Tuesday 15 March 2011

Blossoms Memory - Abah dan doa Hasya


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Semoga catatan ini sampai pada anak-anak tatkala iman meninggi didada, diakal dan dihati InsyaAllah.

-------------------------------------------------------------------------------------------

Anak-anakku, saat ini ummi bergelut untuk menggerakkan kerja-kerja kajian ummi. Buntu juga rasa dan fikir tatkala berdepan dengan kenyataan, peralatan tidak berfungsi seperti yang dijangkakan, sedangkan kajian itu telah berlangsung lebih empat bulan. Allah, ujian ini dengan redhakah ummi lalui? InsyaAllah. Kesibukan ini mengundang jerut rasa pada kalian anak-anak.
Perubahan perasaan pada anak kecil yang tidak tahu bagaimana meluahkan perasaan rindu pada kami. Rindu pada tok mak yang pulang ke Malaysia. Rindu yang dizahirkan dengan tangisan dan kemurungan kalian. Berlarutan beberapa minggu di musim sejuk kita kali ini.

Allah, ujian ini terasa berat. Ummi dan abah memohon pada Allah, supaya mengilhamkan jalan keluar yang terbaik.

Pendekatan, didikan yang banyak menekankan kepada cerita-cerita tentang neraka Allah, atas perlakuan dan perbuatan yang tidak selaras dengan suruhan Allah dan tidak diseimbangi dengan penceritaan tentang kehebatan syurga Allah pada mereka yang patuh pada syariat Allah, mengundang resah dihati anak-anak rupanya. Terlalu takut andai mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Allah, amanah membesarkan anak-anak ini hebat rupanya.

Perlu tegas, tetapi tidak boleh terlalu keras, rapuh jalan ini, takut mereka patah ditengah jalan. Perlu berlembut, tetapi tidak lemah sehingga panjat mereka melebihi kepala kita.

'POSITIVE REINFORCEMENT'

Alhamdulillah, abah kalian sangat hebat orangnya, Alhamdulillah. Ditangani masalah ini dengan lembut dan tegas seorang abah. Seimbang. Setiap seorang anak itu berlainan 'approach'nya. Beliau tetap sabar.

Cadangan abah, supaya setiap kerisauan kalian, kalian ceritakan. Kalau tak boleh cerita, tulislah di atas kertas. Abah akan baca, dan abah akan bercerita (menyelesaikan kerisauan dengan bercerita). Kemudian kalian sama-sama mengoyak kertas tersebut.

"Benda yang Hasya risau dah habis kita dah koyakkan?" Kata abah.
"Hasya risau lagi tak..?"Tanya abah.

Hasya menggelengkan kepala. Alhamdulillah. Abah peluk anak-anak dengan erat sambil mencium dahi kalian. Allah sejuknya hati seorang isteri yang dikurniakan suami yang soleh dan penyayang. Alhamdulillah. Maka nikmat Allah yang mana lagikah yang hendak ummi dustakan?

"Sayang, kita kena selalu bercerita secara positif, kalau sebelum ni kita kata, kalau tinggal solat Allah masukkan dalam neraka, sekarang, positif approach adalah, kita kata, kalau kakak solat Allah sayang, Allah bagi pahala, Allah masukkan dalam syurga, dalam syurga itu indah, apa sahaja yang kita nak Allah bagi," usul abah pada ummi.

Dan mulai saat itu, abah dan ummi mula menekankan konsep positive reinforcement. Alhamdulillah. Abah tekankan tentang kepentingan berdoa. Dan anak-anak gigih berdoa selalu.

Hafiy yang sekarang sangat susah untuk makan, dipujuk dengan lembut oleh abah, berjaya juga abah menyuap nasi kepada Hafiy.

Hafiy selalu minta dibelikan mainan 'Bayblade' mainan yang berkonsepkan gasing diMalaysia. Hasil pujukan abah dan juga 'negotiation skill' abah, Hafiy bersetuju untuk menghabiskan belajar membaca menggunakan set 'Read Easy' sebelum dibelikan mainan 'Bayblade'. Alhamdulillah. Sebelum ini ummi tidak berjaya untuk memujuk Hafiy membaca set 'Read Easy' itu. Dengan sabar abah bekerjasama dengan Hafiy untuk set 'Read Easy' itu, Alhamdulillah, Hafiy hampir menghabiskan buku 2 dalam set tersebut. Mendidik anak lelaki membaca, bukan semudah mendidik anak perempuan membaca. Allah.

Terima kasih Allah, Engkau kurniakan kalian seorang abah yang penyabar dan berlemah lembut dan sangat kalian cintai, dalam pada itu ada tegas pada dirinya yang melahirkan rasa hormat kalian.

Terima Kasih Allah, Engkau hadirkan nakhoda yang penyayang dan banyak bertolak-ansur, sentiasa peka pada tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dalam baitul jannati kami ini. Alhamdulillah.

--------------------------------------------------------------------------------------------

"Ummi, kalau kita nak suami yang soleh bila kita besar nanti, kita kena mintak doa dari kecik lagi ye ummi?" Tanya Hasya suatu hari.

Dan sememangnyalah ummi terkedu. Ummi pun tidak pernah terfikir untuk berdoa begitu sewaktu umur sebesar Hasya.

"Ya Hasya, Hasya boleh minta doa dari sekarang, minta doa Allah bagi Hasya suami yang soleh nanti. " Jawab Ummi.

Hasya mengangguk dan memandang jauh. Berfikir agaknya.

Ya Allah jadikanlah zuriat-zuriat kami orang yang beriman dan sentiasa mendirikan solat, dan kurniakanlah kepada mereka jodoh yang beriman dan bertakwa dan sentiasa mendirikan solat ya Allah.

Terima kasih Allah, Kau kurniakanku seorang jodoh yang beriman dan soleh, penyayang dan bertimbang rasa. Alhamdulillah....



4 comments:

Latifah said...

touching nyer baca entri kali ni...
nak nangis.

Hizamel said...

Sayang, terima kasih. Setiap usaha yang kita lakukan adalah untuk kebaikan dan kecemerlangan keluarga kita. Kita usaha bersungguh-sungguh dan bertawakal, InsyaAllah, Allah beri jalan keluarnya. Untuk menjadikan keluarga kita cemerlang, memerlukan usahasama ummi & abah. Alhamdulillah, Allah kurniakan sayang, seorang insan yang solehah, yang dapat mendidik anak-anak dan membimbing abang mencari redho Illah. Alhamdulillah....

melatiblossoms said...

Latifah: Thanks

Sayang: InsyaAllah, semoga Allah jadikan keluarga kita sebagai sebuah keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah, semoga anak-anak menjadi mujahid dan mujahidah penyumbang kepada ummah. Dan semuanya mesti bermula dari kita kan....

nnmy said...

aunty nangesssssssssssssssss :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails