Tuesday, 8 February 2011

Memori Berjuang - Al-Qasas (Cerita), ayat 82 yang terus mengingatkan...


Assalamualaikum w.b.t anak-anak yang ummi dan abah kasihi, cahaya mata yang kami tatang bagai minyak yang penuh...

Pagi ini, pagi yang bersinar-sinar, matahari memancar terang menyuluhi bumi Leeds, Alhamdulillah. Dalam terang mentari, dingin musim sejuk masih terasa hingga ke tulang hitam. Subhanallah, Allahuakbar, Maha Besar Allah yang berkuasa mengumpulkan sinar mentari memancar dan juga dingin yang menggigit dalam suatu masa. Bukti kekuasaan Allah.

Pagi ini ummi mulakan motivasi diri dengan ayat dari surah Al-Qasas, ayat 82.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

28:82

Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun - mulai sedar sambil berkata: "Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!"

(Tafsir Ibnu Kathir)

Orang-orang yang bercita-cita untuk memiliki kemewahan seperti Qarun, sedar setelah mereka melihat Qarun di tenggelamkan oleh Allah ke dalam muka bumi. Azab buat hamba yang tidak bersyukur dan kufur nikmat Allah. Tidak ada seorang pun yang dapat menolong.

Mereka sedar, bahawa hanya Allahlah sahaja yang menentukan rezeki dan kemewahan bagi setiap orang yang dikehendakiNya. Mereka menyedari bahawa banyaknya harta benda dan kesenangan menikmati kehidupan duniawi yang serba mewah, tidak menunjukkan keredhaan Allah SWT bagi pemiliknya.

Diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud r.a bahwasanya Allah SWT telah memberikan kepada manusia watak mereka masing-masing sebagaimana Dia telah membagi-bagikan rezeki di antara mereka. Dan sesungguhnya Allah itu memberikan harta kepada orang yang disenangi, dan juga orang yang tidak Allah senangi tetapi nikmat Iman hanya diberikan kepada orang yang Allah senangi dan kasihi.
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Ya Allah, hambaMu ini tidak tahu ya Allah, kurniakanlah pemahaman dalam hal yang bermanafaat buatku disisiMu ya Allah.

Kasih sayang dan rindu padaMu lebih ku harapkan dari seisi dunia.

Nikmat menyintai dan memahami agamaMu ini lebih ku inginkan dari air yang dingin di padang yang kering kontang.

Jadikanlah aku, pasanganku dan anak-keturunanku orang-orang yang tetap mendirikan solat dan mendapat hidayah dan rahmatMu.

Aameeen........




Monday, 7 February 2011

Memori Berjuang - Ya Allah, ku mohon motivasi dariMu di pagi ini...


Assalamualaikum anak-anak ummi yang soleh dan solehah, permata hati ummi dan abah, semoga saat kalian membaca coretan ini, anak-anak berada dalam putaran iman yang tinggi dan dalam gelombang kehidupan yang tenang.

Permulaan pagi ini buat ummi, sungguh pelbagai. Setelah bercuti dua hari di hari minggu, memulakan pagi isnin bermujahadah juga.

Pagi ini ummi mulakan dengan sedikit tadabbur surah Al-Qasas, selepas beberapa peringatan yang diberikan oleh Allah dalam ayat-ayat sebelumnya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------
Rasa diberi semangat oleh ayat 77 dari surah Al-Qasas ini.


28:77

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".


(Rujukan Asbabun Nuzul, Tafsir Al-Quran)

Pada ayat ini Allah SWT menerangkan empat macam nasihat dan petunjuk yang ditujukan kepada Qarun oleh kaumnya. Barangsiapa mengamalkan nasihat dan petunjuk itu akan memperoleh kesejahteraan di dunia dan di akhirat kelak.

1. Harta kekayaan, ilmu dan apa sahaja perbendaharaan serta nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita sekarang ini hendaklah ia memanfaatkan di jalan Allah, patuh dan taat pada perintah-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya untuk memperoleh pahala sebanyak-banyaknya di dunia dan di akhirat. Semoga kita selalu beringat tentang lima perkara sebelum datang lima perkara lagi.

2. Janganlah seseorang itu meninggalkan sama sekali kesenangan dunia baik berupa makanan, minuman dan pakaian serta kesenangan-kesenangan yang lain sepanjang tidak bertentangan dengan ajaran yang telah digariskan oleh Allah SWT, karena baik untuk Tuhan, untuk diri sendiri maupun keluarga, semuanya itu mempunyai hak atas seseorang yang harus dilaksanakan. Sabda Nabi Muhammad saw:

اعمل لدنياك كأنك تعيش أبدا واعمل لآخرتك كأنك تموت غدا
Artinya:
Kerjakanlah (urusan) duniamu seakan-akan kamu akan hidup selama-lamanya. Don laksanakanlah amalan akhiratmu seakan-akan kamu akan mati besok. (H.R. Ibnu Asakir)

3. Kita juga harus berbuat baik sebagaimana Allah SWT berbuat baik kepadanya, membantu orang-orang yang berkeperluan, harta dan kesenangan yang diperolehi, ada di dalamnya hak-hak orang lain.

4. Janganlah seseorang itu berbuat kerosakan di atas bumi, berbuat jahat kepada sesama makhluk Allah, kerana Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. Allah SWT tidak akan menghormati mereka, bahkan Allah tidak akan memberikan redha dan rahmat-Nya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------

Ya Allah, kami pohon kurniakanlah ilmu yang bermanfaat dan rezeki yang halal buat kami hari ini. Berkatilah ilmu yang kami cari dan perolehi pada hari ini. Kami tidak tahu ya Allah, fahamkanlah bagi kami ilmu-ilmu ini ya Allah. Aameeen ya Allah.....


Thursday, 3 February 2011

Blossoms Memory - Gesaan seorang Yusuf al- Qaradawi

Sudah jelas, di suluh lagi.....

QATAR, 2 Feb:
Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Syeikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan.

Beliau perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali. Syeikh Yusuf al-Qaradawi menggambarkan sistem pemerintahan Mesir sebagai tidak mengerti dan tidak berfikir.Ianya buta tidak melihat, tuli tidak mendengar, serta bodoh tidak memahami.

Al-Qardhawi menyeru Mubarak melalui al-Jazeera katanya, "Undurlah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir".

Beliau meminta Mubarak agar merasa belas kasihan terhadap dirinya sendiri serta ahli keluarganya.

Kuasa kerajaan itu jika dianggap sebagai peluang keemasan maka cukuplah tempoh tiga puluh tahun itu, dan jika dianggap sebagai hukuman denda pula, maka cukuplah juga tempoh tiga puluh tahun itu.

Al-Qaradhawi menyarankan Mubarak agar melepaskan kepimpinan serta meninggalkan Mesir yang sudah kerugian dan kehilangan wangberbilion-bilion.

"Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak".

Beliau menambah bahawa puluhan pemuda telah gugur dalam tempoh satu hari dalam menuntut hak mereka, "Tapi kamu dan askar kamu pula telah membalas mereka dengan peluru hidup."

Al-Qaradawi menambah, "Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki", untuk diadili dan dibicara sesudah itu oleh mahkamah awam dan bukannya oleh mahkamah tentera, "yang kamu bina untuk mendakwa pihak lawanmu, lalu kamu menghukum mereka dengan hukuman yang zalim", di bawah undang-undang darurat, dan sesungguhnya "bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah. "

Syeikh al-Qaradawi menganggap bahawa Mubarak tidak memahami mesej dari rakyat, malah keluar dengan ucapan yang menunjukkan bahawa ia tidak merasakan apa yang terjadi.

Dia berada "dalam dunia yang bukan dunia kita, tidak merasa kelaparan orang yang lapar, atau kesakitan orang yang terluka," dan mempersoalkan pula faedah untuk membubarkan kerajaan, sementara ia tidak mengatakan apa yang seharusnya dikatakan iaitu membubarkan Dewan Syura dan Dewan Rakyat serta menghapuskan undang-undang darurat.

Rakyat dan Tentera

Dalam ucapannya, al-Qaradhawi mengalu-alukan rakyat Mesir atas kebangkitan mereka melawan situasi korup yang telah banyak mereka bersabar terhadapnya, seperti kesabaran mereka melihat ramai orang mengaut kekayaan negara serta menikmati keuntungannya, sedangkan mereka tidak mampu mencari makanan harian mereka.

Beliau menggambarkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai pemberontakan secara aman, tidak ada kayu mahupun senjata, bagi menuntut kehidupan yang lebih baik serta rezeki yang halal, akan tetapi mereka dikejutkan pula dengan peluru hidup dari pihak pengawal keamanan, menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Beliau menekankan bahawa para penunjuk perasaan yang sebenar tidak bertanggungjawab menyertai sebarang kes PENCURIAN ATAU PENJARAHAN.

Beliau menasihati mereka, "Janganlah kamu sekali-kali memanjangkan tangan pada mana-mana harta milik institusi awam ataupun swasta, kerana itu adalah HARAM."

Beliau turut menyatakan rasa bangga dan hormat terhadap tentera Mesir serta menyeru mereka untuk melindungi negara Mesir di masa mendatang tanpa campur tangan dalam hal pemerintahan.

Beliau menuntut pihak tentera agar menyerahkan hal kuasa pemerintahan kepada rakyat dan pemilihan presiden dibuat sesuai dengan dasar-dasar syura dan juga demokrasi.

Sumber: al-Jazeera.

Wednesday, 2 February 2011

Blossoms Memory - Mata sejarah

Assalamualaikum anak-anak kecintaan ummi,

Saat ini, kita menyaksikan kebangkitan besar-besaran rakyat di sebelah tanah arab sana. Dengan gelombang yang di bawa oleh rakyat di Tunisia, menggerakkan sendi-sendi sedar rakyat di Mesir sendiri. Fitrahnya, akal yang sihat, mahukan kepada fitrah, yang zalim harus dikeluarkan, yang ditekan, bila bersatu akan menekan kembali.

Pandangan yang lebih besar,
Gelombang yang amat diharapkan bakal melepaskan jerut di leher Ghaza. Kebangkitan Islam yang ditunggu-tunggu.

Pandangan yang lebih fokus,
Bimbangkan adik-adik yang masih tidak di ketahui nasib mereka, jangka masa pendek - makan, minum tempat tinggal dan keselamatan, jangkapanjangnya - masa depan, pelajaran mereka. Bukan sikit orang-orang yang dekat di hati kita yang berbekas kesan. Ramai, di Cairo, Mansourah, Alexandria. Mereka-meraka ini amat dekat dengan kita walau dipisah benua. Hati di ikat kerana kita punya iman yang sama, ukhwah fillah. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, Allah pasti memberikan yang terbaik buat mereka-meraka ini yang hati mereka sangat dekat dengan Allah.

Sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat, bagi orang-orang yang sanggup bersusah payah kerana Allah, menghadapi qada' dan qadar dengan hati yang redha dari mula, dan Allah pasti tidak akan membiarkan hamba-hambaNya yang beriman begitu sahaja. Pasti ada pelangi dan taman yang indah menanti di hari depan.

Buat ikhwah dan akhawat di bumi anbiya' semoga kemenangan bersama dengan mereka yang benar-benar berjuang kerana Allah, bukan bersama pemimpin yang zalim.

Tuesday, 1 February 2011

Blossoms Memory - Retak


Ummi, I wish you can come home early today.........
Ummi, I wish you don't have to go to work........
Ummi, I wish you stay at home today.......

Allah.... perkataan yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga, saat Mesir menjadi saksi kebangkitan rakyat menentang rejim yang zalim...

saat ini juga hati ummi lebih berperang mengenang keluh kesah anak-anak dalam negara kecil kami. Ummikah diktator zalim yang sukar membahagikan sama rata masa yang Allah kurniakan ini?

Ada sesuatu tersekat di tengkolok.

Hanya pada Allah ummi merintih, bukan pada siapa-siapa, hanya pada Allah yang Maha Hebat.

Tenangkanlah ya Allah hati anak-anak kami ini semoga kami sama-sama redha dalam pengorbanan fi sabilillah kami sendiri.

Allah... Engkaulah pemilik makhluk yang bernama tenang, limpahkanlah buat kami tenang itu.

Ya Allah... kurniakanlah kemenangan buat agamaMu ini di tanah para anbiya' sana. Aameeen....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails