Monday 30 November 2009

Blossoms Memory - Anak :Kasih yang tak bertepi.......


Ya Allah, sejahterakanlah pengunjung blog ini dengan rahmatmu dan siramilah hidup mereka dengan barokahMu ya Allah,

Humaira dengan Hasya sungguh-sungguh teruja untuk menulis kembali di blog mereka. Alhamdulillah, semoga mereka istiqamah. Harapan ummi dan abah, semoga dengan berlatih menulis sebegitu akan menajamkan lagi pemikiran dan akan melatih mereka untuk menyusun ayat dan ejaan mereka. Biar pendek-pendek entrinya tapi ada saja perkataan baru yang mereka belajar.

Humaira, diusia 7 tahun dan berada di tahun 3 disini Alhamdulillah sudah banyak penguasaan 'vocabulary'nya dan ayat-ayatnya juga sudah cantik disusun. Cuma nahunya saja perlu diperhatikan, 'present tense'nya, 'past tense'nya. Kalau bab berkomunikasi memang hebat anak-anak disini, kritis juga pemikiran, keyakinan diri yang tinggi, bila didengar-dengar perbualan mereka, rupanya grammarnya tunggang langgang, :):):). Semoga Allah kurniakan istiqamah dalam menulis ya bunayati.

Minggu Festival di Quarry Mount Primary school. Humaira dan dua lagi rakannya dipilih untuk membaca tentang Guru Nanak. Pengasas Sikhism. Hati ummi abah kembang penuh terasa, mendengar permata hati berbicara penuh semangat sebagai 'narator' tentang cerita guru nanak, sambil sebahagian kawan-kawan melakonkan seperti pentomim. Macam comparative religion study. Terdetik di hati tentang bagaimana penerimaan anak-anak tentang kepelbagaian agama yang mereka belajar. Nampaknya kena cepat latih tubi bercerita tentang kehebatan Islam dan ketauhidan kepada Allah s.wt.

"Yang, abang pulak yang nervous tadi waktu Humaira nak baca tentang cerita Guru Nanak tu, lagi-lagi bila abang tengok teks yang Humaira pegang tu panjang jugak." komen abah waktu ummi dan abah berjalan semula ke universiti.

"Kelakar lah abang ni, " sambil ummi ketawa kecil. Yang sebenarnya ummi juga berperasaan yang sama. Jangan marah ya Habibi...

Cuma terkilan, kami ibubapa tidak dibenarkan merakam semua persembahan anak-anak, kerana ada isu tentang 'pictures security' di UK ini. Akan ummi rakam dalam kotak memori. Semoga kakak terus berjaya ya Humaira.

Hasya dan kawan-kawannya pula menyanyi berkenaan dengan musim menuai 'harvest season' persembahan ini digabung, tahun 1 dan tahun 2. Ummi boleh nampak Hasya masih malu-malu, ummi tetap bangga dengan Hasya, kali ini Hasya menyanyi dengan suara yang ummi boleh dengar dan dapat pula ummi dan abah cam. Balik nanti Hasya nyanyi untuk ummi lagi ya. Minggu ini Hasya begitu obses untuk membaca buku. Setiap hari pasti ada buku yang dibawa dan minta perhatian ummi atau abah untuk mendengar bacaannya. Alhamdulillah, Hasya dah boleh membaca kebanyakan ayat-ayat panjang dalam bahasa Inggeris. Teruskan membaca ya sayang.

Hafiy Addin Hizamel, budak bijak yang bertuah. Sekarang dah tak menangis kalau pergi ke sekolah. Akalnya bijak dan panjang sekali. Baru-baru ini, bangun pagi, ummi rasa badan Hasya panas, ummi pun bagitahu Hasya tak perlu kesekolah. Hafiy yang jaga-jaga ayam terjaga dari tidur dan tiba-tiba batuk-batuk (yang dibuat-buat)

"Hafiy batuk ummi, Hafiy tak leh gi school", kata Hafiy. Bijak-bijak, ponteng sekolahlah hari tu.

Bila auntie noni telefon, Hafiy berbual-bual dengan auntie noni seperti biasa, kedengaran sihat katanya, bila ditanya kenapa tak pergi kesekolah, Hafiy terus batuk-batuk. Anak, anak.

Hafiy juga seorang yang manis mulutnya. Semua orang tahu 'girlfriend' Hafiy ialah auntie noni. Sayang sungguh Hafiy pada auntie noni. Sabtu yang lepas, terubatlah rindu Hafiy buat auntie noni, bila kami membawa dia singgah dirumah auntie noni. Dapatlah juga ummi dan abah tumpang solat.

"Hafiy kat sekolah Hafiy, Hafiy kawan dengan siapa?" tanya auntie noni pada Hafiy.
"Amirul," Jawab Hafiy.
"Kawan perempuan Hafiy siapa?" Tanya auntie noni.
"Hafiy tak da kawan perempuan, sebab Hafiy dah ada girlfriend, girlfriend Hafiy, auntie noni lah.... ". Jawapan Hafiy yang membuatkan semua orang ketawa. Manis sungguh mulut anak ummi ni......

Membesarlah anak, menjadi anak soleh, semoga menjadi daie-daie masa depan. Bangunlah menyinsing seperti fajar pagi yang bakal menerangi seluruh harinya......


(kredit sumber)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails