Tuesday, 5 May 2009

Anak-anak tercinta......


Assalamualaikum,

Dah lama tak menulis dalam blog ini. Alhamdulillah perjalanan pelajaran disini sudah masuk bulan yang ke-7. Bertepatan dengan peraturan universiti, ummi dah siapkan laporan pelajaran untuk 6 bulan. Dah jumpa dengan supervisors dan advisors. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Lapang sikit terasa diri. Bolehlah ummi kembali mengarang dalam journal kehidupan ini buat tatapan anak-anak Insya-Allah suatu hari nanti dan moga-moga ada juga terselit wadah kehidupan untuk dijadikan tauladan dan sempadan semasa ummi menulis untuk sahabat yang lain mengambil iktibar. Sekembali dari Europe, kehidupan di UK ini agak padat dengan aktiviti rutin harian. Bertambah-tambah padat, bila terkejarkan bekalan untuk laporan 6 bulan pertama. Bekalan kurang, aturan langkah panjang sampai ke Europe. Bila terkenang tersenyum sendiri. Alhamdulillah Allah permudahkan.


Cuma kasihankan anak-anak. Sama berkorban rasa bila ummi dan abah, sama-sama sibuk dengan pelajaran. Humaira dan Hasya boleh faham, cuma kadang-kadang Hasya saja buat-buat tak faham, kanak-kanak 5 tahun, pintanya sikit sahaja, moga ummi dan abah lebih masa bersama mereka. Insya-Allah ummi dan abah akan usahakan. Hafiy pula, lain sahaja perilakunya, semakin menginjak usia 3 tahun semakin lebih perhatian di pinta. Ada sahaja kelakuan yang membuatkan ummi abah tambah bahagia. Cuma kadang-kadang tambah risau, bila Hafiy selalu saja menangis bila ummi dan abah hendak melangkah ke universiti. Semoga Allah tenangkan hati anakanda.


Humaira bakal menduduki ujian SAT untuk 'Year 2' pada minggu 11/5/2009. Pelajar-pelajar di United Kingdom akan menduduki peperiksaan yang bakal menentukan tahap pencapaian pelajar terhadap pembelajaran di sekolah. Mungkin untuk menentukan pelajaran yang diberikan betul-betul difahami pelajar. Tiada tekanan diberikan buat pelajar-pelajar. Pelajar akan menunjukkan tahap sebenar mereka, dan dari situ akan di'benchmark'kan pelajar untuk peperiksaan 'year 6' nanti. Peperiksaan 'year 6' akan menentukan 'ranking sekolah' diseluruh kawasan Leeds ini. Humaira punya persiapan? Insya-Allah, ummi dan abah dah beli buku panduan SAT melalui Amazon. Ada tiga bahagian yang akan diuji, 'Reading and answering the questions, Writing, Spelling and Mathematics'. Tiada tekanan juga dari ummi dan abah. Kita buat sama-sama, bila humaira rasa lapang. Iqra'? Tiada kompromi, ini kena buat setiap hari. Solat? dah 7 tahun (1/4/2009) kan usia anak ummi abah sekejap sahaja masa berlalu, humaira semakin meningkat usia, begitu juga usia ummi abah. Solat adalah dibawah pengawasan abah. Sekarang, humaira sepatutnya solat setiap hari, dan setiap waktu. Semoga istikhomah sayang, dalam mendidik permata hati kita. Amanah dari Ilahi.


Hasya Amalin. Anak yang cergas. Syukur kepada Allah. Hasya pantas belajar. Dah boleh membaca buku bahasa Inggeris yang mudah-mudah. Matapelajaran yang paling disukai adalah matematik. Setiap hari kalau boleh, Hasya nak buat latihan matematik. Setiap hari Hasya akan tanya tentang 'worksheet' kertas kerjanya, samaada ummi bawa balik atau tidak. Ada satu cerita yang betul-betul syahdu tentang Hasya. Pernah satu hari, tariknya tak berapa ingat. Hasya duduk atas ummi, (bolehlah sebab Hafiy dah tidur... kalau tidak tak dapat) Ummi tengah buat kerja di komputer. sambil tepuk2 belakang Hasya, elus rambut ikal mayangnya. Dalam detik bunyi ketukan keyboard komputer Hasya bersuara,


'Ummi, kalau ummi dah tua nanti, kalau ummi dengan abah sakit, Hasya, kakak dengan Hafiy nak jaga ummi tau...'


Terkejut juga, sebab tidak semena-mena, anak kecil ummi ini boleh bertutur begitu.


'Kenapa Hasya nak jaga ummi dan abah?' Tanya ummi.


'Sebab bila Hasya, kakak dan Hafiy sakit, kecil ummi dengan abah jaga Hasya, kakak dan Hafiy...'


Kemudian Hasya menangis teresak-esak. Entahlah apa yang menyebabkan hatinya sungguh syahdu. Allah sahaja yang tahu. Anak ini lembut sungguh hatinya. Mengalir juga air mata ummi.


Ketahuilah, anak itu amanah Allah, tanggungjawab ummi dan abah mendidik, membesarkan semoga menjadi anak-anak yang bertakhwa, beriman dan taat. Amin.

Hafiy Addin, bertambah usianya pada 7/4/2009. Sudah 3 tahun usianya. Masih teringat merahnya dia waktu dilahirkan 3 tahun dulu. Di azan abah, ditahnikkan dengan kurma dan air zam-zam sejurus selapas lahir. Banyak betul keletah. Mulut asyik berbicara. Kalau dalam kereta, suara yang tak akan diam sampai terlena itulah suaranya. Sekarang Hafiy sudah mula bercakap menggunakan bahasa inggeris. Mungkin juga, bila selalu sangat diperhatikan kakak-kakak menggunakan bahasa itu, lidahnya cepat pula meniru. Kadang-kadang sampai sukar untuk memahami butir bicaranya. Manakan tidak, bahasa melayunya juga masih pelat. In pula di tambah bahasa inggeris. Ada ketika, Hafiy semacam geram bila orang lain tidak memahami perkara yang hendak disampai kan dek kerana pelatnya. Pandai pula dia menggunakan bahasa tubuh untuk menjelaskan maksudnya. Kebelakangan ini susah sangat untuk Hafiy melepaskan ummi dan abah ke universiti. Hanya Allah sahaja yang tahu. Dan moga Allah jua menenangkan hati anak ummi abah. Insya-Allah bulan September nanti Hafiy akan mulakan sessi persekolahan di negara orang putih ini. Semoga Hafiy lebih tenang dan bersedia merestui ummi dan abah ke universiti.


Semoga ummi juga Istikhomah untuk update blog ini untuk tatapan anak-anak nanti......


Permata hati kami


4 comments:

nnmy said...

untung mereka dapat ummi dan abah yang sebegini..
untung jugak ummi dan abah dapat mereka yang penuh kebahagiaan dan keindahan..

izinkan aunti menumpang kasihh.....

melatiblossoms said...

You are always and most welcome auntie... semoga kita semua didalam rahmat Allah... hafiy dah tanya tanya 'gopren' dia... huhuhu

Ahliahnizam said...

Salam.

Err, tumpang tanye, tu gambo kat Lister Park, kat Bradford ke ?. Hmmm, tahun bila ye ??

mekasih

melatiblossoms said...

Salam, ahliahnizam,
tu kat listerpark tahun 2009 nie.... hehehehe

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails