Showing posts with label feeling. Show all posts
Showing posts with label feeling. Show all posts

Monday, 3 February 2014

Monolog kosong



Perlukah pada sebuah kembara?
untuk pena menari kembali,
Perlukan pada sebuah bicara?
untuk ketukan papan kekunci,
Perlukan pada sebuah lantai baca?
untuk puitis kembali menari.

Tarian abjad menghuni benak,
Tarian abjad menghuni otak,
Rantaian kata menghimpit, sesak,
Rantaian kata menghimpit, senak.

Kasihan
masa yang emas itu cemburu,
masa yang berlian itu pergi meluru,
masa yang intan itu tak mahu tunggu,

Tunduk
sepi yang tinggal,
ruang yang kosong,
pena yang kaku,
kertas yang melayang.

Titik
mula kan datang,
warna kan indah,
pelangi kan cerah,
hati kan berbunga.

Wednesday, 16 May 2012

Cerpen: Mawar di hatiku



"Assalamualaikum mak, saya pergi dulu ya", aku memberi salam, sambil tangan ibuku kukucup penuh kasih sayang. Ibuku mengucup bahagia kening ini sambil mengangguk memberi izin.

Anak sekecilku sudah biasa berpergian seorang diri melangkah ke sekolah. Di zaman-zaman itu, perkampungan ini sangat selamat, jiran-jiran sepanjang jalan mengawas anak-anak tetangga yang berjalan sendiri dan berbasikal sendiri ke sekolah. Jiran-jiran yang sejalan dengan anak-anak , memerhatikan langkah anak-anak ini sampai ke pintu sekolah. Seperti persefahaman yang tak pernah ditandantangi bersama.  MOU yang tidak mengikat mereka. Tapi, berjalan persefahaman itu seperti biasa, kerana ikhlas dalam berjiran.

"Selamat pagiiii cikguuuuuuuu," bergema kelas kami dengan suara nyaring anak-anak yang menyambut guru masuk ke kelas.

"Assalamualaikum anak-anakku," dia sahajalah guru yang mewakilkan kami sebagai anaknya. Dan dia jugalah yang tidak pernah tidak singgah difikiranku sehari-hari. Aku pasti ingin jadi guru. Seperti cikgu Shamsinar.

"Selamat pagi, anak-anak boleh duduk sekarang," manis wajahnya, Subhanallah. lembut suaranya menyerap ke kalbu. Pastilah dia guru terhebat di alam ini. Bisik suara kecil di dalam hatiku.

"Alhamdulillah, sekarang kita sudah sampai dalam minggu ke-dua, di bulan Mei, Cikgu nak tanya, apa peristiwa penting yang akan berlaku dalam masa terdekat," Cikgu Shamsinar bertanyakan kami sambil sebuah senyuman manis beliau sedekahkan buat kami semua.

" Hari Guru, cikgu," Jerit, Soon Nam, salah satu murid berbangsa siam yang fasih berbahasa melayu dalam kelas kami itu.

"Cikgu, bapa saya ada ukirkan sesuatu yang istimewa buat cikgu," Sambung Soon Nam lagi tanpa sempat cikgu Shamsinar memberi maklum balas pada jawapan sebelumnya.

"Soon Nam, memang betul juga Hari Guru, tapi yang lebih penting adalah peperiksaan pertengahan tahun anak-anak semua,"
Jelas Cikgu Shamsinar berhemah.

"Dan Soon Nam, mahu tak Soon Nam tolong cikgu?" Tanya Cikgu Shamsinar, sambil matanya tepat memandang susuk Soon Nam di belakang kelas. Itu antara istimewanya ibu guruku ini, bila bercakap matanya tajam memandang mata lawan cakapnya. Walau sesibuk mana dia.

"Boleh Cikgu. InsyaAllah," pecah tawa satu kelas, biasa benar si Soon Nam ini menggunakan  perkataan InsyaAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar dalam perbualan sehari-harinya, kesan langsung banyak bergaul dengan kami anak-anak Melayu Islam.

"Soon Nam pesan sama bapa, jangan susah-susah sediakan apa-apa ya buat cikgu, dan Soon Nam juga jangan meminta-minta bapa sediakan sesuatu buat saya, boleh? Mudahkan permintaan saya?" Terang Cikgu Shamsinar.

"InsyaAllah, Cikgu," Jawab Soon Nam ikhlas, bukanlah dia mahu mempermainkan perkataan-perkataan penting dalam Islam itu. 

Waktu rehat hari itu, penuhlah perbualan kawan-kawanku berkisar tentang hadiah-hadiah yang mereka sediakan buat guru-guru untuk menyambut Hari Guru yang tinggal dua hari sahaja lagi. Ada ibu yang sudah menggubah bunga untuk guru, ada yang sudah membelikan hadiah, ada yang mengukir hadiah, kebanyakannya adalah hadiah yang dibuat sendiri. Penduduk kampung seperti kami ini, pastilah hanya itu yang termampu.

Keningku berkerut tak ku sedar, penat memikir apa yang harus aku lakukan untuk hari guru ini. Inilah kali kedua aku menyambut hari guru. 
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Setahun yang lalu semasa darjah satu, aku datang dengan berlenggang sahaja ke kelas. Semua orang berebut-rebut bersalam dengan cikgu sambil menghulurkan hadiah. Aku tetap di kerusi, tak mungkinlah aku bersalam dengan tangan kosong. Sudah seminggu juga anak-anak ini berbual tentang hadiah-hadiah mereka, aku dengan kerut keningku.

Semalam, rajukku di atas pokok langsat dan rambutan membuah bekas, di gigit semut api penuh betis kecil ku. 

Rajuk pada ucapan ringkas seorang ibu. Rajuk yang datang pada anak yang masih pendek akalnya. Otak yang belum sempurna membesar memprotes semahu-mahunya cadangan ibu.
" Sayang, mak gorengkan kacang pedas, kemudian kita bungkus dan beri pada cikgu-cikgua esok ya," Ibu bersuara, selepas ibu keluar dari dapur, barangkali ibu melihat-lihat bahan-bahan apa yang ada di dapur untuk beliau masak untukku beri pada guru-guruku. 

Aku pasti itu sahajalah bahan-bahan yang ada di dapur yang masih berbaki. Abah hanya akan pulang bersama bahan-bahan mentah lagi seminggu, abahku kuat berkerja di tapak pembinaan beratus-ratus kilometer dari rumah, pulang sebulan sekali dengan bekalan untuk sebulan buat kami.

" Mak, semua orang bawa hadiah bagus-bagus, saya malu kalau saya bawa hadiah kacang goreng pedas, kan kacang goreng pedas juga yang saya jual sehari-harian di sekolah, pasti saya akan diketawakan kawan-kawan," Jelasku panjang lebar.

" Sayang, kalau nak beli hadiah memang kita tak mampu, sayang tahu abah belum pulang, lagi seminggu," Ibu meluahkan kenyataan yang memang sudah sedia kami ketahui.

Aku berlari keluar sambil memanjat pokok rambutan kesayangan ku, tempat aku menenangkan hati diwaktu kecilku itu. Puas merenung, aku panjat pula pokok langsat yang sedang berputik muda. Berlari pulang bila kaki-kakiku terasa perit, di gigit semut api. Ibu sambut di muka pintu, rangkul tubuhku dan disapunya kakiku dengan minyak yang baunya tidak enak, tapi sakitnya hilang. Ibu kucup keningku, kami makan dan solat bersama. Rajukku hilang dengan hidangan nasi panas, ikan pekasam dan pucuk paku rawan yang di cicah dengan air asam. Malam itu aku terjaga dari lelapku bila terbau kacang goreng pedas yang sedang di goreng ibu di dapur, tapi aku nekad untuk tidak membawa hadiah itu.

Hari itu degilku telah mendaparkan aku seorang diri di kerusiku sedang rakan-rakan yang lain mendapat perhatian guru-guru satu persatu.

"Assalamualaikum," Suara lunak yang pertama kali ku dengar.

"Errrr, Waalaikumussalam cikgu," jawab aku pada wajah yang biasa ku lihat, tapi tidak pernah mengajarku.

"Kenapa Huraiyah duduk seorang kat sini, mari ikut cikgu ambik makanan," Cikgu Shamsinar, seperti sinar mentari memancar.

"Cikgu saya malu, saya tak ada hadiah untuk bagi pada cikgu-cikgu," begitulah selalunya anak kecil yang tuturnya selalu tidak bertapis dari hatinya.

"Huraiyah, semua cikgu-cikgu tak perlukan hadiah dari anak-anaknya, semua cikgu-cikgu nak anak-anaknya pandai, berakhlak mulia, Huraiyah janganlah malu, cikgu tengok Huraiyah anak yang baik kan, itu hadiah buat cikgu," Guru kelas darjah dua ini menyambung bualnya. Kembang hatiku sebentar.

Sekarang tiba giliran guru-guru membuat ucapan, ku dengar satu persatu, semuanya berterima kasih pada kami yang menjadi anak-anak murid yang baik, berharap kami akan belajar dengan rajin dan berjaya mengharumkan nama sekolah di peringkat daerah, diperingkat negeri dan diperingkat kebangsaan. Mengharumkan nama anak bangsa. Tiba giliran cikgu Shamsinar, guru kelas darjah dua Merah, kelas paling pandai di dalam darjah dua.

"Assalamualaikum semua, saya hargai anak-anak yang bersusah payah mengusahakan hadiah-hadiah untuk kami guru-guru kalian. Tetapi bagi saya, kebiasaan ini pasti membebankan ibubapa kalian bukan," Cikgu  Shamsinar sentiasa prihatin yang sekolah ini pelajarnya adalah rata-rata anak kampung, ibubapa kais pagi makan pagi, hanya ada segelintir sahaja yang mampu.

"Dan hari ini hati saya terasa sempit, bahu saya terasa berat, bila saya lihat ada airmata yang bergenang pada mata seorang anak saya di sini yang ralat kerana dia tidak membawa hadiah," Sambil matanya tepat memandang mataku. Allahuakbar. 

 "Hari ini, cikgu ingin sampaikan pesan buat anak-anak, semoga pesan ini melekat di hati kalian sampai bila-bila, dan nanti di kemudian hari sampaikan pesan ini buat anak-anak kalian, Bukan hadiah di setiap hari guru yang kami kejar, gaji kami sudah dibayar selayaknya  kad laporan yang diisi, kertas peperiksaan yang ditanda, pelajaran dan ilmu yang dicurahkan, InsyaAllah. Tetapi yang kami perlukan sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang dari anak-anak adalah, DOA. Doa disetiap sujud kalian, doa disetiap solat kalian, masukkanlah doa ini bersama. 'Ya Allah, ampunilah guru-guru kami, dan berkatilah mereka dunia dan akhirat ya Allah'. Itulah hadiah paling besar yang paling kami hargai, InsyaAllah," Rembesan airmataku tak tertahan lagi, laju hingga membasahi tudung. 

Tahun itu, ku akhiri tahun pertama pengajianku dengan menghadiahkan ibuku dengan nilai markah tertinggi di dalam Bahasa Malaysia, Matematik dan menjadi pelajar terbaik di kelas ku. Tiga kali naik mengambil hadiah dengan kasutku yang koyak (itu kata ibu, pasti aku tidak peduli lagi kasutku, yang ku ingat bahagia dapat memberi bahagia pada ibu dan abahku).

"Huraiyah, cikgu bangga dengan kamu. Terima kasih kerana belajar bersungguh-sungguh dan InsyaAllah cikgu jumpa kamu di kelas cikgu tahun hadapan. Tahniah mak cik," Guru muda itu datang menebar bahagia dan rasa yakin diri yang tinggi padaku sejak saat itu. Guru muda yang namanya selalu bermain di mulut ibuku jua. Shamsinar.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dan ku tahu apa yang harus ku berikan pada guruku, di tahun itu dan tahun-tahun seterusnya.

Ku hadiahkan sehelai kertas bersama lantunan doa-doa yang indah didalamnya. Ku karang ikhlas dari hatiku buat guru-guruku, dan semoga sampai ke hati mereka. Seperti surat cinta yang penuh doa. 

Darjah dua hingga darjah enam, kutaburkan bedak ibu yang wangi di atas surat-surat cinta untuk guruku. Bila di sekolah menengah, kepingan doa-doa itu, tidak perlu lagi di tabur bedak, sudah tidak menjadi trend waktu itu. *tersenyum.

Dan, Cikgu Shamsinar itulah salah satu pemangkinku dan salah seorang guru yang telah membuka mataku pada mulianya hati seorang guru.

Ya Allah, Engkau Ampunilah mereka guru-guruku, Engkau limpahilah rahmatMu, Engkau berkatilah rezeki mereka, Engkau masukkanlah mereka kedalam syurgaMu yang paling indah, Kurniakanlah mereka husnul khatimah, mudahkanlah sakaratulmaut mereka, luaskanlah kubur-kubur mereka dan hidangkan pandangan mereka dengan taman-taman syurgaMu, Ya Allah, aku bersaksi mereka guru-guruku yang mengajarku ilmuMu dengan ikhlas. Ampunilah mereka dan ku Mohon kabulkanlah doa-doaku buat mereka. Aameeen ya Allah.


copyright:

~ ~

Thursday, 26 January 2012

Memori Berjuang - Allah is with us all the way through

Dearest my beloved offspring,

At all times and forever, every second and every beat of our heart, He is the only one we need our creator, Our Allah.



penuhi jiwa ini dengan satu rindu
rindu untuk mendapatkan cinta-Mu
meski tak layak ku harap debu cinta-Mu
meski begitu hina ku bersimpuh

cukup bagiku Allah,segalanya bagiku
dihatiku ini penuh berisi segala tentang Allah
kepada nabiMuhammad, tercurah shalawat Allah
tiada Tuhan selain Allah, cukup bagiku Allah

hasbi Rabbi Jalallah
mafi qolbi Ilallah
alalhadi sholallah
laa ilaa ha Illallah

By: Opick

My mode at this moment: Re-organizing my write up, Thank you Allah for sending me a very good friend all the way from Oxford, to call me and share her very good method in organizing thesis write up (especially when you have to juggle up between 'never finish' experiments, 'don't know where to start' write-up, and 'hats' changing every 3 hours between student, mum and wife [Thanks to my soul-mate for making this journey much easier too by sharing the 'hats'], :) ) Thank you Allah for this. Thank you so much Bahbibi, you gave a call when I really needed it (If you happen to read this). Thank you Allah.

Cerita anak kecil yang cukup bergantung kepada Allah:

Abah bawa Hafiy pegi Londis baru-baru ni, seperti biasa Hafiy yang sangat suka dengan sweet akan memilih sweets. Kebiasaan di sini, setiap makanan jajan yang hendak dibeli perlu dibaca dulu bahan-bahan kandungan makanan tersebut. Hafiy pun serahkan sweet pada abah untuk abah baca ingeredients nya, sambil manadah tangan Hafiy berdoa pada Allah,

"Ya Allah, let the sweet be halal, Ya Allah, please, no pork in it, ya Allah please let it be halal, "
Doa Hafiy. Penuh pengharapan. Sementara menunggu abah meneliti kandungan dalam sweet tersebut.

"Sorry Hafiy, this one is not halal, have pork gelatine in it, choose a different one OK," Jawab Abah.

Alhamdulillah, anak-anak telah diceritakan tentang bagaimana kalau doa tidak dimakbulkan. Konsep berdoa yang mudah-mudah. Jadi Hafiy tidaklah terlalu hampa, lagipun Hafiy pulang dengan dua jenis jajan hari itu. Pastilah tidak kecewa, InsyaAllah.

Ya Allah, kurniakanlah kami dan keturunan kami ilham yang baik dan hati yang tetap mengingatiMu, jiwa yang selalu sedar akan Mu ya Allah. Aameeen.

Saturday, 21 January 2012

Blossoms Memory - Kakak-kakak cantik


Assalamualaikum w.r.t,

Menemui anak-anak kecintaan ummi dan abah yang kami cintai, dalam doa dan penuh pengharapan kalian bakal menjadi pejuang untuk agama Allah ini. InsyaAllah.

Terlalu lama ummi ingin menulis tentang cerita ini buat kalian, ummi sangat ingin kalian ingat selalu ingat kisah-kisah ini.

Beberapa ketika lalu sibuk orang bercerita tentang pelajar-pelajar bijak yang seperti 'hanyut' bila berada di negara orang, kata mereka yang sama-sama ingin bercerita walau tidak tahu pangkal dan punca, pelajar-pelajar ini 'kejutan budaya'. Ummi tak ingin bercerita tentang ini, sebab kita tiada dalam cerita mereka dan kita tiada hak untuk bercerita. Cuma ummi sangat sedih, bila media dan masyarakat kita di Malaysia yang tak tahu cerita turut menghukum sama, pukul rata yang kesemua anak-anak muda 'creme de la creme' yang dihantar ke luar negara terkena kejutan budaya lupa daratan dan udara. Ummi rasa seperti ingin ketawa dalam masa yang sama ada sedih menyelinap, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Ummi ingin bercerita tentang kakak-kakak cantik kalian yang ummi jumpa sepanjang kembara kita di bumi UK ini. Subhanallah, kakak-kakak ini cantik luaran, lagi menakjubkan kecantikan dalaman mereka lebih menyinar. Subhanallah.

Kakak-kakak ini pelajar cemerlang dari sekolah-sekolah mereka, datang merantau di sini untuk mncari ilmu Allah. Ada yang datang untuk menjadi sorang doktor nanti, ada yang datang untuk menjadi guru nanti, ada yang datang untuk menjadi jurutera, yang pasti mereka datang untuk menjadi professional yang mukminah. InsyaAllah. Bakal professional ummah. Aameeen ya Allah.

Kakak-kakak cantik ini pakaiannya menutup cantik mereka. Pakaian mereka tidak mengundang mata yang lain, mereka berjubah, warnanya jarang menarik mata. Yang memandang sekali tak kan mengulang pandang. Subhanallah mereka terjaga dari mata-mata dunia. Kerana mereka sangat ingin di lihat Allah. Di pandang Allah. Kakak-kakak cantik ini, ber t-shirt, labuh sampai ke lutut, seluar mereka besar dan pasti warnanya kusam sahaja, nawaitu mereka biar tidak memandang mata lain kali keduanya. Biarlah yang kata t-shirt labuh seperti baju yang di pakai tidur.

Setiap minggu, kakak-kakak cantik ini akan duduk-duduk beriman sesama mereka, mushaf tafsir Quran mereka bertanda berwarna-warni,

"Yang biru untuk doa-doa yang ada dalam Quran, supaya senang bila nak baca doa lepas solat, buka jer yang berpenanda biru." Terang mereka.

"Yang pink ni untuk cerita-cerita tentang munakahat, mudah buat rujukan," Sambil tersenyum meleret.

Bila mereka berbulatan gembira, yang menjadi topik bicara, bukan kisah mereka yang tiada dalam bulatan mereka, kisah yang mereka bawa, kisah-kisah dari Al-Quran. Dibukanya mushaf dan dibaca bersama, kemudian mereka sama-sama mentadabbur ayat-ayat Allah, mencari ibrah dari cerita. Bila sampai di kisah yang mengharukan mata mereka basah, pasti hati mereka juga basah bila sampai ke ayat tentang kebesaran Allah. Subhanallah. Sebelum berpisah, mereka saling mendoakan, mereka berpelukan, kemas, semoga ada pertemuan lagi antara mereka. Kalau di takdirkan Allah ini pertemuan terakhir didunia, semoga Allah kumpulkan lagi didalam syurga. Allahu Allah.

Kakak-kakak cantik ini bertanya khabar tentang sesama mereka, ukhwah yang mereka saling menjaganya. Ukhwah fillah. Semuanya kerana untuk mendapat rahmat Allah. Bila seorang sakit, seperti keseluruhan mereka sakit. Bila seorang risau, semuanya sama menanggung. Indahnya ukhwah, mereka itu seperti satu tubuh, saling memerlukan.

Ummi masih ingat, semasa mengikuti program-program di sini, program ilmu untuk ibubapa, dan demi memastikan ibubapa dapat berprogram dan mengutip ilmu dengan tenang, anak-anak juga ber'program' dan kakak-kakak cantik ini dengan senang hati menjadi fasilitator untuk anak-anak. Anak-anak diberikan peluang ber'program'. Allahu Allah, mereka ini sungguh komited dalam cita-cita mereka meraih redhaMu. Sampaikan rumah mereka juga mereka sanggup sediakan untuk anak-anak kecil ini ber'program' saat ibubapa sibuk dalam mengutip ilmu Allah. Masa mereka, mereka korbankan untukMu Allah. Urusniaga paling menguntungkan. InsyaAllah.

Masih terngiang-ngiang menganjurkan program bersama-sama kakak-kakak cantik ini. Mulut baru menyebut, 'Siapa yang boleh buat poster yek?'

Dengan pantas , 'InsyaAllah kami boleh siapkan,' 'Kami boleh printkan', 'Program anak-anak kami uruskan,'. Belum mulut minta pertolongan, pertolongan itu sudah mereka hulurkan Subhanallah.

MasyaAllah, mereka juga pelajar, mereka juga sama-sama merantau dari Malaysia, UK ini bukanlah negara mereka, mereka juga kejutan budaya, tapi mereka mendapat kejutan budaya yang indah, yang membawa mereka lebih dekat dengan Allah, menakjubkan urusan orang mukmin, semuanya menjadi mudah kerana destinasi mereka adalah kecintaan Allah.

Mereka kakak-kakak cantik yang menakjubkan. Ummi menyaksikan mereka-mereka ini. Cantik luar dan dalam. Ummi doakan anak-anak ummi diberikan Allah peluang untuk merantau bermusafir mengutip ilmu Allah, dan ummi doakan semoga dalam permusafiran kalian nanti akan mendekatkan kalian dengan Allah, meningkatkan sedar kalian akan Allah. Seperti kakak-kakak cantik ini.

Terima kasih 'kakak-kakak' cantik buat Humaira, Hasya dan Hafiy, dan adik-adik di sini. Kalian adik-adik yang cantik. (Pada mereka yang membaca, pasti kalian tahu, kalian siapa, Jazakumullahu khairan katheera)

Dan Humaira, Hasya, Hafiy, ada lagi kakak cantik yang belum pernah kalian jumpa, walau terpisah jauh beribu batu, walau tak pernah bertemu, Allah ikat hati-hati kita untuk berukhwah kerana Allah, menakjubkan. Subhanallah.

Buat yang membaca diluar sana, sungguh ramai lagi warga kita yang seperti kakak-kakak cantik ini, malah ramai juga abang-abang yang tampan. Luaran dan hati mereka InsyaAllah. Doakan yang terbaik buat mereka. InsyaAllah mereka bakal pulang menata ummah dan masyarakat kita, seperti yang kita harapkan, kembara mereka di sini, ada bahagian sumbangan kita, pasti kita mahukan yang terbaik, kirimkanlah doa, jauhlah dari berpra-sangka yang pukul rata. InsyaAllah, semoga yang terbaik hasilannya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Buat kakak-kakak cantik, semoga terus thabat dan istiqamah di jalan Allah ini. Semoga kalian menjadi professional ummah yang mukminah. InsyaAllah. Kalian dalam doa kak Ati selalu, adik-adikku.


Wednesday, 16 November 2011

Memori Hati - Ingatkan aku teman


Ingatkan aku teman,
Dia ku cinta kerana Allah,
Kerana dia aku lahir ke dunia,
Peluh dan keringatnya menjadi baja,
Dengan doanya, kini aku berjaya,

Ingatkan aku teman,
Aku tak mahu menjadi penghalang dia ke syurga,
dengan pakaianku yang menjolok mata,
memancing setiap pandangan mereka,
mereka yang ajnabi.
pastilah dia tertahan dari syurga Allah,
kerana dia waliku
Dia bapaku yang kukasihi

Ingatkan aku teman,
Aku cinta dia kerana Allah,
sepenuh jiwa dan raga,
dia yang Allah pilih menjadi imamku,
imam keluarga kami,
padanya syurgaku,
redhanya syurgaku,
andai dia dihimpit derita didunia,
akulah yang paling walang,
sedang dia diuji sakit yang sikit,
hatiku gundah bukan kepalang,
Inikan pula mendedah dia pada panasnya api Allah.

Ingatkan aku teman,
aku tak mahu menjadi penarik dia ke neraka,
hanya kerana auratku tak ku jaga,
rambut yang ikal sepatutnya hanya tatapan si dia,
tetapi dikongsi tatapan semua,
lenggokku yang sepatutnya hanya untuk dia,
dipamerkan pada semua,

Ingatkan aku teman,
dia yang kukandung sembilan bulan sepuluh hari,
lahirnya kedunia menebar seri,
ku namakan dia penuh berhati,
Yang memuliakan agama Allah nama diberi,
Anak lelaki pewaris kami,
seekor nyamuk tak kuizin terbang disisi,

Ingatkan aku teman,
jangan pula aku penyebab dia ditarik keneraka,
ditahan dari menghuni syurga,
kerana auratku yang patut aku jaga,
kerana lenggokku yang patut aku perhati,
jangan sampai menarik perhatian ajnabi,
kubiarkan, kuikutkan hati,
kerana menjadi tradisi perempuan duniawi,
ingin terlihat cantik terlihat menarik,
sedangkan yang dikasihi semuanya tertarik ke neraka,
kerana perilaku dunia sementara.

Ingatkan aku teman,
Aku sayang mereka lelaki-lelaki soleh yang layak kesyurga dengan rahmat Allah, InsyaAllah.
mungkin tertahan mereka dek kerana kami perempuan-perempuan dalam hidup mereka.
Dimulut dan hati kata sayang dan cinta, tapi perbuatanku mengheret mereka ke neraka.
Mungkin dalam tidak sedar, dan dengan itu teman, ku mohon ingatkan aku teman.


Saturday, 12 November 2011

Blossoms Memory - Bintang paling cantik milik kamu.....









Assalamualaikum anak-anak, bintang hati ummi dan abah,


Saat kita memandang indahnya alam ciptaan Ilahi, indahnya tamadun yang diilhamkan Allah pada manusia, teknologi manusia yang pastinya ilmu itu milik Allah, hati berlari-lari menggamit rasa, andai saat indah ini dapat kita kongsi bersama mereka-mereka yang kita sayangi.

Kenangan indah yang kita bekukan itu kita kongsi dengan mereka, semoga mereka merasa bahagia, sebahagia kita di sana. Biar mereka tahu kita sentiasa impikan semoga kita bersama mereka merentas benua, bersama berlari di dataran rumput hijau berlatarbelakangkan gunung bersalju. Semoga Allah makbulkan impian kita.

"Sayang, abang dah bawa sayang dan anak-anak hampir kesemua tempat yang abang pernah pergi dulu waktu bujang, tempat-tempat indah yang abang impikan untuk bawa isteri dan anak-anak abang suatu hari nanti, Alhamdulillah Allah makbulkan... malah Allah beri lebih lagi..." bisik abah ke telinga ummi, saat kita semua sedang takjub menyaksikan kebesaran Allah mencipta alam nan indah disebelah sini, seperti syurga.

Terasa rahmat Allah menyerap ke kalbu... "Terima kasih, sayang.... ati dan anak-anak really appreciate these so much..."

"Allah, syurgaMu pasti jauh lebih indah, kami ingin sentiasa berlari-lari mengejar rahmat Allah, ingin mendiami syurga paling indah, tak pernah terbayang oleh fikiran, tak pernah terpandang mata, tak pernah terdengar telinga..... aameeen,"

Mari kita berusaha anak-anakku....

maka tiadalah nikmat Allah yang patut kita dustakan.....




Bintang paling indah milik kamu.......

Tuesday, 28 June 2011

Memori Hati - Kotak Kaca


Ingin letak dalam kotak kaca,
Jaga,
habuk jangan harap dapat tapak,

Ingin letak dalam kotak kaca,
Selamat,
tiada tangan dapat sampai,

Ingin letak dalam kotak kaca,
mata hanya pandang,
hati berbisik,
begitu di jaga,
Istimewakah?
Sampai letak dalam kotak kaca?

Ingin letak dalam kotak kaca,
pasti sebabnya,
paling istimewa pada empunya,
pasti sebabnya,
paling berharga buat dirinya,
pasti sebabnya,
biar terjaga dari tangan-tangan dunia,
pasti sebabnya,
biar nanti yang milikinya tahu nilainya,

Ingin letak iman dalam kotak kaca,
Ingin letak diriku dalam kotak kaca,
Ingin letak puteri-puteriku dalam kotak kaca,
Ingin letak saudara-saudara perempuanku dalam kotak kaca,

Kotak kaca yang dindingnya adalah malu yang terjaga,
Kotak kaca yang keutuhannya adalah aurat yang di tatah,
Kotak kaca kalis peluru, kalis batu, kalis semuanya,
kebal luar jangkaan dunia.

Mari bina kotak kaca kita,
Supaya istimewa dimata Empunya, Allah 'Azza Wajalla.

Memori Hati - Selamat Hari Lahir yang tertangguh... adikku



26/6/11
Saat ini mencari kata,
kerana kata mungkin tukar jadi bicara,
bicara mungkin mencuit rasa,
Rasa pelbagai warna,
yang pasti sukar bertukar menjadi pelangi,

satu saat dulu,
senang,
Kala kau menangis,
ku tahu, kerna fizikalmu sakit,
ku sapu ubat, ku peluk kemas,
tangisan larut,
bersama ayunan buai,
kala kau bersedih,
ku tahu jelas sedihmu itu,
pertanyaan selalu ada jawapan,
dan dapat ku teka mana duduk sedihmu itu,

saat ini,
kau sendiri seorang diri,
lemas,
lemas bila risaumu tak dapat lagi ku teka,
lemas,
bila sedihmu tak dapat lagi ku baca,
lemas,
bila gelisahmu tak dapat lagi ku rungkai,
lemas,
bila airmatamu tak dapat lagi kuseka.

lalu berlalulah 26/6/11,
dan masih juga,
tiada kata yang ku ungkapkan,
kerana,
bukan kata-kata biasa saja untuk orang yang istimewa,
darah yang mengalir sama,
lengkuk DNA hampir serupa,
bukan kata-kata biasa saja untuk orang yang istimewa,
tapi kau sentiasa hadir dalam doa,
pasti.

Selamat hari lahir buat adikku sayang,
semoga Allah, larikan masa sedihmu itu,
semoga Allah ganjarkan dengan kegembiraan,
kalau bukan di sini, ku mohon di syurga nanti,
lepaskanlah kesedihan,
gantikan dengan senyuman,
senyuman yang sentiasa berulas pahala,
lepaskanlah masa kelabu,
hadirkan sinar pelangi mu sendiri,
kau lebih hebat gembira dalam kesyukuran,
dari kelabu dalam kesedihan,
kau pernah hebat melempar aura yang positif,
mensesarkan inspirasi,
semoga berjumpa kembali titik itu.
dan terus sesarkan....

Selamat hari lahir.....
jadikanlah perit ibunda melahirkan berbalas kegembiraan seorang anak yang taat dan solehah lagi mendoakan, InsyaAllah.

Kau tahu, kakakmu punya seguni doa buat mu selalu........

Friday, 8 April 2011

I am 5 now, I need to solat - 7/4/11, Sanah Helwah ya Bunay, Hafiy Addin Hizamel


Assalamualaikum anakku sayang,

Teringat 5 tahun yang lalu, pertarungan nyawa, Allah ganjarkan dengan lahirnya putera yang kami tunggu-tunggu.

"Aziati, kenapa tak cakap dah nak push... nie baby dah nak keluar sangat nie, sempat ker tak saya pakai glove ni... tahan sekejap yer.. " Terngiang-ngiang suara Dr. Maziah. Dan sekarang Hafiy berada di atas dada ummi. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Sekejap tadi, bila Hafiy tidak bersuara menangis, terasa seperti gelap sekejap dunia, Dr. Maziah uruskan Hafiy sambil abah ada disisi, melihat apa yang terjadi. Tertelan air ketuban agaknya. selepas beberapa minit, anakanda mula menangis nyaring, dan ummi mula mengukir senyum, abah juga.

Abah keluarkan air zam-zam dan kurma yang abah bawa. Jururawat serahkan Hafiy untuk abah azankan. di pagi Jumaat yang penuh keberkatan, anakanda abah azankan dengan suara yang paling indah, penuh harapan, kalimah suci yang pertama anakanda dengar akan menjadi kalimah suci yang anakanda junjung sepanjang hidup anakanda. Kemudian, abah alirkan air zam-zam kedalam mulut anakanda dah abah tahnikkan dengan sedikit kurma yang abah kunyah, ummi yang masih lemah memerhati dari jauh, sambil doktor Maziah menjalankan tugas yang berbaki.

Allahuakbar, abah serahkan anakanda untuk dibersihkan oleh jururawat. Dan kami jatuh cinta untuk kesekian kalinya pada anakanda kami ini. Perasaan yang Allah kurniakan buat para ibubapa yang menumpahkan pandang pada cahayamata mereka.
-----------------------------------------------------------------------------------------------

'Ummi, Hafiy baby lagi, Hafiy is still 4, I am not yet 5 years old...' itulah alasan Hafiy bila ummi suruh Hafiy solat sekali atau baca IQRA'. Cabaran dengan anak lelaki berlainan sungguh dari anak perempuan.

Pagi semalam bila Hafiy bangun tidur, Hafiy kata, 'Owhh, it's today, today is my birthday, I am 5, now I need to solat and baca IQRA'. Alhamdulillah, ingat juga anak ummi.

Nak ketawa pun ada juga. Hafiy, Hafiy.

Semalam, cuaca sangat indah, Allah kurniakan cahaya matahari gemilang yang jarang-jarang ada di bumi UK ini.



Pagi indah, ummi sibuk mengambil gambar 'cherry blossoms' putih depan rumah yang sedang mekar, memandangkan hari ni sangat sunny, jadi indahnya Allah sahaja yang tahu. Terlihat, Hafiy berlari-lari menuruni tangga dengan pantas.

'Ummi, here's cherry blossoms for ummi,' Hafiy menghulurkan beberapa kuntum cherry blossoms yang dikutipnya di bawah.



Owh so sweet, my darling baby. It's your birthday and ummi is the one who got the flowers.

Abah dan ummi, bawa Hafiy dan kakak-kakak pergi ke Farm (Meanwood Valley Urban Farm), lebih dekat dengan alam, tadabbur alam yang indah yang Allah kurniakan buat manusia. Surprise yang sangat menggembiranya anak-anak, buat ummi dan abah lebih gembira. Pilih-pilih hadiah sendiri di Pound Land dan kita akhiri dengan makan tengahari di Mumtaz. Alhamdulillah.

'Today is the best day ever..' ayat yang membuatkan hati ummi dan abah sejuk. Alhamdulillah...

Terima kasihlah pada Allah duhai anak-anakku, dilontarkan rasa kasih sayang dan ketenangan yang hanya Dia memiliki semua itu. Hak Allah yang hanya dengan rahmatNya sahaja kita akan dapat merasainya.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Duhai anakku, doa ummi terlalu banyak, terlalu banyak buat kalian. begitu juga abah.
Ummi doakan semoga Hafiy membesar menjadi mujahid soleh lagi musleh. Membesarlah anakku menjadi mujahid yang berjuang di jalan Allah, menjadi salah satu titik dalam kebangkitan Islam. Allah tak perlukan kita untuk menaikkan agama ini anakku, kerana Allah itu Maha Besar, kitalah anakku yang perlukan Allah dan perlukan rahmat Allah untuk menjadi saham urusniaga kita dengan Allah di alam yang satu lagi.

Duhai anakku, tiadalah harta yang paling berharga buat ummi dan abah dinegara yang kekal abadi nanti, melainkan anak-anak yang soleh yang mendoakan, ummi berdoa semoga Allah kurniakan rahmatnya dan menjadikan Hafiy dan kakak-kakak anak-anak yang soleh, solehah buat ummi dan abah dan bekal pahala kami terus bertali arus melalui kalian anak-anakku...

Ya, Allah, jauhkanlah kami dari menjadi ibubapa yang durhaka, durhaka bila dunia ini lebih kalian dambakan dari negara akhirat. Ya Allah, kurniakanlah kami ilham dan ilmu semoga dapat kami didik anak-anak dan bekalkan mereka dengan ilmu akhirat, untuk kehidupan yang kekal. Allah, izinkanlah kami untuk terus mendalami ilmuMu ini, ya Allah agar dapat kami bekalkan anak-anak kami dengan ilmu yang menurut syariatMu.

Ya Allah, jadikanlah kami dan anak-anak kami orang-orang yang berjaya dalam 'jualbeli' denganMu ya Allah. Aameeen

Selamat Hari Lahir anakku.... Abah, Ummi dan kakak-kakak sayang Hafiy sangat-sangat. Lagu untuk Hafiy dari Ummi... :)


Tuesday, 15 March 2011

Blossoms Memory - Abah dan doa Hasya


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Semoga catatan ini sampai pada anak-anak tatkala iman meninggi didada, diakal dan dihati InsyaAllah.

-------------------------------------------------------------------------------------------

Anak-anakku, saat ini ummi bergelut untuk menggerakkan kerja-kerja kajian ummi. Buntu juga rasa dan fikir tatkala berdepan dengan kenyataan, peralatan tidak berfungsi seperti yang dijangkakan, sedangkan kajian itu telah berlangsung lebih empat bulan. Allah, ujian ini dengan redhakah ummi lalui? InsyaAllah. Kesibukan ini mengundang jerut rasa pada kalian anak-anak.
Perubahan perasaan pada anak kecil yang tidak tahu bagaimana meluahkan perasaan rindu pada kami. Rindu pada tok mak yang pulang ke Malaysia. Rindu yang dizahirkan dengan tangisan dan kemurungan kalian. Berlarutan beberapa minggu di musim sejuk kita kali ini.

Allah, ujian ini terasa berat. Ummi dan abah memohon pada Allah, supaya mengilhamkan jalan keluar yang terbaik.

Pendekatan, didikan yang banyak menekankan kepada cerita-cerita tentang neraka Allah, atas perlakuan dan perbuatan yang tidak selaras dengan suruhan Allah dan tidak diseimbangi dengan penceritaan tentang kehebatan syurga Allah pada mereka yang patuh pada syariat Allah, mengundang resah dihati anak-anak rupanya. Terlalu takut andai mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Allah, amanah membesarkan anak-anak ini hebat rupanya.

Perlu tegas, tetapi tidak boleh terlalu keras, rapuh jalan ini, takut mereka patah ditengah jalan. Perlu berlembut, tetapi tidak lemah sehingga panjat mereka melebihi kepala kita.

'POSITIVE REINFORCEMENT'

Alhamdulillah, abah kalian sangat hebat orangnya, Alhamdulillah. Ditangani masalah ini dengan lembut dan tegas seorang abah. Seimbang. Setiap seorang anak itu berlainan 'approach'nya. Beliau tetap sabar.

Cadangan abah, supaya setiap kerisauan kalian, kalian ceritakan. Kalau tak boleh cerita, tulislah di atas kertas. Abah akan baca, dan abah akan bercerita (menyelesaikan kerisauan dengan bercerita). Kemudian kalian sama-sama mengoyak kertas tersebut.

"Benda yang Hasya risau dah habis kita dah koyakkan?" Kata abah.
"Hasya risau lagi tak..?"Tanya abah.

Hasya menggelengkan kepala. Alhamdulillah. Abah peluk anak-anak dengan erat sambil mencium dahi kalian. Allah sejuknya hati seorang isteri yang dikurniakan suami yang soleh dan penyayang. Alhamdulillah. Maka nikmat Allah yang mana lagikah yang hendak ummi dustakan?

"Sayang, kita kena selalu bercerita secara positif, kalau sebelum ni kita kata, kalau tinggal solat Allah masukkan dalam neraka, sekarang, positif approach adalah, kita kata, kalau kakak solat Allah sayang, Allah bagi pahala, Allah masukkan dalam syurga, dalam syurga itu indah, apa sahaja yang kita nak Allah bagi," usul abah pada ummi.

Dan mulai saat itu, abah dan ummi mula menekankan konsep positive reinforcement. Alhamdulillah. Abah tekankan tentang kepentingan berdoa. Dan anak-anak gigih berdoa selalu.

Hafiy yang sekarang sangat susah untuk makan, dipujuk dengan lembut oleh abah, berjaya juga abah menyuap nasi kepada Hafiy.

Hafiy selalu minta dibelikan mainan 'Bayblade' mainan yang berkonsepkan gasing diMalaysia. Hasil pujukan abah dan juga 'negotiation skill' abah, Hafiy bersetuju untuk menghabiskan belajar membaca menggunakan set 'Read Easy' sebelum dibelikan mainan 'Bayblade'. Alhamdulillah. Sebelum ini ummi tidak berjaya untuk memujuk Hafiy membaca set 'Read Easy' itu. Dengan sabar abah bekerjasama dengan Hafiy untuk set 'Read Easy' itu, Alhamdulillah, Hafiy hampir menghabiskan buku 2 dalam set tersebut. Mendidik anak lelaki membaca, bukan semudah mendidik anak perempuan membaca. Allah.

Terima kasih Allah, Engkau kurniakan kalian seorang abah yang penyabar dan berlemah lembut dan sangat kalian cintai, dalam pada itu ada tegas pada dirinya yang melahirkan rasa hormat kalian.

Terima Kasih Allah, Engkau hadirkan nakhoda yang penyayang dan banyak bertolak-ansur, sentiasa peka pada tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dalam baitul jannati kami ini. Alhamdulillah.

--------------------------------------------------------------------------------------------

"Ummi, kalau kita nak suami yang soleh bila kita besar nanti, kita kena mintak doa dari kecik lagi ye ummi?" Tanya Hasya suatu hari.

Dan sememangnyalah ummi terkedu. Ummi pun tidak pernah terfikir untuk berdoa begitu sewaktu umur sebesar Hasya.

"Ya Hasya, Hasya boleh minta doa dari sekarang, minta doa Allah bagi Hasya suami yang soleh nanti. " Jawab Ummi.

Hasya mengangguk dan memandang jauh. Berfikir agaknya.

Ya Allah jadikanlah zuriat-zuriat kami orang yang beriman dan sentiasa mendirikan solat, dan kurniakanlah kepada mereka jodoh yang beriman dan bertakwa dan sentiasa mendirikan solat ya Allah.

Terima kasih Allah, Kau kurniakanku seorang jodoh yang beriman dan soleh, penyayang dan bertimbang rasa. Alhamdulillah....



Tuesday, 1 February 2011

Blossoms Memory - Retak


Ummi, I wish you can come home early today.........
Ummi, I wish you don't have to go to work........
Ummi, I wish you stay at home today.......

Allah.... perkataan yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga, saat Mesir menjadi saksi kebangkitan rakyat menentang rejim yang zalim...

saat ini juga hati ummi lebih berperang mengenang keluh kesah anak-anak dalam negara kecil kami. Ummikah diktator zalim yang sukar membahagikan sama rata masa yang Allah kurniakan ini?

Ada sesuatu tersekat di tengkolok.

Hanya pada Allah ummi merintih, bukan pada siapa-siapa, hanya pada Allah yang Maha Hebat.

Tenangkanlah ya Allah hati anak-anak kami ini semoga kami sama-sama redha dalam pengorbanan fi sabilillah kami sendiri.

Allah... Engkaulah pemilik makhluk yang bernama tenang, limpahkanlah buat kami tenang itu.

Ya Allah... kurniakanlah kemenangan buat agamaMu ini di tanah para anbiya' sana. Aameeen....

Wednesday, 19 January 2011

Memori Hati - Saat rindu bertandang.....

Pics are credit to Lensa Hanim Awang
I will search for Your love , O Allah

Assalamualaikum w.b.t, anak-anak kecintaan ummi dan abah, terlalu cepat masa berlalu, terasa baru sahaja ummi meninggalkan sedikit cerita buat kalian sebelum ini, rupanya sudah seminggu berlalu.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Saat ini, rindu kepada tanah yang penuh mengundang tenang dan penuh dengan cahaya indah datang lagi, Haramain yang selalu di rindu, kerana di sana terasa seperti dekat dengan jasad-jasad yang sentiasa di rindu.

Ummi masih belajar tentang Ehsan, saat hati hadir bersama permohonan dan permintaan pada yang Esa, saat diri dan akal sedar bahawa komunikasi yang berlaku dalam doa itu bersifat dua hala, saat tangan menadah memohon minta cinta dan rindu, diri, hati dan akal sedar, rindu menusup dan sedar yang Allah menghantar tenang dan cinta yang dipinta. Masih belajar.

Wahai Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang, Allah Penguasa hati-hati manusia, Allah yang didalam KekuasaanNya apa yang ada di bumi dan di langit, yang jelas dan nyata, lagi yang tersembunyi, Allah yang menguasai makhluk yang bernama rindu dan cinta, serta makhluk yang bernama tenang dan damai. PadaNya sahaja tempat semua makhluk bergantung harap dan menyerahkan segala urusan. Yang Memelihara lagi Mengasihani.

"Wahai Allah sesungguhnya aku memohon kepada Mu untuk mencintai Mu dan mencintai orang-orang yang mencintai Mu dan amal perbuatan yang menyebabkan aku mencintai Mu. Wahai Allah jadikanlah cintaku kepada Mu lebih aku cintai dari pada diri ku sendiri dan keluargaku dan air yang dingin."

"Wahai Allah berilah aku rezeki mencintai Mu dan mencintai orang yang berguna bagi ku di sisi Mu. Wahai Allah apa yang telah Engkau berikan kepada ku dari apa yang aku cintai maka jadikanlah kekuatan bagi ku untuk melakukan perbuatan apa yang Engkau cintai."

"Wahai Allah aku memohon kepada Mu sebaik-baik perkara yang dimohon Muhammad SAW dan Engkau adalah yang dimohon pertolongan dan Engkaulah yang menyampaikan kepada sesuatu Yang dikehendaki dan tiada daya dan upaya selain dengan pertolongan Allah."



Ya Allah, ku mohon padaMu, agar jaring dihati yang memerangkap cintaku padaMu tidak terungkai, agar dapatlah kukumpulkan semua cinta untukMu, ku mohon ya Allah, nikmat mencintai Mu setulus hatiku

Dari Anas r.a.: Ada seorang laki-laki menanyakan kepada Nabi s.a.w. mengenai kiamat. Katanya: "Bilakah hari kiamat?" Beliau bersabda: "Apakah yang telah engkau siapkan untuk hari itu?" Katanya: "Tiada suatu pun selain mencintai Allah dan RasulNya". Beliau bersabda: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" Kata Anas: Belum pernah kami gembira seperti kegembiraan kami kerana mendengar sabda Nabi s.a.w.: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" Kata Anas: "Saya mencintai Nabi, Abu Bakar, dan Umar dan saya mengharapkan kiranya saya bersama mereka kerana mencintai mereka, sekalipun saya belum beramal serupa amal mereka". - Sahih Bukhari






Semoga dapat kita hidupkah sunnahnya tanda cinta kita, InsyaAllah. Pautan entri disini [klik sini]

Tuesday, 28 December 2010

Blossoms Memori - Anjakan paradigma di Majlis Suai Kenal




Assalamualaikum anak-anak yang ummi dan abah sayangi, penuh jiwa raga, walau sedalam mana pun kasih sayang ummi, takkan sedalam kasih sayang Allah S.W.T buat anak-anak, (10:58)

10:58

Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)".

Berpeganglah pada tali Allah, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Insya-Allah, anak-anak tidak akan tersesat. Ingatan untuk ummi dan abah juga, selagi Allah masih meminjamkan usia.
--------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, syukur kepada Allah, kita diberikan kesempatan untuk mengikuti program perhimpunan musim sejuk (PMS) oleh MSM UK and EIRE yang bagi ummi dan abah sangat mengesankan buat kami. Ummi percaya program tunas taqwa yang dianjurkan untuk anak2 juga ada meninggalkan kesan positif.

Pertama kali ummi dan abah menyertai program seumpama ini di UK ini. Permulaan kembara kita, biar ada permulaan. Iman yang ada pasang surutnya, perlu sentiasa ada pemangkin yang menolak gelodak iman supaya sentiasa di atas. Entah kenapa, inilah pertama kali kami seperti baru berjumpa program seumpamanya, hatikah yang terhijab, atau peranan publisiti kah yang tidak sampai kepada mad'u? Wallahu'alam.

Ummi sangat terkesan dengan artikel Ustaz Hasrizal di sini [klik link]. Semoga ikatan ukhwah yang terbina dan akan terus berkembang seperti akar pokok yang sihat, terus bergerak jauh mencari ukhwah Islami yang lain, supaya kita dapat membina diri menjadi muslim yang sebenar. Semoga Allah menjadikan kita seorang mukhlisin yang bergerak dan berjuang hanya untuk Allah bukan sahaja di dalam kumpulan sendiri tetapi menggapai lebih ramai hamba Allah yang mencari-cari seperti kita sebelumnya. Anak-anak, kupasan Ustaz Hasrizal sungguh kena dengan tema untuk menjadi mukhlisin dalam perjuangan dan tarbiyah diri ini.

Alhamdulillah, wahai anak-anak, Allah ilhamkan dan hadirkan wadah untuk kita berjuang meningkatkan iman dan menjadi muslim yang sebenarnya. Semoga kita tidak menjadikan wadah ini sebagai pagar-pagar yang akhirnya tarbiyah itu hanyalah didalam lingkungan pagar tersebut sahaja. Sedangkan wadah itu adalah lebuhraya penghubung mengikat ukhwah satu iman. Lebuhraya antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Satu usrah dengan usrah yang lain, satu 'circle' dengan 'circle' yang lain, satu bulatan dengan bulatan yang lain. Apa saja nama wadah yang kita pilih, hanyalah pemudahcara untuk kita menyatukan ummah. Kerana bersatu kita teguh, seorang kita runtuh. Menjadi khalifah Allah. Menjadi mukhlisin InsyaAllah. Ingatan ini untuk ummi dan abah sendiri selayaknya, baru hendak berjinak, biar niat itu betul. Perjuangan ini hanyalah semata-mata kerana Allah, InsyaAllah. Semoga Allah menuntun hati-hati kita.





Jutaan terima kasih atas budi akhawat dan ikhwan yang bertungkus lumus menganjurkan PMS 2010 yang terakhir tajaan MSM UK dan EIRE kerana selepas ini, 'rebranding' sebagai IKRAM UK dan EIRE lebih tepat dalam merapatkan barisan membangunkan ummah ini InsyaAllah.

Catatan ringkas, rumusan yang remeh dari insan kerdil yang baru hendak berjinak di lapangan ini. Ya Allah jadikanlah kami-kami ini hambaMu yang Ikhlas, yang hendak digapai bukan pujian dari manusia, tapi pujianMu Allah, yang hendak digapai bukan pandangan manusia, tetapi pandanganMu Allah, tujuan kami ini Allah adalah RedhaMu. Semuanya hanya untukMu Allah.... tuntunlah hati-hati kami.

Tuesday, 7 December 2010

Memori Hati - Ya Rasulullah, kami merindu.....

Assalamualaikum w.b.t, anak-anak permata hati ummi abah, saham negara akhirat, tiada lah perkara berguna yang ditinggalkan oleh manusia yang dapat membantu seorang hamba Allah di alam kubur dan negara akhirat, melainkan 3 perkara, Ilmu yang bermanafaat dan memberi manafaat, harta yang diinfakkan dan anak-anak yang soleh solehah yang sentiasa mendoakan. Semoga kalian sentiasa mengingati ummi abah didalam doa kalian...

Sedang ummi sibuk menyusun ayat, mencari 'flow' dalam menulis laporan kerja-kerja ummi, tiba-tiba hati seperti tenggelam dan lamunan terus datang, membawa imbauan berkelana ketanah suci Madinah. Membawa lebih dekat dengan jasad sang pembawa seruan kepada agama yang haq, ad-deen yang sebenar. Rindu, rindu untuk dekat dengan tempat persemadian sang kekasih Allah, Muhammad ibni Abdullah. Terasa hangat di dalam dada. Kembali mecari-cari cerita tentang hebatnya para sahabat mencintai rasulullah. Allah... rindu.... sungguh rindu, kembali menyeka air mata yang tumpah...

Terpempan bila terpandang satu cerita, Dalam satu pertemuan antara sahabat-sahabat dengan rasulullah, baginda telah bersabda,
" Aku tersangat rindu kepada para ikhwanku."
Dan bertanyalah sahabat baginda,
" Ya, Rasulullah, bukankah kami ini ikhwanmu? "
Rasulullah menjawab,
" Bukan, bahkan kamu adalah sahabatku, Sedangkan ikhwanku adalah orang yang beriman denganku walaupun mereka tidak pernah melihatku,"

Ingin jadi orang yang di rindui oleh Rasulullah S.A.W? Pasti semua ingin menjadi yang di rindui oleh kekasih Allah....

Di dalam satu hadis sahih riwayat Muslim yang lain menyebut,

Dari Abdullah (r.a), katanya:
Datang seorang lelaki kepada Rasulullah S.A.W menyanyakan Rasulullah, "Ya Rasulullah, bagaimana pendapatmu mengenai seorang yang menyintai suatu kaum, sedangkan dia belum pernah bertemu dengan kaum itu?"
Rasulullah
S.A.W menjawab, " Orang itu nanti akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya itu. "

Ingin bersama-sama dengan Rasulullah di Jannah....

Semoga kita menjadi orang-orang yang menjaga sunnah dan mengamati serta mengikuti sunnah rasulullah dengan baik sehingga akhir hayat. Mengikut sunnah dengan baik adalah tanda kecintaan kita kepada kekasih Allah. Rasulullah menyatakan rindu pada ummatnya.

Biarlah kita menjadi al-ghuraba', asal Al-Quran dan As-Sunnah itu pegangan hidup kita. Ummi juga masih bertatih, masih belajar, masih jauh lagi dan terlalu luas ilmu ini harus ummi dan abah cari dan gali. Semoga Allah menunjukkan kepada ummi dan abah, anak-anak dan kita semua jalan yang benar dan lurus dalam, jalan orang-orang yang Allah kurnia nikmat, bukan jalan orang-orang yang Allah murkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat. Aameeen...


Friday, 26 November 2010

Hanya untukMU: Dimana patut ummi mulakan?

Assalamualaikum anak-anak soleh solehah kecintaan ummi dan abah, bakal penghuni syurga firdausi, InsyaAllah.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Kira-kira 2 bulan sebelum ummi dan abah menghabiskan program master kami di Bradford pada
2003, abah bertanyakan ummi, tentang tempat percutian buat ummi, abah dan kakak Humaira yang berusia kira-kira setahun 3 bulan ketika itu. Dengan duit yang berbaki, ummi dan abah perlu membuat satu pilihan percutian saja. Pilihan pertama: Mengerjakan umrah semasa transit untuk pulang ke Malaysia. Pilihan kedua: Bercuti ke eropah bersama kelana konvoi. Abah beri ummi 'the honour' untuk membuat pilihan, disebabkan kedua-dua tempat dalam pilihan itu telah abah pergi. Mengerjakan umrah sudah dua kali, pertama bersama tok-tok dan tah semasa abah di tingkatan 3, dan yang kedua semasa abah selesai undergraduate study di York, abah pergi mengerjakan umrah bersam rakan-rakan sepengajian beliau. Percutian ke eropah, bersama rakan-rakan abah menaiki keretapi semasa cuti semester beliau.

Sebelum ummi buat keputusan, abah terlebih dahulu memberi saranan,

"Suasana Europe, sama saja macam di UK ni yang, scenary, weather, the people, tak banyak beza", ucap abah.
"Mekah dan Madinah lain, tak sama, " abah tekan butang 'pause' tanpa menghuraikan lebih lanjut, tergantung. Permainan minda yang bijak. Rupanya ada rindu yang bertamu didada abah pada tanah suci yang dua itu.

Semestinya ummi akan memilih bukan yang biasa-biasa saja, bukan yang sama saja, sudah semestinya ummi memilih yang ada kelainan.

Bermulalah proses kami mengunjungi satu travel ajen, ke satu travel ajen. Alhamdulillah, Allah izinkan ummi dan abah serta kakak Humaira untuk menunaikan umrah melalui Crown travel agency, Bradford. Alhamdulillah, perjalanan pulang ke Malaysia menggunakan Saudi Air, dan transit di Jeddah. Transit di Saudi selama 7 hari. Tiket penerbangan dibeli sendiri dan akan di 'claim' dari penaja selepas pulang ke tanahair. Semua urusan berjalan lancar sekali. Alhamdulillah.

Pandangan Pertama:

Pandangan pertama pada tanah gersang saudi, sudah mencengkam hati... tanah yang sama di huni insan yang amat dirindui, Rasulullah S.A.W. Melihat banjaran bukit dan gunung-gunung berbatu dikiri kanan jalan dari Jeddah menuju Madinah merenggut hati, betapa gigihnya nabi Allah semasa hijrah baginda dari Mekah ke Madinah. Allah...... Allah... Allah...

Terlelap juga kami 3 beranak dek kepanasan bumi sebelah sini. Kereta sewa yang dinaiki tiada penghawa dingin, cuma tingkap dibuka luas untuk membenarkan angin haramain masuk kedalam kereta mendinginkan badan yang berpeluh.

Kami hanya betul-betul terjaga bila sudah sampai didepan hotel. Bila menoleh ke belakang, Subhanallah, hotel kami hanya beberapa langkah dari masjidil nabawi. Subhanallah. Madinah tenang, damai. Kami mewah membasahkan tekak dengan air zam-zam. Mak dan mama pesan, sentiasa berdoa untuk Allah berikan kesihatan, badan yang cergas melakukan ibadah. Kemudia minum air zam-zam banyak-banyak, mandikan Humaira dengan air zam-zam. Kerisauan mereka pada sang cucu yang kulitnya hanya mengenal sejuk. Alhamdulillah, bekalan air zam-zam tak pernah putus, susu humaira pun ummi buat guna air zam-zam waktu itu.

Selepas ziarah di Madinah, Ummi dan abah serta kakak Humaira bertolak ke Mekah, perjalanan yang mengambil masa 6 ke 8 jam. Berihram di Bir Ali. Pandangan pertama pada masjidil haram, jatuh hati, jatuh cinta, berbagai rasa, tummy cramp.... berdebar.

Malam tu juga abah ajak laksanakan umrah. Masuk Masjidil Haram melalui bab As-Salam. Pesan orang tua, masuk rumah orang jangan terintai-intai, tak manis. Begitu juga masuk rumah Allah, walau hati menjerit2 ingin melihat sendiri Baitullah yang dibangunkan Nabi Allah Ibrahim, adab sopan harus kena jaga, jangan terintai, jalan menunduk mengangkat mata bila sudah dekat, Allah... Allah... Allah... Allah.... mengalir airmata tatkala pandangan pertama jatuh pada Baitul 'Atiq... jantung berdebar luar biasa... Allah... Allah.. Allah... sukarnya untuk diungkap dengan kata-kata. Humaira dipelukan abah hanya memandang ummi tidak berkata. Dan kami melaksanakan umrah dengan hati yang penuh.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Sejak itu hati terpaut...
Sejak itu hati terikat...
Sejak itu hati tak pernah berpaling...
Tanah ini akan kita jejaki lagi...

Bila dengar orang pergi umrah, air mata jatuh.... entah kenapa... rindu barangkali.... iya rindu sebenarnya...
Bila terpandang gambar-gambar di sana... air mata begitu murah, terasa ingin terbang dan kemudian duduk berdiam di Raudhah,... dekat dengan jasad Habibullah... Rasul tercinta.
Bila terpandang sahaja rumah Allah... air mata mencurah, terasa jasad seperti ringan, merindu untuk merasai medan tenaga sewaktu bertawaf... luarbiasa... luarbiasa... luarbiasa... bukan biasa-biasa saja.

Sejak itu anak, ummi dan abah sentiasa merancang untuk pergi kesana lagi.... Mekah Al Mukarramah dan Madinatul Munawwarah............ pergi itu sebagai pengabdian diri seorang hamba ingin dekat dengan penciptanya, secara total dan ekslusif....

Monday, 4 October 2010

Wajah baru teratak memori







Assalamualaikum anak-anak kecintaan ummi dan abah,

Doa ummi, semoga kita semua menjadi ahli-ahli taman Raudah didalam Syurga Allah. InsyaAllah. Begitu banyak yang ummi ingin coretkan sebagai kenangan anak-anak. Terlalu sedikit pula kelapangan masa yang Allah kurniakan untuk ummi melakar kenangan disini buat anak-anak.

InsyaAllah, bila ada masa yang lebih lapang sedikit akan ummi tulis kenangan cerita kita di sini buat masa ini. Dan ketika ini ummi masih lagi berperang dengan slides untuk seminar berkumpulan. Ummi dikehendaki untuk membentangkan tentang kerja-kerja kajian ummi setakat saat ini.

Abah pula baru selesai menghadiri konferens dan membentangkan kajian beliau di Paris baru-baru ini. Urusan Visa pula bermain-main difikiran abah.

Humaira, Hasya dan Hafiy sekarang seronok bersekolah. Alhamdulillah. Banyak cerita. Akan ummi ceritakan InsyaAllah.

Tok Mak masih bersama kita di sini, melalui musim luruh yang indah. Terlalu indah bila ada tok mak bersama, terasa semua kerja dan kehidupan kita dilimpahi dengan keberkatan keberadaan seorang ibu. Ummi sangat menyintai tok mak sepenuh hati. Dan anak-anak juga amat menyintai tok mak.

Semoga kita semua istikhamah dalam meningkatkan iman dan takhwa. Semoga momentum ramadhan yang baru berlalu terus kita kekalkan dibulan2 yang mendatang ini. InsyaAllah.

Friday, 24 September 2010

Memori Hati - Blood is thicker than water


Whatever it is, he is always there for us. He is always proud of us. He always stand by us. Say whatever you want, say whatever you may, blood is thicker than water.

I am proud of you dad, whatever it takes and whatever it is.


Tuesday, 21 September 2010

Memori Hati - Falling for Falls



Allah,
Terima kasih, musim luruh datang lagi..
Kilauan emas dedaunan,
merah jingga di dahan yang lain,
Ungu yang menjerat mata, menari-nari ditiup angin,
satu saat kan jatuh menghias bumi.

Ya Allah,
begitu juga hati hambaMU ini,
Bak warna dedaunan itu,
begitu banyak ruang lingkup perkara berlainan warnanya,
perlu juga di singkap satu persatu,
Begitu banyak warna resah yang merenggut tenang didada,
Sungguh Ya Allah,
Yang ku dambakan hanyalah redhaMU
Dan hambuMU ini tahu ya Allah,
Satu saat kan terungkap satu per satu
kan datang makhluk yang bernama 'tenang' menghuni jiwa,
HambaMU redha...
Dan dambaku hanya RedhaMU,
PertolonganMU kan datang jua.
InsyaAllah....
Ku yakin sekali Qalam MU ya Allah..
"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu (Ghaafir: 60)"

Monday, 13 September 2010

Blossoms Memory - Doa Syawal Hasya

Solat Eidul Fitri di Grand Mosque (Humaira, Nabila dan Hasya) (pics credit to auntie ila-amin)




Assalamualaikum anak-anak yang soleh dan solehah,

Alhamdulillah ramadhan ini dapat di lalui dengan jayanya buat anak-anak. Ummi sangat bersyukur. Semoga pelajaran sabar, bertolak ansur, menghargai dan bersyukur yang anak-anak raih dalam 'sekolah ramadhan' yang lalu akan terus kekal dalam diri anak-anak.

Banyak cerita syawal kita, InsyaAllah kalau ummi berkesempatan, akan ummi coretkan buat kenangan anak-anak. Insya-Allah.

Yang terkesan, sehari sebelum syawal di Malaysia, kita kehilangan tok chaq yang kembali ke rahmatullah. Petang khamis, dan dikebumikan malam itu juga. Mak cik dan mak teh bertindak menjadi anak perempuan yang tidak pernah dimiliki oleh tok chaq. Mereka membantu memandikan, mengafankan dan menyempurnakan jenazah sebelum dikebumikan. Mereka bersyukur dikurniakan kesempatan untuk berbakti buat kali terakhir untuk tok chaq. Tok Mak sangat bersedih, kakak yang tinggal bersama tok mak hampir dua tahun, tidak dapat tok mak temui lagi sekembali ke Malaysia nanti. Hanya bacaan yassin dan tahlil dapat kita hadiahkan dari kejauhan. Terima kasih tidak terhingga buat sahabat-sahabat yang sudi hadir ke majlis Yassin dan tahlil. Maaf kami pohon, buat sahabat yang lain, kekangan masa dan ruang rumah yang sempit, alasannya.

Ummi masih ingat kita bercerita tentang kematian, anak-anak bertanya, 'orang yang tua sahaja ka yang boleh meninggal dunia?'

Jawapan ummi, 'Meninggal dunia ni boleh bila-bila masa saja, muda, baby, dewasa, kanak-kanak,' Bila sudah ditentukan masanya Allah akan ambil nyawa manusia.

Anak-anak diam saja. Semoga faham hendaknya

--------------------------------------------------------------------------------------------------

both piccas are credit to Lensa Hanim Awang - like her on fb if you like her work

2 hari anak-anak banyak menghabiskan masa di luar rumah, cuaca sekarang sudah semakin dingin, tapi anak-anak masih dengan baju yang selapis, tebal sungguh kulit ya.

Semalam, selesai majlis raya dari rumah sahabat ummi abah, Hasya kelihatan seperti kesejukan. 2 mangkuk ABC mungkin penangannya. Sampai dirumah, Hasya terus naik ke bilik bersama tok mak. Sekarang Hasya tidur sebilik dengan tok mak, Hasya kata Hasya nak teman tok mak sebab mak cik dah balik Malaysia. Good Girl Hasya ni.

Pagi tadi masa bersahur, tok mak bagitau ummi dan abah, yang Hasya tak boleh tidur malam tadi, hidung Hasya tersumbat dan Hasya beberapa kali terjaga dan menangis kecil. Badan Hasya juga seperti suam-suam.

Ummi terus kebilik dan memeriksa suhu badan Hasya. Hasya demam sedikit. Hasya tersedar dari tidur, mungkin disebabkan tangan ummi yang sejuk. Hasya sekali lagi merungut tentang hidung yang tersumbat, abah bawa naik 'Calpol' , paracetamol untul anak-anak, untuk Hasya. Kemudian ummi ajak Hasya tidur dengan ummi, Hasya tetap ingin tidur dengan tok mak.

Pagi ini semasa ummi, abah, kakak dan adik bersiap untuk ke sekolah, tok mak bercerita.

"Lepas bagi makan ubat Hasya semalam, dia tak boleh tidur jugak, dia tanya why ummi wake her up, now she cannot sleep anymore,"

"mak katalah, ummi nak check Hasya demam ka dak, pastu Hasya terjaga,"

"oooooo," jawab Hasya.

"Tok mak, Hasya tak boleh tidur ni, Hasya nak doalah tok mak," Kata Hasya.

"Doalah," Jawab tok mak.

" Ya Allah, hidup dan matiku hanya untuk Mu," Doa Hasya....... Ummi tak pasti, samada Hasya mengerti maksud doa Hasya itu sendiri. Tapi Ummi tetap mengaminkannya.

Ya Allah, syahdu pulak ummi rasa. Aameeen.... Semoga Allah memakbulkannya anakku.... Aameeen.....

Ummi dan abah perlu gigih menanam benih-benih dan membaja taman Addin., agama Allah ini dalam jiwa anak-anak.

Dan anakku, ummi berharap bila kisah ini kalian lawati lagi dimasa depan, ingatlah bukan sahaja kalian pernah berjanji di alam roh yang kita ini hamba Allah, dan hanya Allah sahaja kita sembah, dan setiap perintah Allah akan kita turuti, larangan Allah akan kita jauhi, tetapi juga pernah berdoa disaat diri masih putih bersih, yang hidup dan mati ini hanyalah untuk Allah sahaja.



Monday, 6 September 2010

Memori Hati - Mengejar 'lailatul qadar' di luar ramadhan

Jangan biarkan masa terlepas begini, ruang sentiasa ada untuk diri yang ingin berubah - credit to Lensa Hanim Awang.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Anak-anak soleh dan solehah yang ummi dan abah cintai. Alhamdulillah ramadhan ini kita sambut dengan meriahnya, bertambah berseri dan terasa berkahnya ramadhan tahun ini kita jalani bersama-sama tok mak. Alhamdulillah malam-malam dan siang-siang ramadhan juga kita meriahkan. Kalian tekun bersolat dan membaca Iqra'. Bersyukur ada tok mak bersama. Ummi dan abah terlalu sibuk dengan jihad kami. Ummi dan abah perlu lebih pandai bahagikan masa, selepas ini.

Ummi bercerita dengan kalian betapa sedihnya ramadhan bakal meninggalkan kita, betapa Allah melimpahkan pahala pada kebajikan yang kecil di dalam ramadhan tidak sama dengan bulan-bulan yang lain. Sedihkan. Alhamdulillah, sepertinya kalian faham.

"Ummi, I just wish ramadhan would be for another 7 or 8 days," begitu spesifik Hasya meluahkan rasa hatinya yang inginkan ramadhan lebih panjang.

"I love ramadhan," Kakak pernah meluahkan rasa juga.

Ramai orang menjadi semakin baik di bulan ini, ada yang sebelum ini kurang bersolat, lebih menjaga solatnya, ada yang sebelum ini jarang bangun malam berqiyam, berebut-rebut bangun, banyak maksiat yang ditinggalkan lebih kepada menghormati bulan yang mulia ini. Yang merokok, boleh berhentikan tabiat merokok itu di siang hari. Alhamdulillah, alhamdulillah.

Alangkah indahnya jika semua momentum perubahan dalam ramadhan itu kita kekalkan dan bawa bersmaa hingga kita berjumpa ramadhan lagi, InsyaAllah. Kerna yang patut kita hormati bukan bulan itu sahaja, yang patut kita hormati, takuti dan cintai adalah Pencipta bulan ramadhan itu. Allah azzawajalla.

Ayuhlah anak, peringatan untuk ummi dan abah sendiri, amalan ramadhan ini jangan hanya di sini sahaja. Semoga dapat kita teruskan hingga nafas dihujung nyawa.

Beza malam 1 ramadhan dan malam sepuluh terakhir ramadhan di Leeds Grandmosque. Sepuluh malam terakhir, masjid penuh sesak, beberapa khemah didirikan diluar kawasan masjid untuk menampung jemaah yang berterawikh dan bakal berqiyamullail di masjid. Dua qunutnya panjang dan dihiasi esak tangis, menahan hati yang meruntun kerana ramadhan bakal pergi. Allah, betapa saat ini ummi merasakan kecil dan sangat sedih kerana tidak memahami bahasa syurga ini. Khabar dari sahabat-sahabat yang berada di UK, begitu juga dimasjid-masjid sekitar kawasan mereka. Allah, indahnya.

Anak-anak, ketika sepuluh malam terakhir ini berlumba-lumba orang mengejar satu malam yang dinamakan lailatul qadar. Seperti yang Allah beritakan didalam Suratul Qadr. Ayat 1 - 5. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Subhanallah. Dalam pencarian itu, malam-malam indah di isi dengan solat-solat sunat, tahajjud, tasbih dan taubat. Malam-malam itu meriah dengan terdengar indah alunan-alunan ayat-ayat Al-Quran yang dilagukan oleh manusia. Zikir-zikir munajat yang silih berganti memuji Allah, indah. Indahnya malam yang Allah rahsiakan. Hikmah dirahsiakan.

Mula ummi terfikir yang orang dewasa macam kami ini juga perlukan satu 'upah' untuk melakukan ibadat-ibadat ini. Sedangkan kalau hati begitu ikhlas, ihsan dan kalau ada sedar dalam diri, yang hamba yang hina ini perlu sentiasa bersyukur dan beribadat kepada Allah, tidak kira apa 'upah'nya. Pasti malam-malam lain diluar ramadhan akan kita kerjakan seperti mengejar lailatul qadar. Sesungguhnya peringatan ini untuk diri ummi sendiri selayaknya. Bangunlah wahai diri, isilah malam-malam seperti kamu mengejar lailatul qadar dibulan ramadhan. Kotakanlah apa yang kamu katakan wahai diri. Sesungguhnya Peringatan ini buat diri ummi yang selalu lalai dan 'take things for granted', Allah... banyak sungguh khilaf ....

Ummi amat terkesan dengan peringatan Allah dalam ayat-ayat ini Surah As Saf 61:2-3


61:2
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!

61:3
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Takut Allah benci.......... Ingin Allah sayang....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails