Showing posts with label Hanya untukMU. Show all posts
Showing posts with label Hanya untukMU. Show all posts

Thursday, 17 March 2011

Hanya untukMU: Doa kami mohon zuriat......


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Duhai anak-anakku, ummi kembali mengupas kelompak rindu yang bersarang dihati, menyelak halaman rindu yang memahat saat paling indah dalam hidup, kembali mahu bercerita setelah reda ombak rindu yang menghempas hati, bila mengenang tanah yang dipijak oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Sesungguhnya, perasaan rindu yang hebat Allah kurniakan pada setiap manusia yang singgah ke tanah suci itu. Sukar diungkap, InsyaAllah setiap orang akan melaluinya InsyaAllah. Bila mendapat berita sahabat dan taulan yang akan berangkat ke haramain, Mekah dan Madinah untuk menunaikan umrah atau haji, hati menjerit-jerit. Senang sangat tangisan luruh dari mata. Rindu bertandang lagi. Saat ummi menekan keyboard menaip satu persatu, seperti ada sesuatu yang menahan dikerongkong, berat sungguh panahan rindu. Oleh itu, cerita-cerita tentang pengalaman ummi dan abah di sana, lama tertangguh. Ummi berazam untuk menulis juga sedikit demi sedikit, semoga ada manafaatnya buat anak-anak, bila tiba masa kalian nanti dijemput menjadi tetamu di rumah Allah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Teringat ummi semasa hendak menunaikan umrah kali pertama dulu, masa itu, hanya kakak Humaira sahaja yang sudah lahir. Hasya dan Hafiy masih belum lahir. Masih di alam roh.

Dengan usia kakak Humaira yang sudah menginjak lebih setahun, ummi dan abah yang hampir habis pengajian master kami, ummi dan abah sudah bersedia untuk menimang cahayamata lagi.

Didalam hati dan perbualan kami, kebiasaannya bila kita sudah mempunyai anak perempuan, pasti kita menginginkan anak lelaki pula. Begitu juga fikiran ummi dan abah.

"Akak nak pergi umrah ni nanti saya nak mintak doa di tempat-tempat yang mustajab, nak mintak doa nak dapat anak lelaki pula," Cerita ummi pada sahabat yang ummi anggap seperti kakak sendiri. Kakak Humaira memanggil beliau dengan panggilan ibu. Kak Fauziah namanya.

"Ti, kalau nak berdoa lebih baik berdoa mintak Allah kurniakan kepada kita anak-anak yang terbaik buat kita di sisi Allah, lelaki ataupun perempuan, mintak Allah kurniakan bilangan sebanyak mana yang terbaik di sisi Allah," Nasihat ibu pada ummi.

"Sekarang memang kita nak sangat anak lelaki, tetapi kita tak tahu adakah itu yang terbaik buat kita, adakah anak itu yang mampu kita didik dan pelihara," Tambah ibu lagi.

"Ya, betul cakap akak tu," tambah ummi.

Ya Allah ku Mohon kepada Mu ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui, Allah yang Maha Bijaksana, didalam genggamanMu lah kitab suratan semua manusia, Ya Allah yang Maha Mengaturkan segala ketetapan, hambaMu ini tidak tahu apa yang terbaik buatku ini disisiMu ya Allah, kurniakanlah segala sesuatu yang terbaik buatku disisiMu.

Ya Allah ku mohon ya Allah kurniakanlah kepadaku zuriat keturunan yang mampu aku dan suamiku didik menjadi muslim yang beriman dan bertakwa samada lelaki atau perempuan dan bilangan mereka ya Allah. Sesungguhnya hambaMu ini hanya mengharapkanMu.

Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat) dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi [ Al Quran (21:89)].


Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. [ Al Quran (3:38)].

Berdoalah kami supaya diberikan zuriat yang terbaik buat kami dari sisi Allah.

Sebulan selepas pulang dari mengerjakan umrah, ummi dan abah menerima berita paling gembira, ummi mengandung untuk kali kedua. Dan anak kedua ini sangat-sangat kami tunggu dan ternanti-nanti. Lelaki atau perempuan itulah yang terbaik disisi Allah buat kami. Dan Alhamdulillah, lahirlah Hasya Amalin Bt. Hizamel, zuriat kedua yang montel dan sihat. Saat ummi diberitakan mengandung untuk kali ketiga, hati masih pasrah kerana penuh yakin dengan doa dihadapan Kaabah di Mekah, redha kehendak Allah dan bergembira. Allah menetapkan di lauhul mahfudz, anak ketiga kami adalah zuriat lelaki, Hafiy Addin Bin Hizamel. Alhamdulillah, comel dan sihat.
------------------------------------------------------------------------------------------------

Saat memandang kalian sekarang, terpandang doa-doa yang dimakbulkan Allah. Maka nikmat Allah yang mana lagi yang hendak ummi dan abah dustakan?

Saat memandang kalian terlihat amanah besar dari Ilahi buat kami ibubapa. Harta tidak ternilai. Semoga ummi dan abah diberikan kekuatan dan hidayah dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang beriman dan bertakwa. Mujahid dan mujahidah di jalan Allah. InsyaAllah.

Thursday, 30 December 2010

Hanya untukMu - Nawaitu Lillahita'ala


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh buat anak-anak amanah dari Allah buat ummi dan abah. Terlalu banyak yang ummi ingin coretkan dan kisahkan untuk kenangan kita bersama, semoga ada yang menjadi bekalan buat ummi dan abah di alam sana yang kekal abadi. Doa ummi dan pesan ummi selari dengan ayat Allah ini, (2:132)

2:132

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Jihad kami menuntut ilmu di bumi UK ini penuh dengan mujahadah. Datang dengan sumber kewangan yang terhad. Keluarga kecil kita yang masih muda, seperti keluarga muda yang lain yang masih nipis simpanan kami. Banyak airmata yang tumpah. Mujahadah dalam menuntut ilmu.

"Abang, kita akan tunaikan Haji kita dari sini, kan?" berkali-kali soalan ini akan ummi ajukan pada abah. Bila rindu bertandang.

2008, Hajjah Siti Nurhaida, kawan baik ummi yang sudah lama kami bersahabat, menyampaikan khabar sudah mendapat surat jemputan sebagai tetamu Allah. Gembira, sedih, cemburu, gembira lagi berbaur. Ingin pergi sama.

"InsyaAllah sayang, kita sudah tanam niat dan azam, Allah akan datangkan buat kita pertolongan," Pujuk abah, silih berganti, sesuai dengan soalan yang sering di ajukan.

Ummi pegang teguh janji Allah, (2:214)

2:214


Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
--------------------------------------------------------------------------------------------------
Nawaitu sangat penting dalam sesuatu usaha yang akan kita jalankan, anak-anak.

Berniatlah, berniatlah kerana Allah ta'ala, pasti Allah akan menyuluh jalan kita dan memberikan bantuan dari segala sumber yang tidak kita sangkakan, Total Faith dan Total Surrender, InsyaAllah.

Tahun baru masihi ini ummi mulakan dengan banyak niat.... :)

Bersyukur kepada Allah, tahun 2010 yang berlalu penuh dengan makna untuk muhasabah diri. Terima kasih buat semua.................

Friday, 17 December 2010

Hanya untukMU: Nur di wajah tetamu Allah.....


Assalamualaikum w.b.t, anak-anak ummi dan abah yang selalu di cintai dan di rindui. Semoga iman yang ada pasang surutnya ini terus pasang selalu. Iman itu tidak pernah dapat diwarisi, iman itu harus di cari, di kejar, di jejaki. Semoga benih-benih iman yang ditanam di jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi, tumbuh subur mengharumkan medan kebangkitan Islam sekali lagi. InsyaAllah.

Kembara ummi dan abah mencari redha Allah, menunaikan rukun Islam yang ke-5 tidak hanya bermula kebelakangan ini. Bagi ummi, mungkin cerita yang ini titik permulaannya, dan kesinambungannya membuak-buak di cerita ini.
----------------------------------------------------------------------------------------------------

Mesyuarat atau seminar yang dianjurkan oleh APMTTEMC Malaysian Chapter, menemukan kami. Dr. M dari Universiti di selatan tanahair. Raut wajahnya tenang, tutur bicaranya matang. Penampilan wanita muslimah bekerjaya yang berjaya. Wajahnya seperti bercahaya, sukar untuk ummi ungkapkan. Mesranya, seperti sudah kenal bertahun lamanya.

"Meh datang peluk akak, kata orang, orang baru balik Haji nie masih ada berkatnya untuk beberapa ketika." Riuh mulut beliau bersuara, mengajak kawan-kawan yang datang bersalaman, memeluk beliau.

Itu rupanya, nur di wajah tetamu Allah. Indah, sungguh indah, tak terkata. Nur yang menyebar rindu lagi.

Kami semua berebut bersalaman dengan beliau, dan tubuh kami beliau rangkul dan peluk erat, terasa ukhwah menyerap ke kalbu. Ya Allah, pandanglah kami ini, dan jemputlah kami menjadi tetamu ya Allah. Selepas tubuh lepas dari pelukan beliau, ummi memaling kebelakang, ummi seka airmata, kerana untuk kesekian kali rindu bertandang lagi. Rindu untuk sujud di rumah Allah.

Kami kutip pengalaman Haji beliau.

"Persediaan mental dan fizikal kena cukup. Banyakkan qiamullail dan istiqamahlah. Yang penting berkualiti."
"Jangan lupa, baca kisah-kisah tentang kenapa menunaikan haji ini merupakan rukun Islam ke lima."
"Tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Ismail dan Siti Hajar,"
"Jangan hanya menghafal rutin, tetapi tak tahu apa kisah sebenarnya, Dan sunah-sunah Nabi harus diberatkan".

Wajahnya seperti tersenyum, ada airmata bergenang dalam setiap butir cerita tentang Haramain.

Inilah intipati cerita beliau.

"Sayang. kita kena tanam tekad untuk pergi Haji secepat mungkin, kita kena kumpul duit dari sekarang," Tekad ummi ceritakan kepada abah, semasa pulang dari mesyuarat itu. Abah sudah pasti bersetuju, itu juga impian abah, mungkin rindu abah lagi lama bersarang dari ummi.
--------------------------------------------------------------------------------------------------

Berita tentang ummi dan abah akan menyambung pelajaran ke UK, ummi sampaikan kepada Dr.M.
Ucapan Beliau: Selamat Berangkat dan pulang dengan ijazah dan pengalaman. Plan la tunaikan haji, Maybe masa Year 2.

Bergegar lagi rindu... beliau masih kental dengan rindu pada tanah suci itu, dan harum rindu itu beliau sebar-sebarkan pada kami yang lain. Dan tekad itu juga, berulang-ulang ummi dan abah sebutkan dan bincangkan sepanjang kami di sini sehinggalah Allah menjemput dan mengizinkan kami menjadi tetamuNya. Indah.

Dan tatkala ummi, menghantar email, memohon maaf andai ada tersilap dan salah, serta menghalalkan makan dan minum, sebelum kami berangkat menunaikan Haji, beliau tetap melontar motivasi dan semangat:

Alhamdulillah! Selamat berangkat wahai Tetamu ALlah SWT! Moga diberi kekuatan, kesabaran, kelapangan, utk laksana ibadah fardhu ini. Jaga pantang larang. Hayati sirah dan aktiviti haji. Banyakkan aktiviti bersama suami, di samping jaga pantang larang. Akhir sekali, mohon banyak2 keampunan dan doakan utk kesejahteraan dan kemenangan umat Islam seluruh dunia, terutama Gaza, masjidil Aqsa dan Palestin. Moga akhir hayat nanti, ALlah swt terima hajj ini sebagai mabrur.

--------------------------------------------------------------------------------------------------
Ummi percaya, setiap orang yang menjadi tetamu Allah, ada cerita masing-masing sebagai titik mula menjana rindu pada Haramain, pada Baitullah yang menyentuh kalbu, pada Masjidil Nabawi yang tenang. Dan ini adalah sedikit dari cerita ummi.

Ummi dan abah akan suburkan rindu anak-anak untuk berjaulah mencari redha Allah, dan redha Allah itu boleh diraih di mana-mana, bila-bila masa juga dan berbagai cara berbekalkan iman di dada. Cuma, di sana, terasa lebih manis. Mari kita terus berusaha lagi.

Masih berombak-ombak rindu dalam dada.....




Friday, 26 November 2010

Hanya untukMU: Dimana patut ummi mulakan?

Assalamualaikum anak-anak soleh solehah kecintaan ummi dan abah, bakal penghuni syurga firdausi, InsyaAllah.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Kira-kira 2 bulan sebelum ummi dan abah menghabiskan program master kami di Bradford pada
2003, abah bertanyakan ummi, tentang tempat percutian buat ummi, abah dan kakak Humaira yang berusia kira-kira setahun 3 bulan ketika itu. Dengan duit yang berbaki, ummi dan abah perlu membuat satu pilihan percutian saja. Pilihan pertama: Mengerjakan umrah semasa transit untuk pulang ke Malaysia. Pilihan kedua: Bercuti ke eropah bersama kelana konvoi. Abah beri ummi 'the honour' untuk membuat pilihan, disebabkan kedua-dua tempat dalam pilihan itu telah abah pergi. Mengerjakan umrah sudah dua kali, pertama bersama tok-tok dan tah semasa abah di tingkatan 3, dan yang kedua semasa abah selesai undergraduate study di York, abah pergi mengerjakan umrah bersam rakan-rakan sepengajian beliau. Percutian ke eropah, bersama rakan-rakan abah menaiki keretapi semasa cuti semester beliau.

Sebelum ummi buat keputusan, abah terlebih dahulu memberi saranan,

"Suasana Europe, sama saja macam di UK ni yang, scenary, weather, the people, tak banyak beza", ucap abah.
"Mekah dan Madinah lain, tak sama, " abah tekan butang 'pause' tanpa menghuraikan lebih lanjut, tergantung. Permainan minda yang bijak. Rupanya ada rindu yang bertamu didada abah pada tanah suci yang dua itu.

Semestinya ummi akan memilih bukan yang biasa-biasa saja, bukan yang sama saja, sudah semestinya ummi memilih yang ada kelainan.

Bermulalah proses kami mengunjungi satu travel ajen, ke satu travel ajen. Alhamdulillah, Allah izinkan ummi dan abah serta kakak Humaira untuk menunaikan umrah melalui Crown travel agency, Bradford. Alhamdulillah, perjalanan pulang ke Malaysia menggunakan Saudi Air, dan transit di Jeddah. Transit di Saudi selama 7 hari. Tiket penerbangan dibeli sendiri dan akan di 'claim' dari penaja selepas pulang ke tanahair. Semua urusan berjalan lancar sekali. Alhamdulillah.

Pandangan Pertama:

Pandangan pertama pada tanah gersang saudi, sudah mencengkam hati... tanah yang sama di huni insan yang amat dirindui, Rasulullah S.A.W. Melihat banjaran bukit dan gunung-gunung berbatu dikiri kanan jalan dari Jeddah menuju Madinah merenggut hati, betapa gigihnya nabi Allah semasa hijrah baginda dari Mekah ke Madinah. Allah...... Allah... Allah...

Terlelap juga kami 3 beranak dek kepanasan bumi sebelah sini. Kereta sewa yang dinaiki tiada penghawa dingin, cuma tingkap dibuka luas untuk membenarkan angin haramain masuk kedalam kereta mendinginkan badan yang berpeluh.

Kami hanya betul-betul terjaga bila sudah sampai didepan hotel. Bila menoleh ke belakang, Subhanallah, hotel kami hanya beberapa langkah dari masjidil nabawi. Subhanallah. Madinah tenang, damai. Kami mewah membasahkan tekak dengan air zam-zam. Mak dan mama pesan, sentiasa berdoa untuk Allah berikan kesihatan, badan yang cergas melakukan ibadah. Kemudia minum air zam-zam banyak-banyak, mandikan Humaira dengan air zam-zam. Kerisauan mereka pada sang cucu yang kulitnya hanya mengenal sejuk. Alhamdulillah, bekalan air zam-zam tak pernah putus, susu humaira pun ummi buat guna air zam-zam waktu itu.

Selepas ziarah di Madinah, Ummi dan abah serta kakak Humaira bertolak ke Mekah, perjalanan yang mengambil masa 6 ke 8 jam. Berihram di Bir Ali. Pandangan pertama pada masjidil haram, jatuh hati, jatuh cinta, berbagai rasa, tummy cramp.... berdebar.

Malam tu juga abah ajak laksanakan umrah. Masuk Masjidil Haram melalui bab As-Salam. Pesan orang tua, masuk rumah orang jangan terintai-intai, tak manis. Begitu juga masuk rumah Allah, walau hati menjerit2 ingin melihat sendiri Baitullah yang dibangunkan Nabi Allah Ibrahim, adab sopan harus kena jaga, jangan terintai, jalan menunduk mengangkat mata bila sudah dekat, Allah... Allah... Allah... Allah.... mengalir airmata tatkala pandangan pertama jatuh pada Baitul 'Atiq... jantung berdebar luar biasa... Allah... Allah.. Allah... sukarnya untuk diungkap dengan kata-kata. Humaira dipelukan abah hanya memandang ummi tidak berkata. Dan kami melaksanakan umrah dengan hati yang penuh.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Sejak itu hati terpaut...
Sejak itu hati terikat...
Sejak itu hati tak pernah berpaling...
Tanah ini akan kita jejaki lagi...

Bila dengar orang pergi umrah, air mata jatuh.... entah kenapa... rindu barangkali.... iya rindu sebenarnya...
Bila terpandang gambar-gambar di sana... air mata begitu murah, terasa ingin terbang dan kemudian duduk berdiam di Raudhah,... dekat dengan jasad Habibullah... Rasul tercinta.
Bila terpandang sahaja rumah Allah... air mata mencurah, terasa jasad seperti ringan, merindu untuk merasai medan tenaga sewaktu bertawaf... luarbiasa... luarbiasa... luarbiasa... bukan biasa-biasa saja.

Sejak itu anak, ummi dan abah sentiasa merancang untuk pergi kesana lagi.... Mekah Al Mukarramah dan Madinatul Munawwarah............ pergi itu sebagai pengabdian diri seorang hamba ingin dekat dengan penciptanya, secara total dan ekslusif....

Tuesday, 12 October 2010

Hanya untukMU: Nabi Ibrahim dan Haji (1)


Assalamualaikum anak-anak yang soleh dan solehah,

Di malam pekat ini, ummi teringin sekali mencoretkan sesuatu buat tatapan memori kalian. InsyaAllah semoga bakal ada menjadi bekal bermanafaat buat anak-anak di hari muka. Ummi, menilik-nilik Tafsir Quran perkata yang dilengkapi dengan asbabun nuzul dan terjemahan. Dan kali ini, perkara yang ummi dan abah tadabburkan adalah berkenaan haji dan umrah.

Rukun Islam yang kelima.

Haji dan umrah diceritakan didalam beberapa surah di dalam Al-Quran dengan terang dan jelas. Bermula dengan perintah Allah kepada Nabi Ibrahim a.s untuk membina semula kaabah di Mekah. ditempat di mana Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Ismail atas perintah Allah sebelumnya. Nabi Ibrahim, bersama Ismail anaknya terus membina kaabah dengan hati yang ikhlas, walaupun diketika itu Mekah adalah suatu tempat padang pasir yang gersang dan kontang.

22:26

Al Quran (22:26)

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).


2:125

Al-Quran (22:125)

Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud"


2:126

Al-Quran (22:126)

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".

2:127
Al-Quran (22:127)

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;


Allah, didalam kitab Al Quran ini juga menyatakan tentang betapa Baitullah itu adalah tempat yang pertama dibangunkan sebagai tempat ibadat. Bukanlah seperti yang dikatakan oleh orang yahudi dan nasrani bahawa tempat ibadat yang pertama adalah di Baitulmaqdis.

3:96
Al Quran (3:96)

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Tempat yang jauh. Pastilah terfikir, bagaimana tempat yang kering ini bakal menjadi tempat beribadat umatnya. Tetapi, siapalah baginda untuk menidakkan perintah Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Perintah dilaksanakan. Kaabah siap dibina, dan Allah memerintah Nabi Ibrahim menyeru semua manusia datang ke situ untuk beribadat dan Allah berjanji di dalam Al-Quran seperti berikut.


22:27

Al Quran (22:27)

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Sesuatu yang kelihatan mustahil saat itu, tetapi janji Allah itu benar, sehingga ke hari ini manusia datang berbondong-bondong mengerjakan Haji, menunaikan rukun Islam yang kelima dan mengambil pengiktibaran dari ibrah kisah Nabi Ibrahim a.s.

Manusia datang bertalbiah, bertahmid, bertasbih, memuji kebesaran Allah, sahut menyahut diantara hari-hari tashriq, mengalun-alun pengakuan menerima seruan dari Allah yang disebut dalam ayat 27, surah Al-Haj, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Nabi Ibrahim.

Ya ya Allah kami menyahut seruanMU ya Allah, (memenuhi dan mematuhi perintah Mu)
Tiada sekutu bagi-Mu dan kami insya Allah memenuhi panggilan-Mu
Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu dan tidak ada sekutu bagi-Mu.



(credit to: youtube)



(credit to: youtube)

Bila ustaz bercerita betapa keraguan di hati Nabi Ibrahim terjawab sehingga ke hari ini dan di sahut-sahut dengan talbiyah oleh jemaah haji, terasa mengalir air mata. Betapa kerdilnya manusia untuk mengetahui rahsia Allah. Betapa setiap perancangan Allah itu ada manafaatnya. Yang mungkin kita sendiri tidak mengetahui saat ia sedang berlaku, tetapi manafaatnya datang dikemudian hari. Keyakinan penuh (total faith), bahawa Allah tidak pernah menjadikan sesuatu dengan sia-sia dan semua perancangan Allah itu lebih hebat adalah amat penting untuk kita yakini. Ini termasuk di dalam rukun iman yang ke-enam. Percaya kepada qada' dan qadar.

Anak-anakku, andai ummi tiada dikalangan kalian saat kalian berdepan dugaan, ingatlah janji-janji Allah di dalam Al Quran, bukalah ia dan tadabburlah setiap ayatNya. Tiada tercapai akal manusia untuk menafsir kisah dari dugaan saat ia berlaku.

Nabi Ibrahim, melalui banyak dugaan yang berat dan terlalu besar yang Allah izinkan atas seseorang nabi. Dan Nabi Allah ini berjaya mengharungi ujian-ujian itu dengan hati yang penuh kebergantungan dan pengharapan kepada Allah. Begitulah kita juga anak, seharusnya kebergantungan penuh (total surrender) itu adalah di berikan kepada Allah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails