anak dan isteri,

Engkaulah lelaki,
miliki hati lelaki sejati,
darah dan peluh mengalir jatuh,
kalbu isteri pasti tersentuh,

Kau bentang kasih nan melimpah,
empangan sayang kau tadah,
kolam cinta darimu abah,
bening turkois kasih darimu indah,

Kini semua hanya kenangan,
suara penuh barokah,
renungan sayang penuh cinta,
ciuman abah tinggal anganan,

Tenanglah abah di alam sana,
di sisi Ilahi, sambil kami menuai rindu,
Hingga kita bertemu di Jannah,
Saat itulah yang kita tunggu.



Friday, 28 June 2013

Doa isteri



Renung isteri,
hantar mutiara,
rentas dimensi,
kerna kasih tiada tara,

Allah yang Maha Agung,
makbulkan doa isteri ini,
penuh mahabbah kasih mengalir,
bersama alunan zikir, cinta hadir,

36 tahun saling melengkapi,
pakaian indah suami isteri
seperti hujan nan lebat,
doa mencurah,
yang menemani sang suami,
taman syurgawi,

Allah yang Maha mangabulkan doa,
terimalah permohonan isteri ini.
aameeen.

Thursday, 20 June 2013

Warkah Untuk Ibu Mertuaku (20.6.2013)



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat mama tercinta,

Mama untuk julung-julung kalinya ini Ati titipkan warkah buat mama. Lebih mengesankan warkah ini Ati karang pada 20.6.13. 36 tahun yang lalu, pada tarikh ini, mama lahir seorang anak lelaki yang beratnya lebih kurang 4 kg. Mama selalu bercerita pada Ati, betapa mama dan abah amat-amat mengharapkan cahayamata setelah cahayamata yang sulung telah pun berumur 4 tahun. 

Mama pernah cerita, mama dan abah selalu berkata anak lelaki kedua ini adalah "designed baby". Mama dan abah merujuk kepada pakar untuk memperolehi zuriat lagi, dengan usaha dan tawakkal. Mama sambung bercerita lagi, kata mama, sepanjang mengandungkan zuriat mama yang kedua itu, abah memastikan mama makan makanan yang sangat-sangat berkhasiat, sayuran segar-segar, daging yang baik-baik. Pokok ceritanya, cahayamata yang dinanti-nanti. 

Kelahirannya juga diatur dengan izin Allah, melalui "induced", mama dan abah sanggup terus menuruti doktor pakar yang berpindah dari Sungai Petani ke Alor Setar. Lahirlah zuriat kedua ini di Alor Setar. Kata mama lagi, "sebab tulah mel lahir besar, penuh jagaan waktu mengandung" (dengan izin Allah pastinya.). 

Inilah memori yang mama ceritakan waktu Ati awal-awal menjadi menantu mama. Keterujaan mama untuk menceritakan yang buah hati mama dan abah ini adalah buah hati yang mama dan abah doa-doakan, jaga dan belai sejak dari dalam kandungan dan lahirnya penuh pengharapan dan diiring doa pasti. Dalam nada seorang ibu, sungguh pada waktu itu, cerita itu seperti imbasan memori yang hanya enak didengar tanpa ada tonasi yang tersirat di baca. Saat ini, Ati sendiri telah menjadi ibu kepada 3 zuriat yang amat kami nanti dan doakan untuk memperolehi mereka. Ati mula mengimbau saat-saat manis mama bercerita. Ati pasti juga akan menceritakan yang sama pada anak-anak menantu Ati nanti.

Saat ini, sudut pandang Ati pada cerita mama amat berlainan sekali, saat ini setiap pelukan yang Ati berikan buat mama adalah pelukan penuh terima kasih seorang menantu pada ibu mertua yang melahirkan anak lelaki yang budiman, pelukan penuh penghargaan seorang isteri pada ibu suaminya, yang telah melahirkan seorang imam keluarga yang sangat berlemah lembut pada ahlinya.Mama, anak lelaki yang dinanti-nanti, ditatang dan dibelai itulah suami yang akan Ati usahakan tempatnya dan darjatnya seperti Rasulullah di hati Khadijah, seperti Rasulullah di mata Aishah,seperti Ali dihormati, disayangi Fatimah. Selayaknya seorang suami yang syurga isteri di telapak kakinya. Suami yang paling baik pada ahli keluarganya.

Terima kasih mama melahirkan seorang lelaki yang penuh tauladan dalam pergaulannya dengan kami, isteri dan anak-anak. Mama, Ati dan anak-anak menjadi saksi betapa didikan mama dan abah adalah suri tauladan untuk Ati mendidik anak-anak kami, anak lelaki mama ini menekuni dengan penuh perilaku seperti

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.”
(Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Mama, takkan pernah terima kasih Ati dapat membalas budi mama melahirkan dan membesarkan insan yang amat bermakna dalam hidup Ati dan anak-anak. Santunnya menghantar seluruh kesyukuran kepada Ilahi, suaranya yang tidak pernah tinggi menghidangkan contoh tauladan hebat buat menyeka keresahan dan mehnah dunia di luar syurga kecil kami.

Mama, InsyaAllah Ati dan anak-anak akan menghargai buah cinta mama dan abah ini setulus hati kami, doakan kami, semoga kami ini tidaklah menjadi hadang pagar untuk imam kami berbakti kepada mama dan abah, selayaknya anak soleh buat ibubapa yang hebat seperti mama dan abah. Doakan kami mama di hari lahir anakanda mama yang ke-36 ini, semoga kami istiqamah menghargai beliau dengan penghargaan yang tinggi selayaknya imam yang selalu meyantuni kami makmumnya dengan santun yang terbaik.

Mama, selepas bergelar ibu sendiri ini, Ati dapat merasakan sendiri dan pasti mama sebagai seorang ibu juga jenuh dan penuh doa dan pengharapan buat zauj kareem Ati, anak mama. Ati aameeenkan seluruh doa yang pastinya, Ati mohon Allah limpahkan mama  dan abah dengan keberkatan dan kerahmatan diseluruh hidup mama dan abah. Terima kasih mama dan abah melahirkan dan membesarkan tokoh besar dalam keluarga kecil kami. Kami mohon mama doakan kami menjadi zuriat yang menjadi penyejuk mata mama dan abah dan zuriat-zuriat kita yang seterusnya juga adalah zuriat yang menyejukkan mata. Doakan kami dan zuriat kita seluruhnya dapat menjadi orang yang dapat berbakti kepada ummah dan hamba Allah yang soleh. InsyaAllah, aameeen.

TERIMA KASIH MAMA, SYUKUR YA ALLAH.

Yang sangat menyayangi dan menghormatimu dan anakmu,
Anakanda Aziati

Happy 36th Birthday my lovely Zauj Kareem, Hizamel Mohd Hizan. 






Tuesday, 4 June 2013

Hutang 3 entry

Hari Lahir Humaira, Hari Lahir Hafiy dan Ulangtahun Baitul Muslim yang ke -12. InsyaAllah

Friday, 26 April 2013

Tasbih Si Embun



Duhai embun,
indahmu dicipta Ilahi,
titismu bersisip zikrullah,
faktanya beralas kalam Allah,
“Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Al Hadid : Ayat 1
jasad ayahandaku dibawah ini,
Allahku, ku mohon kiranya ada pahalanya buat abah.
sejukkanlah dan indahkanlah persemadian roh ayahanda kami.

Duhai rerumput,
hijau segar semilir alunan tasbih kepada Allah,
jika rumput juga galak bertasbih tidak pernah gagal,
kuambil ibrahnya,
kukirim ya Allah,
jika ada pahala tasbih yang ikhlas dari basah bibir kami anak-anak abah,
buat tenang dan damai roh abah disana di sisiMu ya Rabb.

 
~ ~

Friday, 15 March 2013

Abah

Abah,

Berehatlah di sana di sisi Maha Esa,
anak-anakmu tetap berusaha bekerja menuai pahala buatmu di sana,

Abah,

Telah berbulan abah pergi,
saat potretmu dilirih saat airmata juga merintih,
sedih anugerah Allah dihulur sabar bersulam pahala hendaknya
redha tetap,
sedih hinggap,
redha dan airmata mengundang doa yang tak putus,
bak air mengalir dikali,
anak-anakmu rindu.

Abah,

Berehatlah,
kami juga akan menyusul,
sedetik waktu lagi,
kan kami juga warga akhirat,
singgah bercucuk tanam,
untuk tuaian di negara kekal,
InsyaAllah.

Thursday, 7 February 2013

2007-2012 - Tahun-tahun penuh tarbiah

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, duhai anak-anak permata hati telah sebulan kembali ke tanahair, Alhamdulillah amanah semua yang ummi dan abah galas di bumi UK InsyaAllah telah selesai kami lunaskan. Maka, pulanglah kita untuk menjalankan amanah yang lain pula, amanah ummah InsyaAllah.

Kalian saat ini masih lagi terus menerokai kehidupan baru di bumi tumpah darah kita tercinta dengan persekitaran dan rakan-rakan yang baru. Pendidikan musleh adalah pilihan yang ummi dan abah hamparkan buat kalian dan ummi mengharapkan biah soleh yang kami cuba terapkan di rumah dapat kalian rasa sinambungannya di sekolah.

Sememangnya segala-galanya adalah baharu dan tidak mendamaikan pada pengalaman yang awal. InsyaAllah ummi dan abah amat tenang melihatkan persekitaran yang cintakan Allah, Rasul dan Al-Quran. Muallim dan muallimah yang sejuk mata memandang, senyuman ikhlas tercoret di bibir dan pelukan hangat ukhwah yang terasa saat pertama kali bersua. Pada Allah ummi serahkan kalian, doa ummi, kalian akan terdidik sepertimana mereka mendidik darah daging mereka sendiri, penuh tarbiah dalam menjunjung ketauhidan kepada Allah. InsyaAllah.

InsyaAllah ummi akan menyambung certa kembara sementara kita di bumi ini.

Friday, 23 November 2012

22 November 2012



Allah,
Allah,
Allah,
Allahuakbar

Berhentilah airmata,
Lama sudah tak putus,
Keringkan airmatamu anakku,
Sabarlah hati yang pedih,

Waktu kita jauh beribu batu,
Takdir Allah dia pergi,
Belum kau kenal kasih nendamu,
Dia pergi mengadap Ilahi.

Disetiap rindu ku lantunkan doa,
Di setiap titis air mata kita kirimkan doa,
Di setiap hela nafas kita panjatkan doa,
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Mujeeb, Ya Ghaffur, kami redha Kau ambil dia kembali ke sisi MU, Kami mohon janganlah Engkau ambil dia dari doa kami dan generasi kami, Ya Allah

Al-Fatihah. Allah ampunkan dosa abah, luaskan dan lapangkan kubur abah, dan jadikannya tempat beristirehat, terangkanlah ia, dan jadikanlah ia jendela taman-taman syurga. aameeen.

Dari Ummu 'Athiyah r.a., katanya: "Kami dilarang berkabung kerana kematian, lebih dari tiga hari; kecuali kerana kematian suami, boleh empat bulan sepuluh hari. Selama masa berkabung itu, kami tidak dibolehkan memakai celak (kosmetik), wangi-wangian, dan memakai pakaian yang bercorak (warna-warni). Tetapi hal seperti itu dibolehkan bagi perempuan yang baru suci dari haid sekedar untuk kebersihan, kesihatan, dan menghilangkan bau hamis."  - Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1436.

Sehari abah pergi mengadap Ilahi, masih bagai mimpi, bukan menyesali, tapi mengubat hati, ku rebut peluang 3 hari berkabung ini, ku biar aimata jatuh, kerana sayang yang luas, cinta yang dalam buat abahku.

Tuesday, 2 October 2012

Memori Hati - Monolog 2 bab akhir



Hati bersimpuh,
naluri bertaut,
suara kalbu terbang pergi,
menembusi langit paling tinggi,
ubat dunia berlalu pergi,
bila rohani menempuh sakit,
Kalam Allah ubat hati.

Masa tidak lagi cemburu,
terus dia pergi tak berpaling,
tidak tunggu lagi seperti selalu,
pun tidak juga menjeling
baru tahu dia paling berharga,
pada seisi dunia,
hanya mahu dia tetap tinggal,
dan pemalar lain berubahlah,
janji dia tetap pemalar,

Terima kasih Allah,
ubat hati dan rohani,
kalamullah pengubat duniawi ukhrawiku,
bersimpuh hati dalam dakapan ayat cinta Ilahi,
masa juga kerdil meruntun kembali bawa hati
merilih penuh makna sebuah naskah yang masih berbaki.

InsyaAllah, bakal ditutupi naskah dengan cinta Ilahi dan kerdil diri, bahawa setiap langkah dan huruf itu bukan milik siapa-siapa, bahkan milikNya jua, setiap titik dakwat tak tertumpah dengan izinNya, kembali hati menjadi kecil dan bersimpuh merenung besarnya rahmat Ilahi....



Friday, 1 June 2012

Memori Berjuang - Malu!!!


Pic's source - google

Malu membaca kisah ini, sungguh memalukan.

------------------------------------------------------------------------------------------------
Kisahnya begini, ada seorang tuan yang amat baik dengan hamba perempuannya, teramat baik, diberi makanan yang enak2, disediakan tempat tinggal yang baik, diberikan kenderaan yang cantik, hambanya diperintahkan melakukan kerja-kerja dengan baik kerja-kerja yan...g tidak mendatangkan mudharat padanya malah menambahkan kebaikan.

Tapi hambanya selalu ingkar, benda baik yang disuruh selalu tidak dilakukan, teguran-teguran hamba-hamba yang lain selalu dipandang remeh, malah meremehkan mereka pula, teguran baik selalu dipandang tidak endah, malah dia menyuruh yang lain mencermin diri, menyangka dengan ingkar suruhan tuannya dia masih lagi hamba yang baik, dengan melanggar suruhan tuannya dia masih layak dikasihi tuannya.

Selalu hatinya tidak tenang, merasa tidak cukup makanan, tidak cukup pakaian, tidak betah tinggal dirumah cantik, tidak selesa berkenderaan baik.

Dia datang ke tuannya dan meminta-minta, supaya dia dipandang dan supaya kehendaknya dituruti. Tuannya memberi lagi apa yang di hajati. Walau kebanyakan suruhan tidak di turuti, kalau di ikuti pun memilih-milih kerja yang dilakukan, yang membawa untung sendiri yang di ikuti.

Tidak pernah ada rasa malu, meminta selalu, menuruti hanya bila senang di hati. Tiada riak malu di wajah sendiri.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Oh beginilah kisahnya kita hamba dengan tuan kita iaitu Allah S.W.T.

Tidak ada lagi malu bila nikmat selalu diberi, perintah Allah tidak dituruti, nasihat orang baik tidak mahu didengari, malah terus meminta-minta seperti kita ini tiada salahnya.

Malu... malu sendiri rasanya bila di muhasabah.
Rupanya beginilah kita pada kebanyakan masanya.... sedih rasanya...Masih, kita punya Allah yang Maha luas pengampunannya.... Allahuakbar


Allah.... Allah sungguh malu rasanya, ampunkan kami ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang benar, jalan yang Engkau redhai, semoga kami selalu menjadi hambamu yang sentiasa bersyukur dengan melaksanakan semua suruhan Mu dan meninggalkan segala laranganMU dan sentiasa sedar dan datang padaMu.... aameeen ya Rabb

Tuesday, 29 May 2012

11 tahun mengukir bahagia syurgawi - 260501-260512 and counting

Zauj Kareemku,
Hari ini genaplah 11 tahun,
Ijab bersambut,
Mahar berganti tangan,
Amanah abang raih.

Masih jelas seperti semalam,
keringat di dahi, abang elus diam,
mulut terkumat-kamit,
ijab kabul di hafal sejak berminggu lalu,
abang ulang dan ulang,
sambil zikir menyejuk hati dan istighfar berulang kali,

Bahu abang tak bakal ringan lagi,
Abang bakal meringankan bahu Abah pula.

Sejak saat itu,
tak pernah sehari berlalu tanpa syukur di hati,
Kurniaan Ilahi,
Abang, imam yang di sayangi,
11 tahun bukanlah lama bukanlah baru,
Namun seperti baru semalam,
Abang menjadi pakaian Ati,
Ati menjadi pakaian abang,
Seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 187, diantaranya:

"Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka."
 
Mula saat itu setiap aib dan indah
abang jaga dan lindung seperti pakaian menutup aurat paling kukuh,
Begitu juga Ati sebaliknya.
Laksana pakaian yang selesa seperti sutera,
Mehnah dunia yang panas dan melemaskan,
kita harung bersama,
umpama pakaian yang saling mendamaikan,
gigitan ujian dan sengatan nafsu duniawi,
sama-sama  kita jauhi,
Bak pakaian yang menutupi,
debu dan habuk yang menyesakkan rumahtangga,
sama-sama kita hindari.
ibarat pakaian,
kita tahu cukup dan kurangnya,
tidak terlalu tebal hingga melemaskan,
tidak terlalu nipis hingga sejuk menggigit ke tulang hitam,
ibarat pakaian, saling mencukupi tidak membebankan,
Abanglah pakaian paling indah bak sutera hijau syurgawi,

Abang Zauj Kareem Ati,
Terima kasih sayang,
abang hidangkan kami dengan akhlak yang indah,
teladan buat buah cinta kita,
abang sajikan kami makmummu,
dengan cantiknya adabmu,
pengikat hati-hati kita selalu,
maka mengertilah isterimu ini,
bila meneliti bait-bait hadis Nabi,

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya." (Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Hibban, al-Baihaqi dan al-Wahidi).

Abang yang di sayang,
Semoga Ati dan cinta hati kita,
adalah penyejuk mata dan hati seperti doa yang abang lantunkan saban waktu,
Semoga Ati juga pakaian sutera hijau syurgawi abang,
Ingin bangun di alam kekal sebagai bidadari abang.
Bersama di singgahsana dipenuhi mutiara dan sutera,
Tetap muda dan membahagiakan,
Kekal bersama-sama,
InsyaAllah,
Aameeen.

Selamat Ulangtahun Baitul Muslim kita yang ke-11 Zauj Kareemku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails