Wednesday, 2 March 2011

Memori Berjuang - Exit


Assalamualaikum w.b.t anak-anak abah dan ummi yang kami cintai... kalianlah generasi yang bakal menyambung bekal pahala dan rahmat Allah buat kami, saat jasad di mamah bumi. Ingatilah kami dalam doa kalian, dalam sedekah kalian, terima kasih anak-anak kami.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Teringat-ingat ketika kita menjemput orang-orang kesayangan kita di airport, Tah, Tok Mak dan mak cik yang datang berkelana sebentar dibumi UK ini, perasaan kita sangat indah, gembira, di awang-awangan. Perasaan mereka juga begitu, indah gembira dalam kesyukuran. Tak sabar untuk sama-sama mengembara melihat indahnya dunia Allah ini, tak sabar mentadabbur alam, dan mengutip redha Allah.

Berkelanalah sebentar. Dan, saat menghantar Tah, Tok Mak dan mak cik ke airport untuk pulang, saat mereka berpeluk-pelukkan dengan kita, dan saat melambaikan tangan melepaskan mereka berjalan melintas papan tanda EXIT, hanya Allah yang tahu, ada ruang kosong yang berbekas di hati. Perasaan sedih dan sukar untuk melepaskan. Yang terngiang-ngiang hanyalah memori indah bersama. Orang yang ditinggalkan sangat-sangat terasa.

Orang yang meninggalkan kita melepasi pintu EXIT, pasti ada pelbagai rasa, sedih kerana terpaksa meninggalkan kita di sini, gembira kerana dapat kembali ke asal, dapat berjumpa yang tercinta di tanahair. Dan bila memandang keliling, ragam manusia di airport, ada yang tersenyum indah dan gembira saat melepasi tanda EXIT, ada yang berjujuran airmata. Pelbagai ragam.

Begitulah analoginya, ENTRY dan EXIT kita di fasa ketiga kehidupan. Fasa pertama di alam roh, fasa kedua di alam rahim, fasa ketiga di alam dunia, fasa ke empat di alam kubur dan fasa terakhir di alam akhirat.

Saat kita lahir, yang menyambut rasa gembira, Alhamdulillah, kita sendiri tidak pasti pula perasaannya. Saat EXIT kita dari kehidupan dan kembara sementara ini, yang tinggal pastilah bersedih, merasa sangat kosong, dan kita yang pergi, pasti sedih dan takut kalau bekal amal kita hanyalah ringan belaka. Tapi, jika bekal amal kita berat, pasti senyum terukir di bibir, andai yang akan kita tuju adalah pada yang amat kita cintai dan rindui untuk berjumpa ya'ni Allah Aza Wajjala... pasti senyum dan kegembiraan yang kita rasai, saat penantian di fasa empat kehidupan pasti dipenuhi cahaya dan ruang sempit zahirnya terasa luas dan pemandangannya adalah tempat yang kekal di fasa terakhir nanti.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Rujukan: Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam, 'Jambatan Ke Akhirat'. Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam dan Al-Hidayah Publications (Malaysia)

1 & 2. Daripada Allah kita datang dan kepadanya pula kembali dan Mati adalah perkara besar

Kematian adalah ujian,Al-Baqarah (2:155)

2:155

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Akhlak kita dalam menangani ujian - air mata yang menitis itu, biarlah jatuh, kerana sudah pasti hati menjadi sangat pedih menerima ujian dari Allah, nabi sendiri menitiskan airmata saat kematian anakandanya Ibrahim, tapi berpada-padalah, janganlah meratap, berkeluh kesah menyalahkan Allah.

Dari Anas bin Malik radhiallaahu anhu juga pernah meriwayatkan ketika putra Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam, Ibrahim akan meninggal, ia datang menemui Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam sedangkan Ibrahim nafasnya sudah termengah-mengah, maka kedua mata beliau pun berlinang air mata. Dalam riwayat lain disebutkan beliau mengambilnya dan meletakkannya di atas pangkuan sambil berkata: “Wahai anakku! Aku tidak memiliki hak kuasa apapun yang dapat kuberikan kepadamu di sisi Allah”. Melihat Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam menangis, Abdurrahman bin Auf dan Anas lalu bertanya: “Wahai Rasululloh mengapa Anda menangis? Bukankah Anda telah melarang menangis?’ Beliau menjawab : “Wahai Ibnu Auf, sesungguhnya tangisan itu adalah rahmat, dan barangsiapa tidak memiliki kasih sayang maka ia tidak mendapatkan kasih sayang”, kemudian beliau melanjutkan sabdanya: ” Sesungguhnya mata bisa berlinang, hati juga bisa berduka namun kita hanya bisa mengucapkan yang diridhai Rabb kita. Wahai Ibrahim, sungguh kami sangat bermuram durja karena berpisah denganmu.” (HR. Al-Bukhari dan Mus-lim)

Bermuramlah dan berkabunglah seketika saat mententeramkan hati, kerana baru menghadapi ujian Allah, Nabi juga pernah berkabung di saat kematian Khadijah dan Abu Talib, tahun yang penuh kesedihan buat baginda, tetapi berpada-padalah.

Bersabarlah buat yang tinggal, Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar, indahkan, Allah tak pernah meninggalkan kita walau sesaat apatah lagi bila Allah menjanjikannya di dalam ayat 153 surah Al Baqarah, (2: 153). Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.

Hikmah bersabar itu besar, ganjaran pahalanya juga tidak terhitung oleh angka seperti mana yang dinyatakan Allah, Az-Zumar, ayat 10 (39:10). ganjaran sabar yang tidak terkira, melainkan hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

'Amat menakjubkan sekali kelakuan orang-orang yang arif tentang harga sabar ini. Mereka itu berkeadaan seperti gunung-gunung batu yang pejal lagi teguh, yang tidak mampu digoncang ribut, walau sekuat mana ribut tersebut.' - rujukan

Indah ayat di atas.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

-Bersambung-






Tuesday, 1 March 2011

Memori Hati - Semuanya ada titik mula

(credit to Lensa Hanim Awang)

Assalamualaikum anak-anak ummi dan abah semoga dalam kasih sayang Allah dan semoga hidup kalian penuh kesyukuran kepada Ilahi pada saat kalian membaca coretan hati ummi buat kalian.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Anak-anakku, saat terbaca ayat di dalam surah As-Saf, ayat 2 dan 3, terasa-rasa seperti bergetar di hati,

Ayat 2:

61:2

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!

Ayat 3:

61:3


Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Allah!, bergetarlah seluruh anggota dengan amaran dalam ayat-ayat ini dan ayat ini selalu membuatkan ummi sangat-sangat berfikir, apakah aku termasuk dalam golongan yang di sebut dalam ayat-ayat ini. Sungguhlah ruginya andai termasuk. Ya Allah lindungilah kami.

Yang di namakan manusia itu, imannya ada pasang surutnya. Teringat pada kisah sahabat nabi Hanzalah, beliau merasa sangat sedih, tatkala teringatkan yang dirinya seperti terlupa tentang kesan khutbah nabi yang membuatkan hatinya menjadi lembut dan teringat kepada Allah. Sedihnya beliau kerana, sejenak selepas pulang dari mendengar khutbah, dia kembali bersenang dan bersuka ria dengan anak-anak dan keluarga. Bila ditanya pada Rasulullah, adakah itu tanda munafik? Rasulullah menyatakan bahawa itu bukan munafik, tapi begitulah keadaan iman manusia. Ada pasang surutnya.

Ummi selalu merasakan selalu surutnya keadaan iman, selalu lalai, dan kemudian bila tersedar terasa seperti sangat sedih dengan diri sendiri yang selalu lalai dan tunduk kepada nafsu dan syaitan. Bila sedar, bertaubat lagi.

Beruntunglah sekalian manusia kerana Allah itu Maha Pengampun,Al Quran (4:110)

4:110

Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Janji Allah sentiasa benar.

Begitulah anak-anakku, bila ummi mahu berkongsi, tentulah perkara-perkara yang baik dan membawa kepada kecintaan kepada Allah dan rasul yang akan ummi tekankan, kadang-kadang ummi terfikir, banyak ingatan yang terlalu ideal, dan kadang-kadang perkara yang kita ingatkan, kita sendiri pun jarang-jarang melakukannya. Dan waktu itu syaitan mula memainkan jarum, ' Kalau begitu, baik tak payah berkongsi ingatan, takut nanti memakan diri, tak ingatkah ayat 2 dan 3 surah As-Saf'. Sedangkan setiap orang mesti sentiasa mengajak kepada kebaikan dan melarang benda-benda yang mungkar.

Perbincangan ummi dan abah, membawa kepada nekad di hati, InsyaAllah, tugas kita adalah saling ingat mengingati, ummi juga manusia biasa, tak lari dari melakukan kesilapan, dan kadangkala dengan berkongsi pengisian dengan yang lain adalah jalan atau cara mengingatkan diri sendiri. InsyaAllah. Terlalu banyak kekurangan ummi, dan terlalu sedikit ilmu Allah yang ummi selusuri. Semoga apa yang ummi kongsikan bersama anak-anak diwaktu ini adalah peringatan buat ummi sendiri InsyaAllah. Dan, ayat 2 dan 3 surah As-Saf ini sebagai pengikat buat memajukan lagi iman dan taqwa InsyaAllah.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Allah, Lindungilah kami dan bantulah kami ya Allah......

Tuesday, 8 February 2011

Memori Berjuang - Al-Qasas (Cerita), ayat 82 yang terus mengingatkan...


Assalamualaikum w.b.t anak-anak yang ummi dan abah kasihi, cahaya mata yang kami tatang bagai minyak yang penuh...

Pagi ini, pagi yang bersinar-sinar, matahari memancar terang menyuluhi bumi Leeds, Alhamdulillah. Dalam terang mentari, dingin musim sejuk masih terasa hingga ke tulang hitam. Subhanallah, Allahuakbar, Maha Besar Allah yang berkuasa mengumpulkan sinar mentari memancar dan juga dingin yang menggigit dalam suatu masa. Bukti kekuasaan Allah.

Pagi ini ummi mulakan motivasi diri dengan ayat dari surah Al-Qasas, ayat 82.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

28:82

Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun - mulai sedar sambil berkata: "Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!"

(Tafsir Ibnu Kathir)

Orang-orang yang bercita-cita untuk memiliki kemewahan seperti Qarun, sedar setelah mereka melihat Qarun di tenggelamkan oleh Allah ke dalam muka bumi. Azab buat hamba yang tidak bersyukur dan kufur nikmat Allah. Tidak ada seorang pun yang dapat menolong.

Mereka sedar, bahawa hanya Allahlah sahaja yang menentukan rezeki dan kemewahan bagi setiap orang yang dikehendakiNya. Mereka menyedari bahawa banyaknya harta benda dan kesenangan menikmati kehidupan duniawi yang serba mewah, tidak menunjukkan keredhaan Allah SWT bagi pemiliknya.

Diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud r.a bahwasanya Allah SWT telah memberikan kepada manusia watak mereka masing-masing sebagaimana Dia telah membagi-bagikan rezeki di antara mereka. Dan sesungguhnya Allah itu memberikan harta kepada orang yang disenangi, dan juga orang yang tidak Allah senangi tetapi nikmat Iman hanya diberikan kepada orang yang Allah senangi dan kasihi.
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Ya Allah, hambaMu ini tidak tahu ya Allah, kurniakanlah pemahaman dalam hal yang bermanafaat buatku disisiMu ya Allah.

Kasih sayang dan rindu padaMu lebih ku harapkan dari seisi dunia.

Nikmat menyintai dan memahami agamaMu ini lebih ku inginkan dari air yang dingin di padang yang kering kontang.

Jadikanlah aku, pasanganku dan anak-keturunanku orang-orang yang tetap mendirikan solat dan mendapat hidayah dan rahmatMu.

Aameeen........




Monday, 7 February 2011

Memori Berjuang - Ya Allah, ku mohon motivasi dariMu di pagi ini...


Assalamualaikum anak-anak ummi yang soleh dan solehah, permata hati ummi dan abah, semoga saat kalian membaca coretan ini, anak-anak berada dalam putaran iman yang tinggi dan dalam gelombang kehidupan yang tenang.

Permulaan pagi ini buat ummi, sungguh pelbagai. Setelah bercuti dua hari di hari minggu, memulakan pagi isnin bermujahadah juga.

Pagi ini ummi mulakan dengan sedikit tadabbur surah Al-Qasas, selepas beberapa peringatan yang diberikan oleh Allah dalam ayat-ayat sebelumnya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------
Rasa diberi semangat oleh ayat 77 dari surah Al-Qasas ini.


28:77

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".


(Rujukan Asbabun Nuzul, Tafsir Al-Quran)

Pada ayat ini Allah SWT menerangkan empat macam nasihat dan petunjuk yang ditujukan kepada Qarun oleh kaumnya. Barangsiapa mengamalkan nasihat dan petunjuk itu akan memperoleh kesejahteraan di dunia dan di akhirat kelak.

1. Harta kekayaan, ilmu dan apa sahaja perbendaharaan serta nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita sekarang ini hendaklah ia memanfaatkan di jalan Allah, patuh dan taat pada perintah-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya untuk memperoleh pahala sebanyak-banyaknya di dunia dan di akhirat. Semoga kita selalu beringat tentang lima perkara sebelum datang lima perkara lagi.

2. Janganlah seseorang itu meninggalkan sama sekali kesenangan dunia baik berupa makanan, minuman dan pakaian serta kesenangan-kesenangan yang lain sepanjang tidak bertentangan dengan ajaran yang telah digariskan oleh Allah SWT, karena baik untuk Tuhan, untuk diri sendiri maupun keluarga, semuanya itu mempunyai hak atas seseorang yang harus dilaksanakan. Sabda Nabi Muhammad saw:

اعمل لدنياك كأنك تعيش أبدا واعمل لآخرتك كأنك تموت غدا
Artinya:
Kerjakanlah (urusan) duniamu seakan-akan kamu akan hidup selama-lamanya. Don laksanakanlah amalan akhiratmu seakan-akan kamu akan mati besok. (H.R. Ibnu Asakir)

3. Kita juga harus berbuat baik sebagaimana Allah SWT berbuat baik kepadanya, membantu orang-orang yang berkeperluan, harta dan kesenangan yang diperolehi, ada di dalamnya hak-hak orang lain.

4. Janganlah seseorang itu berbuat kerosakan di atas bumi, berbuat jahat kepada sesama makhluk Allah, kerana Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. Allah SWT tidak akan menghormati mereka, bahkan Allah tidak akan memberikan redha dan rahmat-Nya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------

Ya Allah, kami pohon kurniakanlah ilmu yang bermanfaat dan rezeki yang halal buat kami hari ini. Berkatilah ilmu yang kami cari dan perolehi pada hari ini. Kami tidak tahu ya Allah, fahamkanlah bagi kami ilmu-ilmu ini ya Allah. Aameeen ya Allah.....


Thursday, 3 February 2011

Blossoms Memory - Gesaan seorang Yusuf al- Qaradawi

Sudah jelas, di suluh lagi.....

QATAR, 2 Feb:
Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Syeikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan.

Beliau perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali. Syeikh Yusuf al-Qaradawi menggambarkan sistem pemerintahan Mesir sebagai tidak mengerti dan tidak berfikir.Ianya buta tidak melihat, tuli tidak mendengar, serta bodoh tidak memahami.

Al-Qardhawi menyeru Mubarak melalui al-Jazeera katanya, "Undurlah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir".

Beliau meminta Mubarak agar merasa belas kasihan terhadap dirinya sendiri serta ahli keluarganya.

Kuasa kerajaan itu jika dianggap sebagai peluang keemasan maka cukuplah tempoh tiga puluh tahun itu, dan jika dianggap sebagai hukuman denda pula, maka cukuplah juga tempoh tiga puluh tahun itu.

Al-Qaradhawi menyarankan Mubarak agar melepaskan kepimpinan serta meninggalkan Mesir yang sudah kerugian dan kehilangan wangberbilion-bilion.

"Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak".

Beliau menambah bahawa puluhan pemuda telah gugur dalam tempoh satu hari dalam menuntut hak mereka, "Tapi kamu dan askar kamu pula telah membalas mereka dengan peluru hidup."

Al-Qaradawi menambah, "Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki", untuk diadili dan dibicara sesudah itu oleh mahkamah awam dan bukannya oleh mahkamah tentera, "yang kamu bina untuk mendakwa pihak lawanmu, lalu kamu menghukum mereka dengan hukuman yang zalim", di bawah undang-undang darurat, dan sesungguhnya "bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah. "

Syeikh al-Qaradawi menganggap bahawa Mubarak tidak memahami mesej dari rakyat, malah keluar dengan ucapan yang menunjukkan bahawa ia tidak merasakan apa yang terjadi.

Dia berada "dalam dunia yang bukan dunia kita, tidak merasa kelaparan orang yang lapar, atau kesakitan orang yang terluka," dan mempersoalkan pula faedah untuk membubarkan kerajaan, sementara ia tidak mengatakan apa yang seharusnya dikatakan iaitu membubarkan Dewan Syura dan Dewan Rakyat serta menghapuskan undang-undang darurat.

Rakyat dan Tentera

Dalam ucapannya, al-Qaradhawi mengalu-alukan rakyat Mesir atas kebangkitan mereka melawan situasi korup yang telah banyak mereka bersabar terhadapnya, seperti kesabaran mereka melihat ramai orang mengaut kekayaan negara serta menikmati keuntungannya, sedangkan mereka tidak mampu mencari makanan harian mereka.

Beliau menggambarkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai pemberontakan secara aman, tidak ada kayu mahupun senjata, bagi menuntut kehidupan yang lebih baik serta rezeki yang halal, akan tetapi mereka dikejutkan pula dengan peluru hidup dari pihak pengawal keamanan, menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Beliau menekankan bahawa para penunjuk perasaan yang sebenar tidak bertanggungjawab menyertai sebarang kes PENCURIAN ATAU PENJARAHAN.

Beliau menasihati mereka, "Janganlah kamu sekali-kali memanjangkan tangan pada mana-mana harta milik institusi awam ataupun swasta, kerana itu adalah HARAM."

Beliau turut menyatakan rasa bangga dan hormat terhadap tentera Mesir serta menyeru mereka untuk melindungi negara Mesir di masa mendatang tanpa campur tangan dalam hal pemerintahan.

Beliau menuntut pihak tentera agar menyerahkan hal kuasa pemerintahan kepada rakyat dan pemilihan presiden dibuat sesuai dengan dasar-dasar syura dan juga demokrasi.

Sumber: al-Jazeera.

Wednesday, 2 February 2011

Blossoms Memory - Mata sejarah

Assalamualaikum anak-anak kecintaan ummi,

Saat ini, kita menyaksikan kebangkitan besar-besaran rakyat di sebelah tanah arab sana. Dengan gelombang yang di bawa oleh rakyat di Tunisia, menggerakkan sendi-sendi sedar rakyat di Mesir sendiri. Fitrahnya, akal yang sihat, mahukan kepada fitrah, yang zalim harus dikeluarkan, yang ditekan, bila bersatu akan menekan kembali.

Pandangan yang lebih besar,
Gelombang yang amat diharapkan bakal melepaskan jerut di leher Ghaza. Kebangkitan Islam yang ditunggu-tunggu.

Pandangan yang lebih fokus,
Bimbangkan adik-adik yang masih tidak di ketahui nasib mereka, jangka masa pendek - makan, minum tempat tinggal dan keselamatan, jangkapanjangnya - masa depan, pelajaran mereka. Bukan sikit orang-orang yang dekat di hati kita yang berbekas kesan. Ramai, di Cairo, Mansourah, Alexandria. Mereka-meraka ini amat dekat dengan kita walau dipisah benua. Hati di ikat kerana kita punya iman yang sama, ukhwah fillah. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, Allah pasti memberikan yang terbaik buat mereka-meraka ini yang hati mereka sangat dekat dengan Allah.

Sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat, bagi orang-orang yang sanggup bersusah payah kerana Allah, menghadapi qada' dan qadar dengan hati yang redha dari mula, dan Allah pasti tidak akan membiarkan hamba-hambaNya yang beriman begitu sahaja. Pasti ada pelangi dan taman yang indah menanti di hari depan.

Buat ikhwah dan akhawat di bumi anbiya' semoga kemenangan bersama dengan mereka yang benar-benar berjuang kerana Allah, bukan bersama pemimpin yang zalim.

Tuesday, 1 February 2011

Blossoms Memory - Retak


Ummi, I wish you can come home early today.........
Ummi, I wish you don't have to go to work........
Ummi, I wish you stay at home today.......

Allah.... perkataan yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga, saat Mesir menjadi saksi kebangkitan rakyat menentang rejim yang zalim...

saat ini juga hati ummi lebih berperang mengenang keluh kesah anak-anak dalam negara kecil kami. Ummikah diktator zalim yang sukar membahagikan sama rata masa yang Allah kurniakan ini?

Ada sesuatu tersekat di tengkolok.

Hanya pada Allah ummi merintih, bukan pada siapa-siapa, hanya pada Allah yang Maha Hebat.

Tenangkanlah ya Allah hati anak-anak kami ini semoga kami sama-sama redha dalam pengorbanan fi sabilillah kami sendiri.

Allah... Engkaulah pemilik makhluk yang bernama tenang, limpahkanlah buat kami tenang itu.

Ya Allah... kurniakanlah kemenangan buat agamaMu ini di tanah para anbiya' sana. Aameeen....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails