Wednesday, 31 March 2010

Blossoms Memory - Sanah Helwa ya Bunayyati Humaira








































"Cuba tengok test kit nie, puan mungkin mengandung",
terang doktor wanita yang menjalankan ujian, sambil menunjukkan test kit kehamilan yang mempunyai dua garis berwarna pink, satu terang dan satu lagi tidak terlalu terang.

Temujanji ke hospital yang sepatutnya untuk mengambil ubat infection berubah menjadi berita yang paling gembira buat ummi dan abah yang baru dua bulan mendirikan rumahtangga. Antibiotik yang sepatutnya diberikan tidak boleh diambil oleh wanita mengandung, menyebabkan doktor yang melihat inai masih merah dijari ummi mengambil keputusan untuk membuat ujian kehamilan. Keputusannya adalah berita yang ummi dan abah tidak duga mulanya.

Nikmat Allah yang tidak didustakan, tercatit didalam kalam Allah yang maha agung,

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. (Al Qur’an, 23:12-14)

Kehamilan yang baru berusia 4 minggu ketika itu, amat berisiko disebabkan ummi disyaki mempunyai urine tract infection (UTI). Hanya Allah yang tahu gembira yang dihantarkan buat ummi dan abah, kehadiran cahayamata menyeri rumahtangga kami di usia muda ini. Ujian UTI dilakukan keesokan harinya, dan Alhamdulillah, keputusannya negatif.

Kehamilan pertama yang penuh keterujaan, memberikan ummi pengalaman berharga. 'Morning sickness', tetapi disebelah petang dan malam. Baik anak ummi ni, waktu bekerja ummi tidak diganggu, waktu petang beri peluang abah saksikan bahawa tidak mudah trimester pertama.

Alhamdulillah, ummi beruntung tinggal bersama tah dan tok tok, selepas kahwin, abah ajak ummu tinggal bersama ibu dan abahnya, adik beradik abah yang semuanya lelaki, tiada adik beradik perempuan. Mungkin abah ingin membuatkan tah gembira mempunyai anak perempuan yang tinggal bersama.

Beruntung sangat tinggal dengan ibu mertua, makan terjaga apatah lagi waktu mengandung, segala keinginan dilayan. Waktu makan malam di trimester pertama adalah waktu yang sangat ummi ingati. Baru sahaja makanan menjengah tekak, tekanan hebat dari dalam perut memaksa ummi memuntahkan semula, maka berlari-larilah ummi ke bilik air. Abah yang berdepan pengalaman pertama, tetap meneruskan makannya.

"Ait mel, takkan dok makan ja, cuba pegi tengok ati di toilet tu," tegur tok-tok, nasihat seorang ayah pada seorang anak lelaki yang mentah menangani trimester pertama isteri mengandung.

Sambil tersenyum, abah pergi mendapatkan ummi di bilik air, sambil mengelus lembut belakang ummi, lebih kepada memberi semangat.

Trimester pertama ummi lalui dengan semangat menggunung. Menjelang ramadhan, ummi melepasi trimester pertama dan ummi berjaya berpuasa penuh tanpa ada lagi loya ditekak. Alhamdulillah. Solat terawikh juga bersama-sama keluarga baru di masjid. Sungguh gembira.

Masuk bulan keempat ini, satu perasaan indah ummi perolehi, bila ummi merasa tendangan dan gerakan pertama Humaira di dalam perut. Abah juga begitu teruja. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ummi ketika itu. Abah menunggu dengan sabar, untuk Humaira lebih besar, sebab gerakan kecil 'flutter' ini abah belum dapat rasai.

Di bilik sentiasa ada buah kurma, bekalan untuk ummi kunyah bila 'heart burn' menyerang tidak kira masa. Sangat membantu.

Humaira membesar dengan sihat, bila umur Humaira 7 bulan di dalam kandungan, saat ini pergerakan Humaira sudah jelas kelihatan di perut ummi. Kadang2 ternampak gerakan siku dan kadang ternampak gerakan lutut. Dan yang paling gembira pastinya abah, sebab abah dapat merasakan pergerakan anak sulungnya sekarang. Abah juga kerap berbual dengan Humaira sewaktu Humaira dalam kandungan ummi.

Kami lalui proses kehamilan ini dengan penuh rasa syukur kepada Allah. Nikmat yang Allah berikan tiada tolok bandingnya. Trimester terakhir, adalah trimester yang penuh dengan gusar di hati, takut, gembira barcampur baur didalam hati.

Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur". (Al Qur’an, 7:189)

Nampaknya Humaira seperti mahu lama berdiam di dalam rahim ummi. Pemeriksaan minggu ke-40, tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ummi mahu melahirkan. Doktor menyarankan untuk ummi di'induce' jika kandungan sudah terlewat. Ummi dan abah memilih 1/4/02 malam harinya dengan harapan Humaira akan lahir 2/4/02.

31/3/02, ummi, abah dan tah ke IKEA untuk membeli peralatan bayi buat Humaira, abah ingin membeli almari baju buat anaknya. Seharian kami berjalan-jalan di IKEA.

Pulang saja ke rumah, sewaktu ingin solat Maghib, tanda melahirkan sudah kelihatan. Ummi yang tiada pengalaman hanya berdiam. Selepas siap mengemaskan meja, seusai makan malam, ummi minta diri untuk berehat dibilik, ketika ini contraction berlaku selang masa 30 minit. Tidak terlalu sakit, tetapi tidak selesa, bila contraction berlaku. Abah menemani ummi di bilik. Tah masih sibuk menjahit bantal dan sarung bantal untuk Humaira di bilik tah. Ummi yang menahan perasaan tidak selesa, mengundang tanya dari abah. Bila diterangkan keadaan ummi, abah pun mula panik, dan pergi bertanya pendapat tah. Dan malam itu juga dalam pukul 12.00 malam kami bertolak ke DSH. Anak pertama, mereka jangka lama lagi.

Sebelum tah pulang kerumah, tah berbual santai dengan ummi, sambil menunggu abah menyelesaikan urusan di kaunter.

"Ati, sakit sangat ka?" tanya tah.
"Sakit, tapi boleh tahan, mama," jawab ummi.
"Ati, waktu dah pecah ketuban nanti, sakit sangat-sangat tau," Pesan tah, mungkin mengingatkan ummi supaya bersedia berhadapan cabaran menanti. Pesan seorang ibu.

Selepas beberapa minit dimasukkan ke wad, ummi dibawa ke labour room. Abah yang tiada pengalaman menemani ummi di labour room dengan baju lengan pendeknya, kelihatan kesejukan. Ummi diberikan petidin untuk merehatkan ummi. Sesekali contraction datang, sesekali itu juga abah menahan sakit tangan di genggam. Ada air mata yang mengalir, mungkin 'helpless' melihat isteri menaggung sakit sendiri atau sakit sangat tangan digenggam. :):)

Azan subuh berkumandang dari masjid berhampiran, abah berlalu menunaikan solat. Bila abah datang lagi, ummi sudah diberikan ethonox untuk disedut, terasa seperti diawang-awangan, seperti dialam mimpi, sakit masih terasa, lebih kerap, Doktor Maziah datang tepat masanya untuk menyambut Humaira. Ummi pun berjuang bersama-sama dengan pasukan sorak di labour room itu termasuk abah. Tepat pukul 7.43 pagi 1/4/02, Humaira lahir menjengah dengan dengan tangisan yang ditunggu-tunggu oleh ummi dan abah. Air mata yang mengalir syukur kami tidak cukup menggambarkan betapa ummi dan abah penuh kegembiraan hari itu anakku. Saat itu juga, hilang semua rasa sakit. Seperti tidak pernah ada kesakitan.

Di telinga mu anak, abah laungkan azan, moga kalimah tauhid itu yang pertama kau dengar.

Kegembiraan menyambut cucu sulung dan perempuan pula juga terpancar di wajah tok tok dan tah siang itu tatkala mereka datang.

"Ati start sakit kuat pukul berapa?" tanya tah.
"Dalam pukul 4 pagi rasanya," jawab ummi
" ooo no wonder waktu tu mama memang rasa gelisah, mama tak boleh tidur, mama solat hajat, pastu sambung jahit", Ya Allah... naluri ibu. Siapa lagi yang hendak menyangkalkan kedudukan ibu mertua itu layaknya setaraf ibu kandung kita juga.

Tok mak di Sungai Petani, turut berjaga malam, menyembah memohon kepada yang Esa, agar segala kemudahan diberikan buat anaknya yang bertarung nyawa melahirkan.

Yang paling ummi ingati, perbualan ummi dengan tah,
"mama, sakit sungguh kan waktu nak bersalin, " cerita ummi pada tah.
"Sakit, hanya anak perempuan yang dapat membayangkan perasaan seorang ibu melahirkan," Kata tah sambil tersenyum. Luahan kata dari seorang ibu yang memiliki 4 anak lelaki. Alhamdulillah, anak-anak lelaki yang baik budi pekerti mereka, dan beriman hendaknya.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Al Qur’an, 31:14)

Beginilah juga, wahai anak, nendamu berdua merasakan. Ummi dan abah lebih menghayati betapa ibu itu disebut-sebut supaya ditaati.

Dan esok sayang, genaplah usia mu 8 tahun. Selamat hari lahir sayang, anakku, dirimu sentiasa di dalam doa ummi. Banyak sekali pengharapan ummi buatmu anak, terlalu berat kalau dihitung.

Membesarlah menjadi muslimah sejati. Wahai anakku......


Sunday, 28 March 2010

Memori Berjuang - Al-Quds, mereka dan kita

بسم الله الرحمن الرحيم

Kita tahu itulah kiblat pertama, kiblat kemudian beralih ke Makkah, Isra' dan Mi'raj nabi Allah melakar juga cerita Al-Aqsa, pasti bermakna buat kita bukan.

Tanah itu tetap tanah suci, zaman gemilang tetap akan datang seperti janji Allah. Beruntunglah orang-orang yang berjuang. Jauhlah kita dari menjadi antara ummat yang tidak peduli. Tanah itu bukanlah hanya harus diperjuangkan oleh saudara kita di sana sahaja. Tanah itu adalah hak muslim sejagat yang layaknya dilindungi dan diperjuangkan.

Perjuangan itu pelbagai rupa, zahirkan lah yang mana satu pun...... asal perjuangan itu kita gerakkan bersama.

Copied article from http://aqsasyarif.com

Palestin Akan Tetap Kekal Selama Dunia Masih Ada

Risalah dari Dr. Muhammad Badie’, Mursyid Am Ikhwanul Muslimin

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ditujukan kepada Rasulullah saw dan para pengikutnya… Al-Quds merupakan taman yang harum semerbak, lokasi yang senantiasa melemparkan senyuman, malamnya dipenuhi dengan selawat dan munajat, dan siangnya dipenuhi perjuangan dan aktiviti-aktiviti dakwah.

Sejarah Al-Quds adalah sejarah risalah dan perjuangan para rasul, yang diterima dari satu nabi kepada nabi yang lain dan satu dari satu risalah ke risalah yang lain hingga yang terakhir risalah nabi Muhammad saw yang diterima daripada seluruh nabi pada puncak pertemuan di langit yang penuh keberkatan.

Di hadapan pintu-pintunya gugur syahid para pejuang dan pahlawan dan di sekelilingnya melahirkan para pejuang yang beriman. Di hadapan pintunya sentiasa berlaku pertarungan sengit yang berpanjangan antara kebenaran dan kebatilan yang kadang-kadang kebatilan menang pada awal pertarungan namun pada akhirnya kebenaran akan memenangi dalam pertarungan ini.

Ketetapan (Tsawabit) yang tidak boleh diubah;

Palestin dan Al-Quds merupakan sebahagian dari aqidah umat Islam, kerana itu mengambil mudah isu keduanya bererti mengambil mudah ke atas kitab Allah, peradaban ummah dan keimanannya.

Masalah Palestin merupakan amanah yang tergantung di tengkuk setiap muslim, dan menolongnya adalah wajib dan mempertahankannnya adalah suatu kefarduan, sementara mengambil mudah terhadapnya adalah suatu jenayah dan kesalahan.

Bekerjasama dengan Zionis dan orang-orang yang bersekutu dengan mereka serta berurusan dengan mereka, bererti memerangi Allah, agama dan umat Islam, berdasarkan firman Allah:فَلْيَحْذَرْ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“ Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah-Nya takut akan ditimpa cobaan atau ditimpa azab yang pedih.”(An-Nuur:63)

Jihad untuk mengembalikan bumi Palestin dan Al-Aqsa adalah wajib fardu ain ke atas setiap muslim, semua dituntut untuk mempertahankan, menjaga tempat-tempat suci dan melindunginya, kerana al-Aqsa merupakan qiblat pertama, Tanah Haram ketiga dalam Islam dan tempat persinggahan dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj nabi saw.

Ucapan terima kasih yang ditolak dan pengabaian hak Palestin yang menjijikkan

Sesungguhnya di antara rencana jahat dunia ke atas seseorang ialah seperti yang berlaku pada tarikh 3 Mac yang lalu. Iaitu seperti yang dilakukan Netanyahu, Perdana Menteri Zionis dengan menyatakan rasa terima kasih kepada para pemimpin Arab di atas sikap mereka yang baik?! Begitu juga Hillary Clinton yang menyatakan rasa terima kasihnya terhadap pendirian Arab yang ‘berani’. Beliau gembira setelah melihat sikap berdiam, membiarkan dan keengganan mereka daripada mengecam atau menentang keputusan penyatuan masjid Ibrahimi di Khalil dan masjid Bilal di Beitlehem kepada Israel yang jelas melakukan banyak perlanggaran terhadap hak-hak asasi dan undang-undang antarabangsa.

Inilah yang terjadi di Tebing Barat di bawah pengawasan dan pendengaran pihak berkuasa Palestin di Ramallah, yang diiringi usaha yang keras sebagai persiapan untuk membangun Haekal Sulaiman di atas tapak Masjid Al-Aqsa seperti yang dilakukan pada tarikh 15 Mac yang lalu sebagai isyarat permulaan “Agenda pembangunan Haekal”.

Al-Aqsa; Allah yang melindunginya dan tangan-tangan ini yang menjadi taruhannya

Zionis selalu bercita-cita mewujudkan identitinya setiap kali mendapat kesempatan untuk merealisasi idea pembinaan Haekal di atas keruntuhan Masjid Al-Aqsa.

Di sebalik penyembelihan yang berlaku di sekitar Masjid Al-Aqsa (8/10/1990 ) muncul arkeologi Zionis “Joseph Sierg” di TV Perancis dengan mengatakan: “Israel dalam waktu terdekat akan segera memulakan pembinaaan Haekal ketiga di atas runtuhan Masjid Al-Aqsa yang mampu dilakukan dengan menggunakan teknologi moden”. Selang beberapa hari pada bulan November Yitzak Shamir Perdana Menteri Israel ketika itu, memberi reaksi ke atas tindakan penyembelihan itu beliau mengumumkan: “Inilah masanya untuk memanjangkan sempadan Israel dari laut Merah hingga ke sungai Furat “.

Pada September 1991 akhbar Hahdashout melaporkan bahawa gerakan pemimpin Gunung Haekal telah melakukan peletakkan batu asas – yang beratnya 6 tan yang dibungkus dengan bendera Israel – ke tempatnya yang terletak di atas tanah suci.

Tidak hairan … Siapakah yang paling menepati janji, ancaman dan ketentuannya dari Allah SWT kerana Allah SWT telah berfirman: إِنَّ اللهَ يُدَافِعُ عَنْ الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ . أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ. الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلاَّ أَنْ يَقُولُوا رَبُّنَا اللهُ وَلَوْلا دَفْعُ اللهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللهُ مَنْ يَنصُرُهُ إِنَّ اللهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman.Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat. Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu, (yaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: “Tuhan Kami hanyalah Allah”. dan Sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha kuat lagi Maha perkasa.

(Al-Hajj:38-40)

Ke manakah Shamir pergi? Pergi ke neraka Jahim, memperolehi berbagai laknat, sementara para pemimpin Haekal senyap sunyi dan tidak mampu mencapai misi mereka.

Kita telah menyaksikan dengan mata kepala kita pada akhir-akhir ini bagaimana lelaki dan wanita serta para pemuda dari anak-anak Palestin dengan gagah berani menghadang tentera bersenjata dengan dada yang terbuka sebagai benteng dan tangan-tangan mereka yang kosong dari senjata, kecuali senjata iman, aqidah dan gigih dalam berjihad dan mengimpikan syahid. Benarlah firman Allah yang menggambarkan tentang mereka: الَّذِينَ قَالَ لَهُمْ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ . فَانْقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِنْ اللهِ وَفَضْلٍ لَمْ يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّبَعُوا رِضْوَانَ اللهِ وَاللهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ

(yaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka”, Maka Perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi penolong Kami dan Allah adalah Sebaik-baik Pelindung”. Maka mereka kembali dengan nikmat dan karunia (yang besar) dari Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keridhaan Allah. dan Allah mempunyai karunia yang besar.

(Ali Imran:173-174)

Dan benarlah sabda Rasulullah saw ketika menyampaikan perwatakan umatnya, sabda baginda: لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ يُقَاتِلُوْنَ عَلَى أَبْوَابِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ

Umatku akan tetap tegak dalam memegang kebenaran, berjuang di pintu-pintu baitul Maqdis, tidak takut dan gentar terhadap celaan orang-orang yang mencela mereka, sehingga datang keputusan Allah sementara jiwa mereka tetap demikian.” (Muslim)

Ketika Ariel Sharon terpilih sebagai Perdana Menteri beliau mengumumkan pendiriannya yang bertekad menghancurkan Intifadah dalam tempoh seratus hari. Namun Intifadhah masih tetap ada dan kekal bahkan bertambah kuat hari demi hari, malahan memberikan tentangan sengit kepada pasukan keselamatan Israel hingga mengembalikan keyakinan kepada keupayaan umat untuk mendapatkan haknya dan melawan musuh Yahudi perampas. Dan menegaskan kepada para pemimpin yang angkuh bahawa cita-cita besar mereka mustahil dapat dicapai. Ke manakah perginya Sharon? Sampai sekarang dirinya masih terlantar dalam keadaan koma antara hidup dan mati. Beliau tidak mengetahui keputusan Allah untuk merealisasikan janji dan ancaman Allah terhadapnya.

Arab menyediakan perlindungan untuk Zionis

Pada hakikatnya yang dituntut pada Arab adalah menghentikan berbagai perancangan menyahudikan Al-Quds, penghancuran Masjid Al-Aqsa, perampasan masjid Haram Al-Ibrahim dan masjid Bilal, perampasan dan penghancuran Baitul Maqdis dan melupakan keganasan ke atas Gaza dan berbagai kehancuran dan perobohan yang menimpa mereka sedangkan mereka masih tetap sabar dan teguh berada dalam keadaan dikepung dan kelaparan.

Ternyata berlaku peristiwa yang menghinakan di dalam Liga Arab kerana menyediakan perlindungan dan laluan dengan memberikan kuasa sebagai presiden kepada Mahmud Abbas untuk berunding dengan regim Zionis selama empat bulan! - Seseorang akan kehairanan dan bertanya-tanya; sejak bilakah Arab menimbang-nimbang keputusannya dalam jangka waktu berbulan-bulan?! - Sejak bilakah Mahmud Abbas memerlukan izin dari Arab sedangkan dialah yang memberikan izin kepada Israel secara sendirinya ketika Persidangan Oslo untuk memutuskan keluar daripada delegasi Madrid dari Arab Bersatu?!

- Kenapakah ada perlindungan Arab ini?!

- Mengapa saat menjelang sidang puncak Tripoli?!

- Mengapa di tengah kebencian Eropah akibat dari pemalsuan Israel ke atas pasport enam negara?!

- Mengapa setelah sidang puncak Assad – Ahmadinejad?!!

- Mengapa dan dalam masa yang sama meruntuhkan rumah-rumah penduduk Al-Quds?!!

- Mengapa dan dalam masa yang sama melakukan pengawasan ke atas pembinaan penempatan baru Israel di Tebing Barat?!

Demikianlah kami melihat bahawa ‘jubah’ Liga Arab longgar dan luas, melindungi Netanyahu dari darah Mabhouh, memberikan kehangatan dari udara dingin yang melanda negara-negara Eropah di mana warga Israel menggunakan pasport dengan gambar secara haram dalam misi melakukan pembunuhan ke atas anggota Pergerakan HAMAS di Dubai dan menyembunyikan inisiatif Arab terhadap kerja terkutuk itu. Orang yang menikam dada Mabhouh adalah warga Israel dan Amerika sehingga sukar memberkas pembunuhnya pada sidang Tripoli yang akan datang .… Namun ingatlah Israel sering mengalami berbagai isyarat penghalang dari satu warga Arab…

Dalam menghadapi tentangan

Kita adalah umat yang agung, keasliannya terserlah semasa berada dalam penderitaan dan kesukaran. Justeru umat mestilah melakukan strategi jangka panjang yang bersumber dari pegangan umat dan identitinya. صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ“Shibghah Allah dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah? dan hanya kepada-Nya-lah Kami menyembah”. (Al-Baqarah:138)

Bahawa kesatuan umat, kesatuan amal Islami, kesatuan kepemimpinan dan kesatuan manhaj merupakan dharurah syar’iyyah (keperluan syarak) dan penting dalam menghadapi tentangan.

Kita harus mengamalkan perintah Allah sebagaimana firman-Nya:وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لاَ تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لاَ تُظْلَمُونَ

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambah untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” (Al-Anfal:60)

Sekalipun kecanggihan yang dimiliki Israel pada hakikatnya akan menemui kehancuran

Sekalipun Israel memiliki gudang senjata nuklear, meskipun Amerika mendukung sepenuhnya, meskipun Arab melakukan pakatan bersamanya, tidak akan sama sekali memberikan keamanan dan ketenangan ke atas wilayah kita yang terjajah kepada mereka, itu hanya untuk sementara waktu namun mereka akan hancur dalam waktu terdekat, bukti-buktinya sangat banyak: -

Allah telah menyampaikan berita kepada kita dalam surat Al-Isra’ bahawa zionis akan berada dalam kesombongan sebanyak dua kali .. dan pada saat ini kita sedang menghadapi kesombongan yang kedua kalinya dan untuk kali yang terakhir ini Allah akan menghancurkan mereka dan memberi mereka dengan azab yang buruk; sebagai ganjaran di atas kesombongan mereka di hadapan Allah, dan penghinaan mereka terhadap tanah haram dan tempat-tempat suci.

Allah berfirman: فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الآخِرَةِ لِيَسُوؤُواْ وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُواْ الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا

Dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam mesjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai.” (Al-Isra:7)

Dan sesuai dengan sunnatullah dalam silih berganti zaman, akan terjadi kehancuran suatu bangsa disebabkan oleh kezaliman, kekejaman dan penindasan. Allah berfirman: فَقُطِعَ دَابِرُ الْقَوْمِ الَّذِينَ ظَلَمُواْ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam”. (Al-An’am:45)

وَتِلْكَ الْقُرَى أَهْلَكْنَاهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِم مَّوْعِدًا

Dan (penduduk) negeri telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim, dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka.” (Al-Kahfi:59)

- Bahawa Israel sentiasa menanggung kekalahan dan pengunduran tentera setelah mengalaminya secara berturut-turut, dimulai dari kekalahan dari perang 1973, pada Intifadah pertama tahun 1987, pengunduran tentera dari Lebanon Selatan, Intifadah kedua tahun 2000, dan yang terakhir kalah dalam peperangan melawan Hizbullah di Lebanon serta pengunduran yang memalukan dari Semenanjung Gaza tanpa mencapai matlamat yang diinginkan.

- Terjadinya perubahan demografi yang berpihak pada penduduk Arab atau apa yang mereka sebut “bom biologi”, yang memberikan kelebihan kadar kelahiran warga Palestina dan Zionis dengan nisbah 7: 1.

Sementara itu regim Zionis menyeru untuk mengisytiharkan nama “negara Yahudi” sebagai pelaksanaan awal pengusiran warga Arab dan menutup pintu hak pengembalian wilayah seperti tahun 1948.

- Rasulullah saw telah menyampaikan berita gembira bahawa –yang senantiasa memberikan harapan kepada kita- akan terjadinya pertempuran yang menentukan antara Yahudi dan umat Islam yang mana kemenangan akan dikecapi oleh Islam dan umat Islam.

Nabi saw bersabda:لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ فَيَقْتُلُهُمْ الْمُسْلِمُونَ حَتَّى يَخْتَبِئَ الْيَهُودِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْحَجَرِ وَالشَّجَرِ فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوْ الشَّجَرُ يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا يَهُودِيٌّ خَلْفِي فَتَعَالَ فَاقْتُلْهُ إِلَّا الْغَرْقَدَ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُودِ

Tidak akan terjadi kiamat sampai umat Islam berperang dengan Yahudi, kemudian umat akan memerangi mereka, sehingga orang-orang Yahudi bersembunyi dibalik batu dan pohon, lalu batu atau pohon tersebut berkata: “Wahai muslim! Wahai hamba Allah! Ini ada orang Yahudi dibelakang saya, kemarilah dan bunuhlah, kecuali pohon gorqod; Karena ia merupakan pohon Yahudi”. (Muslim)

Dari sini kami sampaikan… bahawa Israel pasti akan hancur sedangkan Masjid Al-Aqsa pasti akan tetap berdiri dan tegak selama dunia masih ada.

Allah berfirman: فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاء وَأَمَّا مَا يَنفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الأَرْضِ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الأَمْثَالَ

Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; Adapun yang memberi manfaat kepada manusia, Maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.” (Ar-Ra’d:17)

Artikel Asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=61633&SecID=213

Blossoms Memory - Minggu yang panjang...........

بسم الله الرحمن الرحيم

Peluk cium dari ummi buat anak-anak tercinta yang sedang lena di temani mimpi indah dari Ilahi moganya, juga kiriman kasih penuh rindu buat kekasih hati yang jauh di mata saat ini namun sentiasa dekat di hati, semoga mimpi indah juga malam ini, tak sabar bertemu semula esok. (Cliche? naaa :):))

Minggu-minggu kita yang terlalu panjang rasanya, bila hari-harinya memaksa kita berjauhan. Dan malam bertamu singkat. Siang yang sentiasa menuntut perhatian di tumpukan pada kerja-kerja ummi dan abah di sekolah. Tidak menyesal, jauh sekali bersungut. Jalan aturan Allah ini kita lalui semoga dengan ikhlas di hati. Cuma ingin mengakui betapa diri ummi harus tetap ingat dan sedar pengorbanan dari anak-anak yang sanggup mengekang rindu di hati bila ummi dan abah selalu saja hanya tiba dirumah bila alis mata kalian berat.

Ummi doakan semoga ummi dan abah terus diberi istiqamah untuk cekal mengerah keringat akal, tatkala saat ini kalian terus diberi ketabahan menahan hati merindu ummi dan abah yang pulangnya tika kalian hampir di buai mimpi. Ummi dan abah perlu sentiasa ingat ini. Perjuangan ini bukan kami sahaja yang harungi, malah menuntut jerut rasa hati anak-anak yang terus redha apa jua langkah yang ummi dan abah ambil.

Allah jualah sebaik-baik tempat penyerahan dan kepada pemilik hati-hati ini jugalah tempat ummi serah kan hati-hati kalian dan hati ummi abah juga. Semoga hati-hati ini terus di pegang kemas dalam ketenangan dan kepatuhan kepada Allah selalu

Di dalam doa rabitah, ummi ikatkan hati-hati kita bersama.....

Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu


Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu

Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu

Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..

-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Persekolahan anak-anak tinggal lagi seminggu, dan kalian akan bercuti selama dua minggu. Cuti Easter. Dan anak-anak, hati ummi penuh debar bergelut dengan pelajaran sendiri, ya Allah ... hanya Engkau tempat mengadu.............................................................

Minggu perjumpaan dengan guru juga berlangsung baik. Ummi dan abah sentiasa bermuhasabah. Allah kurniakan kami anak-anak yang cerah akalnya. Apalagi yang kami mahu? Kami mahu anak-anak yang cantik aqidahnya. Indah akhlaknya. Ummi dan abah harus terus bekerja keras untuk menggapai cita-cita kami buat anak-anak. Muhasabah lagi, Allah kurniakan kalian anak-anak yang jernih akalnya, tak sedarkah lagi ummi, abah? Allah melihat apa tindak tanduk kami dalam mendidik kalian sebagai muslim dan muslimah, khalifah Allah di muka bumi ini. Cukupkah dengan hanya akal yang bijak? Ya Allah tuntunlah kami dalam mendidik anak-anak kami menjadi hamba-MU yang berTAQWA ya Allah........

Anak-anak, pelajaran kalian di tahap ini sangat baik sekali, Alhamdulillah..... Kalian juga gembira dengan kelas hafadzan di masjid. Lebih teruja dengan hadiah mungkin. Pendekatan psychology yang di ambil oleh mu'alim and mu'alimah di sana sungguh dekat dengan hati anak-anak.

Hafiy sudah memulakan pengajian renang setiap sabtu. Ummi dan abah yang lebih excitednya. Ada sahaja aksi yang menghantar tawa pada kami pemerhati anak-anak ini.

Hasya lebih confident di level 3. 'Anak itik cekal' ini terus tabah dan semakin membanggakan. Sampaikan setiap pencapaiannya membuatkan semua ibubapa yang memerhati bersorak.... :) mereka turut merasa betapa anak ummi ini sungguh cekal.

Humaira naik ke level 5, berenangnya seperti ikan. Selepas mahir gaya bebas dan dan kuak lentang, Humaira sekarang sedang belajar kuak dada. Humaira tak sabar untuk tunjuk skillnya pada tok-tok, tah, tok mak dan tok wan.

Humaira sedang pujuk ummi dan abah untuk kelas tennis. Sorry sayang. Tennisnya nanti berguru dengan ayah Wan ya.

Banyak lagi cerita kalian, yang ummi ingin coretkan. Namun anak, catatan ini tak terluah di sini dek terlalu banyak tuntutan memori RAM di kepala untuk pengajian ummi. :) Akan ummi coretkan lagi di sini bila lapang itu bertamu.....

ummi akan terus merebut masa lapang ini sebelum datang masa sempit, dan ummi juga akan terus merebut masa sihat ini sebelum datang masa sakit.... InsyaAllah

Wednesday, 24 March 2010

Memori Hati - Palestin

Dr. Abdul Aziz Al-Rantissi…..

Kami masih di sini…

Kau hidup bersama dengan kasih sayang Allah…..

Atas janji Allah….

“Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezki. (Ali Imran : 169).

Berbahagialah kau di sana….

“Semua orang akan mati, mengapa takut dengan kematian. Jika saya diberikan pilihan samada untuk mati dibedil oleh helikopter Apache (milik tentera Zionis) ataupun akibat serangan jantung, saya memilih (untuk dibedil) oleh Apache”- Dr.Abdul AzizAl-Rantissi .

Hajatmu ditunai Allah….

Hiduplah kau disisi Allah yang kau dambakan….

Kami masih di sini…

Kerdil sungguh iman kami,

Hanya mampu menghantar doa….

Yang kadang-kadang menjadi asing jua didalam doa….


Sheikh Ahmad Yassin…

Tak terbayangkan..

Walau tanpa kudratmu…

lidahmu galang gantinya

menghantar kalimat, membakar perjuangan anak-anak bangsa….

Untuk siapa ?

untuk tanah yang mulia ini….

Untuk agama Allah yang suci ini….

Lidahmu tajam menikam mereka…

tanpa lidahmu….

Diri mereka anak bangsamu….

Tetap tegak atas semangat mu….

Walau hanya lontaran batu…

yang sampai siapa tahu terlihat seperti hujanan batu yang panas dari ababil mungkin…

sampai laknatullah begitu bising menghantar propaganda tentang mereka diganasi dengan batu

Kagum….

Kagum dari kejauhan….


Ya Allah…

Sungguh kami kerdil…. Sungguh kami faqir…

Hanya mampu melontar doa….

Sakitnya hati….

Sakit lagi mereka…

(kredit sumber)

Laknatullah itu bermaharajalela…

Setiap inci tanah mereka teroka…

Tinggalan nenek moyang kata mereka…

Sedangkan Nabi Allah Sulaiman itukan menyembah Allah yang Esa…

Nabi Allah Sulaiman itu Islam jua…..

Tanah itu tanah ummat Islam seluruhnya…..


Yang menjaga takhta bersekongkol jua..

Hatta sekecil-kecil jalan mencari rezeki ditutup mereka…

Jala yang ditebar dipaksa angkat semula…..

Kata mereka perairan ini mereka yang punya……

Sakitnya hati………

Setipis-tipis iman ini ya Allah…..

Hanya mampu berdoa….

(kredit sumber)

Memori hati,

Wednesday, 17 March 2010

Blossoms Memory - memori, cerita, kisah-kisah... itu kan pilihan?

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam penuh kasih sayang buat anak-anak ummi yang tercinta. Lama sungguh ummi tidak mencatat memori kita, memori hati atau pun memori ummi sendiri di laman kita ini. Sungguh masa terasa begitu singkat sekali. Dan secara zahirnya memang masa semakin singkat.

Dan diriwayatkan dari Abu Hurairah, katanya : Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

“Ertinya : Tidak akan datang kiamat sehingga waktu semakin berdekatan , setahun seperti sebulan, sebulan seperti sejum’at, sejum’at seperti sehari, sehari seperti sejam, dan sejam terasa hanya sekejap”.

Berbagai tafsiran ulama' pada hadith ini.

Kejadian gempa bumi yang berlaku di dunia ini secara saintifiknya telah menyebabkan pergerakan paksi bumi, dan ini telah memendekkan masa secara 'literally' sebanyak beberapa bahagian dalam sesaat. (rujukan). Perbincangan santai kawan-kawan ummi di facebook juga mengaitkan kejadian pergerakan gempa bumi ini secara saintifiknya dengan pergerakan yang mungkin akan menjadi ekstrem secara berkala masa, berdasarkan terlalu banyak gempa bumi yang berlaku, sehinggalah paksi bumi akan bergerak sebanyak 180 darjah, yang menyebabkan kejadian matahari terbit di sebelah barat (perbincangan santai secara saintifik, :)).

Ringkasan cerita di antara rakan2 yang mengulas kejadian gempa bumi, sambil mengaitkan dengan janji-janji Allah, Supaya kita mengambil iktibar.

Minggu yang penuh dengan berbagai aktiviti sekolah ummi dan ulangkaji pelajaran juga. Membuatkan masa sehari seperti tidak cukup. Dengan itu sunyilah tatapan memori ini buat seketika.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Anak-anakku, bila catatan memori ummi ini kalian kunjungi lagi, InsyaAllah di suatu masa, pasti terfikir di benak kalian, yang indah-indah sahajakah memori kalian? Kelihatan terlalu sempurna....

Anak, dalam hidup kita mempunyai pilihan, pilihan untuk melihat kejadian sebuah gelas yang diisi dengan susu, separuh sahaja. Ingin melihat gelas itu sebagai separuh penuh atau separuh kosong. Itukan pilihan. Kita juga mempunyai pilihan untuk memahat ingatan indah di batu, agar biar tidak akan hilang ditelan masa, kita juga mempunya pilihan untuk hanya melakar kenangan yang kurang indah di pasiran, agar bila nanti ditiup angin, di hempas badai kan hilang jua.

Ummi juga mempunyai pilihan untuk memilih kenangan yang ummi ingin pahatkan buat cerita kalian. Kenangan yang bakal nanti membawa erti dalam hidup kalian. Ada indah, ada yang tidak tetapi biar itu menjadi teladan.

Setiap manusia yang mempunyai akal yang sihat, ingin selalu memperbaiki diri. Begitu juga ummi. Banyak yang ingin ummi berkongsi dengan anak-anak, sekarang tika akal kalian masih belum dapat menghadam cerita dan makna. Dan ummi takut bila tiba saat kalian bersedia dan penuh akal dan minda, ummi tidak lagi di sisi. Inilah salah satu ruang bicara kita. Ummi berharap setiap tulisan dan memori ini juga secara tidak langsung akan memberi sedikit ruang fikir untuk kita semua, terutamanya untuk ummi sendiri mengambil pengajaran dan iktibar.

Kita berbual, kita berbincang, kita bercerita... selalu dan ummi gembira, cerita kita berbagai fasa, dan sekarang adalah fasa anak-anak di zaman kanak-kanak, di dalam ummi mencari erti hidup di dunia ini dan di dalam pencarian yang berterusan ini, banyak yang ingin ummi kongsikan dengan anak-anak. Madah yang memerlukan fasa yang lebih tinggi. Menulis di sini adalah satu wadah. Semoga anak-anak dapat menghayati dan menafsir tujuan dan maksud ummi menulis satu hari nanti. Di samping itu, madah-madah di sini tujuannya juga lebih kepada peringatan pada diri ummi sendiri yang bersifat insan. Selalu terlupa, dan perlu selalu diingatkan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Setiap kali ummi membaca tulisan-tulisan di blog yang lain, banyak yang boleh diambil sebagai pengajaran sehari-hari. Dan anakku, bukankah lebih mudah untuk kita bersangka baik dari kita terus menabur api prasangka?.


Thursday, 11 March 2010

Blossoms Memory - Anak itik yang cekal............



Tulisan ummi yang tertangguh.....

Dua hujung minggu yang membuatkan hati ummi sangat hiba bercampur bangga.
------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kegiatan anak-anak seperti biasa di minggu-minggu persekolahan. Ummi yang masih terus bergelut dengan pelajaran sendiri, sekali sekala menjenguk pelajaran anak-anak. Kegiatan persekolahan di Leeds, UK yang tidak membebankan banyak membantu ummi dan abah. Kerja rumah hanya dibekalkan setiap hujung minggu. Selebihnya, adalah inisiatif ummi dan abah sendiri sahaja, bergantung kepada kelapangan kita dan juga mood anak-anak. Iqra' kita bergerak perlahan nampaknya. (Ummi.. please be more discipline.... target IQRA' nie macam sukar jer nak capai kalau masih dengan penyakit M nie...: peringatan ummi sendiri...). Bacaan dalam solat, terutamanya bacaan tahiyat.... point untuk ummi. Abah juga bergelut sangat dengan pengajian tahun akhir, Alhamdulillah, dua design telah selesai, dan abah sedang mengarang untuk menerbitkan kajian beliau di jurnal. Satu design akhir, masih diusahakan abah. Kita doakan ya anak.

Ummi tahu, kelas renang adalah kelas yang sangat membuatkan debar hati Hasya ketara sekali. Pernah 3 minggu lepas Hasya kata, "I don't like swimming...." ini semua gara-gara Hasya tertelan banyak air yer minggu sebelum itu.

Ummi dan abah tidak mahu memaksa. Ummi masih ingat kata-kata abah,

"It is ok Hasya, If you can't swim without the arm band, you ask you instructor for the arm band, next time ok..." " You know sayang, in swimming you have to be confident, it is ok if your face need to be in the water, you need to know, not to breath in the water, hold your breath, only breath when your face is out of the water, ok." pesan abah.

Hasya mudah panik bila muka atau rambut terkena air, sungguh. Kelas renang tiga minggu lepas, peristiwa Hasya menangis sambil berenang, sungguh menghantar haru di jiwa, jika sebelum ini instructor nampak Hasya seperti biasa saja, kali ini beliau seperti memberi lebih perhatian kepada Hasya. Mungkin beliau baru perasan yang Hasya tak pernah memasukkan muka dan kepala di dalam air. :). Sambil berenang, sambil mengalir air mata. bila terkenang sekarang, seperti ingin tersenyum.

Level 3 di kelas renang: pelajar boleh berenang sejauh 10 meter gaya bebas dan 'backstroke' tanpa menggunakan armband. 'push and slide' didalam air, dan juga menyelam mengambil barang didasar kolam di bahagian yang cetek.

Hasya di level 3. Ummi tahu Hasya nampak sungguh risau tak dapat buat semua di atas. Ummi dan abah selalu tekankan. 'It is ok sayang, you still have next time to learn more things in level 3, just enjoy your class and learn to be more confident' ( ok, ini sangat subjective, masih mencari jalan supaya bercakap dengan lebih objektif dengan anak-anak). Hasya selalu diam. tak tahu apa yang bermain di fikiran. Tapi anak ummi yang ini sangat 'perfectionist'. Ummi dan abah tahu itu.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hujung minggu, dua minggu lepas. Ummi bersendiri membawa Hasya, kakak dan Hafiy ke kelas renang. Abah terlibat dengan sukan Di Sukan Malaysia di Sheffield.

Kakak di level 4, jadi giliran kakak dahulu, dan seperti biasa kita menjadi cheer leading team untuk kakak di bahagian penonton. Seperti biasa juga, kakak sangat enjoy kelas renangnya. Berenang gaya bebas dan 'backstroke' 25 meter dan menyelam didalam air.

Bila tiba giliran Hasya, ummi lihat Hasya beratur di belakang sekali, mungkin Hasya masih lagi teringat peristiwa tertelan air minggu sebelumnya. Setiap 2 minit Hasya akan memandang atas ke bahagian penonton. Ummi ada sayang, ummi sentiasa di sini. Rasa macam nak turun duduk tepi kolam.

2 instructor bertugas seperti biasa, bila tiba giliran Hasya untuk membuat renangan, instructor didalam air seperti mahu memegang Hasya, tapi ummi lihat Hasya terus berenang sendiri sambil tercungap-cungap, tetapi tidak mahu di tolong. Sesekali, muka Hasya seperti mahu menangis. Tapi Hasya tetap teruskan renangan sampai ke 10 meter. Ummi bangga. Sangat bangga.

Bila tiba latihan 'push and slide', ummi menjangkakan Hasya akan menarik diri, seperti dua rakan Hasya sebelum ini. Tapi jangkaan ummi meleset. Bila Megan tanya Hasya.

'Hasya, do you want to do push and slide...'

Dengan wajah sedikit ragu, Hasya tetap menjawab 'Yes'.

Ummi di atas, seperti tersedar, yang Hasya memang seorang yang suka berusaha, tak berputus asa. walau sukar bagaimana pun. Ummi ternanti-nanti.

Hasya berjaya melakukan 'push and slide' ke arah instructor yang sedia menunggu didalam air. Saat itu setitis air mata gembira jatuh, ( Ummi yang sangat beremosi, dan dengan pantas ummi sapu air mata sendiri, :)). Ibubapa orang lain di atas, turut bertepuk tangan untuk Hasya. Kakak Humaira dan Hafiy sudah semestinya. Megan juga seperti tidak percaya, Hasya boleh melakukan 'push and slide', sebab pergerakan ini memerlukan sebahagian kepala Hasya didalam air. Hasya asyik memandang ummi di atas. Ummi terus memberi semangat Hanya Allah sahaja yang tahu betapa ummi sangat terharu atas cekalnya anak ummi ini. Sungguh cekal. Dan perasaan ummi sangat bangga. Walaupun ada sebahagian orang lain, boleh berenang dengan senang dan melakukan push and slide dengan mudah, tapi semangat juang Hasya yang tinggi, membuat kan ummi sangat berbangga. Dan ummi nampak Megan juga.

Terakhirnya adalah latihan menyelam. Sekali lagi ummi terkejut bila Hasya mahu melakukannya bila di tanya. Instructor didalam air memegang satu bulatan kecil agak separuh ke dalaman air, tidak di dasar, memandangkan mereka tahu Hasya tidak pernah mahu memasuk kan kepala ke dalam air sebelum ini.

'OK, Hasya are you ready..?' Tanya Megan

'Ok, now....' kata Megan

Dengan berusaha bersungguh-sungguh Hasya berjaya memegang bulatan itu. Satu pencapaian yang besar. Sungguh. Megan dan instructor sungguh gembira. Hasya memandang ummi di atas, dan ummi bangga denganmu sayang. Seluruh badan Hasya didalam air kali ini.

Sebelum latihan selesai, semua orang dikehendaki melompat ke dalam air, di bahagian yang dalam sedikit. Ummi nampak Hasya lebih confident sekarang, dengan sorakan dan sokongan semua orang sebelum ini, keyakinan Hasya ketara. Bila tiba giliran Hasya, Hasya melompat penuh yakin dan timbul sendiri.. serta berenang sendiri ke arah 'bar handle' dan sudah semestinya sambil memandang ummi di atas. Ummi tersenyum dengan girang sekali buat Hasya, kan.

'Ummi, did you see I can do it...?' tanya Hasya semasa kita salin pakaian.
'Of, course sayang, I can see everything, you did it very well, I am so proud of you, really proud of you.' 'You've tried your very best'. Jawab ummi.

Gembiranya Hasya.

Kemudian ummi pandu kereta terus ke Sheffield untuk beri sokongan buat abah pula. Dan tak sabar sungguh ummi nak cerita pada abah, betapa cekalnya Hasya.

Ummi ceritakan semuanya buat abah. semuanya.......

'Hasya macam anak itik yang cekal sayang, macam anak itik yang tak tahu berenang, tapi mesti berenang, dan sungguh cekal......'

Mata abah juga berkaca-kaca, selama 6 minggu ini ummi dan abah bersama-sama melihat betapa Hasya sangat 'struggle' untuk kelas renang ini. Dan di minggu yang ketujuh ini ummi menyaksikan kecekalan Hasya.

Hujung minggu yang lalu abah sendiri menyaksikan 'anak itik yang cekal' ini.... seperti biasa ummi penuh emosi, dan abah tahu itu.... :), Abah sungguh excited lihat Hasya berusaha, Ummi dan abah sangat bangga......

Tahniah buat abah, menjadi naib johan ping pong perseorangan, tempat ketiga ping pong beregu dan tempat ketiga bola tampar. Proud of you too and proud of Leeds' team, walaupun di wakili oleh 'pak cik2' dan 'mak cik2', pasukan yang lain semua adik-adik undergraduates yang muda remaja. Fight tetap fight.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Anak-anak, catatan ini buat kenangan, andai di lingkungan kehidupan ini kalian tersadung kaki dalam merentas onak duri cabaran, ingatlah cekal itu mainan kalian bilamana usia belum mengenal erti putus asa. Tika itu anak-anakku sayang, andai kau sudah berkenalan dengan putus asa, buangkan perkataan putus asa dalam kosa kata hidup kalian. Kalian adalah anak-anak yang cekal, hamba Allah yang cekal. Ini buktinya. Jikalau ummi masih bersama kalian, kan kita renung bersama cerita ini, jika tidak, hayatilah catatan ummi ini dan ingatlah betapa ummi dan abah berbangga dengan kecekalan kalian.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails