Saturday, 14 August 2010

Memori Hati - Terima Kasih Allah, Terima Kasih Ibunda


14/8/1977, bertungkus lumus ibu bertarung nyawa, agar anak dapat menjengah ke dunia, membawa sebuah kehidupan baru buat seorang insan baru. 28 Sha'aban 1397 Hijrah, hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum umat Islam mula berpuasa. Tahun itu emak berpantang dibulan ramadhan, sebulan juga tidak dapat berpuasa, berhari raya juga masih berpantang, semua makanan enak terpaksa dilupakan. Kata mak, kecil-kecil lagi asyik berulang ke hospital dan klinik. Doktor Daud yang membuka klinik di pekan Sungai Petani sudah seperti bapa angkat sendiri, dek kerana kerapnya ke klinik beliau. Alhamdulillah, masih lagi bernafas diusia ini, dan dibahagiakan oleh Allah dengan suami yang soleh dan penyayang, dengan anak-anak yang menyejukkan mata. Keluarga yang menyokong, lingkungan sahabat yang baik. Alhamdulillah....


Terima kasih Allah, dibenarkan bernafas lagi pada hari ini. Diizinkan Allah menyedut lagi udaraNya untuk kesekian kali. Setahun umur bertambah, setahun dunia ditinggalkan, setahun lebih dekat dengan negara akhirat. Tiada lain keinginan diri saat ini melainkan untuk menggapai rahmat dari Ilahi. Keredhaan dari Ilahi. Perlu sedar, diri selalu diperhatikan Allah. Perlu sedar diri, selalu diuntung. Selalu berpaling, tapi Allah tak pernah memaling.

Terima kasih buat ibu, bergadai nyawa buat menghadirkan seorang lagi umat Muhammad. Ucapan itu sahaja takkan pernah cukup. Tahun ini begitu bertuah, ibu ada bersama, pasti pipinya kan ummi kucup, pelukan hangat seorang anak buat ibu yang sangat 'ibu'. Setahun usia anak mu berganjak, segaris garisan didahi bertambah, dan ibu sesungguhnya anakmu tidak ingin untuk menjadi salah satu golongan dalam golongan manusia yang diaminkan oleh rasulullah tatkala Jibril mendoakan,

Dari Ka'ab Bin `Ujrah (ra) katanya: Rasulullah S.A.W bersabda:

Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin.


Dan ketika beliau turun (dari mimbar)kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.

Lalu baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya:

Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.


Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya.

Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.

Hari lahir tahun ini di bulan Ramadhan, memberikan seribu erti untuk terus bermuhasabah, betapa usia 33 tahun yang ditinggalkan itu ke mana telah digunakan? Untuk apa digunakan? Bagaimana digunakan? Untuk siapa digunakan?

Masa untuk refleksi diri.


4 comments:

Latifah said...

Ya Allah, menangis baca entri ni.
Tak tau kenapa bila ada entri untuk parents or cerita pasal parents, hati mudah tersentuh.
Lantas teringatkan Abah dan arwah emak...
Bersyukurnya puan kerana masih punya insan yang bernama ibu itu...
Apapun, selamat hari lahir buat puan.
Semakin bertambah usia kita, semakin singkat masa kita di dunia ini.
Moga kehidupan kita sentiasa di landasan-Nya. Aminnn...

melatiblossoms said...

salam Latifah,

Sangat bersyukur, Latifah doa banyak2 untuk arwah emak, jadi anak yang solehah, pasti membantu arwah, sedekah yang banyak buat arwah...

Thanks for the wish...:)

Min said...

SELAMAT HARI LAHIR DUHAI SAHABAT. BERBAHAGIALAH IBU YANG MEMPUNYAI ANAK YANG SOLEHAH INI. MOGA SEMUA KITA TERUS MENGINGATI SIAPA DIRI KITA SETIAP TAHUN APABILA UMUR KITA BERTAMBAH...

melatiblossoms said...

Min,

aameeen.... semoga Allah tidak membolak balikkan hati ya... aameeen

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails