" Tak nak duduk dengan mak...... nak balik kampung, nak duduk dengan nenek" Tangisan anak yang dalam usia mentah 7 tahun, baru bertatih mengenal dunia.
" Duduk dengan mak lah, ok. Mak rindu kakak juga," pujuk Mak Ton. Menenangkan si anak yang sejak beberapa hari terus-terusan merengek meminta dihantarkan pulang ke kampung.
Ummu Humaira' yang sejak kecil dipelihara oleh neneknya seperti hilang punca bila hasil perbincangan antara Mak Ton dan ibu Mak Ton membuahkan keputusan yang Ummu Humaira' akan tinggal bersama Mak Ton tika usia menginjak 7 tahun untuk bersekolah di Kampung Bukit. Hati kecilnya meronta-ronta ingin pulang kepangkuan neneknya.
" Mak dulu tak nak kakak, kenapa sekarang ambil kakak? Kakak nak tinggal dengan nenek " Tangis berderai bersama luahan hati Ummu Humaira'.
" Mak nak kakak...." Kata-kata Mak Ton terhenti di situ. Sambil tangan menguis jurai air mata.
' Ya Allah, sesungguhnya atas nama cintaku pada ibuku, ku tinggalkan anakku bersama neneknya. Buat mengubat rindu dan sepi hari tuanya. Hanya Engkau yang tahu tidak pernah ada ibu yang waras sanggup berpisah dengan anaknya walau sedetik.' Hati Mak Ton terus berbicara. Bicara yang tak mungkin diungkap pada Ummu Humaira' yang masih berbara hatinya itu.
Atas kerelaan ibu Mak Ton juga, Ummu Humaira' dipulangkan pada Mak Ton untuk memantau persekolahan anak kecil itu.
Mak Ton sendiri sedari kecil hidup bersama ayah dan ibu tirinya. Pagi bersekolah, petangnya tugasnya penuh, mengasuh adik-adik sebapa yang masih kecil. Ibu dan ayah kandung Mak Ton berpisah ketika dia masih kecil. Kemudian orang tuanya membawa haluan masing-masing. Memulakan hidup baru. Itulah aturan jalan yang Allah berikan buat mereka. Hidupnya tidak senang, tapi pelajaran agama paling dipentingkan. Persekolahan Mak Ton tertangguh gara-gara sijil kelahiran yang entah di mana hilangnya. Mak Ton yang sangat bijak didalam mata pelajaran matematik itu, terpaksa melupakan hasratnya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Mak Ton terkenang-kenang hidup berjauhan dari ibu kandungnya ketika kecil. Perit jiwanya. Dirinya selalu menjadi sasaran adik-adik sebapanya. Berbagai-bagai helah yang mereka kenakan pada dirinya Mak Ton tetap bersabar, mengenang dirinya yang sendiri dalam keluarga besar ayahnya sekarang. Mak Ton terkenang-kenang, alangkah indahnya kalau dia dapat bersama ibu kandungnya. Berbekalkan tekad, tika usia menginjak remaja, Mak Ton pergi mencari ibunya, dan terus tinggal bersama ibunya sehinggalah dia berumahtangga dan dikurniakan Ummu Humaira' dan Ummu Amani.
Kasih sayang yang mendalam pada ibu kandungnya, membuatkan dia tega menitipkan Ummu Humaira' yang masih kecil dalam jagaan ibu kandungnya. Jarak usia Ummu Humaira' dengan adiknya yang sangat dekat, kurang dari dua tahun, menyebabkan ibu Mak Ton meminta izin menjaga Ummu Humaira'. Keizinan yang akhirnya merobek hati sendiri. Saat keluhan dan ungkitan dari mulut kecil Ummu Humaira' meluncur keluar, hati Mak Ton bagai di siat-siat. Perpisahan sementara antara mereka terjadi tatkala Mak Ton dan Pak Hussein berpindah ke Kampung Bukit untuk memulakan perniagaan makanan mereka. Ummu Humaira' tinggal bersama ibu Mak Ton dan Ummu Amani dibawa bersama Mak Ton.
'Ya Allah, Yang Maha Mengetahui segala rahsia hati. Ya Allah Yang Maha Memelihara ketenangan jiwa dan kalbu manusia. Kepada Mu aku merintih, tenangkanlah hati anakku yang sangat dalam kesakitan tika ini. Hatinya sakit mengenangkan kemahuannya tak dituruti. Hanya Engkau yang tahu bahawa segala kasih sayang ku tumpah pada insan-insan ini. Menggembirakan ibuku dan anakku. Hanya yang terbaik yang ku impikan buat anakku. Jadikanlah dia insan yang mulia dan bertaqwa. Indahkanlah akhlak dan pekertinya, kurniakanlah kepadaku ketaatan darinya.' Doa Mak Ton tak pernah putus.
------------------------------------------------------------------------------------
Bertemu lagi di Third Chapter dalam kisah dongengan Horizon Hati Ummu Humaira'
Hak Cipta Terpelihara:
No comments:
Post a Comment