Thursday, 17 March 2011

Hanya untukMU: Doa kami mohon zuriat......


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Duhai anak-anakku, ummi kembali mengupas kelompak rindu yang bersarang dihati, menyelak halaman rindu yang memahat saat paling indah dalam hidup, kembali mahu bercerita setelah reda ombak rindu yang menghempas hati, bila mengenang tanah yang dipijak oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Sesungguhnya, perasaan rindu yang hebat Allah kurniakan pada setiap manusia yang singgah ke tanah suci itu. Sukar diungkap, InsyaAllah setiap orang akan melaluinya InsyaAllah. Bila mendapat berita sahabat dan taulan yang akan berangkat ke haramain, Mekah dan Madinah untuk menunaikan umrah atau haji, hati menjerit-jerit. Senang sangat tangisan luruh dari mata. Rindu bertandang lagi. Saat ummi menekan keyboard menaip satu persatu, seperti ada sesuatu yang menahan dikerongkong, berat sungguh panahan rindu. Oleh itu, cerita-cerita tentang pengalaman ummi dan abah di sana, lama tertangguh. Ummi berazam untuk menulis juga sedikit demi sedikit, semoga ada manafaatnya buat anak-anak, bila tiba masa kalian nanti dijemput menjadi tetamu di rumah Allah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Teringat ummi semasa hendak menunaikan umrah kali pertama dulu, masa itu, hanya kakak Humaira sahaja yang sudah lahir. Hasya dan Hafiy masih belum lahir. Masih di alam roh.

Dengan usia kakak Humaira yang sudah menginjak lebih setahun, ummi dan abah yang hampir habis pengajian master kami, ummi dan abah sudah bersedia untuk menimang cahayamata lagi.

Didalam hati dan perbualan kami, kebiasaannya bila kita sudah mempunyai anak perempuan, pasti kita menginginkan anak lelaki pula. Begitu juga fikiran ummi dan abah.

"Akak nak pergi umrah ni nanti saya nak mintak doa di tempat-tempat yang mustajab, nak mintak doa nak dapat anak lelaki pula," Cerita ummi pada sahabat yang ummi anggap seperti kakak sendiri. Kakak Humaira memanggil beliau dengan panggilan ibu. Kak Fauziah namanya.

"Ti, kalau nak berdoa lebih baik berdoa mintak Allah kurniakan kepada kita anak-anak yang terbaik buat kita di sisi Allah, lelaki ataupun perempuan, mintak Allah kurniakan bilangan sebanyak mana yang terbaik di sisi Allah," Nasihat ibu pada ummi.

"Sekarang memang kita nak sangat anak lelaki, tetapi kita tak tahu adakah itu yang terbaik buat kita, adakah anak itu yang mampu kita didik dan pelihara," Tambah ibu lagi.

"Ya, betul cakap akak tu," tambah ummi.

Ya Allah ku Mohon kepada Mu ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui, Allah yang Maha Bijaksana, didalam genggamanMu lah kitab suratan semua manusia, Ya Allah yang Maha Mengaturkan segala ketetapan, hambaMu ini tidak tahu apa yang terbaik buatku ini disisiMu ya Allah, kurniakanlah segala sesuatu yang terbaik buatku disisiMu.

Ya Allah ku mohon ya Allah kurniakanlah kepadaku zuriat keturunan yang mampu aku dan suamiku didik menjadi muslim yang beriman dan bertakwa samada lelaki atau perempuan dan bilangan mereka ya Allah. Sesungguhnya hambaMu ini hanya mengharapkanMu.

Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat) dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi [ Al Quran (21:89)].


Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. [ Al Quran (3:38)].

Berdoalah kami supaya diberikan zuriat yang terbaik buat kami dari sisi Allah.

Sebulan selepas pulang dari mengerjakan umrah, ummi dan abah menerima berita paling gembira, ummi mengandung untuk kali kedua. Dan anak kedua ini sangat-sangat kami tunggu dan ternanti-nanti. Lelaki atau perempuan itulah yang terbaik disisi Allah buat kami. Dan Alhamdulillah, lahirlah Hasya Amalin Bt. Hizamel, zuriat kedua yang montel dan sihat. Saat ummi diberitakan mengandung untuk kali ketiga, hati masih pasrah kerana penuh yakin dengan doa dihadapan Kaabah di Mekah, redha kehendak Allah dan bergembira. Allah menetapkan di lauhul mahfudz, anak ketiga kami adalah zuriat lelaki, Hafiy Addin Bin Hizamel. Alhamdulillah, comel dan sihat.
------------------------------------------------------------------------------------------------

Saat memandang kalian sekarang, terpandang doa-doa yang dimakbulkan Allah. Maka nikmat Allah yang mana lagi yang hendak ummi dan abah dustakan?

Saat memandang kalian terlihat amanah besar dari Ilahi buat kami ibubapa. Harta tidak ternilai. Semoga ummi dan abah diberikan kekuatan dan hidayah dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang beriman dan bertakwa. Mujahid dan mujahidah di jalan Allah. InsyaAllah.

9 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum kak ati..

Di harap semua keluarga di sana sihat dan sentiasa di bawah rahmat Allah.. Sebenarnya Fara selalu jugak baca cerita2 yang kak ati sisip di blog ni.. Tapi cerita kali ni buat Fara rasa nak comment plak.. huhu..

Anyways, Fara pun berharap Allah kurniakan bilangan zuriat yang sebanyak mana yang terbaik di sisi Allah.. pada kita semua.. Amin..

Setakat ni, Fara cuba nak didik zahra and sofea supaya mendapat didikan yang paling terbaik.. Tapi kadang2 tu rasa tertekan juga dengan dugaan dan cabaran.. Pernah juga terasa macam dah tak mampu.. Tapi bila terbayang muka anak2 semangat tu naik balik..

Fara harap kak ati dapat menulis lagi ilmu2 yang dapat menjadi rujukan bukan sahaja kepada anak2 juga kepada sesiapa sahaja yang membaca..

Good Job!

melatiblossoms said...
This comment has been removed by the author.
melatiblossoms said...

Farrah,

Kak ati rasa terharu, farrah baca juga coretan kak ati nie. Thanks Farrah. InsyaAllah, semoga Allah mengilhamkan jalan terbaik buat kita semua untuk mendidik zuriat kita menjadi yang terbaik dikalangan umat yang terbaik InsyaAllah.

Yang baik semuanya dari Allah, dan yang buruk itu dari kelemahan kak ati sendiri. InsyaAllah, ada ilham dari Allah kak ati akan cuba menulis. Terapi diri sebenarnya. InsyaAllah, ingatan juga untuk diri sendiri yang selalu lupa.

Lots of hugs and kisses for you and the sweetest babies... :)

Unknown said...

kak, mohon untuk copy + paste ayat² / doa² yer...

melatiblossoms said...

Frida:
Silakan.. semoga ada manafaatnya InsyaAllah

ainulmardhiah said...

kak, saya pun nak mohon untuk copy + paste ayat² / doa² yer.

melatiblossoms said...

Silakan Ainul Mardhiah

Unknown said...

Saya mohon copy paste ayat2 dan doa ye

aaa said...

saya mohon untuk copy doanya ya....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails