Thursday 30 December 2010

Hanya untukMu - Nawaitu Lillahita'ala


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh buat anak-anak amanah dari Allah buat ummi dan abah. Terlalu banyak yang ummi ingin coretkan dan kisahkan untuk kenangan kita bersama, semoga ada yang menjadi bekalan buat ummi dan abah di alam sana yang kekal abadi. Doa ummi dan pesan ummi selari dengan ayat Allah ini, (2:132)

2:132

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Jihad kami menuntut ilmu di bumi UK ini penuh dengan mujahadah. Datang dengan sumber kewangan yang terhad. Keluarga kecil kita yang masih muda, seperti keluarga muda yang lain yang masih nipis simpanan kami. Banyak airmata yang tumpah. Mujahadah dalam menuntut ilmu.

"Abang, kita akan tunaikan Haji kita dari sini, kan?" berkali-kali soalan ini akan ummi ajukan pada abah. Bila rindu bertandang.

2008, Hajjah Siti Nurhaida, kawan baik ummi yang sudah lama kami bersahabat, menyampaikan khabar sudah mendapat surat jemputan sebagai tetamu Allah. Gembira, sedih, cemburu, gembira lagi berbaur. Ingin pergi sama.

"InsyaAllah sayang, kita sudah tanam niat dan azam, Allah akan datangkan buat kita pertolongan," Pujuk abah, silih berganti, sesuai dengan soalan yang sering di ajukan.

Ummi pegang teguh janji Allah, (2:214)

2:214


Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
--------------------------------------------------------------------------------------------------
Nawaitu sangat penting dalam sesuatu usaha yang akan kita jalankan, anak-anak.

Berniatlah, berniatlah kerana Allah ta'ala, pasti Allah akan menyuluh jalan kita dan memberikan bantuan dari segala sumber yang tidak kita sangkakan, Total Faith dan Total Surrender, InsyaAllah.

Tahun baru masihi ini ummi mulakan dengan banyak niat.... :)

Bersyukur kepada Allah, tahun 2010 yang berlalu penuh dengan makna untuk muhasabah diri. Terima kasih buat semua.................

Tuesday 28 December 2010

Blossoms Memori - Anjakan paradigma di Majlis Suai Kenal




Assalamualaikum anak-anak yang ummi dan abah sayangi, penuh jiwa raga, walau sedalam mana pun kasih sayang ummi, takkan sedalam kasih sayang Allah S.W.T buat anak-anak, (10:58)

10:58

Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)".

Berpeganglah pada tali Allah, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Insya-Allah, anak-anak tidak akan tersesat. Ingatan untuk ummi dan abah juga, selagi Allah masih meminjamkan usia.
--------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, syukur kepada Allah, kita diberikan kesempatan untuk mengikuti program perhimpunan musim sejuk (PMS) oleh MSM UK and EIRE yang bagi ummi dan abah sangat mengesankan buat kami. Ummi percaya program tunas taqwa yang dianjurkan untuk anak2 juga ada meninggalkan kesan positif.

Pertama kali ummi dan abah menyertai program seumpama ini di UK ini. Permulaan kembara kita, biar ada permulaan. Iman yang ada pasang surutnya, perlu sentiasa ada pemangkin yang menolak gelodak iman supaya sentiasa di atas. Entah kenapa, inilah pertama kali kami seperti baru berjumpa program seumpamanya, hatikah yang terhijab, atau peranan publisiti kah yang tidak sampai kepada mad'u? Wallahu'alam.

Ummi sangat terkesan dengan artikel Ustaz Hasrizal di sini [klik link]. Semoga ikatan ukhwah yang terbina dan akan terus berkembang seperti akar pokok yang sihat, terus bergerak jauh mencari ukhwah Islami yang lain, supaya kita dapat membina diri menjadi muslim yang sebenar. Semoga Allah menjadikan kita seorang mukhlisin yang bergerak dan berjuang hanya untuk Allah bukan sahaja di dalam kumpulan sendiri tetapi menggapai lebih ramai hamba Allah yang mencari-cari seperti kita sebelumnya. Anak-anak, kupasan Ustaz Hasrizal sungguh kena dengan tema untuk menjadi mukhlisin dalam perjuangan dan tarbiyah diri ini.

Alhamdulillah, wahai anak-anak, Allah ilhamkan dan hadirkan wadah untuk kita berjuang meningkatkan iman dan menjadi muslim yang sebenarnya. Semoga kita tidak menjadikan wadah ini sebagai pagar-pagar yang akhirnya tarbiyah itu hanyalah didalam lingkungan pagar tersebut sahaja. Sedangkan wadah itu adalah lebuhraya penghubung mengikat ukhwah satu iman. Lebuhraya antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Satu usrah dengan usrah yang lain, satu 'circle' dengan 'circle' yang lain, satu bulatan dengan bulatan yang lain. Apa saja nama wadah yang kita pilih, hanyalah pemudahcara untuk kita menyatukan ummah. Kerana bersatu kita teguh, seorang kita runtuh. Menjadi khalifah Allah. Menjadi mukhlisin InsyaAllah. Ingatan ini untuk ummi dan abah sendiri selayaknya, baru hendak berjinak, biar niat itu betul. Perjuangan ini hanyalah semata-mata kerana Allah, InsyaAllah. Semoga Allah menuntun hati-hati kita.





Jutaan terima kasih atas budi akhawat dan ikhwan yang bertungkus lumus menganjurkan PMS 2010 yang terakhir tajaan MSM UK dan EIRE kerana selepas ini, 'rebranding' sebagai IKRAM UK dan EIRE lebih tepat dalam merapatkan barisan membangunkan ummah ini InsyaAllah.

Catatan ringkas, rumusan yang remeh dari insan kerdil yang baru hendak berjinak di lapangan ini. Ya Allah jadikanlah kami-kami ini hambaMu yang Ikhlas, yang hendak digapai bukan pujian dari manusia, tapi pujianMu Allah, yang hendak digapai bukan pandangan manusia, tetapi pandanganMu Allah, tujuan kami ini Allah adalah RedhaMu. Semuanya hanya untukMu Allah.... tuntunlah hati-hati kami.

Friday 17 December 2010

Hanya untukMU: Nur di wajah tetamu Allah.....


Assalamualaikum w.b.t, anak-anak ummi dan abah yang selalu di cintai dan di rindui. Semoga iman yang ada pasang surutnya ini terus pasang selalu. Iman itu tidak pernah dapat diwarisi, iman itu harus di cari, di kejar, di jejaki. Semoga benih-benih iman yang ditanam di jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi, tumbuh subur mengharumkan medan kebangkitan Islam sekali lagi. InsyaAllah.

Kembara ummi dan abah mencari redha Allah, menunaikan rukun Islam yang ke-5 tidak hanya bermula kebelakangan ini. Bagi ummi, mungkin cerita yang ini titik permulaannya, dan kesinambungannya membuak-buak di cerita ini.
----------------------------------------------------------------------------------------------------

Mesyuarat atau seminar yang dianjurkan oleh APMTTEMC Malaysian Chapter, menemukan kami. Dr. M dari Universiti di selatan tanahair. Raut wajahnya tenang, tutur bicaranya matang. Penampilan wanita muslimah bekerjaya yang berjaya. Wajahnya seperti bercahaya, sukar untuk ummi ungkapkan. Mesranya, seperti sudah kenal bertahun lamanya.

"Meh datang peluk akak, kata orang, orang baru balik Haji nie masih ada berkatnya untuk beberapa ketika." Riuh mulut beliau bersuara, mengajak kawan-kawan yang datang bersalaman, memeluk beliau.

Itu rupanya, nur di wajah tetamu Allah. Indah, sungguh indah, tak terkata. Nur yang menyebar rindu lagi.

Kami semua berebut bersalaman dengan beliau, dan tubuh kami beliau rangkul dan peluk erat, terasa ukhwah menyerap ke kalbu. Ya Allah, pandanglah kami ini, dan jemputlah kami menjadi tetamu ya Allah. Selepas tubuh lepas dari pelukan beliau, ummi memaling kebelakang, ummi seka airmata, kerana untuk kesekian kali rindu bertandang lagi. Rindu untuk sujud di rumah Allah.

Kami kutip pengalaman Haji beliau.

"Persediaan mental dan fizikal kena cukup. Banyakkan qiamullail dan istiqamahlah. Yang penting berkualiti."
"Jangan lupa, baca kisah-kisah tentang kenapa menunaikan haji ini merupakan rukun Islam ke lima."
"Tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Ismail dan Siti Hajar,"
"Jangan hanya menghafal rutin, tetapi tak tahu apa kisah sebenarnya, Dan sunah-sunah Nabi harus diberatkan".

Wajahnya seperti tersenyum, ada airmata bergenang dalam setiap butir cerita tentang Haramain.

Inilah intipati cerita beliau.

"Sayang. kita kena tanam tekad untuk pergi Haji secepat mungkin, kita kena kumpul duit dari sekarang," Tekad ummi ceritakan kepada abah, semasa pulang dari mesyuarat itu. Abah sudah pasti bersetuju, itu juga impian abah, mungkin rindu abah lagi lama bersarang dari ummi.
--------------------------------------------------------------------------------------------------

Berita tentang ummi dan abah akan menyambung pelajaran ke UK, ummi sampaikan kepada Dr.M.
Ucapan Beliau: Selamat Berangkat dan pulang dengan ijazah dan pengalaman. Plan la tunaikan haji, Maybe masa Year 2.

Bergegar lagi rindu... beliau masih kental dengan rindu pada tanah suci itu, dan harum rindu itu beliau sebar-sebarkan pada kami yang lain. Dan tekad itu juga, berulang-ulang ummi dan abah sebutkan dan bincangkan sepanjang kami di sini sehinggalah Allah menjemput dan mengizinkan kami menjadi tetamuNya. Indah.

Dan tatkala ummi, menghantar email, memohon maaf andai ada tersilap dan salah, serta menghalalkan makan dan minum, sebelum kami berangkat menunaikan Haji, beliau tetap melontar motivasi dan semangat:

Alhamdulillah! Selamat berangkat wahai Tetamu ALlah SWT! Moga diberi kekuatan, kesabaran, kelapangan, utk laksana ibadah fardhu ini. Jaga pantang larang. Hayati sirah dan aktiviti haji. Banyakkan aktiviti bersama suami, di samping jaga pantang larang. Akhir sekali, mohon banyak2 keampunan dan doakan utk kesejahteraan dan kemenangan umat Islam seluruh dunia, terutama Gaza, masjidil Aqsa dan Palestin. Moga akhir hayat nanti, ALlah swt terima hajj ini sebagai mabrur.

--------------------------------------------------------------------------------------------------
Ummi percaya, setiap orang yang menjadi tetamu Allah, ada cerita masing-masing sebagai titik mula menjana rindu pada Haramain, pada Baitullah yang menyentuh kalbu, pada Masjidil Nabawi yang tenang. Dan ini adalah sedikit dari cerita ummi.

Ummi dan abah akan suburkan rindu anak-anak untuk berjaulah mencari redha Allah, dan redha Allah itu boleh diraih di mana-mana, bila-bila masa juga dan berbagai cara berbekalkan iman di dada. Cuma, di sana, terasa lebih manis. Mari kita terus berusaha lagi.

Masih berombak-ombak rindu dalam dada.....




Wednesday 15 December 2010

Blossoms Memory - 'Fagin' Humaira

Assalamualaikum anak-anak yang ummi cintai dan sayangi, semoga dengan kedinginan musim salji ini, mendinginkan hati anak-anak yang saban hari menanti ummi dan abah dari universiti. Penghujung ahun ketiga buat abah dan permulaan tahun ketiga buat ummi, semuanya menuntut ketekunan dan pengorbanan yang hebat dalam jihad fi sabilillah kita ini. Pengorbanan anak-anak juga besar, semoga Allah memberikan balasan syurga dan pahala orang yang berjihad juga buat anak-anak.

Hari ni, Hasya tidak ke sekolah, batuk yang hampir sebulan lamanya semakin bertambah kuat. Semalam cikgu telefon abah minta ambil Hasya di sekolah, Hasya batuk sampai termuntah. Sejuk sangat terpaka bemain di luar. Hari nie Hasya dapat cuti, seronok Hasya sebab tak perlu nyanyi lagu christmas di christmas show hari ni. Hasya nak jadi penonton saja.

Hafiy pula semalam, tengok filem karate kid sampai 4 kali. Aduhai, memang kena layan sajalah ummi dan abah. Yang tersentuh hati, bila sampai di babak, Jacky Chan menangis didalam kereta terkenangkan anak dan isterinya yang meninggal, Hafiy pun menangis sama, sambil pegang tangan ummi, Hafiy kata,
"Ummi, Hafiy sedih, dia punya anak dah 'die', mak anak dia pun 'die'....", sambil mengelap air mata sendiri...
Ummi pun pujuk Hafiy. Lepas tu Hafiy sambung lagi,
"Kenapa semalam ummi tak pujuk Hafiy masa Hafiy nangis?"
Alamak, cerita semalam pun masuk buku cerita hari nie, kisah semalam Hafiy merajuk lepas gaduh-gaduh dengan kakak-kakak, memang kalau gaduh dan menangis ummi tak pujuk. Ummi pujuk bila kena pada tempatnya. Hafiy, Hafiy semoga kisah-kisah ini mengundang senyum di bibirmu bila akal semakin penuh.

Dan hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh kakak Humaira. Kakak dipilih untuk melakonkan watak 'Fagin', didalam sketsa muzikal 'Oliver Twist' sempena christmas show hari ini. Dalam perjumpaan dengan guru sebelum ini, Cikgu Kelas Humaira Miss Petty ada menyebut yang Humaira sangat suka menyanyi waktu latihan nyanyian. Dan Humaira sangat aktif di kelas. Kakak selalu sedia untuk 'involve' dengan aktiviti kelas. Ummi, abah dan adik-adik gembira membantu kakak menghafal skrip dan mendengar kakak menyanyi dirumah. Sayangnya, gambar dan video sewaktu persembahan anak-anak disekolah mereka tidak boleh direkod atas sebab-sebab keselamatan. Hmmm polisi di sekolah mereka. Pagi tadi ummi ada minta kebenaran dari cikgu kelas kakak, Mereka perlu berbincang dahulu, kalau dibenarkan ummi akan rekodkan, kalau tidak kakak kena berlakon dengan abah dan ummi rekodkanlah dirumah saja.

Salah satu nyanyian yang akan dinyanyikan oleh kakak dan kawan-kawan adalah seperti dalam youtube nie, Dan watak orang tua itu adalah 'Fagin' yang akan dilakonkan oleh kakak. 'Break a leg' ya kakak.... Ummi, Abah, Hasya and Hafiy love you.....

Tuesday 7 December 2010

Memori Hati - Ya Rasulullah, kami merindu.....

Assalamualaikum w.b.t, anak-anak permata hati ummi abah, saham negara akhirat, tiada lah perkara berguna yang ditinggalkan oleh manusia yang dapat membantu seorang hamba Allah di alam kubur dan negara akhirat, melainkan 3 perkara, Ilmu yang bermanafaat dan memberi manafaat, harta yang diinfakkan dan anak-anak yang soleh solehah yang sentiasa mendoakan. Semoga kalian sentiasa mengingati ummi abah didalam doa kalian...

Sedang ummi sibuk menyusun ayat, mencari 'flow' dalam menulis laporan kerja-kerja ummi, tiba-tiba hati seperti tenggelam dan lamunan terus datang, membawa imbauan berkelana ketanah suci Madinah. Membawa lebih dekat dengan jasad sang pembawa seruan kepada agama yang haq, ad-deen yang sebenar. Rindu, rindu untuk dekat dengan tempat persemadian sang kekasih Allah, Muhammad ibni Abdullah. Terasa hangat di dalam dada. Kembali mecari-cari cerita tentang hebatnya para sahabat mencintai rasulullah. Allah... rindu.... sungguh rindu, kembali menyeka air mata yang tumpah...

Terpempan bila terpandang satu cerita, Dalam satu pertemuan antara sahabat-sahabat dengan rasulullah, baginda telah bersabda,
" Aku tersangat rindu kepada para ikhwanku."
Dan bertanyalah sahabat baginda,
" Ya, Rasulullah, bukankah kami ini ikhwanmu? "
Rasulullah menjawab,
" Bukan, bahkan kamu adalah sahabatku, Sedangkan ikhwanku adalah orang yang beriman denganku walaupun mereka tidak pernah melihatku,"

Ingin jadi orang yang di rindui oleh Rasulullah S.A.W? Pasti semua ingin menjadi yang di rindui oleh kekasih Allah....

Di dalam satu hadis sahih riwayat Muslim yang lain menyebut,

Dari Abdullah (r.a), katanya:
Datang seorang lelaki kepada Rasulullah S.A.W menyanyakan Rasulullah, "Ya Rasulullah, bagaimana pendapatmu mengenai seorang yang menyintai suatu kaum, sedangkan dia belum pernah bertemu dengan kaum itu?"
Rasulullah
S.A.W menjawab, " Orang itu nanti akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya itu. "

Ingin bersama-sama dengan Rasulullah di Jannah....

Semoga kita menjadi orang-orang yang menjaga sunnah dan mengamati serta mengikuti sunnah rasulullah dengan baik sehingga akhir hayat. Mengikut sunnah dengan baik adalah tanda kecintaan kita kepada kekasih Allah. Rasulullah menyatakan rindu pada ummatnya.

Biarlah kita menjadi al-ghuraba', asal Al-Quran dan As-Sunnah itu pegangan hidup kita. Ummi juga masih bertatih, masih belajar, masih jauh lagi dan terlalu luas ilmu ini harus ummi dan abah cari dan gali. Semoga Allah menunjukkan kepada ummi dan abah, anak-anak dan kita semua jalan yang benar dan lurus dalam, jalan orang-orang yang Allah kurnia nikmat, bukan jalan orang-orang yang Allah murkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat. Aameeen...


Monday 6 December 2010

Blossoms Memory - Minggu yang berbagai rasa

Assalamualaikum wbt buat anak-anak ummi dan abah yang dirindui, semoga diberkati dan dirahmati dalam selimut kasih sayang dari Ilahi.

Anak-anak ummi dan abah, Allah suka orang yang berdoa dan merintih, merayu. Walau bagaimana pun corak hidup kalian, senang, susah, suka duka, berdoalah semoga Allah sentiasa mengajar dan mengilhamkan kita bagaimana menjadi seorang 'abid yang benar-benar hamba Allah. Nabi-nabi Allah yang maksum juga banyak berdoa, merintih dan berzikir, banyak sekali ayat-ayat didalam Al-Quran yang menunjukkan doa-doa dari para rasul. Dan Allah juga menyatakan dalam firmannya, Al Quran (40:60)

40:60


Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah kelana as-syabab mencari redha Allah masih tertangguh. InsyaAllah akan ummi nukilkan nanti buat tatapan memori anak-anak. Moga ada dari bahagian cerita yang dapat anak-anak buat sebagai contoh tauladan. Dan moga bahagian yang tidak elok di buat sempadan.

Minggu ini kita menghantar tok mak ke lapangan terbang. Dan pulanglah nenda anak-anak ke Malaysia tanahair kita. Mak cik sungguh gembira bukan kepalang (exaggerate sikit), hmmmm jeles sungguh kita kan. Suasana yang tergesa-gesa di lapangan terbang membuatkan kita tidak terlalu beremosional. Tapi, sehari dua sebelum ke lapangan terbang, sudah banyak airmata yang tumpah di Leeds, Hafiy dan Hasya yang banyak drama, kakak Humaira tetap dengan 'poise', tapi bila tok mak balik, memang merindu habis-habisan. Rindunyaaaaa tok mak. Masuk bilik tok mak hati rasa seperti luruh dari badan, mencium-cium mencari haruman badan ibunda. Selepas solat maghrib semalam, kata Hasya

"Selalunya kalau lepas maghrib tok mak tak turun, tok mak mesti tunggu sampai lepas isya' ..."
" Hasya nak tok mak...."

Aduhai anak.............................

Selepas hantar tok mak hari tu, kita singgah di Oxford untuk ziarah Cik Bahbibi dan keluarganya. Alhamdulillah, sangat gembira bertamu di Oxford. Tenang. Banyak perbincangan tentang sirah rasulullah, tentang pengalaman Haji, kebetulan Pak Cik Alfian(kalau tak silap nama) baru juga pulang dari mengerjakan haji, kata abah ziarah sahabat sambil mengambil berkat orang pulang dari haji. :):) Terima kasih atas layanan yang sangat hebat dari Cik Bahbibi. Terima kasih mak cik,(ibu Cik Bahbibi) menyambut kami berkain batik dan berbaju nipis dalam kedinginan subzero degree celcius, takut kami tersesat. Semoga ukhwah kita berkekalan. Terlupa nak mintak resipi ayam roasted, sedap sangat.

Bermalam semalam di travelodge, sebelum kita menyambung ziarah kita ke Leicester. Pertama kali ingin bersua muka dengan Cik Min, Cik Din, Muammar, Ayman dan sudah semestinya si cilik Mawaddah. Sudah beberapa kali sebenarnya ummi dan abah merancang untuk menziarahi Mawaddah. Namun siapalah kita yang merancang, kalau perancang yang Maha Hebat adalah Allah. Ziarah ini sangat bermakna, kebetulan jatuh pada hari lahir Mawaddah yang pertama. Sanah Helwah ya Mawaddah semoga membesar dengan sihat, semoga disembuhkan semua kesakitan. Semoga menjadi anak yang solehah.

Terima kasih Cik Min, sudi menerima kita sebagai tetamu, dalam kesibukan sebagai tuan rumah majlis harijadi Mawaddah dan dalam ramai-ramai orang , ummi masih merasai kehangatan ukhwah lewat alam maya. dan kini sudah bertemu muka. Terasa seperti sudah bersahabat begitu lama sebenarnya. Pertama kali memegang Mawaddah, Mawaddah seperti tidak selelsa, merengek Mawaddah dalam pelukan ummi. Kali kedua cubaan Memegang Mawaddah, Mawaddah sudah selesa dalam pelukan ummi, selesa selepas kenyang menyusu barangkali. Anak-anak memegang tangan dan mencium Mawaddah bertalu-talu. Hafiy dan Hasya terutamanya. Geram dengan Mawaddah yang duduk diam dipangku ummi. Alhamdulillah dapat juga berjumpa dengan mujahidah kecil. Semoga Allah meredhai pertemuan dan ziarah ini InsyaAllah, Ukhwah fillah InsyaAllah. Makanan di kenduri-kenduri di UK ini selalunya memang hebat dan sedap-sedap belaka. Alhamdulillah nasi ayam, mee sup, dan puding2 yang sedap menjadi menu kita hari tu. Kalau ada rezeki, harap-harap Cik Min dan Cik din sekeluarga sudilah datang ke Leeds, InsyaAllah.

Syukur pada Allah, dapat juga anak-anak bertemu dengan Acik Zuriyati, yang sama-sama menjadi As-syabab dalam kelana ummi dan abah. Rindu sungguh pada acik Zu, selepas lebih 15 hari bersama-sama, terasa seperti kehilangan selepas pulang dari Mekah. Rindu sama-sama berjalan menuju Masjidil Nabawi, iktiqaf di sana, beribadat, sama-sama ke Raudhah, bersolat sebelah-sebelah di Raudhah. Dan banyak lagi memori kami bersama. Seronok Acik Zu bercerita pengalaman pertama melakukan c-section, dan yang paling penting, I-Phone 4, sungguh berkesan perbincangan di dalam khemah di Mina, perbincangan dua IT pro, Auntie Syeri dan juga Auntie Ina. About how gooooood is I-phone as compared to ehhmmm ummi dah tak ingat compared to apa.

Ummi juga bertemu kawan lama, seMRSM dengan ummi, Cik Sikin. Banyak memori yang kita imbau dan indah-indah semuanya. InsyaAllah bertemu lagi nanti.

Kenangan di Leicester menjadi semakin indah, bila ummi dapat bertemu dengan ummu_husna, Cik Aslina Jusin, isteri kepada UZAR. Ummi selalunya mengikuti tulisan beliau di blog beliau di sini. Alhamdulillah, tenang, itu pandangan pertama dari mata kasar, dan bila berbual dan berbicara, itu juga ungkapan mata hati... tenang dapat berbual dengan beliau. Senyum yang sentiasa menguntum.... semoga pertemuan pertama menjadi jambatan ukhwah kerana Allah. InsyaAllah.

Ramai lagi kenalan baru yang ummi jumpa di rumah cik Min, terima kasih cik Min sudi menerima kita sebagai tetamu dan menjadi penghubung kepada perkenalan-perkenalan baru. Semoga Allah mengurniakan pahala mengeratkan silaturrahim sesama muslim, InsyaAllah.

Pulang ke rumah malam tu berbekal nasi ayam... terima kasih cik Min.

Sampai dirumah, Hafiy terpaku dengan rancangan Ace of Cake di Food TV.. InsyaAllah akan ummi ceritakan kisah hari kek yang ekstrem.

Terima kasih Allah atas minggu yang berbagai rasa.... Alhamdulillah


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails