Showing posts with label Blossoms Memory. Show all posts
Showing posts with label Blossoms Memory. Show all posts

Thursday, 22 February 2018

Dramaummi: Hebatnya akhlak anak-anak KISAS


Assalamualaikum anak-anak cinta hati ummi,

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pilihlah nama yang indah dan wangi ataupun nama yang kurang harum. Sepantasnya, ummi akan sentiasa memilih yang pertama. Dan yang pertama ini sangat berkait rapat dengan akhlak. Tinggallah budi dan akhlak yang indah buat memahat nama di lipatan sejarah hidup ini. Jadikan akhlak indah ini perkara yang biasa dalam hidup ini sehinggakan menjalankannya menjadi darah daging, tak terasa sedang menunjuk nunjuk akhlak yang baik itu, tak menjadi megah diri sebab terlalu biasa. Pastilah sampai terus ke hati penerima akhlak yang baik ini.
---------------------------------------------------------------------------
Beberapa hari sebelum mendaftar dibumi waqafan itu, kakak kelihatan seperti muram dan hanyut dalam lautan fikiran yang mungkin gelisah ataupun kegusaran yang mendalam. Sesekali pertanyaan ummi tentang perasaan kakak untuk sekali lagi menghuni asrama tidak kakak sahut dengan sepatah pun perkataan. Seringkali juga kakak tarik tangan ummi dan bawa kemas ke dada kakak sambil sesekali mencium tanpa sebutir kata keluar dari mulut kakak. Seringkali juga tubuh ummi yang jelas lebih rendah dari kakak ini kakak rangkul kemas dan ciuman hinggap di pipi. Sungguh sering sekali. Hanya doa yang ummi lantunkan saban waktu mengiringi kerisauan hati ummi melepaskan kakak juga.

Tiba 7/2/2018. Bersemangat sekali tok mak bersiap awal nak hantar kakak ke KISAS bersama-sama. Kakak masih kelihatan biasa. Sepanjang perjalanan yang hanya lebih kurang 40 minit dari rumah itu kakak banyak mendiamkan diri. Masih keliru dan bercelaru rasa ummi. Tak apalah kakak. Layanilah rasa hatimu anakku.

Sampai sahaja kita di depan pagar KISAS kelihatan sebarisan pelajar di kiri dan kanan jalan terus masuk ke parkir kereta. MasyaAllah terasa seperti tetamu kehormat datang bersambut. Anak-anak gadis dengan baju batik hijau dan tudung labuh, bening wajah mereka. Anak-anak Rijal tegap berbaju korporat. Ditunjuknya tempat untuk parkir kereta. Selesai meletakkan kereta, datang dua anak gadis berwajah mulus, bersih dengan tudung labuh dan lebar memperkenalkan diri sebagai CS (College Sister). Dua orang yang datang. Untuk menjadikan cerita lebih dramatik, Allah izin CS Humaira adalah anak saudara kepada Kawan baik Ummi, Cik La. Namanya Aisyah. Kakak Aisyah ini pernah juga tinggal di UK. Kita bertiga pernah ziarah keluarganya di Hull semasa ummi dan abah belajar di Bradford. Rupanya saling tak tumpah rupa umminya. Maka dengan pantas ummi dapat cam.


Aisyahlah yang membawa kami dari satu tempat ke satu tempat, dari permulaan proses mendaftar, ke dewan besar, selesai di situ, dibawanya kami ke urusan Koop. Tidak pernah pun kami ditinggalkan tak tahu haluan. Pertama kali dalam urusan yang baru, kami di santuni begini. Pastilah berbesar hati.



Selesai urusan pendaftaran, sampailah masa kami mengangkat barang-barang kakak untuk ke asrama. Sekali lagi CS ini iaitu Aisyah untuk kami bertungkus lumus membantu. Kelihatan di sana sini, pelajar2 seniors yang di panggil CS dan juga yang lain-lainnya dengan sukarela membantu mengangkat barang-barang adik-adik junior. Asrama Humaira di tingkat tiga, masyaAllah boleh tahan nak naik atas tu. Sampai sahaja di hadapan tangga bangunan asrama, beberapa orang lagi pelajar KISAS yang lain telah menawarkan bantuan. Hebat-hebat. Bila yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing, semua perkara menjadi mudah. Inilah yang kita lalui hari ini.

Rumah Omar dan semua yang berkaitannya berwarna merah. Sekali lagi, kita dikejutkan dengan 'sweet gestures' kakak-kakak yang hebat di KISAS ini. Katil2 adik2 telah dipasangkan dengan cadar dan sarung bantal.



Buka sahaja almari baju, sekotak air telah ditinggalkan oleh kakak-kakak Omar dengan nota ringkas yang manis semanis budimu anak-anakku.
Tak habis di sini sahaja. Ummi akan sambung cerita lagi InsyaAllah.
___________________________________________________________________________

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang hendak kamu dustakan?


copyright:

~Melatiblossoms~

Thursday, 15 February 2018

Dramaummi: Humaira melangkah ke bumi Waqafan, pipit akan menjadi helang InsyaAllah


Anak pertama adalah guru segala hal yang baru buat kami ibubapa muda ketika itu. Banyak percubaan yang cuba diterapkan dari teori-teori yang kami baca, bahkan tradisional ‘upbringing’ metod yang diturunkan oleh ibubapa juga kami cuba. Percubaan semuanya.
Alhamdulillah, dengan izin Allah dan bantuan sistem sokongan yang kuat sepanjang membesarkan dan mendidik Humaira. Masa meningkat ke awal remaja, Allah izin kami dapat mendidik Humaira di UK. Di sana potensi kakak begitu banyak menyerlah, dengan menjadi Student Reprensentative seawal usia 8 tahun, membolehkan kakak bermesyuarat dengan Local Council of Leeds (mungkin macam mini parlimen di Malaysia kot ya). Membawa watak sebagai Dorothy in wizard of Oz play di sekolah setelah beberapa watak kecil dalam pelbagai plays sebelum itu, sangat banyak mempengaruhi keyakinan diri kakak.
Pulang ke Malaysia dengan pelbagai pengalaman yang kakak timba di UK. Sebahagian besar hidup kakak ketika itu adalah di negara orang, ummi nampak banyak menyumbang kepada pola kakak berfikir dan melihat sudut pandang sesuatu perkara. Ummi bahagia. Hidup diperantauan tanpa keluarga terdekat, menjadikan kakak tersangat ‘attached’ dengan kami.
2 tahun disekolah rendah di Malaysia, darjah 5 dan 6, dengan muallim dan muallimah yang hebat, sistem biah solehah yang diterapkan disekolah musleh di Sek. Ren Islam Hira, Kakak semakin matang dalam berfikir dan membuat keputusan. Akhlak kakak di rumah semakin ummi dan abah syukuri. Anak yang taat dan banyak membantu ummi dan abah dalam segala hal. UPSR yang di hadamkan hanya selama 2 tahun, adalah sesuatu yang mengejutkan ummi abah.
Melangkah ke sekolah menengah, dengan yakin ummi dan abah hampir pasti kakak sangat sesuai dengan sekolah berasrama yang kita sama-sama pilih. Rupanya percaturan kali ini tidak tepat. Rupanya disebalik segala kekuatan dan kematangan yang kakak tunjukkan, kakak masih anak kecil yang belum puas berada dibawah naungan dan hangatnya pelukan ummi setiap malam. Tingkatan 1 yang penuh airmata.
Tingkatan 2 kita sama-sama membuat keputusan untuk kakak kembali ke rumah dan bersekolah di KD10. Rupanya hikmah yang lebih luas yang Allah aturkan. Dengan hadirnya Hamzah dalam keluarga kita, kakak lah yang paling banyak membantu ummi dan abah. Kakaklah yang banyak menjaga dan melayan Hamzah. Tangan kanan ummi dan abah. Dari segi pelajaran ummi tidak risau kerana kakak sangat berdisiplin dalam belajar.
Alhamdulillah, anak taat dan solehah ini Allah izin terus membanggakan ummi abah dengan cemerlangnya akhlak dan pelajaran. Panjang perbualan kita setiap malam, panjang motivasi tanpa berat sebelah abah juga setiap masa dalam merangka plan kakak untuk tingkatan 4. Kita sama-sama mengisi borang MRSM, dan kakak sendiri mengisi borang SBP dengan memilih KISAS. Kata kakak cuba saja, sebab kakak tak yakin KISAS boleh dapat. Dan MRSM kakak tak berapa favour sebab tak ada Bahasa Arab.
Panggilan untuk ujian kemasukan, mengundang airmata dalam erti pelbagai kata kakak. Ummi dan abah nasihatkan, hanya hadir jika kakak betul-betul mahu, kalau tidak, biarlah tempat itu di isi oleh sahabat2 yang sangat mahu. Selepas Panjang doa dan istikharah mungkin, kakak memilih untuk hadir. Pesan ummi abah, kami tiada quota pengetua atau apa-apa kaitan dengan SBP sebelum ini, jangan megharap terlalu tinggi. Allah izin dan pilihan Allah buat kakak, KISAS menerima kakak sebagai pelajarnya. Kali ini pastilah banyak kakak mengadu dan memohon dari Allah dalam membuat keputusan. Ummi dan abah hanya mampu menambah doa dan harapan. Sambil menyediakan jaring jika ‘fallback’ perasaan kakak berlaku.
7/2/18 tarikh keramat kakak bermula kembali sebagai pelajar asrama, kali ini di KISAS, sekolah idaman terlalu ramai pelajar di Malaysia. Semoga Allah izin kakak menadah ilmu dari muallim dan muallimah yang hebat di sini. Di linkungi biah solehah. Di dampingi oleh seniors yang juga berakhlak cemerlang (satu entry lain ni) InsyaAllah.
Ummi lepaskan ikatan perasaan yang tersimpul ketat antara kita, namun ummi sentiasa tahu, akar kakak tetap kukuh mencengkam asas keluarga kita. Kata orang sekali anak keluar rumah untuk belajar, anak itu akan terus keluar dan keluar. Merantaulah dan jadilah seperti air yang mengalir, bau juga tak terperangkap.

Owh Well, #dramaummi as always. 
This is my anekdot for your memory my dear. Berbagai #pesanummi untuk my #melatiblossoms

Monday, 3 February 2014

Monolog kosong



Perlukah pada sebuah kembara?
untuk pena menari kembali,
Perlukan pada sebuah bicara?
untuk ketukan papan kekunci,
Perlukan pada sebuah lantai baca?
untuk puitis kembali menari.

Tarian abjad menghuni benak,
Tarian abjad menghuni otak,
Rantaian kata menghimpit, sesak,
Rantaian kata menghimpit, senak.

Kasihan
masa yang emas itu cemburu,
masa yang berlian itu pergi meluru,
masa yang intan itu tak mahu tunggu,

Tunduk
sepi yang tinggal,
ruang yang kosong,
pena yang kaku,
kertas yang melayang.

Titik
mula kan datang,
warna kan indah,
pelangi kan cerah,
hati kan berbunga.

Tuesday, 29 May 2012

11 tahun mengukir bahagia syurgawi - 260501-260512 and counting

Zauj Kareemku,
Hari ini genaplah 11 tahun,
Ijab bersambut,
Mahar berganti tangan,
Amanah abang raih.

Masih jelas seperti semalam,
keringat di dahi, abang elus diam,
mulut terkumat-kamit,
ijab kabul di hafal sejak berminggu lalu,
abang ulang dan ulang,
sambil zikir menyejuk hati dan istighfar berulang kali,

Bahu abang tak bakal ringan lagi,
Abang bakal meringankan bahu Abah pula.

Sejak saat itu,
tak pernah sehari berlalu tanpa syukur di hati,
Kurniaan Ilahi,
Abang, imam yang di sayangi,
11 tahun bukanlah lama bukanlah baru,
Namun seperti baru semalam,
Abang menjadi pakaian Ati,
Ati menjadi pakaian abang,
Seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 187, diantaranya:

"Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka."
 
Mula saat itu setiap aib dan indah
abang jaga dan lindung seperti pakaian menutup aurat paling kukuh,
Begitu juga Ati sebaliknya.
Laksana pakaian yang selesa seperti sutera,
Mehnah dunia yang panas dan melemaskan,
kita harung bersama,
umpama pakaian yang saling mendamaikan,
gigitan ujian dan sengatan nafsu duniawi,
sama-sama  kita jauhi,
Bak pakaian yang menutupi,
debu dan habuk yang menyesakkan rumahtangga,
sama-sama kita hindari.
ibarat pakaian,
kita tahu cukup dan kurangnya,
tidak terlalu tebal hingga melemaskan,
tidak terlalu nipis hingga sejuk menggigit ke tulang hitam,
ibarat pakaian, saling mencukupi tidak membebankan,
Abanglah pakaian paling indah bak sutera hijau syurgawi,

Abang Zauj Kareem Ati,
Terima kasih sayang,
abang hidangkan kami dengan akhlak yang indah,
teladan buat buah cinta kita,
abang sajikan kami makmummu,
dengan cantiknya adabmu,
pengikat hati-hati kita selalu,
maka mengertilah isterimu ini,
bila meneliti bait-bait hadis Nabi,

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya." (Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Hibban, al-Baihaqi dan al-Wahidi).

Abang yang di sayang,
Semoga Ati dan cinta hati kita,
adalah penyejuk mata dan hati seperti doa yang abang lantunkan saban waktu,
Semoga Ati juga pakaian sutera hijau syurgawi abang,
Ingin bangun di alam kekal sebagai bidadari abang.
Bersama di singgahsana dipenuhi mutiara dan sutera,
Tetap muda dan membahagiakan,
Kekal bersama-sama,
InsyaAllah,
Aameeen.

Selamat Ulangtahun Baitul Muslim kita yang ke-11 Zauj Kareemku.

Thursday, 22 March 2012

Blossoms Memory - Harga Cinta



Saat terlihat pinggan tersusun di sinki dapur, dilihatnya juga ummi masih bertungkus lumus dengan memasak makanan, abah pantas menyinsing lengan bajunya, terus abah cepat membasuh pinggan-pinggan yang bersusun.

"Sayang, tak payah basuhlah, nanti lepas habis masak Ati basuh kay, " pinta ummi pada abah.
"Sayang, rasulullah pun tolong isteri dia, abang pun nak tolong isteri abang, ok,"senyum abah.

Tetiba terimbau beberapa ketika lalu bila ummi sebutkan pada abah,

"Dah lama sayang tak dedicate lagu kan kat Ati," Sambil tersenyum memancing.

"Abang dah lama tak dengar lagu-lagu ni sayang, abang kan bizi kat rumah ni, tengokkan anak-anak dan jaga sayang,"terang abah sambil tersenyum.

Kelemahan wanita, atau sebenarnya kelemahan ummi sendiri, pada sesuatu yang tak pernah rasa cukup. Bila terfikirkan tersenyum sendiri, selalu minta pada yang tiada dan selalu pula tidak menyebut penghargaan pada yang ada.

Sedang rumah ini selalu di hiasi bunga-bungaan, kerana abah tahu ummi sangat sukakan bunga. Masih bertanyakan tentang yang lain? Kurang bersyukur rasanya ummi ini.

Saat ini ummi tak perlu lagi dedikasi lagu untuk tahu cintanya suami buat isterinya, kerana semua perlakuannya melambangkan cinta. Dan itu yang paling diperlukan seorang isteri, cinta yang dizahirkan. Perlakuan paling romantis seorang suami, saat menyinsing lengan baju dan sama-sama melakukan kerja rumah. Saat itu seorang suami bukanlah merendahkan martabatnya, malah saat itu martabatnya terlihat lebih tinggi dan lebih macho. Saat suami, mengambil vacuum dan sama-sama mengemas rumah. Dialah yang terlihat sebagai lelaki terhebat abad ini.

Saat ini juga ummi tak perlu lagi rayu-rayuan saban hari, bila suami rela melepaskan peluang pekerjaan dan pengalaman kerja yang hebat-hebat lantaran ingin menyokong isteri yang sedang berhempas pulas dengan pengajian. Semuanya diturunkan peringkat, bila keluarga diutamakan. Ummi dapat baca bahasa cinta abah. InsyaAllah.

Bila kalian bersama dengan abah, saat yang indah seperti syurga yang melimpah yang ummi perhatikan.

Setiap soalan dijawab dengan tenang, setiap dahi pasti mendapat kucupan dan setiap tubuh kalian pasti dirangkul dan dipeluk kemas bila kalian perlukan dakapan. Setiap habis solat berjemaah, berebut-rebut ingin bersalam dan memeluk abah.

Ummi tak perlukan lagi lagu buat bukti cinta abah pada keluarga kita, pada ummi abah adalah imam yang terbaik pada makmumnya. Ummi sentiasa doakan kalian akan beroleh suami sebaik abah InsyaAllah. Dan Hafiy, semoga abah mendoakan Hafiy mendapat isteri seperti ummi, InsyaAllah, walau ummi tahu terlalu banyak ruang lagi yang perlu diperbaiki.

Saat bersama-sama berdua di dapur adalah saat yang paling berkualiti buat kami berdua. Banyak yang kami bincang kan dan banyak keputusan yang kami capai di dapur itu. Syukur ya Allah pada seorang ketua keluarga yang Engkau kurniakan buat kami. Alhamdulillah.

Sungguh tulisan ini sebuah penghargaan dari ummi buat abah kalian, bila kalian pandai menilai suatu hari nanti, ketahuilah dia sesungguhnya imam keluarga yang istimewa. Dan tulisan sebegini masih belum dapat menceritakan realiti istimewa dan berhemahnya imam keluarga kita ini. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keberkatan dalam hidup beliau selalu. Kita cinta beliau kerana Allah.

Terima kasih dan terima sayang, Zauj Kareem ku...... Alhamdulillah.. Syukur ya Allah

Wednesday, 15 February 2012

Blossoms Memory - Duhai anak ~15-02-12~


Kad dari Hafiy, I love you too my honey bee, XOXOXO, kad yang diberi dengan ciuman dan pelukan, hati ummi mana yang tak pernah cair. <3

Oh Hasya, empangan airmata ummi tak tertahan lagi, terlalu berat tanggungan kamu wahai anak-anak, masa itu terlalu menjerut kita duhai permata hati. Ummi mohon Allah lapangkan masa buat kita dan Allah tenangkan hati-hati kita. Thanks sayang, and InsyaAllah ummi will never give up my dear sweetie pie.

'Ummi do your best and never give up. Please finish your work so we can have all the time together.'

Luar Kad Hasya

Kad hasil tangan Humaira - terima kasih sayang, InsyaAllah ummi will study hard and ummi need all your doa, love you lots my best friend, my apple of my eye.

Duhai Ar-Rahman,
Duhai Ar-Rahim,
Saat diri sendiri tenggelam dalam nombor-nombor yang tak pernah habis, rupanya anak-anak tenggelam dalam rindu yang sarat.

Saat dan ketika ini, bila ummi bermain dengan graf-graf dan simulasi Matlab yang entah di mana hujungnya, anak-anak yang bercuti sekolah, menarikan jejari kecil kalian di atas kertas putih.

Bila ummi berenang-renang dalam memahami metod statistik yang seperti susun silangkata, kalian juga berenang-renang dalam khayalan dan warna air.

Bahu rasa perit dek berlama menaip dan menghadap komputer, tapi ummi yakin perit lagi kalian menanggung rasa rindu untuk menghabiskan masa bersama ummimu ini anakku.

Sabarlah sayang, perjuangan kita InsyaAllah bersulam pahala.

Alhamdulillah, ummi punya suami paling hebat di universe ini.

Kalian di bawa bermain tennis (permintaan Hasya), di bawa bermain bowling (permintaan Humaira) dan kalian di bawa membeli belah di Morrison (permintaan Hafiy) dan kalian juga di bawa bermain Golf di 'driving range', oleh abah. Alhamdulillah masa kalian terisi InsyaAllah.

Terima kasih, sayang berkorban masa dan tenaga untuk menjayakan cita-cita kita bersama, pastilah tulang rusuk abang ini kan selalu rapuh kalau tiada abang di sisi.

p/s: Ayam masak kicap malam ni sungguh enak sekali. <3

Thursday, 26 January 2012

Memori Berjuang - Allah is with us all the way through

Dearest my beloved offspring,

At all times and forever, every second and every beat of our heart, He is the only one we need our creator, Our Allah.



penuhi jiwa ini dengan satu rindu
rindu untuk mendapatkan cinta-Mu
meski tak layak ku harap debu cinta-Mu
meski begitu hina ku bersimpuh

cukup bagiku Allah,segalanya bagiku
dihatiku ini penuh berisi segala tentang Allah
kepada nabiMuhammad, tercurah shalawat Allah
tiada Tuhan selain Allah, cukup bagiku Allah

hasbi Rabbi Jalallah
mafi qolbi Ilallah
alalhadi sholallah
laa ilaa ha Illallah

By: Opick

My mode at this moment: Re-organizing my write up, Thank you Allah for sending me a very good friend all the way from Oxford, to call me and share her very good method in organizing thesis write up (especially when you have to juggle up between 'never finish' experiments, 'don't know where to start' write-up, and 'hats' changing every 3 hours between student, mum and wife [Thanks to my soul-mate for making this journey much easier too by sharing the 'hats'], :) ) Thank you Allah for this. Thank you so much Bahbibi, you gave a call when I really needed it (If you happen to read this). Thank you Allah.

Cerita anak kecil yang cukup bergantung kepada Allah:

Abah bawa Hafiy pegi Londis baru-baru ni, seperti biasa Hafiy yang sangat suka dengan sweet akan memilih sweets. Kebiasaan di sini, setiap makanan jajan yang hendak dibeli perlu dibaca dulu bahan-bahan kandungan makanan tersebut. Hafiy pun serahkan sweet pada abah untuk abah baca ingeredients nya, sambil manadah tangan Hafiy berdoa pada Allah,

"Ya Allah, let the sweet be halal, Ya Allah, please, no pork in it, ya Allah please let it be halal, "
Doa Hafiy. Penuh pengharapan. Sementara menunggu abah meneliti kandungan dalam sweet tersebut.

"Sorry Hafiy, this one is not halal, have pork gelatine in it, choose a different one OK," Jawab Abah.

Alhamdulillah, anak-anak telah diceritakan tentang bagaimana kalau doa tidak dimakbulkan. Konsep berdoa yang mudah-mudah. Jadi Hafiy tidaklah terlalu hampa, lagipun Hafiy pulang dengan dua jenis jajan hari itu. Pastilah tidak kecewa, InsyaAllah.

Ya Allah, kurniakanlah kami dan keturunan kami ilham yang baik dan hati yang tetap mengingatiMu, jiwa yang selalu sedar akan Mu ya Allah. Aameeen.

Saturday, 21 January 2012

Blossoms Memory - Kakak-kakak cantik


Assalamualaikum w.r.t,

Menemui anak-anak kecintaan ummi dan abah yang kami cintai, dalam doa dan penuh pengharapan kalian bakal menjadi pejuang untuk agama Allah ini. InsyaAllah.

Terlalu lama ummi ingin menulis tentang cerita ini buat kalian, ummi sangat ingin kalian ingat selalu ingat kisah-kisah ini.

Beberapa ketika lalu sibuk orang bercerita tentang pelajar-pelajar bijak yang seperti 'hanyut' bila berada di negara orang, kata mereka yang sama-sama ingin bercerita walau tidak tahu pangkal dan punca, pelajar-pelajar ini 'kejutan budaya'. Ummi tak ingin bercerita tentang ini, sebab kita tiada dalam cerita mereka dan kita tiada hak untuk bercerita. Cuma ummi sangat sedih, bila media dan masyarakat kita di Malaysia yang tak tahu cerita turut menghukum sama, pukul rata yang kesemua anak-anak muda 'creme de la creme' yang dihantar ke luar negara terkena kejutan budaya lupa daratan dan udara. Ummi rasa seperti ingin ketawa dalam masa yang sama ada sedih menyelinap, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Ummi ingin bercerita tentang kakak-kakak cantik kalian yang ummi jumpa sepanjang kembara kita di bumi UK ini. Subhanallah, kakak-kakak ini cantik luaran, lagi menakjubkan kecantikan dalaman mereka lebih menyinar. Subhanallah.

Kakak-kakak ini pelajar cemerlang dari sekolah-sekolah mereka, datang merantau di sini untuk mncari ilmu Allah. Ada yang datang untuk menjadi sorang doktor nanti, ada yang datang untuk menjadi guru nanti, ada yang datang untuk menjadi jurutera, yang pasti mereka datang untuk menjadi professional yang mukminah. InsyaAllah. Bakal professional ummah. Aameeen ya Allah.

Kakak-kakak cantik ini pakaiannya menutup cantik mereka. Pakaian mereka tidak mengundang mata yang lain, mereka berjubah, warnanya jarang menarik mata. Yang memandang sekali tak kan mengulang pandang. Subhanallah mereka terjaga dari mata-mata dunia. Kerana mereka sangat ingin di lihat Allah. Di pandang Allah. Kakak-kakak cantik ini, ber t-shirt, labuh sampai ke lutut, seluar mereka besar dan pasti warnanya kusam sahaja, nawaitu mereka biar tidak memandang mata lain kali keduanya. Biarlah yang kata t-shirt labuh seperti baju yang di pakai tidur.

Setiap minggu, kakak-kakak cantik ini akan duduk-duduk beriman sesama mereka, mushaf tafsir Quran mereka bertanda berwarna-warni,

"Yang biru untuk doa-doa yang ada dalam Quran, supaya senang bila nak baca doa lepas solat, buka jer yang berpenanda biru." Terang mereka.

"Yang pink ni untuk cerita-cerita tentang munakahat, mudah buat rujukan," Sambil tersenyum meleret.

Bila mereka berbulatan gembira, yang menjadi topik bicara, bukan kisah mereka yang tiada dalam bulatan mereka, kisah yang mereka bawa, kisah-kisah dari Al-Quran. Dibukanya mushaf dan dibaca bersama, kemudian mereka sama-sama mentadabbur ayat-ayat Allah, mencari ibrah dari cerita. Bila sampai di kisah yang mengharukan mata mereka basah, pasti hati mereka juga basah bila sampai ke ayat tentang kebesaran Allah. Subhanallah. Sebelum berpisah, mereka saling mendoakan, mereka berpelukan, kemas, semoga ada pertemuan lagi antara mereka. Kalau di takdirkan Allah ini pertemuan terakhir didunia, semoga Allah kumpulkan lagi didalam syurga. Allahu Allah.

Kakak-kakak cantik ini bertanya khabar tentang sesama mereka, ukhwah yang mereka saling menjaganya. Ukhwah fillah. Semuanya kerana untuk mendapat rahmat Allah. Bila seorang sakit, seperti keseluruhan mereka sakit. Bila seorang risau, semuanya sama menanggung. Indahnya ukhwah, mereka itu seperti satu tubuh, saling memerlukan.

Ummi masih ingat, semasa mengikuti program-program di sini, program ilmu untuk ibubapa, dan demi memastikan ibubapa dapat berprogram dan mengutip ilmu dengan tenang, anak-anak juga ber'program' dan kakak-kakak cantik ini dengan senang hati menjadi fasilitator untuk anak-anak. Anak-anak diberikan peluang ber'program'. Allahu Allah, mereka ini sungguh komited dalam cita-cita mereka meraih redhaMu. Sampaikan rumah mereka juga mereka sanggup sediakan untuk anak-anak kecil ini ber'program' saat ibubapa sibuk dalam mengutip ilmu Allah. Masa mereka, mereka korbankan untukMu Allah. Urusniaga paling menguntungkan. InsyaAllah.

Masih terngiang-ngiang menganjurkan program bersama-sama kakak-kakak cantik ini. Mulut baru menyebut, 'Siapa yang boleh buat poster yek?'

Dengan pantas , 'InsyaAllah kami boleh siapkan,' 'Kami boleh printkan', 'Program anak-anak kami uruskan,'. Belum mulut minta pertolongan, pertolongan itu sudah mereka hulurkan Subhanallah.

MasyaAllah, mereka juga pelajar, mereka juga sama-sama merantau dari Malaysia, UK ini bukanlah negara mereka, mereka juga kejutan budaya, tapi mereka mendapat kejutan budaya yang indah, yang membawa mereka lebih dekat dengan Allah, menakjubkan urusan orang mukmin, semuanya menjadi mudah kerana destinasi mereka adalah kecintaan Allah.

Mereka kakak-kakak cantik yang menakjubkan. Ummi menyaksikan mereka-mereka ini. Cantik luar dan dalam. Ummi doakan anak-anak ummi diberikan Allah peluang untuk merantau bermusafir mengutip ilmu Allah, dan ummi doakan semoga dalam permusafiran kalian nanti akan mendekatkan kalian dengan Allah, meningkatkan sedar kalian akan Allah. Seperti kakak-kakak cantik ini.

Terima kasih 'kakak-kakak' cantik buat Humaira, Hasya dan Hafiy, dan adik-adik di sini. Kalian adik-adik yang cantik. (Pada mereka yang membaca, pasti kalian tahu, kalian siapa, Jazakumullahu khairan katheera)

Dan Humaira, Hasya, Hafiy, ada lagi kakak cantik yang belum pernah kalian jumpa, walau terpisah jauh beribu batu, walau tak pernah bertemu, Allah ikat hati-hati kita untuk berukhwah kerana Allah, menakjubkan. Subhanallah.

Buat yang membaca diluar sana, sungguh ramai lagi warga kita yang seperti kakak-kakak cantik ini, malah ramai juga abang-abang yang tampan. Luaran dan hati mereka InsyaAllah. Doakan yang terbaik buat mereka. InsyaAllah mereka bakal pulang menata ummah dan masyarakat kita, seperti yang kita harapkan, kembara mereka di sini, ada bahagian sumbangan kita, pasti kita mahukan yang terbaik, kirimkanlah doa, jauhlah dari berpra-sangka yang pukul rata. InsyaAllah, semoga yang terbaik hasilannya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Buat kakak-kakak cantik, semoga terus thabat dan istiqamah di jalan Allah ini. Semoga kalian menjadi professional ummah yang mukminah. InsyaAllah. Kalian dalam doa kak Ati selalu, adik-adikku.


Friday, 16 December 2011

Blossoms Memory - Kalian juga guru



Assalamualaikum buat anak-anak ummi yang mukmin dan mukminah. Kalian sentiasa dalam doa ummi dan abah setiap saat dan waktu. Hadiah paling indah yang dapat ummi dan abah berikan buat kalian adalah doa yang tak pernah putus InsyaAllah.

Terlalu lama rasanya ummi tidak menulis tentang kalian. Sunggu banyak memori kalian yang ummi ingin simpankan dalam tulisan maya ini, semoga ada yang boleh menjadi iktibar suatu hari nanti buat kalian.

Alhamdulillah, saat ummi menulis, kita dihantarkan seorang bidadari oleh Allah menemani kembara kita dibumi yang sedang menempuh sejuk. Ibunda ummi dan tok mak kalian berada bersama kita dan sungguh terasa hidup sangat diberkati Allah. Kita terasa-rasa seperti diselimuti kasih sayang setiap masa. Ada pipi 'lembut' (kata Hasya) untuk dicium, siku 'lembut' untuk digentel oleh Hasya. Allah.... nikmatnya.

Sejak beberapa bulan yang lalu kakak Humaira selalu berdoa untuk mendapat peran menjadi Dorothy dalam school play 'Wizard of Oz'. Dan selalu jugak ummi pesan,

"Kakak boleh berdu'a, tapi kalau Allah belum izinkan kakak dapat apa yang kakak mintak, kakak jangan sedih. Kalau kakak tak dapat jadi Dorothy sekarang, nanti Allah ganti yang lebih baik dalam syurga, atau Allah akan replace with something better later on, but you have to continue make du'a, OK?" Terang ummi.

"ooo, if we didn't get what we pray for, Allah will save for us in syurga?" tanya kakak

"Ya sayang, InsyaAllah."

Allah suka orang yang berdu'a, terlihat disitu betapa kebergantungan kita kepada Allah, Allah tidak suka orang yang tidak berdu'a, malah Allah berfirman didalam Al Quran [40:60]


40:60

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina"

Alhamdulillah dengan izin Allah, kakak Humaira dapat berlakon sebagai Dorothy untuk school play, Ada dua Dorothy, satu untuk parents show dan satu untuk school show. Kakak dapat berlakon untuk school show. Latihan berlakon dapat InsyaAllah dapat membuat kakak menjadi seorang yang ada 'self-confidence dan juga melatih 'public speaking' skill. Alhamdulillah kakak dapat menjalankan amanah dengan baik sebagai Dorothy.

Hasya Amalin, semakin meningkat usia semakin jelas sifat bertimbang rasanya, lembut hatinya. Ummi masih ingat jelas, peristiwa beberapa bulan lalu, bila Hasya jatuh dari 'monkey bar' dan siku Hasya retak. Saat itu Hasya menangis-nangis kerana terlalu sakit. Abah yang sangat panik pun pitam. Hasya yang melihat abah pitam terus berusaha melupakan sakit ditangan.

"Abah, bangun abah, Hasya tak sakit lagi, abah bangun...." kata Hasya dalam esak tangis, bila melihat abah yang baru tersedar dari pitam.

"Abah I am ok now, it doesn't hurt so much, I am OK Abah, are you ok abah?", terus-terusan Hasya yang kesakitan memujuk abah.

Kemudian bila abah sudah kembali segar, Hasya berbisik kecil dalam tangis ditelinga ummi. Takut didengar oleh abah.

"Ummi, it's really hurt ummi, it's really hurt, Hasya tak boleh tahan..." sambil terus menangis.

Kita terus ke A&E, Di Leeds General Infirmary dan malam itu Hasya pulang dengan plaster casting dari lengan sampai ke pergelangan tangan.

Semoga Allah terus menanamkan perasaan timbang rasa yang mendalam pada anak yang senang tersentuh hati itu.

Hasyalah orang paling gembira bila tok mak datang sini, orang lain juga sangat gembira tapi Hasya paling gembira. Hasya paling suka menggentel siku tok mak. siku tok mak lembut kata Hasya. Jadi untuk mudah main siku tok mak, Hasya menjadi teman tidur tok mak. Anak ummi dan abah yang solehah.

Anak yang sangat penuh dengan akal dan bertuah itulah Hafiy Addin. Anak lelaki yang paling kecil dalam keluarga saat ini. Dalam usia 5 tahun setengah ni, macam-macam perkara yang ingin dicuba, habis semua kereta mainan dibuka dengan screw driver abah.

"Ummi, I like doing this you know," Ummi dan abah hanya tersenyum saja. Bukalah anak semoga fikiran semakin berkembang dengan eksplorasi mu.

Abah mengambil keputusan membeli mainan yang memerlukan Hafiy memasang mainan tersebut mengguna kan nuts dan screws. Alhamdulillah Hafiy sangat suka.

"Ummi, ini macam bob the builder isn't it?" kata Hafiy.

Ada peristiwa lucu yang tak boleh ummi lupa, dan selalu menjadi gurauan ummi dan tok mak sekarang.

Ummi beberapa kali melarang Hafiy yang suka buat rolling atas katil, sungguh bahaya, ummi sangat risau takut Hafiy terjatuh katil waktu 'rolling'.

Baru sahaja ummi mengalih perhatian, tetiba ummi dengar dentuman kecil didalam bilik Hafiy. Bila ummi tengok Hafiy, Hafiy sudah terjatuh dari katil.

"aaa..... kan ummi dah kata, tak maulah rolling atas katil macam ni......" Belum sempat ummi habiskan ayat, dalam air mata yang mengalir dan tangan yang masih memegang kepala, Hafiy mengeluarkan kata-kata ini:

"Ummi, don't say it.. don't say like that, it makes me more hurt......" dengan air mata mengalir. Mungkin bila hati merasa sakit, kepala juga berdenyut keras selari dengan hati yang sakit.

Semua marah dan leteran ummi terus ummi telan sendiri, ummi rangkul Hafiy peluk dan usap kepala yang sakit. Ummi tak tahu nak menangis atau tertawa, yang terzahir hanyalah senyum dan tangis yang terlekat dikerongkong.

Ummi belajar dari Hafiy, kalau ada marah dan nasihat yang hendak dilontarkan, rawat dulu sakit dan luka, kemudian masa anak dalam pelukan lontarkan nasihat InsyaAllah saat itu hati anak tengah lembut senang untuk nasihat meresap. Dan tona suara kita juga berbeza saat kita memberi nasihat dikala marah dan saat kita memberi nasihat sewaktu tengah memujuk. Anak dapat mengesan tona suara kita dari diri kita sendiri. Getaran suara marah tertahan dari menusuk hati anak. Tona suara memujuk seperti highway masuk ke dalam hati anak InsyaAllah.

IT MAKES ME MORE HURT...... itulah juga kata-kata ummi pada tok mak, kalau tok mak nak marah-marah ummi sebab malas baca buku... *tersenyum lebar*, dan tok mak akan ketawa kecil mendengar ummi menyebut perkataan itu.

Oh anak-anakku, sesungguhnya ummi dan abah banyak belajar melalui kalian.

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا

أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ

Maksudnya: Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepadaMU dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepadaMU.” (Al-Baqarah : 128)


رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ

سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. (Ali-Imran : 38)


رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ

أَنْ نَعْبُدَ الأصْنَامَِ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.” (Ibrahim:35)


رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Bermaksud: “Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” (Ibrahim : 40)


رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ

يَقُومُ الْحِسَابُ

Bermaksud: “Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapakku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Ibrahim : 41)


رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ

أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Bermaksud: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqan:74)


رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي

أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ

صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي

إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Bermaksud: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibubapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai: berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri." (Al-Ahqaf:15)




Friday, 9 December 2011

Memori Hati - Selamat Pengantin Baru!!!


Assalamualaikum anak-anak ummi tercinta, entri kali ini khas untuk orang kesayangan kita yang sedang meniti hari-hari bahagia, bakal bergelar isteri orang beberapa jam lagi InsyaAllah. Buat Auntie Noni Nadiah, Barakallahulakuma.

Pesanan Umamah ini masih ummi pelajari dan semoga istiqamah juga menyelusuri, dan pesanan ini juga buat anak-anak ummi nanti, buat ukhti-ukhti ummi, dan buat yang di ingati dalam doa selalu, walau majlis mu tak mampu kami hadiri. Doa yang tulus kami kirim dari kejauhan.

Renungi pesanan Umamah binti Harith kepada anaknya sebagai petua dalam rumah tangga yang bahagia. Umamah mewasiatkan kepada anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang Raja Yaman, iaitu Al Harith bin Amru.

" Wahai puteriku!

Sesungguhnya jika nasihat ini kutinggalkan kerana keutamaan adab, tentu ia akan kutinggalkan hanya bagimu sahaja.

Tetapi ini adalah pertolongan bagi orang yang lalai dan pertolongan bagi orang yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana kekayaan orang tuanya dan kerana kecintaan kedua orang tuanya kepada dirinya , maka akulah orang yang paling tidak memerlukan suami.

Tetapi wanita itu diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk wanita.

Wahai puteriku!

Engkau akan berpisah dengan rumah yang pernah bersatu denganmu dan meninggalkan tempat yang pernah membesarkanmu, menuju ke tempat yang belum engkau kenali dan pendamping yang yang belum pernah dekat denganmu.

Dengan kekuasaannya dia akan menjadi pengawas dirimu dan orang yang menguasaimu.

Maka jadilah diri sebagai abdinya nescaya dia akan menjadi hamba yang patuh bagimu.

Jagalah sepuluh perkara nescaya akan menjadi simpanan bagimu iaitu :


Pertama dan kedua ~ Tunduk kepadanya dengan penuh kerelaan, mendengar dan taat kepadanya dengan cara yang baik.


Ketiga dan keempat~ Memerhatikan sasaran mata dan hidungnya. Jangan sampai matanya melihat sesuatu yang buruk pada dirimu dan janganlah sampai dia mencium bau yang kurang enak dari dirimu.


Kelima dan keenam ~ Memerhatikan waktu tidur dan makannya kerana rasa lapar itu boleh membara dan rasa mengantuk itu boleh membakar sifat amarah.


Ketujuh dan kelapan ~ Menjaga hartanya,mengambil berat kerabat dan saudara-saudaranya. Kemampuan menjaga harta adalah mengukurnya dengan cara yang baik dan kemampuan menjaga saudara adalah dengan mengurus dengan cara yang baik.


Kesembilan dan kesepuluh ~ Janganlah ingkar perintahnya dan jangan membocorkan rahsianya. Sebab jika engkau ingkar perintahnya beerti engkau telah membakar dadanya dan jika engkau membocorkan rahsianya engkau tidak akan aman dari pengkhianatannya.Kemudian janganlah engkau menunjukkan kegembiraan di hadapannya ketika ia bersedih dan sebaliknya janganlah engkau menunjukkan kesedihan kepadanya jika dia dalam keadaan gembira."


Sememangnya pesanan ini selayaknya untuk diri ummi sendiri, cuma ingin kita bersama-sama mendapat manafaat dari pesanan Umamah ini buat anaknya. Tanda kasih dan sayang tidak bertepi buat yang membaca. InsyaAllah.




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails