Saturday, 24 October 2009

Sisipan Memori- Biji cempedak rebus dan buku cerita….

Hari minggu di rumah tok sangat meriah, selalunya tok mak dan tok wan serta mak teh akan pulang ke Bakar Kapor, di tambah pula dengan tok cik Wan Salim dan Tok Cik Natrah sekeluarga, sepupu ummi mak ngah intan dan pak long own akan datang rumah tok. Berkelah (nota: berkelah untuk orang utara adalah makan nasi beramai-ramai bersama keluarga tak kira di mana, dan tidak hanya tertakluk di pantai… sebab selalunya bila kita sebut berkelah yang terbayang adalah berkelah di pantai) beramai-ramai. Masa inilah juga masa yang sesuai untuk beramah mesra bersama keluarga.


Kebetulan ketika itu musim buah-buahan. Tok mak tinggal di Bukit Selambau, tanah kampung yang tok beli bersama dengan dusun buah-buahan nya. Tok mak pulang bersama-sama hasil buah-buahan kampung. Ada rambutan, langsat, durian dan juga cempedak. Buah cempedak selalunya digoreng, memang sedap, rindunya ummi pada cempedak goreng. Isi cempedak dimakan, bijinya kami kumpulkan dalam satu bekas. Bila bekas dah penuh, biji-biji tu kemudiannya direbus bersama sedikit garam. Jadilah satu kudapan yang enak.


Mak ngah Intan yang 4 tahun lebih tua dari ummi, adalah seorang idola ummi ketika tu. Mak ngah intan cantik, pandai baca buku cerita tebal-tebal. Memang hebat sangat mak ngah intan di mata ummi. Orang pandai baca buku , mesti ramai orang suka, fikir ummi. Selalunya, sebelum biji cempedak rebus dimakan, kulit berwarna coklat harus dikupas dahulu. Ketika ini, satu tangan mak ngah akan mengupas biji cempedak, dan satu tangan lagi memegang buku ceritanya yang tebal. Ummi akan duduk sebelah mak ngah dan akan mendengar mak ngah membaca buku ceritanya.


Gembiranya hati ini bukan kepalang. Macam-macam buku cerita dan bermacam-macam cerita, terasa seperti berada didalam cerita itu sendiri. Ketika buku cerita berkenaan Heidi dibaca, terasa seperti berada bersama Heidi dan datuknya dipergunungan Alps, memelihara biri-biri. Ketika cerita berkenaan Robinson Crusoe didengarkan, seperti berada dipulau yang penuh dengan hasil kraftangan Robinson pula. Sungguh pandai mak ngah, ummi nak pandai baca buku macam mak ngah juga.


Minggu ini dapatlah lagi ummi dengar mak ngah baca buku cerita lagi.

“Intan, hampa (ganti nama diri untuk: awak) nak baca buku apa hari ni?” Tanya ummi pada mak ngah

“Minggu nie kami(ganti nama diri: saya) nak baca buku pasai (berkenaan) Hang Tuah,” jawab mak ngah.

“Bestnya, kami nak duduk sebelah hampa tau….” Pinta ummi.

“ Boleh, tapi kami nak baca dalam hati, penat baca kuat-kuat, kami dah pandai baca dalam hati…,” terang mak ngah.

“Baca dalam hati tu macammana?” Tanya ummi lagi

“Baca dalam hati tu, baca tak keluar suara,” jawab mak ngah lagi.

“Kami tak boleh dengaq lah cerita tu,” Tanya ummi lagi.

Mak ngah mengangguk.


Sedihnya rasa hati bukan kepalang, umur ummi ketika itu lebih kurang 5 tahun. Kanak-kanak ketika itu memulakan sessi pra-sekolah ketika berumur 6 tahun. Jarang anak yang berumur 5 tahun yang sudah pandai membaca macam kakak Humaira, Hasya dan kanak-kanak lain sekarang ini.


Menangislah ummi didalam bilik. Tidak dapat mengembara bersama dengan Hang Tuah. Tok masuk bilik untuk solat.


“Pasai apa cek nangis nie?” Tanya tok

“Intan nak baca buku dalam hati, tak mau keluaq sogha (suara), kalau keluaq sogha, penat, dia kata. Cek nak dengaq ceghita tu..” adu ummi pada tok.

“oooo, cik mau dak (tak) kalau cek pandai baca buku macam kak intan? ..” soal tok.

“Kalau cek pandai baca buku, cek tak payah tunggu oghang lain baca buku kat cek, semua buku cek boleh baca..” terang tok pula.

“Cek mau, cek mau…” kata ummi bersungguh.


Bermula saat itu, tok Rokiah pesara guru, bersungguh-sungguh mengajar ummi, cucunya untuk membaca buku. Teknik yang digunakan tak pula ummi ingat. Seingat-ingat ummi, ketika masih berusia hujung 5 tahun ummi sudah boleh membaca surat khabar. Alhamdulillah. Terima kasih tok. Murabbi ummi yang pertama. Bermula saat itu juga ummi mula gemar membaca buku, sehinggalah buku-buku tentang nabi-nabi dan sebagainya. Terima kasih Intan sebab baca buku dalam hati, dengan itu tergeraklah hati tok untuk ajar kami baca buku. Dimana ada kemahuan di situ ada jalan, anak-anak. Gerakkan mahu pada sesuatu yang membawa kebaikan dan yang dapat menjadi ibadah bagi kita. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.


Ya Allah, ampunkanlah dosa tok, tenpatkanlah tok bersama-sama orang-orang yang beriman. Aameeen…..

4 comments:

Unknown said...

memang best makan bijik cempedak, tapi lepaih tu siap sedia laa... peghut beghangin... he he he

melatiblossoms said...

memang betui, hehehehe lepas tu berpesta bunyi dan bau ihihihihi

Hizamel said...

Buah cempedak dan bijinya antara buah fav abah.. kat UK ni tak de buat cempadak.. nasib baik lah masa balik Mesia masa melawat mama hari tu dapat makan buat cempedak yg Mak Tok bagi dan dapat jugak bawak balik cempedak goreng sikit ke UK untuk dimakan bersama-sama sayang dan anak-anak..

Best-best cerita ummi, moga dapat anak-anak membaca dan ingat kisah umminya bila besar nanti...

melatiblossoms said...

InsyaAllah, sayang.. semoga anak-anak dapat mengutip sedikit sebanyak cerita kita....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails