Peranan di persinggahan sementara….
Salam ziarah...Teringat lebih kurang 9 tahun yang lalu, tika masih bergelar tunangan pada suami tercinta sekarang. Pelbagai buku menjadi santapan mata dan hati, buat persediaan menjadi suami dan isteri mithali. Semoga rumahtangga yang bakal dibina, dirahmati didalam keberkatan dari Ilahi. Fikiran dan hati disajikan dengan hak-hak yang bakal dinikmati sebagai seorang isteri dan suami. Lalu tenanglah seluruh sanubari kerana, janji untuk terus aman membina hidup itu termateri sebagai tulisan yang bakal dilaksanakan suami dan isteri nanti.Penuh pengharapan, segala yang hak dinanti untuk diterima, masing-masing bakal menagih janji. Persoalannya, terlintas atau tidak didalam sanubari yang tenang itu bahawa, bahagian yang paling penting didalam rumahtangga itu bukanlah bertanyakan tentang hak-hak kita sebagai suami/isteri? Tetapi apakah peranan kita sebagai seorang isteri dan suami dalam membahagiakan pasangan?
Mungkinkah selepas 9 tahun, baru terlintas dihati untuk menghayati peranan seorang isteri? Bahkan lebih-lebih lagi dengan 3 cahayamata kurniaan Ilahi peranan menjadi lebih menarik, seorang ibu. Gelaran yang bukan calang-calang orang yang sanggup pikul, dan tak ramai juga yang bertuah untuk dikurniakan gelaran itu. Alhamdulillah. Peranan itu mungkin selalu dilakukan, cumanya lagi sejauh mana penhayatan dan keikhlasan didalam melaksanakannya? Moga Allah memberi hidayah.
Hidup sebagai seorang anak tidak pernah mengecewakan. Penuh merasai nikmat dari ibubapa yang menzahirkan peranan mereka sebagai seorang ibu dan bapa. Cuma, adakah kita sebagai anak menhayati dan menjalankan tugas sebagai anak yang taat dah soleh? persoalan yang selalu bermain di benak. Bahagiakah ibu bapaku?
Bagaimana pula anak-anakku, bahagiakah mereka beribubapakan kami. Mungkin bahagia mereka pada berapa banyak gula-gula yang dibelikan. Mungkin juga bahagia mereka pada berapa banyak aiskrim yang dibenarkan mereka makan. Lebih bahagia mereka kalau dibelikan mainan yang menjadi idaman hati. Adakah itu syarat kebahagiaan mereka dunia dan akhirat? Sudah pasti jawapannya tidak. Bahagia mereka pada kehidupan duniawi yang memudahkan jalan mereka mencapai kebahagiaan yang kekal abadi di alam akhirat. Bersediakah kami menjalankan tanggungjawab berperanan sebagai ibubapa yang menjunjung amanah Allah. Moga bakal membahagiakan kami tika menanti hari perhitungan. Banyak lagi rupanya bekalan diperlukan untuk melaksanakan tugas besar ini.
Pelajar. Gelaran ini bukannya baru. Cuma lebih dikenang bila di apit dengan gelaran-gelaran yang lain. Perlu juga diberi perhatian. Moga amanah dari negara dapat dipikul. Dan juga moga perjalanan ini didedikasikan kerana Allah taala semata-mata.
Banyak lagi kupasan yang bakal meyusul atas persoalan-persoalan yang dianjurkan. Moga kupasan ini bakal memberi ruang fikir dalam menlaksanakan peranan-peranan dalam persinggahan dunia kurniaan Ilahi. Disamping peranan utama sebagai hamba Allah.Moga dapat kutinggalkan sesuatu azimat pedoman buat anak-anak yang bakal membaca dan menghayati tulisanku ini nanti, bila akal semakin penuh.
No comments:
Post a Comment