Thursday 3 March 2011

Memori Berjuang - Pilihlah dengan berdoa ..............................

(credit for this pic goes to the owner - Lensa Hanim Awang)

Assalamualaikum w.b.t, duhai anak dambaan hati, tempat tumpuan sanubari.. semoga kita meraih dan menagih redha Allah setiap masa..... InsyaAllah....

-------------------------------------------------------------------------------------------------


Pernah satu ketika, seperti durian runtuh ummi rasa, di tawarkan dengan peluang yang berganda dalam satu masa, peluang pekerjaan di dua tempat, cepat dan pantas istikharah ummi lakukan. Pasti dalam perkara besar ini ummi perlukan keputusan yang tepat dan yang terbaik di sisi Allah.


Di lain keaadan, seorang teruna yang terpaut hati pada dua dara, keduanya indah akhlak dan agama, saat ini satu sahaja yang bermain di kepala, 'aku mesti melakukan solat istikharah, mohon petunjuk pada satu keputusan seumur hidup, agar tidak tersalah langkah,'.


Yakin benar, mesti beristikharah dan berdoa mohon Allah bantu membuat pilihan pada perkara-perkara besar yang bakal berlaku dalam hidup, saat membuat keputusan untuk memilih satu jalan di beberapa persimpangan. Kita mohon 'pendapat' Allah dalam keputusan yang ingin kita pilih.


Terlupa............................


Sepatutnya, setiap perkara dalam hidup adalah pilihan. Indahnya kan, kalau setiap perkara yang kita hendak lakukan kita mohon petunjuk Allah. Kita mohon dan kita usahakan sebaik mungkin, kerana selepas membuat permohonan dari Allah, pastilah kita bertambah yakin yang usaha kemudiannya adalah dorongan dari Allah, keputusannya kalau baik, Alhamdulillah, kalau bukan yang kita inginkan juga, Alhamdulillah, kerana sudah pasti dan kita yakin ada hikmahnya kerana kita sudah mohon dengan berdoa kepada Allah, dan jalan itu yang Allah dorongkan. Berdoa dengan ringkas, bahasa yang kita fahami dan lebih terasa bila memohon dari Allah.


Memohon pada Allah untuk setiap pilihan, bukanlah hanya untuk perkara-perkara besar sahaja, adakah restu Allah hanya diperlukan untuk perkara-perkara besar yang di taklikkan pada pandangan akal sahaja? Sudah pasti kita memerlukannya untuk setiap perkara dalam hidup.

Seperti Firman Allah dalam Surah Al-Ghafir ayat 60 (40:60)

40:60
"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.


Ummi mengingatkan diri sendiri:


1) Mohon Allah (berdoa) pilihkan untuk kita pilihan yang terbaik di sisi Allah untuk setiap perkara. Mohon Allah bantu dan ilhamkan kita jalan mengusahakan setiap pilihan sebelum kita memulakan usaha kita. Kemudian berusahalah sebaik mungkin. Tawakkal yang bermula di awal usaha, kemudian tawakkallah lagi.


2) Mohonlah dan berdoalah kerana banyak pilihan yang harus dilakukan, pilihan untuk jurnal yang perlu dibaca, (Ya, Allah terlalu banyak bahan bacaan yang perlu aku baca ya Allah, tolonglah ya Allah, tontonlah hatiku untuk mengambil bahan bacaan yang terbaik buat diriku di sisiMu saat ini.) Kalau kita tidak berdoa pun, kita akan tetap membuat pilihan bahan bacaan, alangkah indahnya kalau kita memulakan pilihan kita dengan doa.

3) Pilihan masakan yang perlu dimasak untuk seisi keluarga agar sihat dan berkhasiat ( Ya Allah, hambaMu ini tidak tahu dan buntu untuk memasak, ya Allah bantulah aku membuat pililhan untuk masakan hari ini yang terbaik buat kami, berkhasiat dan halal.) Kita tetap akan memasak, walau tidak berdoa, alangkah menenangkan andai kita memohon petunjuk Allah dengan berdoa.

4) Kata-kata yang perlu diucapkan untuk suami, anak-anak, keluarga dan kawan-kawan. Status yang ingin dimasukkah ke FB, supaya orang mendapat manafaat dan kita mendapat pahala bukan bala. Setiap perkara kecil dan besar.

5) Dan semoga dengan itu kita menjadi redha dan tenang, hati tidak menjadi gelisah, andai yang Allah takdirkan bukan apa yang kita mahukan dan tidak seperti apa yang kita usahakan, sebab kita tahu itu yang terbaik buat kita disisi Allah. Alhamdulillah, Andai yang Allah izinkan buat kita seperti yang kita mahukan, Alhamdulillah. Redha, dari mula.....

Bukan, mudah..... tapi ummi mahu berusaha.. selalu terlupa, terasa seperti yang berlaku semuanya atas usaha kita sendiri, hakikatnya takkan bergerak sebiji zarah pun kalau bukan dengan izin Allah, La haulawala quwatilla billah, pesanan ummi semoga anak-anak juga akan selalu ingat untuk memohon pertolongan Allah. InsyaAlah...


Allah, kurniakanlah daku kekuatan untuk sentiasa memohon dari Mu, dan bergerak serta berusaha atas jalan yang Engkau tentukan, dan kemudian tetap merasa tenang dengan pengakhirannya.


Allah.... entri ini sangat berat sekali untuk ummi tuliskan... Allah... terngiang-ngiang ayat 2 dan 3 Surah As-Saf.


Ya, Allah lindungilah kami dari syaitan yang direjam........

2 comments:

Min said...

terima kasih kerana mengingatkan hati yg sering terlupa ini sahabat...

melatiblossoms said...

Min,

mengingatkan diri sendiri sebenarnya juga....:) thanks for dropping by... :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails