Thursday 22 February 2018

Dramaummi: Hebatnya akhlak anak-anak KISAS


Assalamualaikum anak-anak cinta hati ummi,

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pilihlah nama yang indah dan wangi ataupun nama yang kurang harum. Sepantasnya, ummi akan sentiasa memilih yang pertama. Dan yang pertama ini sangat berkait rapat dengan akhlak. Tinggallah budi dan akhlak yang indah buat memahat nama di lipatan sejarah hidup ini. Jadikan akhlak indah ini perkara yang biasa dalam hidup ini sehinggakan menjalankannya menjadi darah daging, tak terasa sedang menunjuk nunjuk akhlak yang baik itu, tak menjadi megah diri sebab terlalu biasa. Pastilah sampai terus ke hati penerima akhlak yang baik ini.
---------------------------------------------------------------------------
Beberapa hari sebelum mendaftar dibumi waqafan itu, kakak kelihatan seperti muram dan hanyut dalam lautan fikiran yang mungkin gelisah ataupun kegusaran yang mendalam. Sesekali pertanyaan ummi tentang perasaan kakak untuk sekali lagi menghuni asrama tidak kakak sahut dengan sepatah pun perkataan. Seringkali juga kakak tarik tangan ummi dan bawa kemas ke dada kakak sambil sesekali mencium tanpa sebutir kata keluar dari mulut kakak. Seringkali juga tubuh ummi yang jelas lebih rendah dari kakak ini kakak rangkul kemas dan ciuman hinggap di pipi. Sungguh sering sekali. Hanya doa yang ummi lantunkan saban waktu mengiringi kerisauan hati ummi melepaskan kakak juga.

Tiba 7/2/2018. Bersemangat sekali tok mak bersiap awal nak hantar kakak ke KISAS bersama-sama. Kakak masih kelihatan biasa. Sepanjang perjalanan yang hanya lebih kurang 40 minit dari rumah itu kakak banyak mendiamkan diri. Masih keliru dan bercelaru rasa ummi. Tak apalah kakak. Layanilah rasa hatimu anakku.

Sampai sahaja kita di depan pagar KISAS kelihatan sebarisan pelajar di kiri dan kanan jalan terus masuk ke parkir kereta. MasyaAllah terasa seperti tetamu kehormat datang bersambut. Anak-anak gadis dengan baju batik hijau dan tudung labuh, bening wajah mereka. Anak-anak Rijal tegap berbaju korporat. Ditunjuknya tempat untuk parkir kereta. Selesai meletakkan kereta, datang dua anak gadis berwajah mulus, bersih dengan tudung labuh dan lebar memperkenalkan diri sebagai CS (College Sister). Dua orang yang datang. Untuk menjadikan cerita lebih dramatik, Allah izin CS Humaira adalah anak saudara kepada Kawan baik Ummi, Cik La. Namanya Aisyah. Kakak Aisyah ini pernah juga tinggal di UK. Kita bertiga pernah ziarah keluarganya di Hull semasa ummi dan abah belajar di Bradford. Rupanya saling tak tumpah rupa umminya. Maka dengan pantas ummi dapat cam.


Aisyahlah yang membawa kami dari satu tempat ke satu tempat, dari permulaan proses mendaftar, ke dewan besar, selesai di situ, dibawanya kami ke urusan Koop. Tidak pernah pun kami ditinggalkan tak tahu haluan. Pertama kali dalam urusan yang baru, kami di santuni begini. Pastilah berbesar hati.



Selesai urusan pendaftaran, sampailah masa kami mengangkat barang-barang kakak untuk ke asrama. Sekali lagi CS ini iaitu Aisyah untuk kami bertungkus lumus membantu. Kelihatan di sana sini, pelajar2 seniors yang di panggil CS dan juga yang lain-lainnya dengan sukarela membantu mengangkat barang-barang adik-adik junior. Asrama Humaira di tingkat tiga, masyaAllah boleh tahan nak naik atas tu. Sampai sahaja di hadapan tangga bangunan asrama, beberapa orang lagi pelajar KISAS yang lain telah menawarkan bantuan. Hebat-hebat. Bila yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing, semua perkara menjadi mudah. Inilah yang kita lalui hari ini.

Rumah Omar dan semua yang berkaitannya berwarna merah. Sekali lagi, kita dikejutkan dengan 'sweet gestures' kakak-kakak yang hebat di KISAS ini. Katil2 adik2 telah dipasangkan dengan cadar dan sarung bantal.



Buka sahaja almari baju, sekotak air telah ditinggalkan oleh kakak-kakak Omar dengan nota ringkas yang manis semanis budimu anak-anakku.
Tak habis di sini sahaja. Ummi akan sambung cerita lagi InsyaAllah.
___________________________________________________________________________

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang hendak kamu dustakan?


copyright:

~Melatiblossoms~

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails