Friday 29 January 2010

Memori Jumaat - Semua manusia diuji

Salam penuh kasih sayang buat permata hati,

Ilmu didada ini terlalu sedikit, tetapi ummi tetap terpanggil untuk berkongsi tulisan maya ini dengan anak-anak, mana tahu, kalau masih menunggu masa yang sesuai, takut diri diziarah Izrail, dan semuanya hanya menjadi simpanan yang turut sama dibawa ke alam sana dan tidak sempat dibuat sebagai bekal amalan yang berguna. Ingatan untuk diri sendiri layaknya, bila selalu dijengah apa yang di rasa sebagai ujian, dapat juga ummi membaca coretan dari hati sendiri ini. Semoga kita dilindungi dari pandangan mata syaitan yang di laknat Allah,

Ujian Allah keatas manusia ini berbagai-bagai, sesuai dengan tahap kemampuan manusia itu sendiri. Ada diuji dengan kesenangan ada jua diuji dengan kesusahan.

Wahai anak, ada manusia diuji dengan dicampakkan kegelisahan didalam hati mereka. Bila gelisah mungkin baru mula kita terasa untuk mengingati Allah.

Ada manusia juga diuji dengan dicampakkan rasa tenang didalam hati mereka. Ini juga bahaya. Contohnya merasa tenang walau pun larangan Allah mereka lakukan dan suruhan Allah ditinggalkan, namun hati tidak merasa gelisah. Ujian kan itu? Mahu saja kita seperti diketik jam berloceng, contohnya kalau kita tinggal solat Isya' terasa gatal seluruh badan dan gelisah hati, dan bila kita terus mendirikan solat, gatal dibadan hilang, hati menjadi tenang. Kita mahu begitu. Bukannya tatkala kita masih belum menunaikan solat, hati tetap saja berkata tidak apa, tenang-tenang saja, tidur dulu, solat kemudian. Tidak ada mekanisma fizikal yang seperti jam loceng mengingatkan. Itu kan ujian. Hati-hati, tuntutlah ilmu dan gunalah mata akal dan hati. Jangan nafsu di ikut terus terusan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

[2:155] Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (AL BAQARAH (Sapi betina) ayat 155)


[3:186] Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar dari orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan dari orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.


[8:28] Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

[21:35] Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Janganlah menyerah kalah pada ujian, bersabar, bertakwalah dan kembali kepada Allah. Hanya kepada Allah tempat kita bergantung harap.

Kita punya Allah, Pencipta yang meleraikan kekusutan, kembalilah kepadanya, berdoalah, berharap dan redha.

Anak-anak ku sayang, sepanjang perjalanan hidup kita akan bertemu berbagai manusia, ramai yang mahu membantu percayalah, berhati-hati menggunakan akal.

Manusia mungkin hanya boleh membantu menstabilkan emosi (atau mungkin lagi mengocakkan jiwa), tetapi tiada daya dan upaya kita manusia ini melainkan dengan keizinan Allah itu sendiri. Merintihlah kepada yang Esa.

Duhai anak, dalam menempuh ujian, manusia lain juga mungkin ada yang cuba hanya ingin membantu memberi pendapat penyelesaian, berlapang dadalah, jika pendapat itu tidak sesuai dengan fitrah kita, bersabarlah. Bersangka baiklah.


[49:12] Wahai orang-orang beriman, jauhilah diri kamu dari banyak berprasangka, sesungguhnya sesetengah prasangka itu adanya dosa.

--------------------------------------------------------------------------------------------------
Jalan fisabilillah yang kita tempuh ini juga penuh dengan ujian, ujian sendiri dan ujian ke atas anak-anak. Membesarkan anak-anak dinegara orang, berbekalkan sistem pendidikan Islami yang sangat terhad, ummi dan abah harus sedar memain peranan. Tatkala anak-anak belum mengenal mehnah dunia, ibubapalah yang mencorakkan pemikiran mereka. Terleka itu bukan pilihan. Setiap detik dan saat, perhitungan harus dihisab, jalan inikah yang benar? jalan inikah yang patut ditempuh? Proses mengenal diri dan proses mengenal Pencipta yang dicari-cari anak-anak dikala umur yang begini (bawah usia remaja), amat patut ummi dan abah ambil berat. Sebaik mungkin akan ummi dan abah akan tempuhi ujian ini, berdoa, berusaha dan bertawakkal serta bersabar. InsyaAllah.

Ujian meningkatkan darjat kita, bagi hamba-hamba yang mahu mengambil peringatan. Semoga ini menjadi peringatan untuk diri sendiri. InsyaAllah



Thursday 28 January 2010

Sisipan Memori - Ikan semilai, siput dan keladi sawah

Minggu yang sungguh meminta ummi kembali menelaah seperti ingin mengambil peperiksaan. Semasa di akhir peperiksaan pengajian master kami, ummi dan abah berbual dalam gembira, mengingatkan inilah study untuk peperiksaan yang terakhir kami, selepas ini tidak ada lagi peperiksaan besar (pelajaran) yang akan kami tempuh. Rupanya ulangkaji untuk teori kajian ummi ini lebih hebat dari ulangkaji untuk peperiksaan. Terima kasih buat suami yang penyayang dan amat memahami, panjang lagi perjuangan kita ini sayang. Terima kasih buat kak yong yang turut berkorban masa, anak-anak berkorban rasa. Semoga kita beroleh rahmat dari Ilahi. Terapi untuk diri yang sibuk adalah menulis dan menulis. InsyaAllah, didalam diri sentiasa berfikir, moga coretan-coretan ini ada yang mungkin boleh dibuat kenangan untuk anak-anak. Ingin ummi bercerita semua, selalu, namun kebanyakannya sukar untuk anak-anak merungkai maksudnya, ingin ummi tunggu anak-anak besar dan boleh menghargai cerita, tapi siapalah kita untuk begitu pasti yang kita akan masih bernafas sesaat lagi, ummi tinggalkan dalam bentuk tinta maya, mungkin satu hari kalian akan baca dan akan berdoa buat ummi dan abah InsyaAllah.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Setiap petang ummi dan to uda akan turun ke kawasan sawah padi diseberang jalan dari rumah kami. Kami akan melalui rumah kampung, ummi dah tak ingat nama pemiliknya, kawasan rumahnya luas, terdapat pokok-pokok bunga yang ditanam indah. Bunga raya, bunga mawar dan bunga kertas, kemas. Rumah kampung yang tenang.

Sawah padi inilah padang mainan kami. Ummi tidak berapa ingat samada ada kawan-kawan yang lain atau tidak, seingat ummi tok udalah yang hebat waktu itu. :)

Kegemaran kami adalah menangkap ikan semilai (ikan laga). Warna ikan semilai yang sungguh cantik bila dimasukkan kedalam botol. Yang jantan berwarna kehitaman, yang betina berwarna kemerahan. Ikan jantan cantik dan kuat. Ikan karen pula ada berbagai warna, hijau, biru dan kemerahan.
Kami mencari-cari kawasan yang berbuih-buih di sawah, berjalan perlahan-lahan dan menunduk dalam setiap petak sawah, berhati-hati takut terlepas kawasan berbuih. Ikan jantan selalunya buih diatasnya berwana seperti karat buih. Yang betina pula buihnya lebih cerah. Bila berjumpa dengan buih-buih begitu, kami akan 'scooped' kawasan buih dan bawahnya menggunakan kedua-dua belah tangan. Selalunya ada ikan semilai yang dicari. Ikan-ikan itu kemudian akan dimasukkan ke dalam plastik yang di bawa. Selesai misi ikan semilai. Pulang? tidak lagi.


Misi seterusnya adalah mengutip siput sawah. Siput yang menjadi kegemaran sekeluarga bila di buat masak lemak. Bila musimnya itulah yang kami akan cari, jimat belanja dapur. Bergeraklah kami dari satu petak sawah ke satu petak lagi mengutip siput. Bila dah cukup satu plastik, kami akan berhenti dan bergerak untuk pulang. Tok udalah mandor memantau sama ada siput sudah cukup atau tidak. Bila sampai dihujung sawah berdekatan dengan rumah pesawah, selalunya ada tali air, di antara hujung petak sawah dan tali air selalunya akan ada keladi sawah yang tumbuh.

"Kakak, kita kutip pucuk keladi dulu ok, mak kakak pesan tadi, nak buat ulam malam ni," tok uda bersuara, dan sudah semestinya tok uda yang sangat suka ulam ulaman ini. Keladi pula kami kutip.

(kredit sumber)

" Pak uda, kaki kakak berdarah," adu ummi pada tok uda. Bila melihat lelehan darah pada buku lali ummi.

"Ok, kakak, duduk diam-diam, pak uda nak pi cari ranting," Usul tok uda tenang.

"Ok, tarik kaki seluaq kakak tinggi sikit, tengok belah lain ok, " panik bermula.

"Pak uda, lintah ka?,eeerrrrrr, " panik mula menyerang

"Tak pa, tak pa pak uda buat. Jangan panik, " tok uda menenangkan sambil menarik lintah yang hampir kenyang dibetis kaki ummi.

Kemudian,lintah itu tok uda cucuk dengan ranting ke tanah. Darah merah mengalir keluar dari lintah tersebut. Bekas gigitan di betis masih lagi berdarah.

Sesampai saja dirumah. Sesudah selesai membersih diri, tok mak pun menyapu minyak gamat dibetis ummi. Ikan semilai semua sudah siap tok uda masukkan dalam botol, satu botol seekor. Kemudian botol diletakkan bersebelah. Bermulalah sessi ikan mengembang dan cuba berlaga kearah botol untuk berlawan dengan ikan di dalam botol satu lagi.

"Tak baik, buat ikan macam tu, anaiya dia. Berdosa kita. Kalau nak tengok ikan tu cantik, tok sah lah buh dekat2 nanti dia dok belaga botol habih pecah mulut dia." Pesan tok mak. Baik mak. Anak dan adik yang taat. Ikan di asing jauh.

Malam itu, lauk kami, siput sawah masak lemak, pucuk keladi sawah rebus bersama air asam yang dipicit cili, belacan dan bawang potong (orang kedah panggil air asam, saja). Ikan gelama kering goreng pasti tidak dilupakan.

Rezeki yang dikurniakan oleh Allah bagi orang-orang yang mahu berfikir dan membaca tentang alam Allah. Ibu yang bijak dan berhemah, tok mak.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Anak, waktu dan ketika ini ummi dan abah tak mampu menyediakan padang permainan yang luas selayak sawah padi yang ummi jejaki, tapi ummi pasti kebesaran Allah itu dapat di baca dalam setiap nafas yang kita sedut, dan dalam setiap lengguk pohon ditiup angin walau dimana kita berada, semoga anak-anak sentiasa belajar cerita alam dan menghargai nikmat kurniaan yang Maha Besar dan Maha Berkuasa. Allahu Akbar.

Wednesday 27 January 2010

Sisipan Memori - Nasi lemak, kacang bilis pedas

"Ummi, Hasya wants the red things(sambal ikan bilis) with nasi lemak.", berselera Hasya menjamu nasi lemak hidangan kak zah (zaujah akhi Suzari) dipagi Ahad minggu lepas.

"Ehhhmmmmm, I like this nasi lemak so muchhhh... "Kakak pula bersuara selepas lebih kurang 5 kali tambah (sikit-sikit), hampir kering pinggan sambal ikan bilis dan juga hampir habis nasi lemak diperiuk. (3 keluarga menjamu nasi lemak kak zah hari tu -terima kasih daun keladi :))

Anak-anak gemar nasi lemak, Hasya baru mengenal nikmat makanan pedas sejak kebelakangan ini. Bagi Humaira pula, makanan pedas memang kena dengan seleranya. Maafkan ummi sayang, kebelakangan ini ummi jarang masak nasi lemak. Sebab, kalau ummi masak, ummi akan makan dengan bersungguh-sungguh, lepas tu ummi akan mengantuk dan susah untuk ummi hendak mengulangkaji pelajaran (mungkin psychology kot) dan semestinya berat badan menjadi isu. :). Penyelesaiannya, ummi amat jarang memasak nasi lemak.

Bila anak-anak dapat peluang bertemu nasi lemak, memang macam ummi tak pernah masak kan.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Seingat-ingat ummi, ummi dan tok uda ke sekolah berjalan kaki, berdua saja, kalau dizaman sekarang amat bahaya untuk pelajar berumur 7 tahun dan 9 tahun berjalan sendiri ke sekolah. Masa zaman tu, Alhamdulillah selamat. Tok mak bekalkan ummi dan tok uda duit 20 sen seorang. Tok mak juga bekalkan kami dengan makan tengahari.

Berjalan menyusuri jalan raya di Bukit Selambau pada waktu itu sungguh tenang dan nyaman. Masih terbayang-bayang dan seperti terasa-rasa udara hembusan nyaman di Bukit Selambau. Kehidupan kampung yang indah. Masuk ke kelas, pelajaran bermula seperti disekolah lain juga. Pelajarnya pelbagai kaum, dan ada juga pelajar yang berbagsa Siam, salam satu bangsa yang ada di Bukit Selambau.

Bila tiba waktu rehat, tempat yang menjadi tumpuan sudah semestinya kantin sekolah. Paling ummi suka adalah nasi lemak kantin sekolah Bukit Selambau itu. Susah hendak digambarkan, walaupun sambal ikan bilisnya cair, timunnya entah ada entah tidak tapi itu juga yang sedap. Harganya 20 sen sepinggan. Ummi juga suka sangat dengan makanan ringan. Kalau ummi beli makanan ringan, ini bermakna hari itu ummi tak dapat makan nasi lemak, sebab duit yang tok mak bekalkan cuma 20 sen. Bekal yang tok mak beri kurang memangggil seperti nasi lemak mak cik kantin ni.

"Mak cik, saya nak nasi lemak satu, tapi saya tak ada duit lagi," terang ummi pada mak cik kantin yang berdiri ditingkap kantin.

"Saya boleh tolong basuh pinggan,"Ummi masih mencuba nasib.

"Betui ka, oklah kalau macam tuh, kalau habis makan nasi, adik basuh pinggan yang tu ok." Tunjuk mak cik kantin pada sebesen kecil pinggan yang belum berbasuh.

Kisah benar, mungkin umur yang sekecil itu, kemahuan lebih penting dari rasa malu untuk membasuh pinggan. Entah apa yang ada dalam fikiran ummi waktu itu, usah ditanya sebab memori dibahagian itu tidak melekat di kepala. Pekerjaan membasuh pinggan ini berlarutan sampai seminggu juga. Jadi, dapatlah ummi makan nasi lemak mak cik kantin, dan dapat juga ummi beli makanan ringan untuk dikongsi bersama mak teh. Pekerjaan membasuh pinggan ummi rahsiakan dari tok mak. Tapi, naluri ibu.

Tok mak rasa hairan, kenapa bekal yang diberi selalu tidak habis, dan ummi masih ada duit untuk membeli makanan ringan, tak laparkah anaknya ini disekolah? Sesi interogasi berlaku selepas tok mak merasakan ada yang perlu tok mak tahu. Mahu tidak mahu ummi terpaksa bongkarkan kisah bekerja sambilan membasuh pinggan untuk makan nasi lemak percuma. Aduhai, linangan air mata ibu yang tak dapat ummi tafsirkan waktu itu.

(Gambar hiasan [kredit sumber]. Kacang goreng tok mak dah dibuang kulitnya)

"Kita memang orang susah, mak tak boleh nak bagi lebih dari dua kupang (20 sen)," ringkas tok mak bersuara.

"Kak, kak nak makan nasik lemak hari-hari ka?" tanya tok mak pada ummi.
Ummi mengangguk rasanya.

"Kalau macamtuh, kak nak dak, kalau mak buat kacang goreng gaul sambal ikan bilis kering (kacang bilis pedas), kita pack, lepaih tu kak bawak pi juai (jual) kat sekolah?". Tok mak yang sudah habis tender berniaga dikantin pembinaan sekolah menengah, mengutarakan pelan perniagaan baru kami.

"Sepeket kecik ni sekupang (10 sen), kalau kak juai habis 10 peket, dapat seringgit, mak upah kak sekupang, kalau 20 peket dapat dua ringgit mak bagi upah 2 kupang," tawar menawar tok mak dengan ummi.

"Kalau dapat upah 2 kupang, tambah dengan duit sekolah 2 kupang , kak akan dapat 4 kupang (40 sen), boleh beli nasi lemak dengan keropok (makanan ringan), dua-dua sekali," Umpan tok mak untuk menjayakan misi perniagaan sambil menambah duit poket anaknya yang boleh tahan berbelanja ni.

Ibuku yang sangat bijak. itulah tok mak kalian wahai anak-anak.

Perniagaan itu dimulakan dengan kadar segera, dan mak cik kantin pun kehilangan seorang pembasuh pinggan.

Alhamdulillah seingat ummi, perniagaan kacang bilis pedas kami boleh tahan juga maju.

Sedari kecil lagi anak, ummi di ajar berdikari dan berusaha. Jika ada yang kita inginkan usahalah. Nilai yang ditanam oleh tok mak (ibu ummi) tanpa sedar. Walau hidup tidaklah mewah, di tahap susah, tapi hati sentiasa berbunga bahagia, jika tok mak mengalir air mata mengenang anaknya yang membasuh pinggan untuk makan nasi lemak, yang ummi ingat hanyalah kesedapan nasi lemak itu sendiri, tidak terlintas di ingatan tentang kesusahan . Waktu kecil yang sentiasa bersulam riang. Berkat dari Ilahi, Rahmat dari yang Esa.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------
InsyaAllah, ummi akan selalu buat nasi lemak lepas ni ya, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, DNA yang suka makan nasi lemak yang diwarisi anak-anak.


Tuesday 26 January 2010

Memori Berjuang - Jalan ke syurga



"Nak balik buat VISA ni kakak balik sorang. Banyak kerja reserach yang Mel kena selesaikan kat sini, kalau nak balik sebulan tu tak mampu rasanya. Lebih baik kalau Mel kat sini. Anak-anak pun tak balik sebabnya, kakak boleh concentrate urusan VISA dengan cepat di Malaysia nanti." terang ummi pada tok mak dan tah dalam perbualan telefon kami.

"Boleh ka Mel tengok anak-anak sorang2 dia kat sana?" persoalan yang sama bermain di fikiran tok mak dan tah.
"Kak yong ada boleh tolong", jawapan ummi, abah cuba merungkai soal yang bermain diminda.

Saat dan detik itu juga, fikiran dua insan mulia terpenting dalam hidup kita hanya bertumpu pada kita duhai anak. Abah yang terlalu sibuk, menuntut pengorbanan yang luar biasa kalau ditinggalkan sendiri mengurus anak-anak. Walau ada kak yong, manakan sama.

Mereka rupanya saling berhubung, berbincang tentang siapa yang akan datang menolong. Aduhai anak, tak pernah lesu mereka memikirkan hal kita.

Ayah Wan(adik abah) dan Auntie Dina di negara yang sedang panas sekarang juga perlu berjuang berhabis-habisan disaat itu. (kak Ati, abang Mel dan anak-anak sentiasa mendoakan Wan dan Dina dikurniakan Allah dengan kemudahan didalam setiap urusan, terutama urusan Fisabilillah ini, InsyaAllah). Bila resah mengundang sakit di kepala, ribaan dan pelukan ibu juga yang kita rangkul kemas, lalu dengan lenggok suara anak disebalik getaran suara di telefon sudah dapat diteka anak-anak yang memerlukan sokongan. Minda cerdas ibu-ibu ini terus merangka strategi yang sentiasa mahu merungkai resah dihati anak-anak dengan apa jua usaha yang mampu, menitis juga air mata mengenang jasa yang tak akan pernah terbalas, hatta cuma ke atas ingatan mereka, apatah lagi jasa dengan jerit payah mereka. Tak akan mungkin tersangkal bahawa syurga itu ditapak kaki ibu.

Kita membina negara kecil kita disini, rupanya anak negara kecil ini tak pernah lepas dari naungan limpahan kasih sayang ibu-ibu kami (nenda kalian). Gumpalan awanan cinta ibu buat anak-anaknya tak pernah jemu meneduhi negara kecil kita. Agar terik mentari siang tak terlalu memanaskan.

Duhai anak, mampukah ummi dan abah berbakti kepada mereka dengan bakti seorang anak yang taat? mampukah ummi dan abah membalas setiap detik resah mereka buat kami, sedang itu pun rasanya tak mampu kami balas.



Doa tak putus dari kami anak-anak mu ibu, semoga Allah mengangkat darjat kalian di dunia dan di akhirat. Kurniakanlah buat mereka syurga Mu ya Allah. Kurniakanlah mereka kepatuhan dan ketaatan dari kami anak-anaknya.

Menghitung rahmat Allah, setiap masa, terlalu beruntung rasa diri masih punya ibu (kedua-duanya) untuk berdoa buat kami anak-anaknya. Doa ibu yang tak terhijab. Ya Allah kurniakan lah kami kesempatan untuk berbakti pada mereka didunia ini.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Ummi juga berharap dapat menjadi ibu yang paling sempurna buat kalian anak-anakku. Dan begitu juga kalian buat pewaris kita seterusnya. InsyaAllah.

Sunday 24 January 2010

Memori Berjuang - U -Turn

Salam buat permata hati,

Seminggu dua yang menuntut muhasabah yang mendalam dan jitu. Research yang masih terumbang ambing dan persediaan teori yang 1 tahun kebelakang. Minggu-minggu yang meminta diri ummi merungkai silangkata di minda. Alasan hebat untuk tidak ada mutiara dari hati buat anak-anak disini.

Perbincangan dengan abah yang amat menenangkan jiwa dan raga. Terima kasih Allah, kau kurniakan pendamping diri yang menenangkan dan merangsang semangat juang. Yang membangun sedar bahawa diri ini selayaknya meletakkan sepenuhnya kebergantungan kepada Mu ya Allah. Tuhan yang mentadbir alam yang luas dengan indah menurut aturannya tanpa ada yang bercanggah, bumi mengelingi matahari dengan penuh patuh. Tuhan yang menguruskan urusan zarah yang sekecil molekul electron yang mengorbit nukleasnya dengan penuh patuh. Tiada sesuatu pun kejadian mungkin berlaku tanpa izin Allah. Ya -Allah izinkanlah kami-kami ini yang berjuang untuk memperoleh secebis ilmu mu ini, memahami kebesaran Mu dalam kejadian yang membentuk ilmu Mu ini ya Allah. Lontarkanlah perasaan cinta kami dalam mendalami ilmu Mu yang tak bertepi dan dalam kasih dan sayang buatMu ya Rabb.

'Perjalanan dalam proses kajian kita yang panjang ini memang menyedarkan kita yang tentang betapa kita sebenarnya secara TOTAL adalah amat bergantung kepada Allah'. Hasil perbincangan panjang, ummi abah dan sahabat-sahabat baru yang kami temui lewat pertemuan hujung minggu kita. Terima kasih buat Saudara Suzari dan kak zah di London yang sudi menerima kami sebagai tetamu. Jutaan dan ribuan penghargaan atas perbualan singkat penuh makna kita buat Kak Zu dan Abang Mior dari Hull. Singkat tapi penuh pengisian. Terasa tenang mengalir dalam alir darah..... kita didalam alam juang yang sama. Banyak nasihat berguna buat ummi dan abah. Terima kasih.

Diri ini harus bangkit dan bertindak seiring kata hati.......
----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Facebook: Deactivate sebentar, sebab diri yang tak disiplin.... :):) teknologi itu harus dikuasai, bukan kita yang dikuasai teknologi :):)

Monday 11 January 2010

Memori Hati - Saat mahar beralih tangan


Ikatan itu ikatan azali,
Ikatan terlakar di Lauhul Mahfudz,
Lahirnya kita menjengah dunia,
Ikatan itu kita bawa bersama,

Jalan sendiri kita tempuh,
Diajar mengemudi dunia,
Dunia yang sementara,
Diajar juga menjadi khalifah,
Agar dunia tidak merana,
Diri disiap untuk alam yang kekal,

Jalan bertemu, aturan Allah,
Bertemu,
Untuk terus melakar cerita kita,
Saat mahar beralih tangan,
Saat tangan halal kukucup,
Mulut telah melafaz akad, berjanji...
perjanjian mengemudi bersama 'negara' kecil kita,

Terima kasih Allah,
Semoga kami terus istikhomah...
dalam membangunkan negara kecil kami...
penuh ketenangan dan kasih sayang...
dalam mencari RedhaMu Ilahi....
Jalan yang bersatu semakin panjang rupanya...
semoga liku dan duri disepanjang perjalanan,
dapat kita tempuhi bersama,
Semoga Allah memberi ilham...
peranan ini kita hayati bersama...

memori hati,

Saturday 9 January 2010

Blossoms Memory - Musim Bunga Lebih Indah.....


Jalan ini yang Allah aturkan untuk kita pilih, kenapa?
Kenapa belajar ke luar negara? Jauh dari sanak saudara, Jauh dari ‘support system’.


---------------------------------------------------------------------------------------------------
"Mel sambunglah belajar lagi, education is important", cadang tok tok (bapa kepada abah) pada abah. Dibuku kecil tentang 'You want to get a PhD?' yang tok tok hadiahkan buat ummi dan abah selepas kami habis Master dulu ada ditulis muka pertamanya tarikh-tarikh untuk abah mendapat Phd, ummi mendapat Phd, ayah wan, ayah nor dan Humaira juga.


Target for Phd

Abah (2007)

Ummi (2008)

Ayah Wan (2009)

Ayah Nor (2012)

Humaira Ardini Hizamel (2029)


Tarikh-tarikh itu ditulis oleh Tok tok. Tok tok adalah seorang yang sangat rajin membaca. Sesudah subuh pasti tok tok akan habiskan masa dibilik kecil di tepi dapur untuk membaca. Bahasa Inggeris beliau sangat bagus. Beliau pasti seorang yang cintakan ilmu. Masih ummi ingat, ketika ummi baru berkahwin dengan abah, ummi juga baru berkerja dengan MAXIS ketika itu. Tok tok, ketika itu mula membaca tentang teknologi komunikasi dan jugak 3G yang menjadi isu terkini ketika itu. Banyaklah topic perbualan kami di meja makan. Beliau seboleh mungkin, akan berusaha mencari titik persamaan dengan orang-orang sekeliling.


“Kalau abang mencari jalan penyelesaian untuk sesuatu, dan abang discuss dengan abah, abah selalu akan cuba direct our mind to different angle of solutions. Sebab kita boleh fakir the positive side of it, most of the time. Abah akan cuba provoke kita tentang the worst case scenario. So that we will focus out of the box.” Terang abah tentang cara Tok-tok menolong abah dengan masalah-masalahnya.


Abah selalu menyebut tentang Tok tok dan Tah (Ibu kepada abah). Bagi abah, Tok tok dan Tahlah manusia yang paling abah sayangi. Abah selalu bercerita tentang, bagaimana tok tok selalu mengajar abah berfikir secara menyeluruh. Befikir diluar kotak pemikiran biasa. Di pangkuan Tah adalah tempat yang paling tenang didunia ini buat abah.


“Kalau abang risau dan buntu, abang akan bersembang dengan mama, kalau dengar mama bercerita dan berbual dengan mama semua benda kita rasa macam kita boleh buat”, cerita abah di dalam kereta, semasa kami sama-sama melayan rasa rindu pada Tok-tok dan Tah.


Ummi masih ingat, ketika ummi dan abah diasak dengan masalah tentang pembantu rumah yang pelbagai ragam, Tok-tok dan Tah jugalah yang bersedia menghulur rasa tenang.

Rupanya anak, sejauh mana pun kita terpisah, selama manapun kita berjauhan, pada ibu dan ayah itulah juga tempat kita mencurah rasa.


Rupanya anak, walaupun kita membina keluarga, pada ibu dan ayah juga kita bergantung selamanya. Tali yang tak akan putus sampai akhirat. Saat kepala terlalu berat memikir hal dunia yang tak pernah surut, keribaan mereka juga kepala itu lebih selesa dibaringkan.

Setelah dua tahun kita di sini, terasa rindu yang mendalam buat insan-insan yang mulia dan berjasa dalam hidup kita ini wahai anak-anak.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

InsyaAllah, semoga Allah muliakan hidup mereka dan Allah tingkatkan darjat mereka. Dengan izin Allah, musim bunga kita akan lebih indah tahun ini. Insya-Allah.


Wednesday 6 January 2010

Memori Berjuang - Hari yang pasti

Terpanggil untuk berkongsi pengisian yang di bawakan oleh program Halaqah berkenaan kematian, "Kain tak berjahit", perbincangan diisi oleh Dato' Abu Hassan Din dan juga Dato' Ustazah Bahiyah.

Ayat 11 Surah Al Munafiquun. Ayat yang dikupas.

Ummi berminat untuk berkongsi tentang pengurusan jenazah yang diutarakan. Fardhu Kifayah yang digalakkan untuk semua mempelajarinya.

Betapa indahnya andai kalau simati itu adalah keluarga kita, terutamanya ibu-bapa kita, kita sendirilah yang menguruskan jenazah mereka. Dari menyiapkah jenazah, memandikan jenazah, mengkafankan, menyolatkan jenazah dan mengebumikan jenazah kemudian melangsaikan hutang piutang jenazah. Alangkah sejuknya perut ibu mengandung, dan alangkah sejuknya tulang sulbi ayah yang punya anak begini. Mampukah diri ini melakukannya? Tanam azam untuk boleh. Belajar dan belajar.

Andai kita yang dijemput dulu, pasti kita juga mahu ibubapa kita dan keluarga kita yang menguruskan jenazah kita. Andai ada aib diri kita, tidaklah sampai orang lain tahu. Hikmah jika jenazah diuruskan keluarga sendiri. Siapkan diri.

Rupanya, anak-anak, tidak kira perempuan atau lelaki boleh menguruskan jenazah ibu dan ayah nya, tidak semestinya anak perempuan menguruskan ibunya dan anak lelaki pula untuk jenazah ayahnya. (Baru tahu, nampak sangat tak tumpukan perhatian sepatutnya semasa berkursus mandi jenazah). Menurut pendapat ulama', jenazah suami, lebih aula diuruskan oleh isteri dan jenazah isteri juga lebih aula diuruskan oleh suami. Suami tahu isterinya zahir dan batin, begitu juga sebaliknya. Maka seeloknya juga, disaat akhir itu, jenazah diuruskan oleh suami atau isterinya sendiri. Semoga kita juga mendapat penghormatan terakhir oleh anak-anak, suami atau isteri, serta keluarga sebegini. Moga segala aib kita dilindung oleh Allah selamanya, sehingga saat kita tidak mampu melindunginya sendiri. [link artikel]

Tekad dihati, ilmu ini harus juga didalami, hari yang pasti itu akan datang, sesaat pun tak akan berganjak.

--------------------------------------------------------------------------------------------------
Ya Allah,
semoga kita menjadi permata penyejuk hati ibu dan ayah,
semoga kita mampu menguruskan jenazah keluarga kita sendiri,
semoga jenazah kita jua diuruskan oleh mereka-mereka yang kita kasihi.

Monday 4 January 2010

Memori Berjuang - Rindunya menatap wajahmu...

"Bestnya lagu ni sayang, rasa syahdunya........", abah memulakan bual satu pagi.
"Lagu baru Siti Nurhaliza...... lagu berkenaan Rasulullah...", terang abah lagi.

" oooo lagu ni yek, macam pernah dengar Raihan nyanyi.....", jawab ummi pula.


(kredit sumber)

lagu yang menusuk kalbu, terasa panas mengalir perasaan, pelbagai. Menghayati bait-bait lagunya.
Lagu yang di adaptasi dari lagu kumpulan Raihan.


(kredit sumber)

Indahnya wajah rasulullah, dalam mimpi pun entah dapat atau tidak membayangkannya. Lunaknya suara nabi Allah, dalam angan pun entah dapat tidak mendengarnya.

Mulut menyatakan cinta padanya, kekasih Allah, mencintainya seperti mencintai Allah. Entah hati sama mengakui atau pun tidak. (Kembali teliti hati sendiri)

Mulut menyatakan cinta padanya, pesuruh Allah, tapi entah perbuatan ini mencerminkan cinta padanya ataupun tidak?

Muhasabah diri, usia semakin pendek, masa terus pantas berlari, amalan masih di takuk lama, sedarlah wahai diri ini, mulut sentiasa mengaku mencintai Allah dan rasulullah, hati dan amal semoga bergerak seiring. Cinta padanya, jatuh cinta jugalah pada amalannya... semoga kita istiqamah mengamal sunnahnya.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

"Abang, kita kena terus perbaiki diri dan keluarga kita....., amalan kita....." sambung ummi selepas selesai ummi dan abah melayan lagu.

Friday 1 January 2010

Kenangan Berdarah 27 Dec 08 hingga 18 Jan 09

Gaza Massacre 27 Dec 08 - 18 Jan 09 -- 1,400 Muslims murdered.

Cebisan hati yang rapuh --> tulisan yang tertangguh...

--------------------------------------------------------------------------------------------------
Mortar dan peluru berpandu mereka……

roket dan batu saudara kita…….

Hijrah kita besar-besaran. Ceramah dan majlis diisi penuh Alhamdulillah. Alat penghawa dingin tak ketinggalan, kemestian yang ada untuk terus menjemput kariah datang ke majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau kita.

Tika ini juga, saudara-saudara kita di genting gaza, penuh sengsara menahan kejamnya hujanan mortar dan peluru berpandu rejim zionis yang tak pernah ada hati perutnya. Apa dosa anak kecil yang turut dimamah peluru itu? Terasa perit sampai ke hujung rambut pada suatu keterbatasan perbuatan yang tak membolehkan kita turut sama membantu. Sekecil-kecil iman ini wahai tuhan ya Rabbi, aku hanya mampu untuk turut menghulur doa tak bertepi.

Moga pejuang-pejuang di jalan Allah akan terus kuat tenaga menghantar roket dan balingan batu buat yahudi laknatullah. Sabarlah wahai saudara-saudaraku pada ketentuan yang telah ditulis Allah.

Bangkitlah wahai-wahai saudara seagama hulurkan bantuan dengan apa cara yang termampu hatta sepotong doa.

---------------------------------------------------------------------------------------------------


Gambar dari album abang Shamsul, seperti memanggil-manggil hati untuk memaparkan rasa cebisan hati yang ditulis setahun lalu. Kerdilnya diri, hanya mampu menghantar doa. Semoga peristiwa berdarah setahun lalu diingat kemas dalam hati-hati saudara sesama Islam, yang memaparkan sejarah pembunuhan beramai-ramai saudara kita di tanah suci ketiga kita. Doa akan terus kami hantarkan, bantuan termampu kami serahkan.

Buat kawan-kawan yang membaca, doa anda pohon sama dipanjatkan buat sahabat-sahabat kita yang dalam perjalanan membantu saudara kita di Palestin.

Email dari Anseri (Persatuan Alumni MRSM Beseri) diperpanjangkan;

Bagi pihak Hj Noorazman Shamsudin @ Man Pres (ex President ANSERI & Ex Pres BWP 1st batch)
Sahabat kita ni sedang dalam perjalanan ke Gaza dari Syria bersama Konvoi Antarabangsa Visa Palestina. Rombongan ini akan melalui Terusan Suez, menuju ke el-A'rige (Egypt) sebelum ke Rafah & Gaza. Sempadan Rafah jangka dibuka pada 3 - 6 Jan 2010. Jangkaan akan terdapat banyak halangan dari Israel & Egypt.

Beliau memohon warga Anseri khasnya dan semua saudara se-Islam amnya mendoakan keselamatan beliau & rakan2 yg lain. Ini merupakan misi yg amat merbahaya. Jadi sama2lah kita doakan kesejahteraan mereka. Insya Allah.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails