Monday, 7 December 2009

Blossoms Memory - Ummi, pahala tu hadiah ya...


Malam yang indah, malam yang membungakan kasih sayang. Malam ini malam yang hati tenang merekahkan merah delima memancar sinar bahagia. Anak-anak dalam pelukan, hangat terasa pada kedinginan malam-malam dimusim salju. Berebut-rebut anak-anak ingin berada dipelukan hangat ummi mereka. Indah, bahagia selembut bayu membuai lembut naluri keibuan malam itu.

"Malam ni kita sambung cerita nabi Adam ya..?" ummi meneka hati anak-anak yang selalu dahagakan cerita-cerita indah utusan-utusan Allah.

"Yeaahhh... nak .. nak", semakin rapat anak-anak menyelusup masuk ke selimut dan berbungkus bersama ummi.

"Iblis tak nak sembah memberi hormat buat nabi Adam, sebab iblis rasa dia lebih mulia dari nabi Adam." sambung ummi pada kisah yang tertinggal malam sebelumnya. Dan bertalu-talu jua soalan datang dari anak-anak malam itu. Ummi cuba leraikan persoalan satu persatu.

"Allah marah dengan iblis yang sombong, jadi Iblis dimasukkan ke dalam neraka, sebab iblis tak mahu dengar cakap Allah, iblis lawan cakap Allah." terang ummi, cuba membawa cerita dengan bahasa santai yang lebih anak-anak fahami.

"Jadi, iblis duduk neraka selama-lamanya?" tanya Hasya

"Ya, selama-lamanya, sebab iblis tak nak dengar cakap Allah. Tapi sebelum tu iblis bagitau dia nak pujuk rayu semua manusia supaya ikut dia masuk neraka" Cerita ummi pula.

"Tapi, manusia yang beriman dan mengikut perintah Allah, tak lawan Allah's rule takkan dapat iblis rayu sampai masuk neraka," jawab ummi.

Tiba-tiba terdengar esakan Hasya.

"Hasya tak nak masuk neraka selama-lamanya". tangis Hasya.

"Sayang, neraka untuk orang yang berdosa, yang ikut cakap iblis dan syaitan, yang lawan cakap Allah. Hasya lawan tak cakap Allah?" terang ummi. Hasya geleng kepala.

"Kalau kita kadang-kadang ter buat dosa, ter dengar cakap syaitan, kita minta ampun dengan Allah terus kan, sebab tu kalau lepas solat kita kena mintak doa, minta Allah ampunkan dosa kita, dosa yang kita sedar, dosa yang kita tak sedar kita lakukan. Supaya moga-moga Allah ampun kan dan kita tak masuk neraka, kita masuk syurga, kan" panjang terang ummi, moga fahamlah wahai anak. Hati kecil yang sangat mudah tersentuh.

"Ummi, hasya nak solat selalu, hasya nak buat pahala banyak, Hasya tak nak masuk neraka, Hasya nak masuk syurga, masuk syurga tu hadiah untuk pahala kita kan?" Tanya Hasya.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Buat baik dapat pahala. Buat jahat dapat dosa.

Pemahaman anak-anak yang cukup ringkas dan paling tepat sebenarnya. 'What you give you get back'. Tercari-cari sendiri, dimanakah perginya pemahaman tentang firman Allah, tidakkah kita ini diciptakan Allah untuk beribadah kepada Allah?.

Beribadah khusus yang diwajibkan keatas kita oleh Allah dan ibadah am kepada Allah dengan penuh keikhlasan dalam konteks melakukan perkara-perkara baik yang disukai Allah. Seboleh mungkin menuruti sunnahnya rasulullah.

Tahu diri ini diciptakan oleh Zat yang maha agung untuk beribadah, mengutip Ar Rahman nya Allah buat bekal perjalanan ke negara yang abadi.

Bukanlah dengan banyaknya amal ibadat penentu syurga kita disana wahai anak, amal ibadat yang dilapik riak, layaknya murka Allah jua. Syurga itu nanti tidak lain dan tidak bukan dengan rahmat Allah dan kasih sayangnya jualah yang bakal membolehkan kita menghidu harumannya. Beribadat, mengutip rahmat Allah.

Buat baik dengan makhluk Allah, rahmat Allah bakal melimpah ruah. Sesuatu yang tidak seorang pun manusia yang mampu menyangkal penaklukan mantik yang ringkas ini. Tapi hati keras orang dewasa ini macam sukar untuk membolehkan akal menghadam persamaan ringkas itu.

Serah pada anak-anak kita, simpulannya ringkas tapi mengena, buat baik dapat pahala, Allah sayang. Buat jahat, dapat dosa, Allah tak sayang.

Susah sungguh mata hati mengira pahala yang bakal Allah limpahkan melalui Ar-RahmanNya dengan berbakti sesama manusia. Hendak dihamparkan jugakkah dengan imbalan fizikal yang duniawi, kerna sukar sekali mata akal mencerna tentang makna pahala itu sendiri. Selalu tertanya "Apa yang aku lakukan ini, bukan membawa untung padaku, mereka saja yang untung, yang aku dapat penat sahaja." pernahkah kita disituasi ini? Serahkan sahaja hitung hisabnya pada dacing Allah yang Maha Adil dan Maha bijaksana. Bukankah sedari kecil kita di ajar, kali-kali ringkas 'Buat baik dapat pahala, Allah sayang. Buat jahat, dapat dosa, Allah tak sayang'.

Mungkinkah jua semakin usia menginjak senja, mata hati semakin rabun, serabun mata di wajah? Sudah semakin kabur tentang pengertian dosa pahalanya, hanya sesuatu yang terzahir sahaja disangka ada, sedang itu hanyalah fatamorgana dunia. Kemudian nilaikan dengan mata hati yang berkanta, adakah yang terzahir itu bakal menambah berat perhitungan di alam kekal? Jika ia, beruntunglah, jika tidak janganlah itu menjadi pilihan.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Anak, ummi bercerita pada pandangan seorang ummi yang masih belajar mengenal ilmu Allah yang luas ini. Ummi akan terus mengutip ilmu Allah ini dan kita kongsi bersama. Bila akalmu bisa mengenal makna bahasa, dalamilah anak, bait bait kata ummi yang tak seberapa.

Hanya rahmat Allah yang membawa kita ke syurga InsyaAllah...... berusahalah memenangi rahmat Allah, beribadahlah.


4 comments:

Hizamel said...
This comment has been removed by the author.
Hizamel said...

Satu kupasan yang cukup menarik...semoga sesiapa yang membaca entry ini mendapat iktibar yang mendalam daripada cerita ini...Amin

melatiblossoms said...

semoga anak-anak juga tidak hilang sifir ringkas ini bila meningkat dewasa seperti kita yang dewasa sekarang ini aameeen....

Latifah said...

tersentuh bila baca entri ni... terasa diri begitu kerdil...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails