Showing posts with label Children. Show all posts
Showing posts with label Children. Show all posts

Thursday, 22 February 2018

Dramaummi: Hebatnya akhlak anak-anak KISAS


Assalamualaikum anak-anak cinta hati ummi,

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pilihlah nama yang indah dan wangi ataupun nama yang kurang harum. Sepantasnya, ummi akan sentiasa memilih yang pertama. Dan yang pertama ini sangat berkait rapat dengan akhlak. Tinggallah budi dan akhlak yang indah buat memahat nama di lipatan sejarah hidup ini. Jadikan akhlak indah ini perkara yang biasa dalam hidup ini sehinggakan menjalankannya menjadi darah daging, tak terasa sedang menunjuk nunjuk akhlak yang baik itu, tak menjadi megah diri sebab terlalu biasa. Pastilah sampai terus ke hati penerima akhlak yang baik ini.
---------------------------------------------------------------------------
Beberapa hari sebelum mendaftar dibumi waqafan itu, kakak kelihatan seperti muram dan hanyut dalam lautan fikiran yang mungkin gelisah ataupun kegusaran yang mendalam. Sesekali pertanyaan ummi tentang perasaan kakak untuk sekali lagi menghuni asrama tidak kakak sahut dengan sepatah pun perkataan. Seringkali juga kakak tarik tangan ummi dan bawa kemas ke dada kakak sambil sesekali mencium tanpa sebutir kata keluar dari mulut kakak. Seringkali juga tubuh ummi yang jelas lebih rendah dari kakak ini kakak rangkul kemas dan ciuman hinggap di pipi. Sungguh sering sekali. Hanya doa yang ummi lantunkan saban waktu mengiringi kerisauan hati ummi melepaskan kakak juga.

Tiba 7/2/2018. Bersemangat sekali tok mak bersiap awal nak hantar kakak ke KISAS bersama-sama. Kakak masih kelihatan biasa. Sepanjang perjalanan yang hanya lebih kurang 40 minit dari rumah itu kakak banyak mendiamkan diri. Masih keliru dan bercelaru rasa ummi. Tak apalah kakak. Layanilah rasa hatimu anakku.

Sampai sahaja kita di depan pagar KISAS kelihatan sebarisan pelajar di kiri dan kanan jalan terus masuk ke parkir kereta. MasyaAllah terasa seperti tetamu kehormat datang bersambut. Anak-anak gadis dengan baju batik hijau dan tudung labuh, bening wajah mereka. Anak-anak Rijal tegap berbaju korporat. Ditunjuknya tempat untuk parkir kereta. Selesai meletakkan kereta, datang dua anak gadis berwajah mulus, bersih dengan tudung labuh dan lebar memperkenalkan diri sebagai CS (College Sister). Dua orang yang datang. Untuk menjadikan cerita lebih dramatik, Allah izin CS Humaira adalah anak saudara kepada Kawan baik Ummi, Cik La. Namanya Aisyah. Kakak Aisyah ini pernah juga tinggal di UK. Kita bertiga pernah ziarah keluarganya di Hull semasa ummi dan abah belajar di Bradford. Rupanya saling tak tumpah rupa umminya. Maka dengan pantas ummi dapat cam.


Aisyahlah yang membawa kami dari satu tempat ke satu tempat, dari permulaan proses mendaftar, ke dewan besar, selesai di situ, dibawanya kami ke urusan Koop. Tidak pernah pun kami ditinggalkan tak tahu haluan. Pertama kali dalam urusan yang baru, kami di santuni begini. Pastilah berbesar hati.



Selesai urusan pendaftaran, sampailah masa kami mengangkat barang-barang kakak untuk ke asrama. Sekali lagi CS ini iaitu Aisyah untuk kami bertungkus lumus membantu. Kelihatan di sana sini, pelajar2 seniors yang di panggil CS dan juga yang lain-lainnya dengan sukarela membantu mengangkat barang-barang adik-adik junior. Asrama Humaira di tingkat tiga, masyaAllah boleh tahan nak naik atas tu. Sampai sahaja di hadapan tangga bangunan asrama, beberapa orang lagi pelajar KISAS yang lain telah menawarkan bantuan. Hebat-hebat. Bila yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing, semua perkara menjadi mudah. Inilah yang kita lalui hari ini.

Rumah Omar dan semua yang berkaitannya berwarna merah. Sekali lagi, kita dikejutkan dengan 'sweet gestures' kakak-kakak yang hebat di KISAS ini. Katil2 adik2 telah dipasangkan dengan cadar dan sarung bantal.



Buka sahaja almari baju, sekotak air telah ditinggalkan oleh kakak-kakak Omar dengan nota ringkas yang manis semanis budimu anak-anakku.
Tak habis di sini sahaja. Ummi akan sambung cerita lagi InsyaAllah.
___________________________________________________________________________

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang hendak kamu dustakan?


copyright:

~Melatiblossoms~

Thursday, 15 February 2018

Dramaummi: Humaira melangkah ke bumi Waqafan, pipit akan menjadi helang InsyaAllah


Anak pertama adalah guru segala hal yang baru buat kami ibubapa muda ketika itu. Banyak percubaan yang cuba diterapkan dari teori-teori yang kami baca, bahkan tradisional ‘upbringing’ metod yang diturunkan oleh ibubapa juga kami cuba. Percubaan semuanya.
Alhamdulillah, dengan izin Allah dan bantuan sistem sokongan yang kuat sepanjang membesarkan dan mendidik Humaira. Masa meningkat ke awal remaja, Allah izin kami dapat mendidik Humaira di UK. Di sana potensi kakak begitu banyak menyerlah, dengan menjadi Student Reprensentative seawal usia 8 tahun, membolehkan kakak bermesyuarat dengan Local Council of Leeds (mungkin macam mini parlimen di Malaysia kot ya). Membawa watak sebagai Dorothy in wizard of Oz play di sekolah setelah beberapa watak kecil dalam pelbagai plays sebelum itu, sangat banyak mempengaruhi keyakinan diri kakak.
Pulang ke Malaysia dengan pelbagai pengalaman yang kakak timba di UK. Sebahagian besar hidup kakak ketika itu adalah di negara orang, ummi nampak banyak menyumbang kepada pola kakak berfikir dan melihat sudut pandang sesuatu perkara. Ummi bahagia. Hidup diperantauan tanpa keluarga terdekat, menjadikan kakak tersangat ‘attached’ dengan kami.
2 tahun disekolah rendah di Malaysia, darjah 5 dan 6, dengan muallim dan muallimah yang hebat, sistem biah solehah yang diterapkan disekolah musleh di Sek. Ren Islam Hira, Kakak semakin matang dalam berfikir dan membuat keputusan. Akhlak kakak di rumah semakin ummi dan abah syukuri. Anak yang taat dan banyak membantu ummi dan abah dalam segala hal. UPSR yang di hadamkan hanya selama 2 tahun, adalah sesuatu yang mengejutkan ummi abah.
Melangkah ke sekolah menengah, dengan yakin ummi dan abah hampir pasti kakak sangat sesuai dengan sekolah berasrama yang kita sama-sama pilih. Rupanya percaturan kali ini tidak tepat. Rupanya disebalik segala kekuatan dan kematangan yang kakak tunjukkan, kakak masih anak kecil yang belum puas berada dibawah naungan dan hangatnya pelukan ummi setiap malam. Tingkatan 1 yang penuh airmata.
Tingkatan 2 kita sama-sama membuat keputusan untuk kakak kembali ke rumah dan bersekolah di KD10. Rupanya hikmah yang lebih luas yang Allah aturkan. Dengan hadirnya Hamzah dalam keluarga kita, kakak lah yang paling banyak membantu ummi dan abah. Kakaklah yang banyak menjaga dan melayan Hamzah. Tangan kanan ummi dan abah. Dari segi pelajaran ummi tidak risau kerana kakak sangat berdisiplin dalam belajar.
Alhamdulillah, anak taat dan solehah ini Allah izin terus membanggakan ummi abah dengan cemerlangnya akhlak dan pelajaran. Panjang perbualan kita setiap malam, panjang motivasi tanpa berat sebelah abah juga setiap masa dalam merangka plan kakak untuk tingkatan 4. Kita sama-sama mengisi borang MRSM, dan kakak sendiri mengisi borang SBP dengan memilih KISAS. Kata kakak cuba saja, sebab kakak tak yakin KISAS boleh dapat. Dan MRSM kakak tak berapa favour sebab tak ada Bahasa Arab.
Panggilan untuk ujian kemasukan, mengundang airmata dalam erti pelbagai kata kakak. Ummi dan abah nasihatkan, hanya hadir jika kakak betul-betul mahu, kalau tidak, biarlah tempat itu di isi oleh sahabat2 yang sangat mahu. Selepas Panjang doa dan istikharah mungkin, kakak memilih untuk hadir. Pesan ummi abah, kami tiada quota pengetua atau apa-apa kaitan dengan SBP sebelum ini, jangan megharap terlalu tinggi. Allah izin dan pilihan Allah buat kakak, KISAS menerima kakak sebagai pelajarnya. Kali ini pastilah banyak kakak mengadu dan memohon dari Allah dalam membuat keputusan. Ummi dan abah hanya mampu menambah doa dan harapan. Sambil menyediakan jaring jika ‘fallback’ perasaan kakak berlaku.
7/2/18 tarikh keramat kakak bermula kembali sebagai pelajar asrama, kali ini di KISAS, sekolah idaman terlalu ramai pelajar di Malaysia. Semoga Allah izin kakak menadah ilmu dari muallim dan muallimah yang hebat di sini. Di linkungi biah solehah. Di dampingi oleh seniors yang juga berakhlak cemerlang (satu entry lain ni) InsyaAllah.
Ummi lepaskan ikatan perasaan yang tersimpul ketat antara kita, namun ummi sentiasa tahu, akar kakak tetap kukuh mencengkam asas keluarga kita. Kata orang sekali anak keluar rumah untuk belajar, anak itu akan terus keluar dan keluar. Merantaulah dan jadilah seperti air yang mengalir, bau juga tak terperangkap.

Owh Well, #dramaummi as always. 
This is my anekdot for your memory my dear. Berbagai #pesanummi untuk my #melatiblossoms

Saturday, 21 January 2012

Blossoms Memory - Kakak-kakak cantik


Assalamualaikum w.r.t,

Menemui anak-anak kecintaan ummi dan abah yang kami cintai, dalam doa dan penuh pengharapan kalian bakal menjadi pejuang untuk agama Allah ini. InsyaAllah.

Terlalu lama ummi ingin menulis tentang cerita ini buat kalian, ummi sangat ingin kalian ingat selalu ingat kisah-kisah ini.

Beberapa ketika lalu sibuk orang bercerita tentang pelajar-pelajar bijak yang seperti 'hanyut' bila berada di negara orang, kata mereka yang sama-sama ingin bercerita walau tidak tahu pangkal dan punca, pelajar-pelajar ini 'kejutan budaya'. Ummi tak ingin bercerita tentang ini, sebab kita tiada dalam cerita mereka dan kita tiada hak untuk bercerita. Cuma ummi sangat sedih, bila media dan masyarakat kita di Malaysia yang tak tahu cerita turut menghukum sama, pukul rata yang kesemua anak-anak muda 'creme de la creme' yang dihantar ke luar negara terkena kejutan budaya lupa daratan dan udara. Ummi rasa seperti ingin ketawa dalam masa yang sama ada sedih menyelinap, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Ummi ingin bercerita tentang kakak-kakak cantik kalian yang ummi jumpa sepanjang kembara kita di bumi UK ini. Subhanallah, kakak-kakak ini cantik luaran, lagi menakjubkan kecantikan dalaman mereka lebih menyinar. Subhanallah.

Kakak-kakak ini pelajar cemerlang dari sekolah-sekolah mereka, datang merantau di sini untuk mncari ilmu Allah. Ada yang datang untuk menjadi sorang doktor nanti, ada yang datang untuk menjadi guru nanti, ada yang datang untuk menjadi jurutera, yang pasti mereka datang untuk menjadi professional yang mukminah. InsyaAllah. Bakal professional ummah. Aameeen ya Allah.

Kakak-kakak cantik ini pakaiannya menutup cantik mereka. Pakaian mereka tidak mengundang mata yang lain, mereka berjubah, warnanya jarang menarik mata. Yang memandang sekali tak kan mengulang pandang. Subhanallah mereka terjaga dari mata-mata dunia. Kerana mereka sangat ingin di lihat Allah. Di pandang Allah. Kakak-kakak cantik ini, ber t-shirt, labuh sampai ke lutut, seluar mereka besar dan pasti warnanya kusam sahaja, nawaitu mereka biar tidak memandang mata lain kali keduanya. Biarlah yang kata t-shirt labuh seperti baju yang di pakai tidur.

Setiap minggu, kakak-kakak cantik ini akan duduk-duduk beriman sesama mereka, mushaf tafsir Quran mereka bertanda berwarna-warni,

"Yang biru untuk doa-doa yang ada dalam Quran, supaya senang bila nak baca doa lepas solat, buka jer yang berpenanda biru." Terang mereka.

"Yang pink ni untuk cerita-cerita tentang munakahat, mudah buat rujukan," Sambil tersenyum meleret.

Bila mereka berbulatan gembira, yang menjadi topik bicara, bukan kisah mereka yang tiada dalam bulatan mereka, kisah yang mereka bawa, kisah-kisah dari Al-Quran. Dibukanya mushaf dan dibaca bersama, kemudian mereka sama-sama mentadabbur ayat-ayat Allah, mencari ibrah dari cerita. Bila sampai di kisah yang mengharukan mata mereka basah, pasti hati mereka juga basah bila sampai ke ayat tentang kebesaran Allah. Subhanallah. Sebelum berpisah, mereka saling mendoakan, mereka berpelukan, kemas, semoga ada pertemuan lagi antara mereka. Kalau di takdirkan Allah ini pertemuan terakhir didunia, semoga Allah kumpulkan lagi didalam syurga. Allahu Allah.

Kakak-kakak cantik ini bertanya khabar tentang sesama mereka, ukhwah yang mereka saling menjaganya. Ukhwah fillah. Semuanya kerana untuk mendapat rahmat Allah. Bila seorang sakit, seperti keseluruhan mereka sakit. Bila seorang risau, semuanya sama menanggung. Indahnya ukhwah, mereka itu seperti satu tubuh, saling memerlukan.

Ummi masih ingat, semasa mengikuti program-program di sini, program ilmu untuk ibubapa, dan demi memastikan ibubapa dapat berprogram dan mengutip ilmu dengan tenang, anak-anak juga ber'program' dan kakak-kakak cantik ini dengan senang hati menjadi fasilitator untuk anak-anak. Anak-anak diberikan peluang ber'program'. Allahu Allah, mereka ini sungguh komited dalam cita-cita mereka meraih redhaMu. Sampaikan rumah mereka juga mereka sanggup sediakan untuk anak-anak kecil ini ber'program' saat ibubapa sibuk dalam mengutip ilmu Allah. Masa mereka, mereka korbankan untukMu Allah. Urusniaga paling menguntungkan. InsyaAllah.

Masih terngiang-ngiang menganjurkan program bersama-sama kakak-kakak cantik ini. Mulut baru menyebut, 'Siapa yang boleh buat poster yek?'

Dengan pantas , 'InsyaAllah kami boleh siapkan,' 'Kami boleh printkan', 'Program anak-anak kami uruskan,'. Belum mulut minta pertolongan, pertolongan itu sudah mereka hulurkan Subhanallah.

MasyaAllah, mereka juga pelajar, mereka juga sama-sama merantau dari Malaysia, UK ini bukanlah negara mereka, mereka juga kejutan budaya, tapi mereka mendapat kejutan budaya yang indah, yang membawa mereka lebih dekat dengan Allah, menakjubkan urusan orang mukmin, semuanya menjadi mudah kerana destinasi mereka adalah kecintaan Allah.

Mereka kakak-kakak cantik yang menakjubkan. Ummi menyaksikan mereka-mereka ini. Cantik luar dan dalam. Ummi doakan anak-anak ummi diberikan Allah peluang untuk merantau bermusafir mengutip ilmu Allah, dan ummi doakan semoga dalam permusafiran kalian nanti akan mendekatkan kalian dengan Allah, meningkatkan sedar kalian akan Allah. Seperti kakak-kakak cantik ini.

Terima kasih 'kakak-kakak' cantik buat Humaira, Hasya dan Hafiy, dan adik-adik di sini. Kalian adik-adik yang cantik. (Pada mereka yang membaca, pasti kalian tahu, kalian siapa, Jazakumullahu khairan katheera)

Dan Humaira, Hasya, Hafiy, ada lagi kakak cantik yang belum pernah kalian jumpa, walau terpisah jauh beribu batu, walau tak pernah bertemu, Allah ikat hati-hati kita untuk berukhwah kerana Allah, menakjubkan. Subhanallah.

Buat yang membaca diluar sana, sungguh ramai lagi warga kita yang seperti kakak-kakak cantik ini, malah ramai juga abang-abang yang tampan. Luaran dan hati mereka InsyaAllah. Doakan yang terbaik buat mereka. InsyaAllah mereka bakal pulang menata ummah dan masyarakat kita, seperti yang kita harapkan, kembara mereka di sini, ada bahagian sumbangan kita, pasti kita mahukan yang terbaik, kirimkanlah doa, jauhlah dari berpra-sangka yang pukul rata. InsyaAllah, semoga yang terbaik hasilannya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Buat kakak-kakak cantik, semoga terus thabat dan istiqamah di jalan Allah ini. Semoga kalian menjadi professional ummah yang mukminah. InsyaAllah. Kalian dalam doa kak Ati selalu, adik-adikku.


Friday, 16 December 2011

Blossoms Memory - Kalian juga guru



Assalamualaikum buat anak-anak ummi yang mukmin dan mukminah. Kalian sentiasa dalam doa ummi dan abah setiap saat dan waktu. Hadiah paling indah yang dapat ummi dan abah berikan buat kalian adalah doa yang tak pernah putus InsyaAllah.

Terlalu lama rasanya ummi tidak menulis tentang kalian. Sunggu banyak memori kalian yang ummi ingin simpankan dalam tulisan maya ini, semoga ada yang boleh menjadi iktibar suatu hari nanti buat kalian.

Alhamdulillah, saat ummi menulis, kita dihantarkan seorang bidadari oleh Allah menemani kembara kita dibumi yang sedang menempuh sejuk. Ibunda ummi dan tok mak kalian berada bersama kita dan sungguh terasa hidup sangat diberkati Allah. Kita terasa-rasa seperti diselimuti kasih sayang setiap masa. Ada pipi 'lembut' (kata Hasya) untuk dicium, siku 'lembut' untuk digentel oleh Hasya. Allah.... nikmatnya.

Sejak beberapa bulan yang lalu kakak Humaira selalu berdoa untuk mendapat peran menjadi Dorothy dalam school play 'Wizard of Oz'. Dan selalu jugak ummi pesan,

"Kakak boleh berdu'a, tapi kalau Allah belum izinkan kakak dapat apa yang kakak mintak, kakak jangan sedih. Kalau kakak tak dapat jadi Dorothy sekarang, nanti Allah ganti yang lebih baik dalam syurga, atau Allah akan replace with something better later on, but you have to continue make du'a, OK?" Terang ummi.

"ooo, if we didn't get what we pray for, Allah will save for us in syurga?" tanya kakak

"Ya sayang, InsyaAllah."

Allah suka orang yang berdu'a, terlihat disitu betapa kebergantungan kita kepada Allah, Allah tidak suka orang yang tidak berdu'a, malah Allah berfirman didalam Al Quran [40:60]


40:60

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina"

Alhamdulillah dengan izin Allah, kakak Humaira dapat berlakon sebagai Dorothy untuk school play, Ada dua Dorothy, satu untuk parents show dan satu untuk school show. Kakak dapat berlakon untuk school show. Latihan berlakon dapat InsyaAllah dapat membuat kakak menjadi seorang yang ada 'self-confidence dan juga melatih 'public speaking' skill. Alhamdulillah kakak dapat menjalankan amanah dengan baik sebagai Dorothy.

Hasya Amalin, semakin meningkat usia semakin jelas sifat bertimbang rasanya, lembut hatinya. Ummi masih ingat jelas, peristiwa beberapa bulan lalu, bila Hasya jatuh dari 'monkey bar' dan siku Hasya retak. Saat itu Hasya menangis-nangis kerana terlalu sakit. Abah yang sangat panik pun pitam. Hasya yang melihat abah pitam terus berusaha melupakan sakit ditangan.

"Abah, bangun abah, Hasya tak sakit lagi, abah bangun...." kata Hasya dalam esak tangis, bila melihat abah yang baru tersedar dari pitam.

"Abah I am ok now, it doesn't hurt so much, I am OK Abah, are you ok abah?", terus-terusan Hasya yang kesakitan memujuk abah.

Kemudian bila abah sudah kembali segar, Hasya berbisik kecil dalam tangis ditelinga ummi. Takut didengar oleh abah.

"Ummi, it's really hurt ummi, it's really hurt, Hasya tak boleh tahan..." sambil terus menangis.

Kita terus ke A&E, Di Leeds General Infirmary dan malam itu Hasya pulang dengan plaster casting dari lengan sampai ke pergelangan tangan.

Semoga Allah terus menanamkan perasaan timbang rasa yang mendalam pada anak yang senang tersentuh hati itu.

Hasyalah orang paling gembira bila tok mak datang sini, orang lain juga sangat gembira tapi Hasya paling gembira. Hasya paling suka menggentel siku tok mak. siku tok mak lembut kata Hasya. Jadi untuk mudah main siku tok mak, Hasya menjadi teman tidur tok mak. Anak ummi dan abah yang solehah.

Anak yang sangat penuh dengan akal dan bertuah itulah Hafiy Addin. Anak lelaki yang paling kecil dalam keluarga saat ini. Dalam usia 5 tahun setengah ni, macam-macam perkara yang ingin dicuba, habis semua kereta mainan dibuka dengan screw driver abah.

"Ummi, I like doing this you know," Ummi dan abah hanya tersenyum saja. Bukalah anak semoga fikiran semakin berkembang dengan eksplorasi mu.

Abah mengambil keputusan membeli mainan yang memerlukan Hafiy memasang mainan tersebut mengguna kan nuts dan screws. Alhamdulillah Hafiy sangat suka.

"Ummi, ini macam bob the builder isn't it?" kata Hafiy.

Ada peristiwa lucu yang tak boleh ummi lupa, dan selalu menjadi gurauan ummi dan tok mak sekarang.

Ummi beberapa kali melarang Hafiy yang suka buat rolling atas katil, sungguh bahaya, ummi sangat risau takut Hafiy terjatuh katil waktu 'rolling'.

Baru sahaja ummi mengalih perhatian, tetiba ummi dengar dentuman kecil didalam bilik Hafiy. Bila ummi tengok Hafiy, Hafiy sudah terjatuh dari katil.

"aaa..... kan ummi dah kata, tak maulah rolling atas katil macam ni......" Belum sempat ummi habiskan ayat, dalam air mata yang mengalir dan tangan yang masih memegang kepala, Hafiy mengeluarkan kata-kata ini:

"Ummi, don't say it.. don't say like that, it makes me more hurt......" dengan air mata mengalir. Mungkin bila hati merasa sakit, kepala juga berdenyut keras selari dengan hati yang sakit.

Semua marah dan leteran ummi terus ummi telan sendiri, ummi rangkul Hafiy peluk dan usap kepala yang sakit. Ummi tak tahu nak menangis atau tertawa, yang terzahir hanyalah senyum dan tangis yang terlekat dikerongkong.

Ummi belajar dari Hafiy, kalau ada marah dan nasihat yang hendak dilontarkan, rawat dulu sakit dan luka, kemudian masa anak dalam pelukan lontarkan nasihat InsyaAllah saat itu hati anak tengah lembut senang untuk nasihat meresap. Dan tona suara kita juga berbeza saat kita memberi nasihat dikala marah dan saat kita memberi nasihat sewaktu tengah memujuk. Anak dapat mengesan tona suara kita dari diri kita sendiri. Getaran suara marah tertahan dari menusuk hati anak. Tona suara memujuk seperti highway masuk ke dalam hati anak InsyaAllah.

IT MAKES ME MORE HURT...... itulah juga kata-kata ummi pada tok mak, kalau tok mak nak marah-marah ummi sebab malas baca buku... *tersenyum lebar*, dan tok mak akan ketawa kecil mendengar ummi menyebut perkataan itu.

Oh anak-anakku, sesungguhnya ummi dan abah banyak belajar melalui kalian.

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا

أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepadaMU dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepadaMU.” (Al-Baqarah : 128)


رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ

سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. (Ali-Imran : 38)


رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ

أَنْ نَعْبُدَ الأصْنَامَِ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.” (Ibrahim:35)


رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Bermaksud: “Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” (Ibrahim : 40)


رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ

يَقُومُ الْحِسَابُ

Bermaksud: “Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapakku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Ibrahim : 41)


رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ

أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Bermaksud: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqan:74)


رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي

أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ

صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي

إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Bermaksud: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibubapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai: berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri." (Al-Ahqaf:15)




Saturday, 12 November 2011

Blossoms Memory - Bintang paling cantik milik kamu.....









Assalamualaikum anak-anak, bintang hati ummi dan abah,


Saat kita memandang indahnya alam ciptaan Ilahi, indahnya tamadun yang diilhamkan Allah pada manusia, teknologi manusia yang pastinya ilmu itu milik Allah, hati berlari-lari menggamit rasa, andai saat indah ini dapat kita kongsi bersama mereka-mereka yang kita sayangi.

Kenangan indah yang kita bekukan itu kita kongsi dengan mereka, semoga mereka merasa bahagia, sebahagia kita di sana. Biar mereka tahu kita sentiasa impikan semoga kita bersama mereka merentas benua, bersama berlari di dataran rumput hijau berlatarbelakangkan gunung bersalju. Semoga Allah makbulkan impian kita.

"Sayang, abang dah bawa sayang dan anak-anak hampir kesemua tempat yang abang pernah pergi dulu waktu bujang, tempat-tempat indah yang abang impikan untuk bawa isteri dan anak-anak abang suatu hari nanti, Alhamdulillah Allah makbulkan... malah Allah beri lebih lagi..." bisik abah ke telinga ummi, saat kita semua sedang takjub menyaksikan kebesaran Allah mencipta alam nan indah disebelah sini, seperti syurga.

Terasa rahmat Allah menyerap ke kalbu... "Terima kasih, sayang.... ati dan anak-anak really appreciate these so much..."

"Allah, syurgaMu pasti jauh lebih indah, kami ingin sentiasa berlari-lari mengejar rahmat Allah, ingin mendiami syurga paling indah, tak pernah terbayang oleh fikiran, tak pernah terpandang mata, tak pernah terdengar telinga..... aameeen,"

Mari kita berusaha anak-anakku....

maka tiadalah nikmat Allah yang patut kita dustakan.....




Bintang paling indah milik kamu.......

Tuesday, 15 March 2011

Blossoms Memory - Abah dan doa Hasya


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Semoga catatan ini sampai pada anak-anak tatkala iman meninggi didada, diakal dan dihati InsyaAllah.

-------------------------------------------------------------------------------------------

Anak-anakku, saat ini ummi bergelut untuk menggerakkan kerja-kerja kajian ummi. Buntu juga rasa dan fikir tatkala berdepan dengan kenyataan, peralatan tidak berfungsi seperti yang dijangkakan, sedangkan kajian itu telah berlangsung lebih empat bulan. Allah, ujian ini dengan redhakah ummi lalui? InsyaAllah. Kesibukan ini mengundang jerut rasa pada kalian anak-anak.
Perubahan perasaan pada anak kecil yang tidak tahu bagaimana meluahkan perasaan rindu pada kami. Rindu pada tok mak yang pulang ke Malaysia. Rindu yang dizahirkan dengan tangisan dan kemurungan kalian. Berlarutan beberapa minggu di musim sejuk kita kali ini.

Allah, ujian ini terasa berat. Ummi dan abah memohon pada Allah, supaya mengilhamkan jalan keluar yang terbaik.

Pendekatan, didikan yang banyak menekankan kepada cerita-cerita tentang neraka Allah, atas perlakuan dan perbuatan yang tidak selaras dengan suruhan Allah dan tidak diseimbangi dengan penceritaan tentang kehebatan syurga Allah pada mereka yang patuh pada syariat Allah, mengundang resah dihati anak-anak rupanya. Terlalu takut andai mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Allah, amanah membesarkan anak-anak ini hebat rupanya.

Perlu tegas, tetapi tidak boleh terlalu keras, rapuh jalan ini, takut mereka patah ditengah jalan. Perlu berlembut, tetapi tidak lemah sehingga panjat mereka melebihi kepala kita.

'POSITIVE REINFORCEMENT'

Alhamdulillah, abah kalian sangat hebat orangnya, Alhamdulillah. Ditangani masalah ini dengan lembut dan tegas seorang abah. Seimbang. Setiap seorang anak itu berlainan 'approach'nya. Beliau tetap sabar.

Cadangan abah, supaya setiap kerisauan kalian, kalian ceritakan. Kalau tak boleh cerita, tulislah di atas kertas. Abah akan baca, dan abah akan bercerita (menyelesaikan kerisauan dengan bercerita). Kemudian kalian sama-sama mengoyak kertas tersebut.

"Benda yang Hasya risau dah habis kita dah koyakkan?" Kata abah.
"Hasya risau lagi tak..?"Tanya abah.

Hasya menggelengkan kepala. Alhamdulillah. Abah peluk anak-anak dengan erat sambil mencium dahi kalian. Allah sejuknya hati seorang isteri yang dikurniakan suami yang soleh dan penyayang. Alhamdulillah. Maka nikmat Allah yang mana lagikah yang hendak ummi dustakan?

"Sayang, kita kena selalu bercerita secara positif, kalau sebelum ni kita kata, kalau tinggal solat Allah masukkan dalam neraka, sekarang, positif approach adalah, kita kata, kalau kakak solat Allah sayang, Allah bagi pahala, Allah masukkan dalam syurga, dalam syurga itu indah, apa sahaja yang kita nak Allah bagi," usul abah pada ummi.

Dan mulai saat itu, abah dan ummi mula menekankan konsep positive reinforcement. Alhamdulillah. Abah tekankan tentang kepentingan berdoa. Dan anak-anak gigih berdoa selalu.

Hafiy yang sekarang sangat susah untuk makan, dipujuk dengan lembut oleh abah, berjaya juga abah menyuap nasi kepada Hafiy.

Hafiy selalu minta dibelikan mainan 'Bayblade' mainan yang berkonsepkan gasing diMalaysia. Hasil pujukan abah dan juga 'negotiation skill' abah, Hafiy bersetuju untuk menghabiskan belajar membaca menggunakan set 'Read Easy' sebelum dibelikan mainan 'Bayblade'. Alhamdulillah. Sebelum ini ummi tidak berjaya untuk memujuk Hafiy membaca set 'Read Easy' itu. Dengan sabar abah bekerjasama dengan Hafiy untuk set 'Read Easy' itu, Alhamdulillah, Hafiy hampir menghabiskan buku 2 dalam set tersebut. Mendidik anak lelaki membaca, bukan semudah mendidik anak perempuan membaca. Allah.

Terima kasih Allah, Engkau kurniakan kalian seorang abah yang penyabar dan berlemah lembut dan sangat kalian cintai, dalam pada itu ada tegas pada dirinya yang melahirkan rasa hormat kalian.

Terima Kasih Allah, Engkau hadirkan nakhoda yang penyayang dan banyak bertolak-ansur, sentiasa peka pada tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dalam baitul jannati kami ini. Alhamdulillah.

--------------------------------------------------------------------------------------------

"Ummi, kalau kita nak suami yang soleh bila kita besar nanti, kita kena mintak doa dari kecik lagi ye ummi?" Tanya Hasya suatu hari.

Dan sememangnyalah ummi terkedu. Ummi pun tidak pernah terfikir untuk berdoa begitu sewaktu umur sebesar Hasya.

"Ya Hasya, Hasya boleh minta doa dari sekarang, minta doa Allah bagi Hasya suami yang soleh nanti. " Jawab Ummi.

Hasya mengangguk dan memandang jauh. Berfikir agaknya.

Ya Allah jadikanlah zuriat-zuriat kami orang yang beriman dan sentiasa mendirikan solat, dan kurniakanlah kepada mereka jodoh yang beriman dan bertakwa dan sentiasa mendirikan solat ya Allah.

Terima kasih Allah, Kau kurniakanku seorang jodoh yang beriman dan soleh, penyayang dan bertimbang rasa. Alhamdulillah....



Monday, 6 December 2010

Blossoms Memory - Minggu yang berbagai rasa

Assalamualaikum wbt buat anak-anak ummi dan abah yang dirindui, semoga diberkati dan dirahmati dalam selimut kasih sayang dari Ilahi.

Anak-anak ummi dan abah, Allah suka orang yang berdoa dan merintih, merayu. Walau bagaimana pun corak hidup kalian, senang, susah, suka duka, berdoalah semoga Allah sentiasa mengajar dan mengilhamkan kita bagaimana menjadi seorang 'abid yang benar-benar hamba Allah. Nabi-nabi Allah yang maksum juga banyak berdoa, merintih dan berzikir, banyak sekali ayat-ayat didalam Al-Quran yang menunjukkan doa-doa dari para rasul. Dan Allah juga menyatakan dalam firmannya, Al Quran (40:60)

40:60


Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah kelana as-syabab mencari redha Allah masih tertangguh. InsyaAllah akan ummi nukilkan nanti buat tatapan memori anak-anak. Moga ada dari bahagian cerita yang dapat anak-anak buat sebagai contoh tauladan. Dan moga bahagian yang tidak elok di buat sempadan.

Minggu ini kita menghantar tok mak ke lapangan terbang. Dan pulanglah nenda anak-anak ke Malaysia tanahair kita. Mak cik sungguh gembira bukan kepalang (exaggerate sikit), hmmmm jeles sungguh kita kan. Suasana yang tergesa-gesa di lapangan terbang membuatkan kita tidak terlalu beremosional. Tapi, sehari dua sebelum ke lapangan terbang, sudah banyak airmata yang tumpah di Leeds, Hafiy dan Hasya yang banyak drama, kakak Humaira tetap dengan 'poise', tapi bila tok mak balik, memang merindu habis-habisan. Rindunyaaaaa tok mak. Masuk bilik tok mak hati rasa seperti luruh dari badan, mencium-cium mencari haruman badan ibunda. Selepas solat maghrib semalam, kata Hasya

"Selalunya kalau lepas maghrib tok mak tak turun, tok mak mesti tunggu sampai lepas isya' ..."
" Hasya nak tok mak...."

Aduhai anak.............................

Selepas hantar tok mak hari tu, kita singgah di Oxford untuk ziarah Cik Bahbibi dan keluarganya. Alhamdulillah, sangat gembira bertamu di Oxford. Tenang. Banyak perbincangan tentang sirah rasulullah, tentang pengalaman Haji, kebetulan Pak Cik Alfian(kalau tak silap nama) baru juga pulang dari mengerjakan haji, kata abah ziarah sahabat sambil mengambil berkat orang pulang dari haji. :):) Terima kasih atas layanan yang sangat hebat dari Cik Bahbibi. Terima kasih mak cik,(ibu Cik Bahbibi) menyambut kami berkain batik dan berbaju nipis dalam kedinginan subzero degree celcius, takut kami tersesat. Semoga ukhwah kita berkekalan. Terlupa nak mintak resipi ayam roasted, sedap sangat.

Bermalam semalam di travelodge, sebelum kita menyambung ziarah kita ke Leicester. Pertama kali ingin bersua muka dengan Cik Min, Cik Din, Muammar, Ayman dan sudah semestinya si cilik Mawaddah. Sudah beberapa kali sebenarnya ummi dan abah merancang untuk menziarahi Mawaddah. Namun siapalah kita yang merancang, kalau perancang yang Maha Hebat adalah Allah. Ziarah ini sangat bermakna, kebetulan jatuh pada hari lahir Mawaddah yang pertama. Sanah Helwah ya Mawaddah semoga membesar dengan sihat, semoga disembuhkan semua kesakitan. Semoga menjadi anak yang solehah.

Terima kasih Cik Min, sudi menerima kita sebagai tetamu, dalam kesibukan sebagai tuan rumah majlis harijadi Mawaddah dan dalam ramai-ramai orang , ummi masih merasai kehangatan ukhwah lewat alam maya. dan kini sudah bertemu muka. Terasa seperti sudah bersahabat begitu lama sebenarnya. Pertama kali memegang Mawaddah, Mawaddah seperti tidak selelsa, merengek Mawaddah dalam pelukan ummi. Kali kedua cubaan Memegang Mawaddah, Mawaddah sudah selesa dalam pelukan ummi, selesa selepas kenyang menyusu barangkali. Anak-anak memegang tangan dan mencium Mawaddah bertalu-talu. Hafiy dan Hasya terutamanya. Geram dengan Mawaddah yang duduk diam dipangku ummi. Alhamdulillah dapat juga berjumpa dengan mujahidah kecil. Semoga Allah meredhai pertemuan dan ziarah ini InsyaAllah, Ukhwah fillah InsyaAllah. Makanan di kenduri-kenduri di UK ini selalunya memang hebat dan sedap-sedap belaka. Alhamdulillah nasi ayam, mee sup, dan puding2 yang sedap menjadi menu kita hari tu. Kalau ada rezeki, harap-harap Cik Min dan Cik din sekeluarga sudilah datang ke Leeds, InsyaAllah.

Syukur pada Allah, dapat juga anak-anak bertemu dengan Acik Zuriyati, yang sama-sama menjadi As-syabab dalam kelana ummi dan abah. Rindu sungguh pada acik Zu, selepas lebih 15 hari bersama-sama, terasa seperti kehilangan selepas pulang dari Mekah. Rindu sama-sama berjalan menuju Masjidil Nabawi, iktiqaf di sana, beribadat, sama-sama ke Raudhah, bersolat sebelah-sebelah di Raudhah. Dan banyak lagi memori kami bersama. Seronok Acik Zu bercerita pengalaman pertama melakukan c-section, dan yang paling penting, I-Phone 4, sungguh berkesan perbincangan di dalam khemah di Mina, perbincangan dua IT pro, Auntie Syeri dan juga Auntie Ina. About how gooooood is I-phone as compared to ehhmmm ummi dah tak ingat compared to apa.

Ummi juga bertemu kawan lama, seMRSM dengan ummi, Cik Sikin. Banyak memori yang kita imbau dan indah-indah semuanya. InsyaAllah bertemu lagi nanti.

Kenangan di Leicester menjadi semakin indah, bila ummi dapat bertemu dengan ummu_husna, Cik Aslina Jusin, isteri kepada UZAR. Ummi selalunya mengikuti tulisan beliau di blog beliau di sini. Alhamdulillah, tenang, itu pandangan pertama dari mata kasar, dan bila berbual dan berbicara, itu juga ungkapan mata hati... tenang dapat berbual dengan beliau. Senyum yang sentiasa menguntum.... semoga pertemuan pertama menjadi jambatan ukhwah kerana Allah. InsyaAllah.

Ramai lagi kenalan baru yang ummi jumpa di rumah cik Min, terima kasih cik Min sudi menerima kita sebagai tetamu dan menjadi penghubung kepada perkenalan-perkenalan baru. Semoga Allah mengurniakan pahala mengeratkan silaturrahim sesama muslim, InsyaAllah.

Pulang ke rumah malam tu berbekal nasi ayam... terima kasih cik Min.

Sampai dirumah, Hafiy terpaku dengan rancangan Ace of Cake di Food TV.. InsyaAllah akan ummi ceritakan kisah hari kek yang ekstrem.

Terima kasih Allah atas minggu yang berbagai rasa.... Alhamdulillah


Tuesday, 30 November 2010

Blossoms Memory - November Blues? Naahhh





Assalamualaikum mujahid dan mujahidah kecil ummi dan abah, semoga kalian dalam kegembiraan diulit kesejukan musim bersalji.

Alhamdulillah, saat ini bumi Leeds diselimuti hamparan permaidani kiriman Allah. Gembira kalian bukan kepalang, ummi dan abah juga tumpang tersenyum melihat lebarnya senyuman kalian. Perjalanan ke sekolah sekarang semakin mencabar, terlalu banyak perkara yang menarik hati anak-anak. Seperti, bermain snow dan snowball fight. perjalanan yang mengambil masa hanya 15 minit, bertukar menjadi setengah jam. Mulut ummi perlu lebih banyak exercise, supaya anak-anak fokus untuk berjalan ke sekolah, bukan hanya bermain-main. Abah, fokus bermain dengan anak-anak... Hmmmm... saling lengkap melengkapi kan.... :)

Masa ummi dan abah mengerjakan haji, Alhamdulillah ingatan kepada anak-anak itu sentiasa ada, rasanya beberapa kali berbicara tentang anak-anak dengan kawan-kawan, tetapi itu bukanlah topik yang menjadi kegemaran semua orang di situ. Mungkin kawan-kawan sibuk dengan ritual Haji, terpaksa melayan ummi yang teringatkan anak-anak. Jadi tidak terlalu banyak topik anak-anak yang dibicarakan, maka tidak terlalu banyak rindu yang mencengkam. Ingatan sentiasa ada, cuma rindu tidak menggigit seperti selalu, kalau ummi berjauhan dengan anak-anak. Abah juga kelihatan begitu.

Doa ummi panjatkan selalu, supaya rindu anak-anak pada ummi dan abah tidaklah sampai memudaratkan. Biarlah rindu yang bertamu di hati kalian rindu yang mendamaikan. Alhamdulillah, dengan kehadiran tok mak, auntie noni dan kak yong, banyak masa kalian terisi. Syukur ummi panjatkan pada Allah, kerana menghantar insan-insan istimewa ini berada dengan anak-anak.

Hari terakhir di Mekah, tika itu, perasaan rindu yang lama dibenamkan di sudut hati, membuak keluar. Mengisi penuh ruang hati. Tatkala itu anak-anak, terasa seperti ingin bersayap dan terbang memeluk tubuh-tubuh kecil kalian. Mencium pipi-pipi yang merah, mendakap kalian dalam selimut tebal sambil bercerita tentang kisah-kisah kegemaran kalian. Allah itu Maha Berkuasa, hatta sehalus-halus perasaan itu juga Allah yang tadbirkan. Allah susun cantik perasaan itu. Dan bilamana ummi dan abah sampai di awal pagi, (4.00 pagi) dan kalian masih lena diulit mimpi indah, luruhlah semua kerinduan yang bersarang. Gembira, bahagia. More than content. Satu persatu, tubuh kalian ummi dan abah rangkul dan cium. Alhamdulillah. Allah beri kesempatan bersama anak-anak lagi.

Anak-anak, terlalu banyak yang ingin ummi tuliskan buat tatapan memori kalian mengenai ibadah yang ummi dan abah lalui, terlalu sukar pula ummi rasakan untuk menekan satu persatu kekunci keyboard, ummi masih tenggelam dalam perasaan yang sukar di tafsirkan.... tak mahu keluar.

InsyaAllah, bila perasaan ini lebih reda, dan 'sinking feeling' ini berkurang, ummi teringin sangat melakar memori indah menjadi syabab yang mencari redha Allah. InsyaAllah....

Monday, 4 October 2010

Wajah baru teratak memori







Assalamualaikum anak-anak kecintaan ummi dan abah,

Doa ummi, semoga kita semua menjadi ahli-ahli taman Raudah didalam Syurga Allah. InsyaAllah. Begitu banyak yang ummi ingin coretkan sebagai kenangan anak-anak. Terlalu sedikit pula kelapangan masa yang Allah kurniakan untuk ummi melakar kenangan disini buat anak-anak.

InsyaAllah, bila ada masa yang lebih lapang sedikit akan ummi tulis kenangan cerita kita di sini buat masa ini. Dan ketika ini ummi masih lagi berperang dengan slides untuk seminar berkumpulan. Ummi dikehendaki untuk membentangkan tentang kerja-kerja kajian ummi setakat saat ini.

Abah pula baru selesai menghadiri konferens dan membentangkan kajian beliau di Paris baru-baru ini. Urusan Visa pula bermain-main difikiran abah.

Humaira, Hasya dan Hafiy sekarang seronok bersekolah. Alhamdulillah. Banyak cerita. Akan ummi ceritakan InsyaAllah.

Tok Mak masih bersama kita di sini, melalui musim luruh yang indah. Terlalu indah bila ada tok mak bersama, terasa semua kerja dan kehidupan kita dilimpahi dengan keberkatan keberadaan seorang ibu. Ummi sangat menyintai tok mak sepenuh hati. Dan anak-anak juga amat menyintai tok mak.

Semoga kita semua istikhamah dalam meningkatkan iman dan takhwa. Semoga momentum ramadhan yang baru berlalu terus kita kekalkan dibulan2 yang mendatang ini. InsyaAllah.

Tuesday, 31 August 2010

Blossoms Memory - Ramadhan 1431 Hijrah Kalian (2010)

credit to Lensa Hanim Awang - like her if you like her work

credit to Lensa Hanim Awang - like her if you like her work

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh anak-anak penyejuk mata, penawar dihati ummi dan abah,

Alhamdulillah, kita sudah melalui 2/3 dari ramadhan pada tahun ini, semoga Allah memanjangkan usia kita untuk terus melalui tarbiyyah ramadhan ini. Sedih bila mengingatkan ramadhan ini bakal berakhir jua. Terlalu banyak yang ingin ummi coretkan tentang kenangan kalian di ramadhan ini. Kakak Humaira yang berumur 8 tahun 4 bulan, Kakak Hasya yang berumur 6 tahun 2 bulan dan Hafiy yang berumur 4 tahun 4 bulan.

Alhamdulillah, ramadhan di musim panas yang panjang tidak menggugah semangat anak-anak ummi disini. Cuaca yang Allah kurniakan , agak dingin di musim panas ini mungkin salah satu faktor yang membuatkan anak-anak tidak penat dan dahaga. Alhamdulillah dua-dua anak gadis ummi ini masih kuat menjalani tarbiyyah ramadhan, bila sekali sekala kita bercerita tentang betapa nikmat orang berpuasa tu ada dua, ketika berbuka puasa dan ketika bertemu Allah nanti. Kalian mengerti nikmat yang pertama sepenuhnya. Dan ummi amat memahami nikmat kedua yang belum kalian fahami. InsyaAllah suatu hari nanti. Kita juga berbicara tentang, betapa saudara kita di Pakistan yang dilanda banjir besar sekarang tidak mampu menikmati juadah berbuka seperti kita, dan betapa kala kita merasa peritnya berpuasa, mereka merasakannya berganda-ganda lagi. Kalian sepertinya mengerti. Saudara kita di Gaza yang di sekat semahu-mahunya, saudara palestin kita di kem-kem pelarian di Lubnan. Inilah iktibar ramadhan kita.

Alhamdulillah, anak-anak ummi juga gigih bersolat tarawikh bersama ummi, abah dan tok mak di Grand Mosque, Leeds. Hafiy bersama-sama abah dengan jemaah lelaki dan anak-anak gadis bersama ummi dan tok mak. Setiap kali memulakan solat, ummi pasti perlu mengingatkan kalian tentang jenis solat (sama ada isyak/tarawikh/witir) dan bilangan rakaatnya. :):) Bila sekali sekala rasa malas datang bertandang, pasti kita diingatkan oleh abah tentang betapa pentingnya bersolat sunat ini, yang melakukannya seperti meraikan ramadhan, dan hanya dalam ramadhan, dalam setahun, sebulan sahaja kita berpeluang melakukannya. Tatkala itu, semangat kembali menggunung untuk menunaikan sunat tarawikh.

Alhamdulillah, Humaira dan Hasya sudah mahir dalam bacaan solat, dan hampir 15 surah lazim (melalui kelas hafalan di Grand Mosque setiap Selasa dan Jumaat) sekali sekala bila ummi dan abah di universiti, anak-anak akan bersolat jemaah berdua, dan kalian sudah boleh bergilir menjadi imam. Tiada kata lain melainkan Alhamdulillah... setinggi-tinggi syukur kepada Allah. Ya Allah, limpahkanlah rahmat yang banyak buat anak-anakku. Setiap kali bersolat jemaah beramai-ramai, kalian pasti mahu membacakan doa. Doa-doa yang membuatkan ummi dan abah tersenyum banyaknya. Di suatu solat zohor dalam ramadhan kita baru-baru ini, anak-anak mengambil peluang bergilir-gilir berdoa. Setiap doa diaminkan beramai-ramai. Bila tiba giliran Hafiy, Hafiy mulakan doanya

"Ya Allah, Hafiy nak PSP, please ya Allah"....idaman hati yang terlalu lama diminta...
kemudian Hafiy menyambung doa Hafiy....

"Ya Allah, bagilah ummi dan abah ada baby, Hafiy nak baby..."

errrrkkk.... tersangkut perkataan aameeen di kerongkong kami. Kakak-kakak saling berpandangan dengan ummi dan abah. Kemudian ummi dan abah terpaksa menerangkan kepada Hafiy, yang opsyen itu tak termasuk dalam doa untuk sementara waktu, ummi yang berperang dengan laser, tidak dapat mengambil risiko. Keinginan untuk ada adik yang selalu Hafiy utarakan, tapi tak pernah terlintas yang itu akan menjadi doanya.... Hafiy Hafiy..

Ya Allah, jadikanlah ramadhan yang berbaki ini ramadhan yang terbaik buat kami, temukanlah kami dengan malam lailatul qadar yang menjadi rebutan itu. Ya, Allah panjangkanlah usia kami sehingga bertemu ramadhan tahun depan lagi ya Allah, sesungguhnya seperti terlalu singkat ramadhan ini, belum sempat kami melepas rindu pada ramadhan ini, 'dia' akan berlalu pergi lagi.....



credit to Lensa Hanim Awang - like her if you like her work

Saturday, 10 July 2010

Blossoms Memory - Cherry picking with tok mak and mak cik

Assalamualaikum anak-anak kecintaan ummi dan abah,

Seminggu yang penuh rasa di cintai dan penuh rasa berkat yang dibawa bersama ibu. Rasa bahagia yang dibawa oleh seorang adik. Buat ummi dan abah. Buat anak-anak, kemanjaan yang dinantikan oleh seorang nenek dan ibu saudara.

Entah hilang atau tidak rasa rindu yang menggunung dihati tok mak dan mak cik. Yang pasti rona indah bahagia penuh kelihatan diwajah anakanda semua. Ummi dan abah juga bahagia. Gelak tawa dan senda gurau, usik mengusik yang mulanya kurang, semakin bertambah dan semakin biasa didepan tok mak dan mak cik. Jelaslah kelihatan warna sebenar cucu-cucu ini. :)

Sabtu dan ahad semasa mula sampai kita bawa tok mak dan mak cik ke London. Nanti ummi ceritakan kisah kita di London.Add Image

Sabtu ini, kita jalan disekitar Leeds sahaja. Buat julung kalinya kita pergi memetik buah cherry. Pick Your Own Cherry. Selalunya kebiasaan di Uk ini adalah memetik buah strawberry dan berries-berries yang lain. Memang sungguh sedap buah cherry segar yang di kutip. Alhamdulillah. Nikmat yang Allah kurniakan buat kita sekeluarga. Ingatlah anak, semua nikmat Allah itu adalah untuk di syukuri.........

Tatapilah sekitar gambar yang kita ambil buat kenangan......















Indahnya buat kenangan........

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails