"Ummi, Hasya wants the red things(sambal ikan bilis) with nasi lemak.", berselera Hasya menjamu nasi lemak hidangan kak zah (zaujah akhi Suzari) dipagi Ahad minggu lepas.
"Ehhhmmmmm, I like this nasi lemak so muchhhh... "Kakak pula bersuara selepas lebih kurang 5 kali tambah (sikit-sikit), hampir kering pinggan sambal ikan bilis dan juga hampir habis nasi lemak diperiuk. (3 keluarga menjamu nasi lemak kak zah hari tu -terima kasih daun keladi :))
Anak-anak gemar nasi lemak, Hasya baru mengenal nikmat makanan pedas sejak kebelakangan ini. Bagi Humaira pula, makanan pedas memang kena dengan seleranya. Maafkan ummi sayang, kebelakangan ini ummi jarang masak nasi lemak. Sebab, kalau ummi masak, ummi akan makan dengan bersungguh-sungguh, lepas tu ummi akan mengantuk dan susah untuk ummi hendak mengulangkaji pelajaran (mungkin psychology kot) dan semestinya berat badan menjadi isu. :). Penyelesaiannya, ummi amat jarang memasak nasi lemak.
Bila anak-anak dapat peluang bertemu nasi lemak, memang macam ummi tak pernah masak kan.
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Seingat-ingat ummi, ummi dan tok uda ke sekolah berjalan kaki, berdua saja, kalau dizaman sekarang amat bahaya untuk pelajar berumur 7 tahun dan 9 tahun berjalan sendiri ke sekolah. Masa zaman tu, Alhamdulillah selamat. Tok mak bekalkan ummi dan tok uda duit 20 sen seorang. Tok mak juga bekalkan kami dengan makan tengahari.
Berjalan menyusuri jalan raya di Bukit Selambau pada waktu itu sungguh tenang dan nyaman. Masih terbayang-bayang dan seperti terasa-rasa udara hembusan nyaman di Bukit Selambau. Kehidupan kampung yang indah. Masuk ke kelas, pelajaran bermula seperti disekolah lain juga. Pelajarnya pelbagai kaum, dan ada juga pelajar yang berbagsa Siam, salam satu bangsa yang ada di Bukit Selambau.
Bila tiba waktu rehat, tempat yang menjadi tumpuan sudah semestinya kantin sekolah. Paling ummi suka adalah nasi lemak kantin sekolah Bukit Selambau itu. Susah hendak digambarkan, walaupun sambal ikan bilisnya cair, timunnya entah ada entah tidak tapi itu juga yang sedap. Harganya 20 sen sepinggan. Ummi juga suka sangat dengan makanan ringan. Kalau ummi beli makanan ringan, ini bermakna hari itu ummi tak dapat makan nasi lemak, sebab duit yang tok mak bekalkan cuma 20 sen. Bekal yang tok mak beri kurang memangggil seperti nasi lemak mak cik kantin ni.
"Mak cik, saya nak nasi lemak satu, tapi saya tak ada duit lagi," terang ummi pada mak cik kantin yang berdiri ditingkap kantin.
"Saya boleh tolong basuh pinggan,"Ummi masih mencuba nasib.
"Betui ka, oklah kalau macam tuh, kalau habis makan nasi, adik basuh pinggan yang tu ok." Tunjuk mak cik kantin pada sebesen kecil pinggan yang belum berbasuh.
Kisah benar, mungkin umur yang sekecil itu, kemahuan lebih penting dari rasa malu untuk membasuh pinggan. Entah apa yang ada dalam fikiran ummi waktu itu, usah ditanya sebab memori dibahagian itu tidak melekat di kepala. Pekerjaan membasuh pinggan ini berlarutan sampai seminggu juga. Jadi, dapatlah ummi makan nasi lemak mak cik kantin, dan dapat juga ummi beli makanan ringan untuk dikongsi bersama mak teh. Pekerjaan membasuh pinggan ummi rahsiakan dari tok mak. Tapi, naluri ibu.
Tok mak rasa hairan, kenapa bekal yang diberi selalu tidak habis, dan ummi masih ada duit untuk membeli makanan ringan, tak laparkah anaknya ini disekolah? Sesi interogasi berlaku selepas tok mak merasakan ada yang perlu tok mak tahu. Mahu tidak mahu ummi terpaksa bongkarkan kisah bekerja sambilan membasuh pinggan untuk makan nasi lemak percuma. Aduhai, linangan air mata ibu yang tak dapat ummi tafsirkan waktu itu.
"Kita memang orang susah, mak tak boleh nak bagi lebih dari dua kupang (20 sen)," ringkas tok mak bersuara.
"Kak, kak nak makan nasik lemak hari-hari ka?" tanya tok mak pada ummi.
Ummi mengangguk rasanya.
"Kalau macamtuh, kak nak dak, kalau mak buat kacang goreng gaul sambal ikan bilis kering (kacang bilis pedas), kita pack, lepaih tu kak bawak pi juai (jual) kat sekolah?". Tok mak yang sudah habis tender berniaga dikantin pembinaan sekolah menengah, mengutarakan pelan perniagaan baru kami.
"Sepeket kecik ni sekupang (10 sen), kalau kak juai habis 10 peket, dapat seringgit, mak upah kak sekupang, kalau 20 peket dapat dua ringgit mak bagi upah 2 kupang," tawar menawar tok mak dengan ummi.
"Kalau dapat upah 2 kupang, tambah dengan duit sekolah 2 kupang , kak akan dapat 4 kupang (40 sen), boleh beli nasi lemak dengan keropok (makanan ringan), dua-dua sekali," Umpan tok mak untuk menjayakan misi perniagaan sambil menambah duit poket anaknya yang boleh tahan berbelanja ni.
Ibuku yang sangat bijak. itulah tok mak kalian wahai anak-anak.
Perniagaan itu dimulakan dengan kadar segera, dan mak cik kantin pun kehilangan seorang pembasuh pinggan.
Alhamdulillah seingat ummi, perniagaan kacang bilis pedas kami boleh tahan juga maju.
Sedari kecil lagi anak, ummi di ajar berdikari dan berusaha. Jika ada yang kita inginkan usahalah. Nilai yang ditanam oleh tok mak (ibu ummi) tanpa sedar. Walau hidup tidaklah mewah, di tahap susah, tapi hati sentiasa berbunga bahagia, jika tok mak mengalir air mata mengenang anaknya yang membasuh pinggan untuk makan nasi lemak, yang ummi ingat hanyalah kesedapan nasi lemak itu sendiri, tidak terlintas di ingatan tentang kesusahan . Waktu kecil yang sentiasa bersulam riang. Berkat dari Ilahi, Rahmat dari yang Esa.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------
InsyaAllah, ummi akan selalu buat nasi lemak lepas ni ya, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, DNA yang suka makan nasi lemak yang diwarisi anak-anak.