Friday, 30 October 2009

Sisipan Memori - Tadika masjid gelongsornya satu

Genap usia 6 tahun, giliran ummi untuk memasuki alam pra persekolahan. Tadika yang ada ketika itu adalah tadika yang disediakan di Masjid Abdul Rahman, pekan Sungai Petani. Gembiranya hati bukan kepalang. Kebanyakan kawan-kawan sekampung ummi dah ramai masuk ke tadika itu sejak tahun lepas lagi. Rengekan ummi nak masuk ke tadika itu tahun lepas memang tak di layan.

Tadika tersebut mempunyai dua kelas. Satu kelas di tingkat bawah dan satu di tingkat atas. Ummi tak ingat kelas ummi yang mana satu. Yang paling ummi ingat adalah tempat permainan di tadika tersebut. Satu gelongsor di bawah pokok 'pine'. Itu sajalah yang kami ada di tadika tersebut. Setiap kali waktu rehat, kami akan bergilir-gilir mengambil giliran untuk main gelongsor tersebut. Ummi tak pernah naik gelongsor ditempat lain. Inilah satu-satunya peluang untuk ummi naik gelongsor sepuas-puasnya. Kalau ramai sangat ahli gelongsor, ummi akan pergi mengutip buah 'pine' yang bergelimpangan dan bawa balik kerumah. Seronoknya bukan main-main.

Ummi paling suka makan nasi lemak yang di jual oleh seorang nenek di situ. Kalau boleh hari-hari ummi nak makan nasi lemak mak cik tu.

"Cek, cek bawak bekallah na, tok masak ayam goreng mau dak?" Pujuk tok
"cek tak mau, cek nak makan nasik lemak tok cik tu", Rayu ummi. Dan seperti biasa tok memang mengikut saja kemahuan ummi.

Seperti orang selalu kata, ibubapa selalunya bertegas dengan anak-anak sebab tugas mereka untuk mendidik anak-anak menjadi orang berguna. Bila sampai kepada cucu, mereka akan memanjakan bersungguh-sungguh, kerana bukan tugas mereka lagi untuk bertegas, tugas ibubapa cucu mereka pula, giliran mereka memanjakan dan bermanja dengan cucu-cucu mereka.

Kisah kesukaan terhadap nasi lemak tidak habis di sini, nasi lemak akan menyusul lagi semasa ummi di darjah satu.

Pelajaran yang paling ummi suka ialah matematik, suatu benda yang agak baharu buat ummi. Rupanya, banyak lagi benda lain selain dari membaca yang ada di dunia ini. Kita kena pandai mengira, pandai mengaji, pandai menyanyi juga. Itulah kesimpulan yang dapat ummi buat ketika itu.

"Cek, memang kena belajaq kira, kalau tak pandai kira macamana cek nak pi beli kat kedai cina belakang? kalau cek tak pandai kira nanti senang orang tipu." terag tok dengan ringkas.

" Cek kena pandai ngaji, orang pandai ngaji masuk syurga, dalam syurga cek boleh dapat semua benda yang cek nak," tok melancarkan motivasi.

"Dalam syurga ada aiskrim conetto dak tok?" tanya ummi tentang aiskrim kegemaran, yang jarang-jarang dapat ummi rasa.
"Ada, sungai dari aiskrim pun ada kalau cek mintak." Seronok bukan kepalang bila ummi dengar jawapan tok.

"cek kena pandai nyanyi, sebab tok nak dengaq cek nyanyi sedap-sedap kat tok, kat tok sorang na," Pinta tok.

Begitulah tentang ilmu, ilmu Allah terlalu luas, walau pandai membaca diusia 6 tahun, banyak lagi benda yang ummi tak pandai. Sampai bila-bila pun akan ada ilmu baru yang harus kita pelajari. Berusahalah mencari ilmu di dunia ini, moga menjadi bekal kita di alam akhirat. InsyaAllah.

2 comments:

Unknown said...

tahun berapa tadika kt situ?

Unknown said...

tahun berapa tadika kt situ?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails