Thursday, 28 January 2010

Sisipan Memori - Ikan semilai, siput dan keladi sawah

Minggu yang sungguh meminta ummi kembali menelaah seperti ingin mengambil peperiksaan. Semasa di akhir peperiksaan pengajian master kami, ummi dan abah berbual dalam gembira, mengingatkan inilah study untuk peperiksaan yang terakhir kami, selepas ini tidak ada lagi peperiksaan besar (pelajaran) yang akan kami tempuh. Rupanya ulangkaji untuk teori kajian ummi ini lebih hebat dari ulangkaji untuk peperiksaan. Terima kasih buat suami yang penyayang dan amat memahami, panjang lagi perjuangan kita ini sayang. Terima kasih buat kak yong yang turut berkorban masa, anak-anak berkorban rasa. Semoga kita beroleh rahmat dari Ilahi. Terapi untuk diri yang sibuk adalah menulis dan menulis. InsyaAllah, didalam diri sentiasa berfikir, moga coretan-coretan ini ada yang mungkin boleh dibuat kenangan untuk anak-anak. Ingin ummi bercerita semua, selalu, namun kebanyakannya sukar untuk anak-anak merungkai maksudnya, ingin ummi tunggu anak-anak besar dan boleh menghargai cerita, tapi siapalah kita untuk begitu pasti yang kita akan masih bernafas sesaat lagi, ummi tinggalkan dalam bentuk tinta maya, mungkin satu hari kalian akan baca dan akan berdoa buat ummi dan abah InsyaAllah.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Setiap petang ummi dan to uda akan turun ke kawasan sawah padi diseberang jalan dari rumah kami. Kami akan melalui rumah kampung, ummi dah tak ingat nama pemiliknya, kawasan rumahnya luas, terdapat pokok-pokok bunga yang ditanam indah. Bunga raya, bunga mawar dan bunga kertas, kemas. Rumah kampung yang tenang.

Sawah padi inilah padang mainan kami. Ummi tidak berapa ingat samada ada kawan-kawan yang lain atau tidak, seingat ummi tok udalah yang hebat waktu itu. :)

Kegemaran kami adalah menangkap ikan semilai (ikan laga). Warna ikan semilai yang sungguh cantik bila dimasukkan kedalam botol. Yang jantan berwarna kehitaman, yang betina berwarna kemerahan. Ikan jantan cantik dan kuat. Ikan karen pula ada berbagai warna, hijau, biru dan kemerahan.
Kami mencari-cari kawasan yang berbuih-buih di sawah, berjalan perlahan-lahan dan menunduk dalam setiap petak sawah, berhati-hati takut terlepas kawasan berbuih. Ikan jantan selalunya buih diatasnya berwana seperti karat buih. Yang betina pula buihnya lebih cerah. Bila berjumpa dengan buih-buih begitu, kami akan 'scooped' kawasan buih dan bawahnya menggunakan kedua-dua belah tangan. Selalunya ada ikan semilai yang dicari. Ikan-ikan itu kemudian akan dimasukkan ke dalam plastik yang di bawa. Selesai misi ikan semilai. Pulang? tidak lagi.


Misi seterusnya adalah mengutip siput sawah. Siput yang menjadi kegemaran sekeluarga bila di buat masak lemak. Bila musimnya itulah yang kami akan cari, jimat belanja dapur. Bergeraklah kami dari satu petak sawah ke satu petak lagi mengutip siput. Bila dah cukup satu plastik, kami akan berhenti dan bergerak untuk pulang. Tok udalah mandor memantau sama ada siput sudah cukup atau tidak. Bila sampai dihujung sawah berdekatan dengan rumah pesawah, selalunya ada tali air, di antara hujung petak sawah dan tali air selalunya akan ada keladi sawah yang tumbuh.

"Kakak, kita kutip pucuk keladi dulu ok, mak kakak pesan tadi, nak buat ulam malam ni," tok uda bersuara, dan sudah semestinya tok uda yang sangat suka ulam ulaman ini. Keladi pula kami kutip.

(kredit sumber)

" Pak uda, kaki kakak berdarah," adu ummi pada tok uda. Bila melihat lelehan darah pada buku lali ummi.

"Ok, kakak, duduk diam-diam, pak uda nak pi cari ranting," Usul tok uda tenang.

"Ok, tarik kaki seluaq kakak tinggi sikit, tengok belah lain ok, " panik bermula.

"Pak uda, lintah ka?,eeerrrrrr, " panik mula menyerang

"Tak pa, tak pa pak uda buat. Jangan panik, " tok uda menenangkan sambil menarik lintah yang hampir kenyang dibetis kaki ummi.

Kemudian,lintah itu tok uda cucuk dengan ranting ke tanah. Darah merah mengalir keluar dari lintah tersebut. Bekas gigitan di betis masih lagi berdarah.

Sesampai saja dirumah. Sesudah selesai membersih diri, tok mak pun menyapu minyak gamat dibetis ummi. Ikan semilai semua sudah siap tok uda masukkan dalam botol, satu botol seekor. Kemudian botol diletakkan bersebelah. Bermulalah sessi ikan mengembang dan cuba berlaga kearah botol untuk berlawan dengan ikan di dalam botol satu lagi.

"Tak baik, buat ikan macam tu, anaiya dia. Berdosa kita. Kalau nak tengok ikan tu cantik, tok sah lah buh dekat2 nanti dia dok belaga botol habih pecah mulut dia." Pesan tok mak. Baik mak. Anak dan adik yang taat. Ikan di asing jauh.

Malam itu, lauk kami, siput sawah masak lemak, pucuk keladi sawah rebus bersama air asam yang dipicit cili, belacan dan bawang potong (orang kedah panggil air asam, saja). Ikan gelama kering goreng pasti tidak dilupakan.

Rezeki yang dikurniakan oleh Allah bagi orang-orang yang mahu berfikir dan membaca tentang alam Allah. Ibu yang bijak dan berhemah, tok mak.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Anak, waktu dan ketika ini ummi dan abah tak mampu menyediakan padang permainan yang luas selayak sawah padi yang ummi jejaki, tapi ummi pasti kebesaran Allah itu dapat di baca dalam setiap nafas yang kita sedut, dan dalam setiap lengguk pohon ditiup angin walau dimana kita berada, semoga anak-anak sentiasa belajar cerita alam dan menghargai nikmat kurniaan yang Maha Besar dan Maha Berkuasa. Allahu Akbar.

8 comments:

aha said...

makcik main dengan maksu..dan patung kertas

Hizamel said...

Moga-moga satu hari nanti kita boleh bawak anak-anak kita ke sawah bendang untuk mengimbau kembali kenangan indah ummi. Abah pun tak pernah rasa main kat sawah bendang. Selalunya main di padang bola SKBD atau di padang bola di masjid Saidina Umar, tak pun main street soccer di Lorong Setiajasa 2 depan rumah bersama kawan-kawan.

haswida abu bakar said...

terliur nya...

musim anak padi sedang subur menghijau...masa tu sedap menangkap siput sedut di tali air bendang...bataih ban.

Teringat musim acara laga ikan karen...cara dia cuma dekatkan dua botol..dan tengok ekor sapa paling kembang dan cantik.

melatiblossoms said...

mak cik: hehehehe betul ker patung kertas saja, bukankah dengan tongkol kayu yang dianggap anak patung jua..?? dan bukankah dengan mak yang diajak bermain masak-masak dan tali lompat(zero point) juga... hehehehe next entry ok..

sayang: hehehehe, boleh ker tahan pegi bendang (sawah), tak ngeri ker ngan lintah?

kak ayu: sangattttt... sangat terliur hehehehe, sabaq sabaq, balik nie kita start activity bawak anak-anak dan incik suami melawat sawah bendang wokay....

cikseri said...

Ummi, kat kampung ibu tak dak bendang..kami duduk kat kawasan kebun nyoq n koko. Tapi aktiviti mencari ikan laga tetap ada. Yang menyampahnya, bila kami (ibu n kazen2) scooped buih2 tu, yang daptnya teluq katak.. cesss...!!! Ada sekali, kami tangkap sampai belas2 ekoq..tak cukup botoi punya pasai, habis botol sos yang masih ada isi kami kerjakan.. hahaha.. akibatnya..?? kazen lelaki kena piap la..tapi ibu tak kena sebab ibu cucu paling bongsu time tu.. tok tak tau, cucu bongsu dialah yg jadi master mind... syyyy...

melatiblossoms said...

ibu, hahahaha, memang indah kan hidup dikampung, tak sabaq nak balik dan meng'expose'anak-anak pulak, oooo mastermind noo.. hehehehe tak pa tak pa rahsiamu kusimpan kemas

Latifah said...

seronok baca pengalaman puan...

melatiblossoms said...

bacalah dengan membuka mata hati, semoga anak-anak saya juga dapat membaca dengan mata hati satu hari nanti.

p/s: ni anak juga kan... anak didik

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails