Thursday 21 July 2011

Blossoms Memory - Ayah dan ibu - bakti anak


"Kakak, kakak boleh tolong ummi buat toast tak, letak butter ngan coklat ok," Pinta ummi pada kakak, saat ummi menahan sakitnya tonsil yang membengkak, menghantar demam sekali.

Alhamdulillah, Humaira dan Hasya sudah boleh uruskan diri sendiri seawal pagi, dari mandi hinggalah berpakaian dan merapi diri. Syukur ya Allah. Mudah tugas ummi pagi-pagi.

Hafiy masih perlu dimandikan, di gosokkan gigi, sabun Hafiy boleh sabun sendiri guna sponge.

Alhamdulillah, tugas mandikan Hafiy dan gosokkan gigi Hafiy, Hasya yang bantu ummi. Dah boleh harap anak gadis ummi ni.

Sehari sebelumnya abah dah bercuti, demam kuat sampai tak larat ummi nak bangun. Hari ini susah untuk ambil cuti lagi. Alhamdulillah Allah kurniakan permata hati yang sungguh menyejukkan kalbu, membantu ummi tanpa ada rungutan sedikit pun. tiada soalan 'why?' keluar dari mulut, waktu ummi mohon bantuan. Syukur ya Allah.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Dan mereka itu ibubapaku. Ya Allah, adakah aku cukup berbakti buat mereka? Jelas alur wajah mereka menampakkan usia yang telah mereka harungi.

Garis-garis padu, menghantar mesej tentang jarak masa dan cerita yang mereka tempuh. Dahulu, janggut itu selalu menyapu pipi kami, gurau sang abah yang mahu membuat anak-anak ketawa. Setiap kali pulang dari kerja di tapak pembinaan, terus sahaja kami dia dapati, dan dengan janggut yang hitam tajam, disuakan ke pipi kami, mengekek-ngekek ketawa kegelian. Dan sekarang janggut itu bertukar putih, semoga menjadi cahaya di alam sana.

Senyum bonda masih serupa, saat menatap ayahanda, walau segunung masalah menimpa bonda tak pernah zahirkan pada wajahnya. Cuma sekali itu, dan amat meruntun hati, itupun setelah sedekad bonda pendamkan.

Pandangan bonda pada ayahanda tak pernah berubah, tetap manis dan mendamaikan. Sentiasa mencari ruang untuk meraih pahala, ayahanda tempat Allah menghantar pahala buat bonda. Walau berbagai cerita dalam baitul muslim mereka, tak pernah sekali kami saksikan mereka bertegang urat, tak pernah sekali. Pada kami permata mereka, hanya yang indah tentang rumahtangga ini yang mereka sajikan. Ruang masa yang kemudian bercerita.

Ceritalah, ceritalah semahu-mahunya. Sajilah cerita warna pelangi, atau kelam membelah alam, atau putih bak awan gemilang, atau kelabu memberat hujan, sajilah, mereka tetap ratu dan raja di hati kami. Dalam darah ini, kombinasi darah mereka. Mereka tetap punya hak atas kami anak-anak mereka, walau beribu warna yang tersaji.

Dan diri, sedarlah disetiap ruang waktu akan di tanya, sudahkah pada mereka diri berbakti.

Ya Allah, semoga ayat ini sentiasa menjadi rujukan buat kami anak-anak mereka, dan buat mereka anak-anak kami,

AlQuran (17:23)

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

AlQuran (17:24)

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Al Quran (17:28)

Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.

AlQuran (17:37)

Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.

Allahuakbar!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails