Monday, 30 November 2009

Blossoms Memory - Anak :Kasih yang tak bertepi.......


Ya Allah, sejahterakanlah pengunjung blog ini dengan rahmatmu dan siramilah hidup mereka dengan barokahMu ya Allah,

Humaira dengan Hasya sungguh-sungguh teruja untuk menulis kembali di blog mereka. Alhamdulillah, semoga mereka istiqamah. Harapan ummi dan abah, semoga dengan berlatih menulis sebegitu akan menajamkan lagi pemikiran dan akan melatih mereka untuk menyusun ayat dan ejaan mereka. Biar pendek-pendek entrinya tapi ada saja perkataan baru yang mereka belajar.

Humaira, diusia 7 tahun dan berada di tahun 3 disini Alhamdulillah sudah banyak penguasaan 'vocabulary'nya dan ayat-ayatnya juga sudah cantik disusun. Cuma nahunya saja perlu diperhatikan, 'present tense'nya, 'past tense'nya. Kalau bab berkomunikasi memang hebat anak-anak disini, kritis juga pemikiran, keyakinan diri yang tinggi, bila didengar-dengar perbualan mereka, rupanya grammarnya tunggang langgang, :):):). Semoga Allah kurniakan istiqamah dalam menulis ya bunayati.

Minggu Festival di Quarry Mount Primary school. Humaira dan dua lagi rakannya dipilih untuk membaca tentang Guru Nanak. Pengasas Sikhism. Hati ummi abah kembang penuh terasa, mendengar permata hati berbicara penuh semangat sebagai 'narator' tentang cerita guru nanak, sambil sebahagian kawan-kawan melakonkan seperti pentomim. Macam comparative religion study. Terdetik di hati tentang bagaimana penerimaan anak-anak tentang kepelbagaian agama yang mereka belajar. Nampaknya kena cepat latih tubi bercerita tentang kehebatan Islam dan ketauhidan kepada Allah s.wt.

"Yang, abang pulak yang nervous tadi waktu Humaira nak baca tentang cerita Guru Nanak tu, lagi-lagi bila abang tengok teks yang Humaira pegang tu panjang jugak." komen abah waktu ummi dan abah berjalan semula ke universiti.

"Kelakar lah abang ni, " sambil ummi ketawa kecil. Yang sebenarnya ummi juga berperasaan yang sama. Jangan marah ya Habibi...

Cuma terkilan, kami ibubapa tidak dibenarkan merakam semua persembahan anak-anak, kerana ada isu tentang 'pictures security' di UK ini. Akan ummi rakam dalam kotak memori. Semoga kakak terus berjaya ya Humaira.

Hasya dan kawan-kawannya pula menyanyi berkenaan dengan musim menuai 'harvest season' persembahan ini digabung, tahun 1 dan tahun 2. Ummi boleh nampak Hasya masih malu-malu, ummi tetap bangga dengan Hasya, kali ini Hasya menyanyi dengan suara yang ummi boleh dengar dan dapat pula ummi dan abah cam. Balik nanti Hasya nyanyi untuk ummi lagi ya. Minggu ini Hasya begitu obses untuk membaca buku. Setiap hari pasti ada buku yang dibawa dan minta perhatian ummi atau abah untuk mendengar bacaannya. Alhamdulillah, Hasya dah boleh membaca kebanyakan ayat-ayat panjang dalam bahasa Inggeris. Teruskan membaca ya sayang.

Hafiy Addin Hizamel, budak bijak yang bertuah. Sekarang dah tak menangis kalau pergi ke sekolah. Akalnya bijak dan panjang sekali. Baru-baru ini, bangun pagi, ummi rasa badan Hasya panas, ummi pun bagitahu Hasya tak perlu kesekolah. Hafiy yang jaga-jaga ayam terjaga dari tidur dan tiba-tiba batuk-batuk (yang dibuat-buat)

"Hafiy batuk ummi, Hafiy tak leh gi school", kata Hafiy. Bijak-bijak, ponteng sekolahlah hari tu.

Bila auntie noni telefon, Hafiy berbual-bual dengan auntie noni seperti biasa, kedengaran sihat katanya, bila ditanya kenapa tak pergi kesekolah, Hafiy terus batuk-batuk. Anak, anak.

Hafiy juga seorang yang manis mulutnya. Semua orang tahu 'girlfriend' Hafiy ialah auntie noni. Sayang sungguh Hafiy pada auntie noni. Sabtu yang lepas, terubatlah rindu Hafiy buat auntie noni, bila kami membawa dia singgah dirumah auntie noni. Dapatlah juga ummi dan abah tumpang solat.

"Hafiy kat sekolah Hafiy, Hafiy kawan dengan siapa?" tanya auntie noni pada Hafiy.
"Amirul," Jawab Hafiy.
"Kawan perempuan Hafiy siapa?" Tanya auntie noni.
"Hafiy tak da kawan perempuan, sebab Hafiy dah ada girlfriend, girlfriend Hafiy, auntie noni lah.... ". Jawapan Hafiy yang membuatkan semua orang ketawa. Manis sungguh mulut anak ummi ni......

Membesarlah anak, menjadi anak soleh, semoga menjadi daie-daie masa depan. Bangunlah menyinsing seperti fajar pagi yang bakal menerangi seluruh harinya......


(kredit sumber)

Monday, 23 November 2009

Sisipan Memori - Kayu api cendawan sisir


"Sayang, kalau lamb chop nie masak dengan arang lagi sedap kan?" kata abah ketika ummi ingin memanggang lamb chop di bawah api 'grill'.
"a...a. kan sayang lagi sedap ni, tapi mana nak cari arang, dah nak masak, nak makan nie.' ummi menyambut cadangan abah sambil tersenyum.

Teringat sungguh ummi dengan aktiviti di Bukit Selambau setelah berpindah dari Sungai Petani. Aktiviti hidup yang sungguh pelbagai.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

"Jom kita pi cari kayu api nak? Kayu api kat rumah dah nak habis" cadang tok mak (mak ummi) pada satu hujung minggu.

Dua tiga hari lepas hujan, hari nie nampak panas, mesti ranting-ranting getah yang jatuh dah kering. Tak sabar rasanya. Memang menyeronokkan. Aktiviti yang ditunggu-tunggu.

Tok mak menyorong basikal tuanya turun bukit dari rumah ke jalan besar, tangan ummi di pimpin oleh tok uda (adik bongsu tok mak (sebapa) yang hanya tua dua tahun dari ummi, yang tinggal bersama), mak teh pula membonceng basikal tua tok mak. Kami berjalan beriringan untuk pergi ke kebun getah berdekatan. Tok mak dah siapkan bekal tengahari didalam raga basikal. Jalan raya di Bukit Selambau ketika itu masih lengang. Indahnya alam ciptaan Allah, kehijauan sawah bendang dikiri jalan, dikanan jalan rumah-rumah kampung dengan kebun buah-buahannya.

Kami berjalan sambil menghirup udara pagi yang segar sesegar-segarnya, sambil berbual-bual kosong. Kem Rela hanya tinggal beberapa meter sahaja lagi sebelum kami lepasi. Dan ini bermakna, kebun getah juga hanya tinggal beberapa ratus meter sahaja lagi. Keriangan mula terasa. Terbayang-bayang, berlari-lari dicelah deretan pokok-pokok getah tua yang tinggi dan lurus dan saujana mata memandang. Bagi seorang anak yang berusia sekitar 7 tahun ketika itu, kebun getah itu terlalu luas pada pandangan mata ummi.

"Kita dah sampai, kita pi tengah sikit na hari nie, nanti mak tunjuk satu benda.." suara tok mak memecah sunyi.

Nampaknya ada surprise nih. Bergeraklah kami masuk ketengah kebun. Mak menyorong basikal dengan perlahan-lahan, nampaknya daun kering yang jatuh dan ranting-ranting kecil menyukarkan pergerakan basikal kami.

Tok mak berhenti, " Jom kita mula kutip ranting yang besaq-besaq(besar-besar) sikit dan kering nie.." Usul tok mak.

Selalunya kalau ada tok wan (abah ummi), tok wan akan bawa motosikal dan yang lain menuntun basikal. Tok wan lebih suka dahan yang lebih besar, lebih cepat kutip dan lebih lama pakai. Tok wan akan mengangkut dahan getah dengan motosikal dan dahan-dahan itu akan dibelah dirumah, untuk mendapat kayu api yang saiznya berpatutan.

Tok mak dan tok uda mula mengutip ranting, ummi dan mak teh pula bersiar-siar berdekatan dengan tempat tok mak mengutip kayu api. Proses eksplorasi bermula. Plastik kosong dalam raga basikal ummi keluarkan, ummi dan mak teh mula mengutip daun getah kering, dan juga biji getah yang tua. Ada permainan biji getah yang akan ummi cerita kan di entri yang lain.

"Jom kita pi kat sana sikit na..." cadang tok mak.
"Cuba tengok nie.... " tunjuk tok mak pada deretan makhluk Allah pada sebatang dahan besar getah yang lembab di atas tanah.
"Ni nama dia kulat(cendawan) sisiaq(sisir).... sedap ni kalau buat gulai. " Terang tok mak.
"Banyak nie, jom kita kutip na... " Ajak tok mak.

Kami mula mengutip cendawan-cendawan sisir yang banyak diatas dahan pokok getah jatuh yang lembab. Selepas habis satu dahan, kami mencari disekitar untuk cendawan sisir di dahan yang lain. Banyak sungguh hingga memenuhi beg plastik besar. Tok mak berpesan untuk mengutip cendawan sisir yang besar-besar sahaja, yang kecil-kecil jangan dikutip katanya, itu baru anak-anaknya.

Selepas selesai mengutip cendawan, kami bergerak menuju ke sempadan kebun getah dan kebun kelapa sawit. Kelapa sawit baru diteroka, pokok-pokoknya masih kecil. Di sempadan kebun-kebun ini mengalir satu anak sungai yang sangat jernih. Terlihat anak-anak ikan berenang-renang didalam anak sungai itu. Sungai yang agak cangkat, setakat peha ummi yang berumur 7 tahun itu.

"Nak makan dulu ka, nak mandi dulu? " Tanya tok mak.

Sudah semestinya mandi yang dipilih, jala kecil yang dibuat tok wan dibawa bersama tadi digunakan sebaik mungkin untuk menjerat anak-anak ikan kecil.

"Anak ikan tu lepas semula tau" Tegur tok mak dari atas.
"Pak uda, cuba sauk(jala) udang tepi tebing tu..., dengaq kata sini ada udang kecik-kecik.. boleh buat masak dengan kulat sisiaq tadi" Cadang tok mak lagi.

Rupanya banyak udang bersaiz kecil dicelah-celah rumput dihujung tebing. Tak tahu pula ummi, apa nama udang tersebut.

Selesai semua riadah kami hari itu, maka berjalanlah pulang kerumah sebelum waktu asar. Kayu-kayu api disusun kemas dibelakang basikal dan diikat dengan tali getah panjang. Pak uda mengayuh basikal pulang. Tok mak memimpin tangan ummi dan mak teh perlahan-lahan disepanjang jalan.

'Maka melatalah makhluk Allah diatas muka bumi mencari rezeki yang telah ditulis ke atas masing-masing'


Dan rezeki ummi sekeluarga hari itu adalah gulai cendawan sisir bersama udang yang disauk tok uda. Sedapnya bukan kepalang, terasa seperti makan kari daging yang disiat halus. Terima kasih Allah atas nikmat makan yang Engkau kurniakan. Terima kasih Allah kerana Engkau mengurniakan kepadaku ibu yang pintar dan bijaksana.

Terima kasih tok mak, pengalaman hidup ini, akan anakmu kenang selagi akal memberi sinar, dan semoga generasi kita akan mengenang betapa indahnya hidup walau bersederhana.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah lamb chop malam itu selamat di hadam walaupun dipanggang di grill sahaja. Nampaknya sedap jugak, sebab anak-anak belum pandai banding-bandingkan rasa lamb chop yang dipanggang diatas arang dan di'grill' sahaja.

Thursday, 19 November 2009

Blossoms Memory - Abah, what is 'The Hajj'?


(sumber-google search)

Anak-anak telah dihadiahkan dengan buku kanak-kanak berbahasa Inggeris selepas habis kelas hafazan Al-Quran di Leeds Grand Mosque dua hari lepas. Hasya dapat buku bertajuk'The Hajj' dan 'The Shahadah', Humaira pula buku 'The picnic', dalam bahasa Arab dan Inggeris.

Balik dari masjid, Hasya buka beg ummi dan keluarkan bukunya. Dia cuba membaca, kemudian abah datang dan duduk disebelah Hasya untuk menonton TV, kekusyukan abah di kejutkan dengan pertanyaan Hasya.

"Abah, what is 'The Hajj'?"
"Can you read me this story, abah.. please"

Seperti selalu, permintaan anak-anak memang jarang sekali abah tolak, melainkan pada perkara yang memudaratkan. Ummi yang baru habis memasak memasang telinga.

Cerita abah telah sampai kepada saei di Bukit Safa dan Marwah, abah membuka cerita tentang Siti Hajar yang ditinggalkan di padang pasir yang tandus atas arahan dari Allah s.w.t. d Nabi Ismail yang ketika itu masih kecil, menangis-nangis kelaparan dan dahaga. Atas naluri ibu yang penuh kasih sayang, maka berlari-larilah Siti Hajar ke bukit Safa yang terdekat untuk meninjau kalau ada sumber air yang terdekat, malangnya tiada kelihatan setitis air pun. Maka, berlarilah ibunda siti Hajar ke bukit Marwah yang dari jauh kelihatan fatamorgananya seperti lautan air disitu. Tetapi semuanya ilusi mata dan kepanasan gurun tandus. Dari bukit Marwah terlihat sepertinya bukit Safa itu penuh dengan air. Berlari lagi Siti Hajar dari Marwah ke Safa, dalam keletihan itu juga fatamorgana. Berlarilah Siti Hajar sebanyak tujuh kali dari Safa ke Marwah, dan bila tiba semula ke Safa pada kali ketujuh nya, terlihatlah oleh Siti Hajar, bumi dibawah kaki Nabi Ismail mengeluarkan air.

Dan air itulah dikenali sebagai air zamzam. Dan sebagai mengingati betapa bersusah payahnya pengorbanan Siti Hajar sanggup berlari di panah panas mentari atas nama kasih sayangnya pada seorang anak yang dahaga dan kelaparan, ritual sa'i itu termasuk dalam salah satu rukun sah haji. Kasihnya ibu berkorban nyawa...... Kasihnya bapa berkorban segala......


(sumber-google search)

"Do you remember kakak, when we went to Makkah, you ran across the path for the Sa'i" tanya abah
"I can't remember, I was too small" jawab kakak
"Where was I and where was Hafiy when you go to Makkah?" Tanya Hasya
"You were all still with Allah," jawab abah

Tersenyum semua orang. Perbincangan terus berjalan antara abah dan anak-anaknya. Dan tika itu bahagia menyusup kedalam kalbu.... Terima kasih Allah, kau kurniakan imam keluarga yang membahagiakan jiwa.

Membesarlah anak, belajar menghargai sejarah, belajar bagaimana sejarah mengajar. Belajarlah anak, bagaimana susah payahnya pengorbanan orang-orang yang berkorban kerana Islam. Dan ketahui juga pengorbanan itu galang gantinya akan dibuktikan dengan Ar-Rahimnya Allah didalam syurga nanti. Itu janji Allah. Tidak tercapai dek akal membayangkan betapa Ar-Rahimnya Allah nanti.


(kredit sumber)

Friday, 13 November 2009

Memori Berjuang - Doa

Selamat sejahtera buat semua,

Seperti hari-hari jumaat yang berselang lain, hari ini adalah giliran ummi untuk temujanji dengan penasihat Phd ummi. Perbentangan 'project progress' berjalan lancar, Alhamdulillah kerja-kerja ummi selama 6 bulan selepas 'semiconductor laser' sampai telah menampakkan hasil yang memberangsangkan. Perkataan syukur tidak dapat menggambarkan perasaan ummi atas Ar-Rahman nya Allah. Ilham yang dikurniakan dalam masa beberapa minit sahaja telah membuahkan hasil pada kerja yang dilakukan selama 6 bulan. Tak dapat ummi bayangkan, tanpa ilham dari Allah itu pasti, kerja-kerja ummi masih'drifting' dari 'target' sebenar. Sungguh, ummi merasai kasih sayang dan rahmat dari Allah itulah sebenarnya penyebab membuahkan hasil. Masih panjang lagi perjalanan ini. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah terus-terusan membaluti diri dan abah untuk perjalanan fisabilillah ini.

Selalu mendengar celoteh kawan-kawan,

"Phd is about your relationship with Allah, total surrender and doa yang banyak."

Ada kawan arab ummi yang telah menyiapkan phd beliau dalam masa 2 tahun 4 bulan dalam bidang perubatan. 'Double doctor' lah yek? .

"You must have been working so hard." teka ummi.
"No, actually phd is not about working so hard, those people told me that I am so lucky that my project went smoothly as targeted. And all the aspected results turn out to be true and according to the theory." terang beliau.
"But, for me it is not luck, it's all coming from Allah, Allah gives us ilham, ideas. It's all about how you bond with Allah.".

Subhanallah, Apa lagi yang harus ummi katakan melainkan Subhanallah.

Dengan diri yang menyebut tentang sepertiga malam, tapi masih hanya pada sebutan, namun masih terasa kasih sayang Allah menyelimuti. Kisah kerja 6 bulan yang Allah ilhamkan jawapannya dalam masa beberapa minit sungguh-sungguh amat mengesankan di hati tentang kebesaran Allah S.W.T. Sungguh rasa malu pada yang Mencipta. Yang memberi akal. Sedarlah diri, selalu diuntung. Semoga hidayah terus melimpah.

"Nikmat Allah yang mana lagikah yang hendak kita dustakan?"

-------------------------------------------------------------------------------------------------

"You've submitted your first year thesis, so I think we'll arrange your transfer exam for next week, or week after." tiba-tiba Prof. Giles Davies yang sejak tadi hanya menjadi pendengar setia bersuara.

"er, OK". nak kata apa lagi ya, Selain OK. Sambil tersenyum.

Setiap pelajar phd di university of Leeds dikehendaki untuk melalui 'First Year VIVA examination' untuk menentukan tahap kemampuan kita untuk meneruskan pengajian Phd atau pun hanya diperingkat MPhil. Giliran ummi tidak lama lagi. Kira-kiranya, bagi kebanyakan pelajar, VIVA ini sepertinya VIVA yang sebenar selepas 3 tahun.

Ummi pohon doa dari anak-anak dan sahabat handai dan rakan taulan, semoga Allah memudahkan urusan yang besar ini. InsyaAllah, aameeen.


Thursday, 12 November 2009

Blossoms Memory - Nyanyian hati

Simulasi projek abah bergerak perlahan kebelakangan ini. Kerja menjadi perlahan dengan kesukaran mencari 'fabricator' untuk 'antenna design'nya. Banyakkan doa sayang, Allah pasti mendengar, banyakkan merintih pada yang Esa, bukan pada siapa-siapa.

Jarang ummi lihat abah layari 'youtube'. Hari ini abah nampaknya akrab dengan youtube. Buntu sungguh agaknya, atau terlalu perlahankah simulasinya?

"Sayang, pernah dengar lagu sami yusuf?" tanya abah
"Pernah", jawab ummi, kemudia abah diam.

Ummi berlalu masuk ke makmal. Pulang saja dari makmal ummi menjenguk abah di mejanya,

"Ehmmmm Yusuf Islam"tegur ummi.
"Best yek lagu ni sayang," tegur ummi lagi.
"Abang nak nyanyi lagu nie untuk anak-anak,"cerita abah sambil tersenyum-senyum.
"Ok tu, bagus lagu nie.....", giliran ummi tersenyum
cerita abah hari ini yang sentiasa merindui anak-anak bertuah .



(kredit sumber)

Father
It's not time to make a change,
Just relax, take it easy.
You're still young, that's your fault,
There's so much you have to know.
Find a girl, settle down,
If you want you can marry.
Look at me, I am old, but I'm happy.

I was once like you are now, and I know that it's not easy,
To be calm when you've found something going on.
But take your time, think a lot,
Why, think of everything you've got.
For you will still be here tomorrow, but your dreams may not.

Son
How can I try to explain, when I do he turns away again.
It's always been the same, same old story.
From the moment I could talk I was ordered to listen.
Now there's a way and I know that I have to go away.
I know I have to go.

Father
It's not time to make a change,
Just sit down, take it slowly.
You're still young, that's your fault,
There's so much you have to go through.
Find a girl, settle down,
if you want you can marry.
Look at me, I am old, but I'm happy.
(Son-- Away Away Away, I know I have to
Make this decision alone - no)
Son
All the times that I cried, keeping all the things I knew inside,
It's hard, but it's harder to ignore it.
If they were right, I'd agree, but it's them They know not me.
Now there's a way and I know that I have to go away.
I know I have to go.
(Father-- Stay Stay Stay, Why must you go and
make this decision alone?)

Monday, 9 November 2009

Blossoms Memory - Children's Unconditional Love


Sungguh hati terasa seperti ingin ketawa mendengar anak-anak berbual dengan kawan-kawan mereka petang itu.
"you know my dad knows everything, he is clever.." kata kawan humaira.
" My dad too..... my dad knows everything too..." jawab humaira tak nak kalah.
" My dad is strong like spiderman....."sampuk Hafiy pula, siap dibandingkan dengan watak superhero kegemarannya.
"My mum can cook nice food....." bela rakan mereka lagi...
"My mum can cook keropok lekor, nice pasta bake..." jawab Hasya pulak.... Nampaknya perbincangan mereka akan membawa kepada kenaikan suhu didalam rumah nie...

"Ok, dear, their mum can cook as nice as me and their dad is also as clever and as strong as abah, ok" Ummi mencuba mencari titik persetujuan disitu.

"ooooooooo......" kesemua mereka nampaknya bersetuju.

Ketika anak-anak berumur di bawah usia remaja begini, membuatkan ummi teringat-ingat ketika ummi juga diusia lebih kurang anak-anak. Bagi ummi tok mak lah yang paling cantik dan pandai. Tok wan lah abah yang paling best dalam dunia, sebab tok wan selalu belikan keropok setiap kali balik bercuti. Dan sekarang ummi merasakan pula dengan anak-anak.

Bagi anak-anak, cinta mereka pada ibubapa ketika ini 'tanpa syarat'. Walaupun ibu mereka tidaklah kurus sangat, dimata mereka ibu mereka kurus, kalau ukuran fizikal yang kita ambil kira. Walaupun abah mereka tidak pernah terbang seperti superman, bagi anak-anak abahlah superhero mereka.

Setiap hari minta dipeluk dan dicium. Setiap hari minta untuk dimanjakan. Kalau berjalan, tangan kita diraih sebelum kita meraih tangan mereka.

Sungguh murni terasa cinta anak-anak buat diri kami ibubapa.

Teringat perbualan dengan seorang kakak semasa di Bradford dulu, Kak Fauziah mungkin ingat dengan lebih terperinci lagi kata-katanya:

"Ati, peganglah tangan anak sekarang dan jangan jemu, sebab sekarang mereka memang sungguh-sungguh ingin pegang tangan kita, mungkin satu hari nanti mereka dah malu nak pegang tangan kita" "Ati, ciumlah anak-anak bertalu-talu, sekarang kita cium mereka dikhalayak ramai pun mereka suka, mereka rasa bertuah, sebab mungkin satu hari nanti mereka akan rasa malu bila kita cium mereka, atau mereka malu untuk cium kita"
"Ati peluklah anak-anak seerat-eratnya sekerap-kerapnya, sebab mungkin satu hari mereka dah tak rasa nak peluk kita"

Inilah inti pati perbualan kami.

Tapi anak-anak, ummi sentiasa mahu anak-anak memeluk kami, mencium kami dan memegang tangan kami sampai bila-bila. Kasih sayang ummi, abah pada anak-anak adalah tanpa syarat. Dan kasih sayang ummi abah pada kedua ibubapa kami juga tanpa syarat. Ummi peluk, cium dan pegang erat tangan tok mak dulu, kini dan selamanya.

Sungguh indah saat ini dimana kasih sayang anak-anak adalah "tanpa syarat". Semoga Allah mengurniakan nikmat mencintai kedua ibubapa sampai bila-bila. Aameeen

Friday, 6 November 2009

Sisipan Memori - Bulan tu bulan yang sama kan ummi?


"ummi, the moon is following us," hasya memecahkan sunyi didalam kereta. Ketika Hasya melihat seolah-olah bulan sedang mengekori kereta kami, malam itu.

"No, Hasya, the moon stay there, not moving, the moon is sooooo big, that's why everybody can see that as if it is following them." Kakak pula menjawab, bagi pihak ummi. Ini best ni kalau main test anak-anak.

"Kakak, why is that the moon seems small from here?" Tanya ummi.

"Because, the moon is faaarrr away, that is why." terang kakak lagi.

" How many moon does earth have?" uji ummi lagi

" one, ummi," jawab kakak.

" I read about planets and moon in my planets book." jawab kakak.

" So, do you think tok mak, tah, tok tok and tok wan is watching the same moon at Malaysia?" uji ummi lagi.

" Yes, of course ummi." Sessi yang indah dengan anak-anak.....


Bulan yang sama kita renung, bulan yang sama kita pandang. Bulan yang sama, menyaksikan semua sejarah dunia, sejarah mereka, sejarah kita.

Ketika ummi menginjak ke darjah satu, ummi berpindah tinggal dengan tok mak dan tok wan di Bukit Selambau. Tok Mak, berniaga di kantin tapak pembinaan sekolah menengah Bukit Selambau. Tok Mak pakar memasak, tok mak mula berniaga semenjak ummi kecil lagi. Apa saja yang tok mak masak sedapnya bukan kepalang. (nota: sudah semestinya bagi seorang anak untuk sangat suka masakan ibu mereka) Mungkin tok mak rindu sangat dengan anaknya ini, yang sepanjang usia kecilnya tinggal dengan tok.

Berpisah dengan tok ummi, sudah semestinya membuatkan hati gundah gulana. Tok lah insan yang paling ummi sayang ketika itu. Kenapa kena pindah duduk dengan tok mak? Ummi nak duduk dengan tok. Nak duduk Sungai Petani. Persoalan yang berat yang ummi rasa ketika itu.

" Cek pindah sekolah Bukit Selambau, OK, kat sana best, ada bendang, tanah luas cek boleh main dengan adik baby(mak teh), pak uda pun ada sekali sekolah kat Bukit Selambau. "pujuk tok mak.

Tanpa kata setuju dari ummi, berpindah jualah ummi ke Bukit Selambau.

" Cek tengok bulan tu, bila cek ingat kat tok, cek tengok bulan tu ok, tok pun tengok bulan yang sama." tok melepaskan dengan penuh sayu.

Permulaan hidup yang penuh dengan pengembaraan bermula juga saat itu. Terima kasih tok mak sebab memujuk hati ummi dan hati tok untuk kita hidup sekeluarga di Bukit Selambau. Cerita hidup yang indah bermula, dan ingatan jangka panjang juga berkembang saat itu.

Terima kasih tok, sebab tok rela melepaskan cucunya pergi untuk mengutip lebih pengalaman hidup di kampung yang tak akan sama dengan pekan Sungai Petani.

Semoga roh tok tenang di sana.


Wednesday, 4 November 2009

Blossoms Memory - Ummi faham sekarang.......

"ummi, my tummy is hurting......."
"ummi, I am not feeling well........" adu kakak Humaira semasa kelas hafazan Al Quran di Grand Mosque hari selasa minggu cuti sekolah tu.

Selalunya kalau kakak kata dia rasa tak sihat, memang tak sihat betul tu. Kakak anak yang aktif. Ummi pegang dahi kakak. Ya lah rasa panas sedikit. Balik saja rumah malam tu kakak kata kakak nak baring, sebab kaka rasa tak sihat sangat.

Pukul 10 malam, kakak menangis sebab perut kakak sakit. Selang beberapa jam, kakak berlari-lari naik ke tandas, kakak muntah rupanya. Kesiannya anak ummi.

Esoknya, kakak mintak ummi tinggal dirumah dengan kakak, semasa ummi bersiap-siap untuk ke sekolah ummi. Kesiannya anak ummi, terasa luluh hati tengok kakak tak sihat. Ummi bagitahu abah, ummi cuti saja hari ini. Cuti sendiri. :):)

Hasya, dan Hafiy tumpang gembira sebab ummi tidak ke sekolah hari ini. Sepanjang hari, kakak bermanja dengan ummi, dan adik-adik juga memanjakan kakak mereka yang dilanda ujian Allah. Sepanjang hari badan kakak panas sangat, selera makan kakak jugak kurang.

Malamnya pula, Hafiy menangis-nangis sebab batuk-batuk. Abah pujuk-pujuk Hafiy, peluk Hafiy erat-erat, supaya dia tenang. Rupanya, badan Hafiy semakin panas, demam juga. Kakak pula berkali-kali berulang ke tandas, muntah. Nampaknya ada dua pesakit kecil sekarang. Terasa bagai mahu sahaja ummi ambil alih demam dan perut anak-anak yang sakit tu. Abah pun sama, terasa sangat 'helpless'. Doa pada Allah, tak putus-putus ummi dan abah panjatkan, semoga anak-anak ummi dan abah tabah menghadapi ujian Allah ini. Hati seorang ummi dan abah dalam melihat anak-anak yang berjuang dengan kesakitan hanya Allah sahaja yang tahu.

Ketika inilah, ummi bermuhasabah, beginilah jua perasaan tok mak dan tok wan, ketika ummi sakit semasa kecil. Beginilah juga jerut rasa tok tok dan tah ketika abah sakit semasa kecilnya. Beginilah perasaan ibubapa. Pengorbanan tok mak, tokwan, toktok dan tah takkan dapat ummi dan abah ganti sehingga ke akhir hayat, tak terbalas rasanya, hanya Allah sahaja yang menggandakan pahala kebaikan mereka sebanyak-banyaknya, doa dari kami anak-anak yang terlalu sedikit berterima kasih rupanya. Pengorbanan yang tidak akan terbalas setara.

Ummi faham sekarang, bila tok mak sebut, "satu nyamuk pun mak tak bagi gigit anak mak...."
Ummi faham sekarang, bila tok mama cerita, " masa kakak demam campak kecik-kecik dulu, sesaat pun kakak tak tidur kat tempat lain selain dari ribaan kami, mak, mak cik, tok, abah dan mama, " begitu sayang nya mereka....

Ummi faham sekarang, kenapa kita harus berdoa untuk ibubapa kita dengan doa ini,

"Ya Allah kasihanilah kedua ibu bapaku sepertimana mereka mengasihaniku di waktu kecilku"

Mampukah ummi dan abah, menjaga mereka ketika mereka sakit dengan penuh kasih sayang seperti mana tumpahnya kasih sayang dan seperti mana jatuhnya belas kasih mereka ketika kami kecil dahulu. Tidak akan setara.

Ya Allah kuatkanlah hati-hati kami untuk menjadi anak-anak yang solehah penyejuk mata, penawar hati ibubapa kami,
Ya Allah lembutkanlah hati-hati kami dalam berbelas kasihan dan menyayangi ibu-bapa kami.

Ya Allah
Rendahkanlah suara kami bagi mereka
Perindahlah ucapan kami di depan mereka
Lunakkanlah watak kami terhadap mereka dan
Lembutkan hati kami untuk mereka

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas
didikan mereka pada kami dan Pahala yang besar atas
kesayangan yang mereka limpahkan pada kami,peliharalah
mereka sebagaimana mereka memelihara kami.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan
atau kesusahan yang mereka deritakan kerana kami
atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatan kami
jadikanlah itu semua penyebab susutnya
dosa-dosa mereka dan bertambahnya pahala kebaikan
mereka dengan perkenan-Mu ya Allah
hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan
kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelum kami,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untuk kami.
Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah kami memberi
syafa'at untuk mereka,sehingga kami semua berkumpul
bersama dengan santunan-Mu di tempat kediaman
yang dinaungi kemulian-Mu, ampunan-Mu serta rahmat-Mu... .

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha
Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah
yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.

Amin Ya Rabbul Alamin.. (kredit sumber)

Semoga Allah jua kurniakan ummi dan abah dengan anak-anak yang lembut hati dan taat Insya-Allah. Penyejuk mata penawar di hati. Aameeen


(kredit sumber)


(kredit sumber)


(kredit sumber)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails