Friday, 18 December 2009

Blossoms Memory - Maal Hijrah yang indah.....



Maal Hijrah 1431 disambut dengan kesedaran bahawa diri ini sepenuhnya milik Allah. Terlalu banyak bukti kekuasaan Allah yang tiada taranya berlaku dalam hidup kita. Rahmat Allah juga tidak terhitung. Jutaan syukur dipanjatkan, diberikan umur untuk menyambut dan beribadah di tahun baru. Kesedaran juga bahawa diri kita ini diciptakan semata-mata untuk beribadat kepada Allah. 'Abdullah'.

Leeds juga menyaksikan tumpahan rahmat salji yang menggembirakan hati-hati yang menanti penuh sabar dalam getaran kesejukan yang selalunya datang dulu sebelum salju.

Berjalan pulang bersama abah semalam, dengan tangan yang kemerahan dan muka yang terasa tebal dek penangan sejuk yang hebat, rupanya berbekal rahmat yang akan datang. Menjelang maghrib hujung tahun 1430 Hijrah, salji turun. Bertambah lebat selepas maghrib. Bermulalah tahun baru 1431 Hijrah. Semoga kita diberi kesempatan untuk bernafas dibumi Allah sepanjang tahun ini dan dengan penuh hati yang sedar bahawa, hidup, tarikan nafas, kelipan mata dan degupan jantung ini semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Memperhambakan diri kepadaNya yang Esa. Bila tiba masa kita dijemputNya, semoga kita dijemput dalam diri penuh sedar bahawa mati itu juga kerana Allah.

perkongsian tentang 10 Muharam boleh di lihat di link ini
http://ummammar.wordpress.com/
Anak-anak, cukup gembira dapat merasai musim salji kali ini. Gambar-gambar sebagai kenangan sebelum kaki melangkah ke sekolah.









Tuesday, 15 December 2009

Memori Berjuang - Ingatan dalam sedar

Bila baca entri ini dilaman http://halwahati.wordpress.com/2009/12/10/ingat/, terasa diri bagai terpanggil-panggil untuk berkongsi bersama, peringatan untuk diri sendiri ini.

Dibaca lagi tersuluh diri,
Diseru hati, mencermin diri,

Ternampakkah wajah sendiri dicermin sanubari,

Ya Allah,

Hanya Engkau yang berhaq memelihara hati-hati kami ini,

Jadikanlah amalan kami dari segenap sudut ini hanyalah berpaksikan Mu ya Allah,

Hanya kembali kepada Engkaulah tujuan hidup kami ini Ya Allah,

Hanya kepada Engkaulah selayaknya semua pujian di atas dunia ini,

Semoga insan(yang selalu terlupa) akan selalu diingatkan oleh hati-hati lain yang sedar,

Aameeen.

(perkongsian dibawah adalah disalin dari http://halwahati.wordpress.com/2009/12/10/ingat/)

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jaga-jaga dari takabbur dan takjub dengan kerja, cara kerja dan hasil kerja kita. Hasil adalah dari Allah – bukan hasil tangan kita, walaupun kelihatan seolah hasil kejayaan adalah dari kerja kita.

.

Syaitan akan datang untuk merosakkan amal kita. Jika ia tidak berjaya menghentikan kita dari beramal, ia akan datang untuk merosakkan pahala amal kita. Kita cubalah yang terbaik. Kita mungkin dapat menyusuri jalan yang baik, tapi mungkin saja akhirnya kita tetap tidak mendapat pahala yang terbaik ! Kerana semasa kita melihat hasil dari kerja tangan kita, kita mula merasai ‘kita adalah terbaik’. Mata mula tertutup untuk melihat hasil kerja orang lain. Betapa mudah syaitan menyia-nyiakan pahala amalan kita!

.

“Al-Kibr adalah menolak kebenaran dan kamu memandang rendah orang lain.” (maksud Hadis Sahih)
Betapa banyak orang yang hasil kerja tangan mereka kurang ‘menjadi’, tapi mereka mendapat pahala yang lebih banyak dari kita kerana keikhlasan mereka dan rasa tunduk tawadhu’ mereka terhadap lemahnya diri mereka. Mereka merasa belum mencapai lagi tahap yang dicapai oleh orang lain yang nampak hebat.

.

Di mana pula tahap kita? Berjaya mendidik dan mentarbiyyah ramai manusia, tajmik yang berjaya? Tapi pada masa yang sama apakah kita merasa ‘kitalah yang terbaik’? Pandangan kita terhadap diri kita bahawa ‘kita adalah terbaik’, itulah tanda bahawa kita ini sebenarnya sama sekali ‘tidak terbaik’ pun, walaupun amalan kita memberikan hasil yang baik.

.

Jadi …
Jaga-jaga! Jangan sampai pahala kita tidak sepadan dengan hasil tajmik, penat dakwah dan tarbiyyah yang telah kita lakukan. Pahala menjadi kecil atau langsung hilang sedangkan kita sepatutnya berhak mendapat pahala terbaik - hanya kerana pandangan kita terhadap hebat diri kita, dan tidak hebatnya orang lain.

.

Seruan ini bukan untuk mengajak kita semua mengurangkan kerja dakwah yang kita lakukan, tapi untuk membersihkan kita dari penyelewengan yang mungkin berlaku ketika kita gembira melihat hasil. Ayuh maju lebih kuat dan gigih bekerja untuk Allah… dan lebih berjaga-jaga dengan diri yang sentiasa diintai oleh syaitan di dalam urat-urat diri kita.

Peringatan untuk diri sendiri sebelum orang lain !

(sumber: www.muntalaq.wordpress.com)

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Thursday, 10 December 2009

Blossoms Memory - Indahnya idola........


Hafiy, anak lelaki ummi abah satu-satunya buat masa ini. Lasaknya selayak anak lelaki orang lain juga. Kasihan kakak-kakak yang selalu dipaksa menjadi kawan selakonan (Power Rangers ceritanya). Selalu dipaksa bermain lawan-lawan. Paling kerap menangis kerana paksaan itu adalah kakak Hasya. Mulut ummi abah penat melarang, bercerita dan cuba mengalih perhatian pada yang lain, lakonan power rangers juga yang lekat di ingatan. Sabarlah kakak-kakak. InsyaAllah adik Hafiy akan membesar dan semoga dia tidak lagi buat kakak-kakak sebagai'sparing partner' lagi ok. Doa ya. Ummi dan abah juga akan berusaha.

Hari ini, abah merancang untuk membawa Hafiy ke klinik, dah beberapa malam Hafiy demam dan batuk dengan kuat. Penangan musim sejuk kali ini.

"Abah, Hafiy nak pakai watch (jam tangan) macam abah, mana watch Hafiy yang macam abah," pinta Hafiy semasa bersiap-siap untuk ke klinik. Puas lah abah mencari di antara mainan-mainannya. Alhamdulillah abah jumpa.

"Abah, Hafiy nak pakai spek macam abah," permintaan seterusnya. Aduh mana nak cari kacamata pula nie?

"Hafiy tak dak spek mata." Kata abah.

"Hafiy nak spek mata hitamlah," Aduhai punya nak ikut macam abah sampai sanggup nak pakai kacamata hitam nak pergi jumpa doktor, dimusim sejuk yang suram ni. Hafiy, Hafiy.

Begitulah Hafiy sentiasa nak ikut macam abah, pakai topi macam abah, pakai ketayap macam abah, pakai baju melayu macam abah. Diumur 3 tahun, abahlah insan yang menjadi ikutan Hafiy. Bila tengok anak mengamuk terkenang pula, macam ini jugalah agaknya kita semasa umur sebaya mereka. Idola luar sedar.

Pasti fitrah anak-anak kebanyakannya begitu menyanjungi ibubapa mereka. Saat-saat yang perlu kita corakkan dengan contoh terbaik. Anak-anak diumur ini memandang ibubapa mereka sebagai idola paling sesuai untuk diikuti.

Anak, begitulah cerita kalian disaat ini, ummi dan abah berharap semoga Allah bukakan jalan dan kurniakan ilham buat ummi dan abah untuk menjadi contoh tauladan yang terbaik buat anak-anak. Ingatlah, jika diizinkan Allah, akan tiba saat kalian pula yang menjadi ikutan anak-anak. Tika itu anak, berdoalah dan berusahalah untuk menjadi idola ideal buat pewaris kalian.

----------------------------------------------------------------------------------------------------
"Ummi, I want to wear tudung to school, I want to wear tudung now, like you," suara kakak memecahkan pagi dua hari lepas. Dan dua hari juga lah kakak sudah memakai tudung. Semoga Allah mengurniakan istiqamah dan ilham memahami hakikat memakai tudung itu. Ummi pasti akan bersedia untuk selalu bercerita tentang itu. Indahnya menjadi idola anak-anak........................


Tuesday, 8 December 2009

Blossoms Memory - Air melimpah ke daratan

Global Warming........................................
" Cuba tengok the ice in the north pole are melting before it's time." Abah memulakan bual dengan Humaira yang sedang berlingkar di bawah 'duvet' untuk tidur.

"Why?" tanya Humaira.

"sebab global warminglah kakak". Jawab abah. Sungguh ilmiah perbicangan abah dan anak malam ni. Ummi memasang telinga dan bersedia untuk menyampuk. Hasya dan Hafiy sudah lena dibuai mimpi indah bertemu putera puteri bermata jeli. (mungkin)

"Global warming tu bila dunia ni jadi lebih panas dari sepatutnya, sebab manusia membazir guna elektrik, manusia membazir guna petrol, manusia menggunakan gas tak sepatutnya." terang abah lagi. Aduh, fahamkah anakku? soalan berlingkar dikepala ummi.

"oooooo... kita tak boleh membazirlah." faham agaknya kakak ni.

"What happen when the ice melting?" Tanya kakak lagi, sambil terus menonton dokumentari di kaca TV.

"Selalulah jadi bencana alam, macam banjir, macam gempa bumi." Jawab abah

"Why?" tanya kakak lagi.

"Because, you imagine, if the ice melting, there will be more water in the sea, imagine like the swimming pool, if there more water added in the swimming pool, dia akan melimpah keluarkan kakak?" terang abah sambil membuat analogi dengan swimming pool. Mungkin itulah idea paling ringkas untuk memahamkan anak sekecil 7 tahun ini.

"Jadi, air naik atas ground kita dan banjir yek abah?" hipotesis kakak.

"ye..." Cerita abah dengan puteri kecilnya tentang global warming :):)
-------------------------------------------------------------------------------------

Malam indah yang meleraikan sengal dibahu ummi yang bertungkus lumus di makmal hari ini.



(kredit sumber)


Monday, 7 December 2009

Blossoms Memory - Ummi, pahala tu hadiah ya...


Malam yang indah, malam yang membungakan kasih sayang. Malam ini malam yang hati tenang merekahkan merah delima memancar sinar bahagia. Anak-anak dalam pelukan, hangat terasa pada kedinginan malam-malam dimusim salju. Berebut-rebut anak-anak ingin berada dipelukan hangat ummi mereka. Indah, bahagia selembut bayu membuai lembut naluri keibuan malam itu.

"Malam ni kita sambung cerita nabi Adam ya..?" ummi meneka hati anak-anak yang selalu dahagakan cerita-cerita indah utusan-utusan Allah.

"Yeaahhh... nak .. nak", semakin rapat anak-anak menyelusup masuk ke selimut dan berbungkus bersama ummi.

"Iblis tak nak sembah memberi hormat buat nabi Adam, sebab iblis rasa dia lebih mulia dari nabi Adam." sambung ummi pada kisah yang tertinggal malam sebelumnya. Dan bertalu-talu jua soalan datang dari anak-anak malam itu. Ummi cuba leraikan persoalan satu persatu.

"Allah marah dengan iblis yang sombong, jadi Iblis dimasukkan ke dalam neraka, sebab iblis tak mahu dengar cakap Allah, iblis lawan cakap Allah." terang ummi, cuba membawa cerita dengan bahasa santai yang lebih anak-anak fahami.

"Jadi, iblis duduk neraka selama-lamanya?" tanya Hasya

"Ya, selama-lamanya, sebab iblis tak nak dengar cakap Allah. Tapi sebelum tu iblis bagitau dia nak pujuk rayu semua manusia supaya ikut dia masuk neraka" Cerita ummi pula.

"Tapi, manusia yang beriman dan mengikut perintah Allah, tak lawan Allah's rule takkan dapat iblis rayu sampai masuk neraka," jawab ummi.

Tiba-tiba terdengar esakan Hasya.

"Hasya tak nak masuk neraka selama-lamanya". tangis Hasya.

"Sayang, neraka untuk orang yang berdosa, yang ikut cakap iblis dan syaitan, yang lawan cakap Allah. Hasya lawan tak cakap Allah?" terang ummi. Hasya geleng kepala.

"Kalau kita kadang-kadang ter buat dosa, ter dengar cakap syaitan, kita minta ampun dengan Allah terus kan, sebab tu kalau lepas solat kita kena mintak doa, minta Allah ampunkan dosa kita, dosa yang kita sedar, dosa yang kita tak sedar kita lakukan. Supaya moga-moga Allah ampun kan dan kita tak masuk neraka, kita masuk syurga, kan" panjang terang ummi, moga fahamlah wahai anak. Hati kecil yang sangat mudah tersentuh.

"Ummi, hasya nak solat selalu, hasya nak buat pahala banyak, Hasya tak nak masuk neraka, Hasya nak masuk syurga, masuk syurga tu hadiah untuk pahala kita kan?" Tanya Hasya.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Buat baik dapat pahala. Buat jahat dapat dosa.

Pemahaman anak-anak yang cukup ringkas dan paling tepat sebenarnya. 'What you give you get back'. Tercari-cari sendiri, dimanakah perginya pemahaman tentang firman Allah, tidakkah kita ini diciptakan Allah untuk beribadah kepada Allah?.

Beribadah khusus yang diwajibkan keatas kita oleh Allah dan ibadah am kepada Allah dengan penuh keikhlasan dalam konteks melakukan perkara-perkara baik yang disukai Allah. Seboleh mungkin menuruti sunnahnya rasulullah.

Tahu diri ini diciptakan oleh Zat yang maha agung untuk beribadah, mengutip Ar Rahman nya Allah buat bekal perjalanan ke negara yang abadi.

Bukanlah dengan banyaknya amal ibadat penentu syurga kita disana wahai anak, amal ibadat yang dilapik riak, layaknya murka Allah jua. Syurga itu nanti tidak lain dan tidak bukan dengan rahmat Allah dan kasih sayangnya jualah yang bakal membolehkan kita menghidu harumannya. Beribadat, mengutip rahmat Allah.

Buat baik dengan makhluk Allah, rahmat Allah bakal melimpah ruah. Sesuatu yang tidak seorang pun manusia yang mampu menyangkal penaklukan mantik yang ringkas ini. Tapi hati keras orang dewasa ini macam sukar untuk membolehkan akal menghadam persamaan ringkas itu.

Serah pada anak-anak kita, simpulannya ringkas tapi mengena, buat baik dapat pahala, Allah sayang. Buat jahat, dapat dosa, Allah tak sayang.

Susah sungguh mata hati mengira pahala yang bakal Allah limpahkan melalui Ar-RahmanNya dengan berbakti sesama manusia. Hendak dihamparkan jugakkah dengan imbalan fizikal yang duniawi, kerna sukar sekali mata akal mencerna tentang makna pahala itu sendiri. Selalu tertanya "Apa yang aku lakukan ini, bukan membawa untung padaku, mereka saja yang untung, yang aku dapat penat sahaja." pernahkah kita disituasi ini? Serahkan sahaja hitung hisabnya pada dacing Allah yang Maha Adil dan Maha bijaksana. Bukankah sedari kecil kita di ajar, kali-kali ringkas 'Buat baik dapat pahala, Allah sayang. Buat jahat, dapat dosa, Allah tak sayang'.

Mungkinkah jua semakin usia menginjak senja, mata hati semakin rabun, serabun mata di wajah? Sudah semakin kabur tentang pengertian dosa pahalanya, hanya sesuatu yang terzahir sahaja disangka ada, sedang itu hanyalah fatamorgana dunia. Kemudian nilaikan dengan mata hati yang berkanta, adakah yang terzahir itu bakal menambah berat perhitungan di alam kekal? Jika ia, beruntunglah, jika tidak janganlah itu menjadi pilihan.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Anak, ummi bercerita pada pandangan seorang ummi yang masih belajar mengenal ilmu Allah yang luas ini. Ummi akan terus mengutip ilmu Allah ini dan kita kongsi bersama. Bila akalmu bisa mengenal makna bahasa, dalamilah anak, bait bait kata ummi yang tak seberapa.

Hanya rahmat Allah yang membawa kita ke syurga InsyaAllah...... berusahalah memenangi rahmat Allah, beribadahlah.


Wednesday, 2 December 2009

Memori Berjuang - Hati yang merintih.....


Ilmu Mu Allah luas tiada sempadan,
Cuba kami gapai,
Cuba kami sentuh...
Akal tak sampai...
diri bagaikan terjatuh..

Kami Mohon ya Allah...
Bukalah hijab yang merentang di mata hati...
Agar dapat kami kecapi nikmat mencintai ilmu ini...
Agar dapat kami rasai lembutnya selimut rahmatMu..

Kami mohon ya Allah..
Tabahkanlah hati menempuh dugaan Mu ya Allah..
Terlalu sedikit kami bersyukur rupanya ya Allah...
Terlalu sedikit kami berterima kasih ya Allah....
Tapi terus-terusan kami meminta ya Allah....
Kerana ..
Tiada daya dan upaya kami ya Allah melainkan dengan pertolongan mu ya Allah.....

Nikmat yang Kau limpahkan.... tiada satu pun yang ingin kami dustakan...
Nikmat yang Kau taburi.... tiada nilaian kata kesyukuran yang dapat menggambarkan...

Kami mohon lagi ya Allah....
Kerana ilmu Mu melangit tinggi...
Setapak pun belum kami mampu daki....
Ilmu Mu seluas lautan....
Sehasta pun belum kami renangi...

Sabarlah wahai hati-hati ini...
Saat hati memerlukan.. Allah yang kau cari...
Bila ketenangan melimpah...
Dimanakah kata syukurmu hati...?
Ingatlah... manusia itu diuji jua dengan ketenangan....
Saat hati terdesak.... Allah yang kau cari...
Bila doamu lambat Allah kabulkan di dunia...
Kepada Allah engkau ingkar kembali wahai hati...
Ingatlah... manusia itu jua diuji dengan kesusahan....
Susah, senang, gembira, sedih, ketawa dan tangis .. adalah bentuk-bentuk ujian dari Allah...
Untuk hati yang sentiasa mengingati Allah....

Ya Allah, kami serahkan hati-hati kami ini untuk kau pelihara..
Susah, senang, gembira, sedih, ketawa dan tangis hanya untuk mengingati mu ya Allah....
Lapangkan jalan fisabilillah kami ini ya Allah...
Izinkan kami merasai nikmat memahami sedikit dari ilmuMu ya Allah...
Terima Kasih Allah....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails