Monday, 6 September 2010

Memori Hati - Mengejar 'lailatul qadar' di luar ramadhan

Jangan biarkan masa terlepas begini, ruang sentiasa ada untuk diri yang ingin berubah - credit to Lensa Hanim Awang.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Anak-anak soleh dan solehah yang ummi dan abah cintai. Alhamdulillah ramadhan ini kita sambut dengan meriahnya, bertambah berseri dan terasa berkahnya ramadhan tahun ini kita jalani bersama-sama tok mak. Alhamdulillah malam-malam dan siang-siang ramadhan juga kita meriahkan. Kalian tekun bersolat dan membaca Iqra'. Bersyukur ada tok mak bersama. Ummi dan abah terlalu sibuk dengan jihad kami. Ummi dan abah perlu lebih pandai bahagikan masa, selepas ini.

Ummi bercerita dengan kalian betapa sedihnya ramadhan bakal meninggalkan kita, betapa Allah melimpahkan pahala pada kebajikan yang kecil di dalam ramadhan tidak sama dengan bulan-bulan yang lain. Sedihkan. Alhamdulillah, sepertinya kalian faham.

"Ummi, I just wish ramadhan would be for another 7 or 8 days," begitu spesifik Hasya meluahkan rasa hatinya yang inginkan ramadhan lebih panjang.

"I love ramadhan," Kakak pernah meluahkan rasa juga.

Ramai orang menjadi semakin baik di bulan ini, ada yang sebelum ini kurang bersolat, lebih menjaga solatnya, ada yang sebelum ini jarang bangun malam berqiyam, berebut-rebut bangun, banyak maksiat yang ditinggalkan lebih kepada menghormati bulan yang mulia ini. Yang merokok, boleh berhentikan tabiat merokok itu di siang hari. Alhamdulillah, alhamdulillah.

Alangkah indahnya jika semua momentum perubahan dalam ramadhan itu kita kekalkan dan bawa bersmaa hingga kita berjumpa ramadhan lagi, InsyaAllah. Kerna yang patut kita hormati bukan bulan itu sahaja, yang patut kita hormati, takuti dan cintai adalah Pencipta bulan ramadhan itu. Allah azzawajalla.

Ayuhlah anak, peringatan untuk ummi dan abah sendiri, amalan ramadhan ini jangan hanya di sini sahaja. Semoga dapat kita teruskan hingga nafas dihujung nyawa.

Beza malam 1 ramadhan dan malam sepuluh terakhir ramadhan di Leeds Grandmosque. Sepuluh malam terakhir, masjid penuh sesak, beberapa khemah didirikan diluar kawasan masjid untuk menampung jemaah yang berterawikh dan bakal berqiyamullail di masjid. Dua qunutnya panjang dan dihiasi esak tangis, menahan hati yang meruntun kerana ramadhan bakal pergi. Allah, betapa saat ini ummi merasakan kecil dan sangat sedih kerana tidak memahami bahasa syurga ini. Khabar dari sahabat-sahabat yang berada di UK, begitu juga dimasjid-masjid sekitar kawasan mereka. Allah, indahnya.

Anak-anak, ketika sepuluh malam terakhir ini berlumba-lumba orang mengejar satu malam yang dinamakan lailatul qadar. Seperti yang Allah beritakan didalam Suratul Qadr. Ayat 1 - 5. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Subhanallah. Dalam pencarian itu, malam-malam indah di isi dengan solat-solat sunat, tahajjud, tasbih dan taubat. Malam-malam itu meriah dengan terdengar indah alunan-alunan ayat-ayat Al-Quran yang dilagukan oleh manusia. Zikir-zikir munajat yang silih berganti memuji Allah, indah. Indahnya malam yang Allah rahsiakan. Hikmah dirahsiakan.

Mula ummi terfikir yang orang dewasa macam kami ini juga perlukan satu 'upah' untuk melakukan ibadat-ibadat ini. Sedangkan kalau hati begitu ikhlas, ihsan dan kalau ada sedar dalam diri, yang hamba yang hina ini perlu sentiasa bersyukur dan beribadat kepada Allah, tidak kira apa 'upah'nya. Pasti malam-malam lain diluar ramadhan akan kita kerjakan seperti mengejar lailatul qadar. Sesungguhnya peringatan ini untuk diri ummi sendiri selayaknya. Bangunlah wahai diri, isilah malam-malam seperti kamu mengejar lailatul qadar dibulan ramadhan. Kotakanlah apa yang kamu katakan wahai diri. Sesungguhnya Peringatan ini buat diri ummi yang selalu lalai dan 'take things for granted', Allah... banyak sungguh khilaf ....

Ummi amat terkesan dengan peringatan Allah dalam ayat-ayat ini Surah As Saf 61:2-3


61:2
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!

61:3
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Takut Allah benci.......... Ingin Allah sayang....

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails