Tuesday, 31 August 2010

Blossoms Memory - Ramadhan 1431 Hijrah Kalian (2010)

credit to Lensa Hanim Awang - like her if you like her work

credit to Lensa Hanim Awang - like her if you like her work

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh anak-anak penyejuk mata, penawar dihati ummi dan abah,

Alhamdulillah, kita sudah melalui 2/3 dari ramadhan pada tahun ini, semoga Allah memanjangkan usia kita untuk terus melalui tarbiyyah ramadhan ini. Sedih bila mengingatkan ramadhan ini bakal berakhir jua. Terlalu banyak yang ingin ummi coretkan tentang kenangan kalian di ramadhan ini. Kakak Humaira yang berumur 8 tahun 4 bulan, Kakak Hasya yang berumur 6 tahun 2 bulan dan Hafiy yang berumur 4 tahun 4 bulan.

Alhamdulillah, ramadhan di musim panas yang panjang tidak menggugah semangat anak-anak ummi disini. Cuaca yang Allah kurniakan , agak dingin di musim panas ini mungkin salah satu faktor yang membuatkan anak-anak tidak penat dan dahaga. Alhamdulillah dua-dua anak gadis ummi ini masih kuat menjalani tarbiyyah ramadhan, bila sekali sekala kita bercerita tentang betapa nikmat orang berpuasa tu ada dua, ketika berbuka puasa dan ketika bertemu Allah nanti. Kalian mengerti nikmat yang pertama sepenuhnya. Dan ummi amat memahami nikmat kedua yang belum kalian fahami. InsyaAllah suatu hari nanti. Kita juga berbicara tentang, betapa saudara kita di Pakistan yang dilanda banjir besar sekarang tidak mampu menikmati juadah berbuka seperti kita, dan betapa kala kita merasa peritnya berpuasa, mereka merasakannya berganda-ganda lagi. Kalian sepertinya mengerti. Saudara kita di Gaza yang di sekat semahu-mahunya, saudara palestin kita di kem-kem pelarian di Lubnan. Inilah iktibar ramadhan kita.

Alhamdulillah, anak-anak ummi juga gigih bersolat tarawikh bersama ummi, abah dan tok mak di Grand Mosque, Leeds. Hafiy bersama-sama abah dengan jemaah lelaki dan anak-anak gadis bersama ummi dan tok mak. Setiap kali memulakan solat, ummi pasti perlu mengingatkan kalian tentang jenis solat (sama ada isyak/tarawikh/witir) dan bilangan rakaatnya. :):) Bila sekali sekala rasa malas datang bertandang, pasti kita diingatkan oleh abah tentang betapa pentingnya bersolat sunat ini, yang melakukannya seperti meraikan ramadhan, dan hanya dalam ramadhan, dalam setahun, sebulan sahaja kita berpeluang melakukannya. Tatkala itu, semangat kembali menggunung untuk menunaikan sunat tarawikh.

Alhamdulillah, Humaira dan Hasya sudah mahir dalam bacaan solat, dan hampir 15 surah lazim (melalui kelas hafalan di Grand Mosque setiap Selasa dan Jumaat) sekali sekala bila ummi dan abah di universiti, anak-anak akan bersolat jemaah berdua, dan kalian sudah boleh bergilir menjadi imam. Tiada kata lain melainkan Alhamdulillah... setinggi-tinggi syukur kepada Allah. Ya Allah, limpahkanlah rahmat yang banyak buat anak-anakku. Setiap kali bersolat jemaah beramai-ramai, kalian pasti mahu membacakan doa. Doa-doa yang membuatkan ummi dan abah tersenyum banyaknya. Di suatu solat zohor dalam ramadhan kita baru-baru ini, anak-anak mengambil peluang bergilir-gilir berdoa. Setiap doa diaminkan beramai-ramai. Bila tiba giliran Hafiy, Hafiy mulakan doanya

"Ya Allah, Hafiy nak PSP, please ya Allah"....idaman hati yang terlalu lama diminta...
kemudian Hafiy menyambung doa Hafiy....

"Ya Allah, bagilah ummi dan abah ada baby, Hafiy nak baby..."

errrrkkk.... tersangkut perkataan aameeen di kerongkong kami. Kakak-kakak saling berpandangan dengan ummi dan abah. Kemudian ummi dan abah terpaksa menerangkan kepada Hafiy, yang opsyen itu tak termasuk dalam doa untuk sementara waktu, ummi yang berperang dengan laser, tidak dapat mengambil risiko. Keinginan untuk ada adik yang selalu Hafiy utarakan, tapi tak pernah terlintas yang itu akan menjadi doanya.... Hafiy Hafiy..

Ya Allah, jadikanlah ramadhan yang berbaki ini ramadhan yang terbaik buat kami, temukanlah kami dengan malam lailatul qadar yang menjadi rebutan itu. Ya, Allah panjangkanlah usia kami sehingga bertemu ramadhan tahun depan lagi ya Allah, sesungguhnya seperti terlalu singkat ramadhan ini, belum sempat kami melepas rindu pada ramadhan ini, 'dia' akan berlalu pergi lagi.....



credit to Lensa Hanim Awang - like her if you like her work

Thursday, 26 August 2010

Memori Berjuang - Rintihan......

credit to Lensa Hanim Awang - like her if you like her work

Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak diamalkan
Aku berlindung denganMu daripada ilmu untuk kemegahan
Tuhan, ilmu itu adalah cahaya penyuluh kehidupan
Jangan pula kehidupan orang tersuluh, kehidupanku kegelapan

Tuhan, aku memohon kepadaMu janganlah ilmu itu menjadi beban
Di akhirat kelak menjadi hujjah dan saksi mengapa aku tidak amalkan

Ya Allah, aku memohon kepadaMu bertambah amalku
Jangan sampai usahaku orang lain selamat, aku tidak
Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ilmu untuk mujadalah
Bukan membantuku untuk beribadah dan bertaqwa

Tuhan, aku berlindung denganMu jangan sampai ilmuku melaknatku semula
Kerana bermegah-megah dan tidak amalkan
Jadikanlah aku bertambah-tambah ilmu bertambah dekat dengan Tuhan
Bertambah ilmu bertambah ibadah dan amalan

Tuhan, jadikanlah ilmuku boleh memimpin diri dan orang lain
Boleh menyuluh hatiku dan menyuluh hati orang
Seterusnya jadikanlah ilmu itu sentiasa memberi manafaat dan syafaat
Ya Allah, kami mohon kepadaMu, agar diperelokkan agama yang menjadi pegangan urusan hidup kami, dunia yang menjadi tempat sementara hidup kami, akhirat yang menjadi tempat kami akan kembali, jadikanlah hidup ini untuk menambahkan kebaikan dan mati kami untuk merehatkan diri dari segala keburukan.

Ya Allah, perbaikilah diri antara kami, jinakkanlah antara hati kami, tunjukkanlah kami jalan yang selamat, selamatkan kami daripada kegelapan kepada yang terang, jauhkanlah kami daripada perbuatan keji, baik yang nampak, mahupun yang tersembunyi, ya Allah, limpahkan keberkatan kepada kami, pendengaran dan penglihatan kami, para suami/ isteri dan anak-anak kami, sahabat handai dan rakan taulan kami.

(rujukan: google)

credit to Lensa Hanim Awang - like her if you like her work

24:41
Al-Quran: 24:41 - Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

Saturday, 14 August 2010

Memori Hati - Terima Kasih Allah, Terima Kasih Ibunda


14/8/1977, bertungkus lumus ibu bertarung nyawa, agar anak dapat menjengah ke dunia, membawa sebuah kehidupan baru buat seorang insan baru. 28 Sha'aban 1397 Hijrah, hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum umat Islam mula berpuasa. Tahun itu emak berpantang dibulan ramadhan, sebulan juga tidak dapat berpuasa, berhari raya juga masih berpantang, semua makanan enak terpaksa dilupakan. Kata mak, kecil-kecil lagi asyik berulang ke hospital dan klinik. Doktor Daud yang membuka klinik di pekan Sungai Petani sudah seperti bapa angkat sendiri, dek kerana kerapnya ke klinik beliau. Alhamdulillah, masih lagi bernafas diusia ini, dan dibahagiakan oleh Allah dengan suami yang soleh dan penyayang, dengan anak-anak yang menyejukkan mata. Keluarga yang menyokong, lingkungan sahabat yang baik. Alhamdulillah....


Terima kasih Allah, dibenarkan bernafas lagi pada hari ini. Diizinkan Allah menyedut lagi udaraNya untuk kesekian kali. Setahun umur bertambah, setahun dunia ditinggalkan, setahun lebih dekat dengan negara akhirat. Tiada lain keinginan diri saat ini melainkan untuk menggapai rahmat dari Ilahi. Keredhaan dari Ilahi. Perlu sedar, diri selalu diperhatikan Allah. Perlu sedar diri, selalu diuntung. Selalu berpaling, tapi Allah tak pernah memaling.

Terima kasih buat ibu, bergadai nyawa buat menghadirkan seorang lagi umat Muhammad. Ucapan itu sahaja takkan pernah cukup. Tahun ini begitu bertuah, ibu ada bersama, pasti pipinya kan ummi kucup, pelukan hangat seorang anak buat ibu yang sangat 'ibu'. Setahun usia anak mu berganjak, segaris garisan didahi bertambah, dan ibu sesungguhnya anakmu tidak ingin untuk menjadi salah satu golongan dalam golongan manusia yang diaminkan oleh rasulullah tatkala Jibril mendoakan,

Dari Ka'ab Bin `Ujrah (ra) katanya: Rasulullah S.A.W bersabda:

Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin.


Dan ketika beliau turun (dari mimbar)kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.

Lalu baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya:

Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.


Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya.

Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.

Hari lahir tahun ini di bulan Ramadhan, memberikan seribu erti untuk terus bermuhasabah, betapa usia 33 tahun yang ditinggalkan itu ke mana telah digunakan? Untuk apa digunakan? Bagaimana digunakan? Untuk siapa digunakan?

Masa untuk refleksi diri.


Monday, 9 August 2010

Memori Berjuang - Marhaban ya Ramadhan 1431 Hijrah

(make time for the important things in life - the most blessed month in a year: credit to lensa hanim awang)

Assalamualaikum wbt, anak-anak soleh dan solehah

Hari Rabu, kita akan menyambut penuh kesyukuran kedatangan 'madrasah tarbiyyah' kita untuk tahun 1431 Hijrah ini. Semoga Allah panjangkan umur kita untuk sama-sama merasai nikmat berpuasa dan sama-sama menghayati manisnya ibadat di bulan yang mulia ini. Selasa malam ini bermulalah sunat tarawikh kita yang pertama tahun ini.

Pagi-pagi dimeja makan, abah tersenyum melihat ummi bertenang sungguh selepas makan, selalunya ummi pasti bergegas ke meja komputer untuk melihat 'update facebook' yang menjadi 'makanan ruji' kebanyakan orang sekarang. Tenang ummi, setelah facebook di deactivate sementara. Bila pandai bahagi masa, ummi mungkin kembali ke sana.

"Jom muhasabah," ajak abah

"Jom tengok, betapa banyaknya ruang yang perlu kita perbaiki, semoga kedatangan ramadhan ini memberi jalan untuk kita memperbaiki iman dan ibadah," intipati bicara abah pagi tadi.

Terlalu banyaknya ruang untuk pembaikan diri dan ibadah. Kalau iman itu adalah rumah, betapa banyaknya atap yang bocor, betapa banyaknya tiang yang goyah, betapa banyaknya pintu yang rosak. Tingkap yang senget.

Ummi tersenyum, memang sangat bersetuju, semoga ruang pembaikan diri dibulan ramadhan ini bakal memberi kesan dan memberikan kebiasaan untuk terus memperbaiki diri di masa akan datang. Ummi dan abah perlu bersedia fizikal dan mental serta perlu memantapkan diri dan rohani serta amalan ibadah untuk persiapan besar hujung tahun ini. Semoga Allah menjaga hati kita dan membantu menunjuk arah dalam setiap perlakuan dan ibadah kita untuk sentiasa menjadi hamba Allah yang terbaik di 'mata' Allah.

Sepertiga malam kita agak pendek sekarang, malam hanya bermula pada pukul 9 malam dan berakhir pukul 4 pagi. Semoga kita tekun mencuri masa InsyaAllah.

Latihan puasa untuk anak-anak akan diteruskan tahun ini. Mungkin tidak sepanjang 19 jam. Tapi biar tetap ada latihan InsyaAllah.

Buat saudara mara, rakan-rakan dan rakan-rakan di alam 'maya' di kesempatan ini ummi, abah dan anak-anak ingin memohon jutaan kemaafan atas keterlanjuran kata dan perbuatan. Semoga diampunkan. Begitu juga sebaliknya.

----------------------------------------------------------------------------------------------------
Dari Ka'ab Bin `Ujrah (ra) katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin.

Dan ketika beliau turun (dari mimbar)kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.

Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut
namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya.

Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------

Untuk rujukan hadith-hadith lain berkenaan Ramadhan.

http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=1873








Taking a break

Need a break from FB... :):)

Tuesday, 3 August 2010

Blossoms Memory - Hafiy dan dukung

(credit to Lensa Hanim Awang)

Hafiy Addin Bin Hizamel, dalam usia 4 tahun 4 bulan Alhamdulillah seperti anak-anak seusia yang lain. Cheeky dan sangat spontaneous. Pada umur ini, banyak akal yang Hafiy tunjukkan. Mulut petah berbicara, walau patah-patah kata ada yang belum betul sebutannya.

Hari Minggu yang lalu, kita sekeluarga menghantar mak cik arita ke lapangan terbang. Selepas sebulan sampailah masa mak cik untuk pulang ketanah air dan pulang ke Singapura untuk meneruskan baki pengajiannya.

Selesai urusan ummi, tok mak dan kakak-kakak di bilik rehat, ummi pergi mendapatkan Hafiy dan abah yang setia menunggu berdekatan kedai dilapangan terbang itu. Berdukung lagi Hafiy Addin.

"Sayang, Hafiy suruh abang dukung dia, tahu tak dia kata apa?" Cerita abah.

"Abah, abah dukung lah Hafiy, pleaseeeee" Pinta Hafiy.

Dan abah terus dukung Hafiy. Sejurus itu juga, Hafiy berkata

"Abah dukung Hafiy, nanti bila abah dah tua Hafiy dukung abah pulak, ok," Mulut yang manis..... aameeen...

Bila Hafiy dengar abah bercerita dengan ummi, Hafiy pun terus cakap,

"Bila ummi dengan abah dah tua, Hafiy dukung ummi dan abah, ok"....

Aameeen Ya Rabb.... semoga kata-kata anak kecil ini menjadi doa.

Tika itu duhai anak.. teringat-ingat ummi pada cerita-cerita teladan yang ummi baca.


-------------------------------------------------------------------------------------------------

Nabi Sulaiman adalah anak kepada Nabi Daud A.S. Sejak kecil lagi Nabi Sulaiman sudah pandai memberi pendapat yang adil dalam satu-satu hal. Setelah wafatnya Nabi Daud, Nabi Sulaiman membesarkan kerajaan di bawah pimpinannya. Pada suatu hari, Nabi Sulaiman mengadakan perjalanan bersama rombongannya yang terdiri daripada manusia dan jin. Tujuannya adalah untuk melihat kebesaran Allah S.W.T.

Perjalanan mereka pun tiba di tepi laut, tiba-tiba Nabi Sulaiman terpandang suatu benda yang menakjubkan di dalam laut. Dia memerintahkan pada jin Ifrit, “Wahai Ifrit, cuba kamu lihat ke dalam laut, ada suatu benda yang menakjubkan aku, oleh itu kamu bawakan ia kemari”. Jin Ifrit yang sememangnya gagah tak banyak bercakap kerana takut akan murka Nabi Sulaiman dan terus menyelam ke dasar laut, namun dia tidak berjumpa apa-apa.

Kemudian Nabi Sulaiman menyuruh jin yang lain menyelam untuk mendapatkan benda terbabit, namun malangnya jin tersebut pun gagal berbuat demikian. Akhirnya Nabi Sulaiman pun berkata kepada Ashif bin Barkhiya, yakni oraang yang mendapat ilmu terus dari Allah, “Sekarang aku perintahkan kepadamu agar pergi ke laut dan dapatkan benda ajaib yang aku maksudkan”. Ashif bin Barkhiya pun menyelam dan terlihat suatu benda yang menyerupai kubah yang diperbuat dari kapur putih.

Dengan kekuatan yang luar biasa, Ashif bin Barkhiya membawa naik kubah ajaib tersebut dari dasar laut dan mempersembahkan kepada Nabi Sulaiman. Apabila Nabi Sulaiman melihat kubah itu dan berkata, “Wah, alangkah indahnya benda ini, tapi mengapakah aku tidak dapat melihat isi kandungan dalam benda ini padahal Allah telah memberikan mukjizat yang mana penglihatanku dapat menembusi segala sesuatu”.

Nabi Sulaiman pun berdoa kepada Allah supaya dia dapat melihat isi di dalam kubah berkenaan dan Allah memperkenankan doanya. Sejurus selepas berdoa, maka terbukalah kubah tersebut dan Nabi Sulaiman melihat ada seorang pemuda yang sedang sujud dan bertasbih memuji Allah. Nabi Sulaiman lalu berkata, “Maha suci Allah lagi Maha Besar”. Mendengar seruan Nabi Sulaiman, maka pemuda itu pun bangun dari sujud lalu memberi salam.

Nabi Sulaiman menjawab salam dan memulakan pertanyaan, “Siapakah kamu wahai pemuda! Adakah kamu malaikat, jin atau pu manusia?” Jawab pemuda itu, “Aku hanyalah seorang manusia biasa”. Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Apakah yang membuat kamu memperolehi kemuliaan sedemikian rupa? Apakah amal yang pernah engkau kamu lakukan sehingga Allah menurunkan rahmat dan berkah yang tidak ternilai ini kepada kamu?” Pemuda itu berkata, “Saya berbakti kepada kedua ayah dan ibuku”.

Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Bagaimanakah kamu berbakti kepada orang tuamu?” Jawab pemuda itu, “Saya memelihara mereka berdua sehingga mereka lanjut usia. Kedua ayah dan ibuku adalah orang yang soleh, mereka sangat takut dan taat kepada Allah. Sejak saya kecil hingga dewasa, mereka memelihara saya dengan baik sekali, mereka juga selalu mendoakan saya agar saya menjadi seorang yang soleh. Bapa saya meninggal dunia dalam usia lanjut dalam pemeliharaan saya dan yang tinggal hanya ibu saya yang sudah tua, lemah dan sakit serta matanya buta dan kakinya lumpuh”.

Sambung pemuda itu lagi, “Saya satu-satunya orang yang merawat dan menguruskan keperluannya. Saya selalu mengangkatnya untuk mandi dan saya memandikannya. Segala urusan makan dan minum saya uruskan dan saylah yang menyuap makanan padanya. Ibu saya selalu mendoakan supaya saya dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidup serta memberikan saya setelah wafatnya sebuah tempat yang bukan di dunia atau pun di langit. Setelah ibu saya wafat, saya berjalan-jalan di tepi laut dan saya lihat ada suatu kubah dari mutiara. Saya mendekati kubat tersebut dan pintu kubah terbuka. Apabila saya masuk ke dalam, pintu kubah ini tertutup, maka tidaklah saya ketahui sama ada saya berada di bumi atau langit”.

Nabi Sulaiman bertanya, “Kamu hidup di zaman mana?” Pemuda itu menjawab, “Saya hidup di zaman Nabi Ibrahim A.S”. Nabi Sulaiman mengirakan umur pemuda tersebut dan dalam kiraannya umur pemuda itu telah mencapai 14,000 tahun, tetapi tiada satu uban pun pada rambutnya. Nabi Sulaiman lalu bertanya, “Apakah tuan merasakan nikmat Allah? Bagaimana Allah memberikan rezeki padamu dalam kubah ini?” Pemuda itu berkata, “Setelah saya berada di dalam kubah ini, maka tahulah saya bahawa Allah telah menciptakan syurga khusus buat saya”.

Nabi Sulaiman teringin sangat melihat syurga yang pemuda itu katakan. Kemudian pemuda itu pun berdoa kepada Allah lalu susana di dalam kubah yang gelap tiba-tiba bertukar menjadi terang-benderang. Terkejut Nabi Sulaiman sambil berkata, “Maha suci Allah seru sekian alam”. Satu pemandangan yang tak ada di dunia ini terpampang di hadapan Nabi Sulaiman dan rombongannya di mana terdapat pokok-pokok, kebun yang indah, kolam air susu dan madu serta suara-suara yang merdu di dalamnya.

Pemuda itu berkata, “Jika saya lapar, saya makan bermacam-macam buah-buahan yang pelbagai macam cita rasa, semua makanan yang saya ingin akan tersedia dan kalau saya haus, akan tersedia pula bermacam-macam jenis minuman yang paling lazat”. Nabi Sulaiman bertanya lagi, “bagaimana kamu dapat mengetahui siang atau malam?” Jawab pemuda itu, “Apabila terbit fajar maka kubah ini akan menjadi putih dan apabila matahi terbenam kubah ini akan menjadi gelap”. Kata pemuda itu lagi, “Cukuplah, sebab saat ini saya harus mengadap kembali pada Allah untuk solat dan zikir, bertasbih dan mengsucikan serta memuji kebesaranNya”.

Nabi Sulaiman dan rombongannya segera keluar dari kubah tersebut dan pemuda itu berdoa kepada Allah, lalu tertutuplah kembali kubah itu. Nabi Sulaiman termenung sejenak memikirkan peristiwa yang dilihatnya sebentar tadi dan mengarahkan Ashif bin Barkhiya untuk membawa kubah tersebut kembali ke dalam laut di tempat asalnya. Setelah itu Nabi Sulaiman berkata kepada rombongannya, “Untuk pertama kali aku menjumpai tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah, aku bersyukur kepada Allah dan semoga bertambah iman dalam sanubariku. Maha suci Allah dan segala puji bagi Allah dan aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya dan kekuatan apa pun di dunia ini melainkan dengan kehendak Allah S.W.T”.

Sumber: Himpunan kisah-kisah teladan

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebagai ibubapa, ummi dan abah akan terus-terusan berdoa untuk kebaikan kalian zuriat-zuriat kami, saham di negeri akhirat. Dan bila tiba masanya anak, berdoalah kalian untuk keturunan kita semuanya.

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا

أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ

Maksudnya: Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepadaMU dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepadaMU.” (Al-Baqarah : 128)


رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ

سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. (Ali-Imran : 38)


رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ

أَنْ نَعْبُدَ الأصْنَامَِ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.” (Ibrahim : 35)


رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Bermaksud: “Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” (Ibrahim : 40)


رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ

يَقُومُ الْحِسَابُ

Bermaksud: “Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapakku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Ibrahim : 41)


رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ

أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Bermaksud: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqan : 74)


رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي

أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ

صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي

إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Bermaksud: “Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Al-Ahqaf : 15)

(sumber salinan doa)



Monday, 2 August 2010

Blossoms Memory - Ummi, If I have children, I'll bring them here....

(Our two princesses - credit to Lensa Hanim Awang)

(Our Prince - credit to Lensa Hanim Awang)

"Ummi, If I have children, I will bring them here," Tiba-tiba kakak Humaira bersuara di tempat duduk kakak.

"Thank you ummi, thank you abah, because you bring us here," Sambung kakak meluahkan penghargaan. Selalu jugaklah kakak suka membuat ummi dan abah terkedu pada perilaku spontannya.



(Inilah tempat di Anglesey, North Wales, Near Holyhead, yang ummi dan abah bawa bercamping dan kakak sangat mengagumi - credit to Lensa Hanim Awang - like her if you like her work)

Lidah ummi terkedu sebentar. Tiada bicara pada sebuah penghargaan dari anak yang amat gembira bila dibawa berjaulah melihat kebesaran Allah.

"Why do you want to bring them here?" Tanya ummi.

"Because I like it so much here, it is so beautiful here and there are lots of seashells and we can play on the beach." Terang kakak.

"Me too, me too... ," Jawab Hasya dan Hafiy.

Syukur ya Allah, anak-anak dapat menghargai indahnya ciptaanMu dan sekaligus begitu mudah memberikan penghargaan. Syukur ya Allah, nikmat menjadi ibubapa. Sebuah sebutan lisan kecil tetapi besar pada pendengaran dan begitu hebat impak pada hati. Semoga anak-anak ummi dan abah akan terus membesar sebagai hamba2 Allah yang selalu mensyukuri nikmat Allah.

Peringatan buat ummi dan abah, juga buat anak-anak didalam janji Allah, (AlQuran Surah Ibrahim, 14:7)

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

Ummi dan abah sentiasa berdoa, agar kalimat terima kasih kepada Allah itu lekat kemas dibibir mulut dan bibir hati kita, saat memandang yang indah, saat gembira walau saat duka sekalipun, sesungguhnya setiap perkara itu ada rahmat dan rahsia dari Allah. Alhamdulillah....

Dan Alhamdulillah, keindahan ciptaan Allah ini dapat kita kongsi bersama orang-orang yang kita sayang. Bulan April dahulu, kita bawa Tah datang berjaulah ke Wales, dan kali ini kita bawa Tok Mak dan Mak cik Arita mengagumi keindahan ciptaan Allah di Wales ini. Tempat cantik-cantik banyak disini, Alhamdulillah, dalam syurga nanti lagi cantik-cantik wahai anak. Berusahalah kita untuk mendapatkan yang lebih cantik-cantik lagi disana.

Minggu ini menjanjikan kesibukan buat ummi dan abah, setelah saat bertenang hampir sebulan, membawa insan-insan kesayangan kita berjaulah dibumi Allah UK ini. Semoga mereka semua gembira. InsyaAllah....

Terima Kasih Allah.....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails